About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, July 27, 2020

KEMASUKAN PATI KE PULAU LANGKAWI - PENDUDUK DAN NELAYAN TEMPATAN JADI TALI BARUT

KUALA LUMPUR, 27 Julai 2020- Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Ekoran dari beberapa cubaan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke Pulau Langkawi, dua lelaki warga Myanmar yang menetap di Pulau Langkawi disyaki dalang sindiket penyeludupan PATI ditahan dalam satu operasi khas bersepadu yang dikoordinasikan oleh National Task Force ( NTF) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 21 Julai yang lalu.

Kedua-dua lelaki terbabit ditahan cuba memberi rasuah kepada pegawai penguatkuasa APMM bagi memberi laluan untuk kemasukan migran melalui jalan laut. 

Susulan tangkapan pertama, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Kuala Teriang, Langkawi disyaki dijadikan tempat transit dengan melibatkan tangkapan ke atas 34 orang warga asing daripada Thailand dan Myanmar.

NTF menjelaskan hasil maklumat risikan serta soal siasat, didapati terdapat penglibatan penduduk setempat sebagai tali barut kepada sindiket-sindiket berkaitan.

Modus operandi yang digunakan adalah dengan melibatkan bantuan dari penduduk setempat dengan memindahkan PATI yang baharu memasuki perairan Malaysia ini menaiki bot-bot nelayan tempatan dan menyamar sebagai nelayan sebelum didaratkan ke pulau-pulau sekitar Langkawi. 

Tangkapan terbaharu, 27 PATI dipercayai etnik Rohingya termasuk dua tekong warga Myanmar ditahan di pantai Pulau Rebak, Langkawi pada 26 Julai 2020. Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut untuk tindakan lanjut.

NTF menegaskan  bahawa penglibatan penduduk tempatan membantu kemasukan PATI baik melaui laluan perairan mahupun daratan persempadanan Negara merupakan satu perbuatan khianat. 

NTF akan sentiasa membuat pemantauan berterusan serta tindakan tegas akan diambil bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan negara terpelihara. Tangkapan demi tangkapan akan dilakukan bagi mengesan saki baki sindiket yang terlibat dalam penyeludupan PATi.

Masyarakat juga digesa untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam menyalurkan sebarang maklumat berkenaan dengan PATI, aktiviti penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan melalui talian hotline Pusat Operasi NTF (011-6251 1223). 

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini