About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Friday, June 19, 2020

PEMAKAIAN PANGKAT PEGAWAI KADET TUDM MENGIKUT SOP NORMA BAHARU

Sumber: PRO TUDM

ALOR SETAR, 18 Jun 2020 – Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM hari ini telah menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Latihan Ketenteraan Tahun Akhir (LKTA) Siri 7/19 dan Pegawai Kadet Kursus Asas Pegawai (KAP) Siri 29/19 yang diadakan bertempat di Dewan Aeroangkasa, Kolej Tentera Udara (KTU), Kepala Batas, Alor Setar, Kedah.

Pegawai Kadet LKTA Siri 7/19 terdiri daripada pelatih dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) seramai 53 orang termasuk 10 pegawai kadet wanita. Mereka telah memulakan latihan selama 6 bulan bermula pada 25 Jul 19 dan tamat pada 31 Jan 20.

Manakala Latihan Pegawai Kadet KAP Siri 29/19 telah bermula pada 16 Jun 19 selama 9 bulan dan perancangan awal ianya tamat pada 21 Mac 20. Kursus ini terdiri daripada 26 pegawai kadet yang terpilih dari pengambilan skim graduan dari IPTA dan IPTS dalam dan luar negara termasuk enam (6) pegawai kadet wanita.

Kesemua latihan dikendalikan di bawah tanggungjawab Sekolah Latihan Pegawai, 
Akademi Tentera Udara (ATU), Ipoh. 

Namun latihan dan penutup kursus telah 
ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19. Kini, dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet LKTA Siri 7/19 dan Pegawai Kadet KAP Siri 29/19 dapat dilaksanakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti pemeriksaan suhu badan diambil daripada semua pegawai kanan yang hadir di Pergerakan Udara dan semua pegawai kadet yang terlibat di pintu masuk lokasi acara oleh pihak Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) KTU, penyediaan kaunter ‘hand sanitizer’ dan pelitup hidung dan mulut (face mask), penjarakan sosial kedudukan pegawai kadet dan pegawai kanan di dalam dewan dalam jarak 1 meter selain meminimumkan jumlah kehadiran tanpa kehadiran ibu, bapa dan keluarga pegawai kadet seperti kebiasaan terdahulu.

Meskipun begitu, semangat yang dipamerkan oleh mereka adalah amat membanggakan apabila kesemua 79 pegawai kadet ditauliahkan di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan perkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Musta’in Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 17 Februari 2020 sebagai Pegawai Muda dengan pangkat Leftenan Muda TUDM (LTM TUDM) yang menjadi pelengkap setelah selesai menamatkan latihan.

Bagi menggalakkan persaingan sihat di antara para pegawai kadet, dua (2) piala telah diangkat untuk dinobatkan kepada Pegawai Kadet LKAT Siri 7/19 iaitu Piala Seri Perkasa dan Piala Seri Angkasa. Manakala bagi Pegawai Kadet KAP Siri 29/19 yang terbaik dianugerahkan Piala Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah. 

Penerima bagi anugerah terbaik bagi setiap.kategori adalah seperti berikut:

1. Piala Seri Perkasa bagi Pegawai Kadet Terbaik keseluruhan ALK
- LtM Muhammad Yassir bin Hakimi TUDM
2. Piala Seri Angkasa bagi Pegawai Kadet Terbaik TUDM ALK
- LtM Muhammad Zikri bin Mohd Zamri TUDM
3. Piala Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah bagi Pegawai 
Kadet Terbaik KAP Siri 29/19
- LtM Ahmad Ashraf bin Jamaluddin TUDM

Panglima Tentera Udara dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga dan menyeru 
pegawai kadet yang secara rasminya hari ini sebagai titik permulaan berkhidmat sebagai pegawai ATM untuk memikul tanggungjawab yang besar dalam meneruskan evolusi dan reputasi kecemerlangan di dalam TUDM dan ATM. PTU turut menekankan nilai teras iaitu 
integriti (integrity), keberanian (courage), kecemerlangan (excellence), setiakawan (esprit de corps) dan mengutamakan perkhidmatan (service before self) sebagai nilai teras yang amat penting bagi mengekalkan TUDM sebagai organisasi yang profesional.

Selain dari itu, asas jati dan martabat sebagai seorang pegawai tentera perlu dipegang teguh dengan merangkumi disiplin yang tinggi, pematuhan arahan, sentiasa bersiap siaga, berfikiran positif, menepati masa, keseragaman, berkomunikasi antara satu sama lain dan kerjasama padu di semua peringkat. 

Nilai-nilai murni dan asas ketenteraan yang utuh perlu menjadi budaya, kerana ia menjadi pemangkin kepada semangat dan kualiti warga ATM dalam mencapai misi dan visi TUDM amnya dan ATM khasnya.

Di akhir ucapan, PTU turut memberikan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Panglima Pendidikan dan Latihan Udara; Komandan KTU, Brig Jen Dato’ Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM dan warga KTU; Komandan ALK, Brig Jen Rozainy bin Ahmad Rapiee@Ahmad Ropie TUDM dan warganya; Komandan ATU, Kol Abdul Nazar bin Abdul Hamid TUDM dan warganya, jurulatih-jurulatih, staf-staf dan pihak yang terlibat dan berkongsi tanggungjawab dalam menjayakan kursus ini dari peringkat permulaan sehingga tamat.

Turut hadir menyaksikan upacara bersejarah ini adalah Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato' Roshaimi bin Zakaria TUDM serta beberapa pegawai kanan TUDM dan para jurulatih.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini