About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, January 18, 2020

MAJLIS PELANCARAN PENERBITAN FILEM BAKARA


Oleh/Foto: Paklang Hamzah


Lanjutan dari kejayaan filem PASKAL The Movie dan WIRA, sekali lagi Adrian Teh diberi kepercayaan bagi mengarahkan sebuah lagi filem aksi yang bersandarkan kepada cerita sebenar penglibatan warga TDM khususnya sekali gus akan mendedahkan bagaimana keberanian yang telah ditunjukkan oleh wira-wira TDM di dalam peristiwa pembebasan anggota US Rangers  yang terkepung dalam serangan puak militia Farah Aidid.  

Peristiwa yang telah mengorbankan Koperal Aznan Awang ini pernah difilemkan yang bertajuk Black Hawk Down pada tahun 2001 namun langsung tidak menggambarkan peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi tersebut.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi mengakui bahawa TDM telah menerima pelbagai kunjungan daripada pencipta filem untuk berunding tentang penghasilan filem bertemakan ketenteraan namun atas sebab-sebab yang tidak diketahui, ianya tidak diteruskan.  Beliau menegaskan, pihak TDM sangat berbesar hati apabila ACT 2 Pictures mengambil inisiatif untuk menghasilkan filem tentang kisah di Somalia ini. Beliau percaya, ia bukan sekadar sebuah filem aksi, ia juga boleh menjadi sebuah filem untuk orang ramai mengetahui lebih lanjut tentang TDM serta tugas dan tanggungjawab mereka kepada negara dan juga kepada negara lain.  Setelah melihat kejayaan filem PASKAL The Movie, beliau yakin akan kebolehan Adrian Teh untuk menghasilkan sebuah filem yang berkualiti, bukan sekadar pada aksinya namun juga pada kandungannya.

Adrian Teh selaku Pengarah filem 'Bakara' dan Ketua Pegawai Eksekutif ACT 2 Pictures sedar bahawa sebelum  ini ramai yang ingin menghasilkan filem dengan tema yang sama dan beliau sangat berbesar hati kerana TDM  telah memberikan  kepercayaan kepada beliau untuk menyampaikan kisah bersejarah ini kepada orang ramai.  Beliau percaya, bahawa kisah yang tidak diketahui umum ini perlu diceritakan bagi membuka mata orang ramai terhadap keberanian dan kecekalan pasukan MALBAT yang telah memainkan peranan penting dalam misi ini. Beliau juga berterima kasih kepada TDM atas sokongan penuh yang diberikan bagi memastikan kisah ini disampaikan dengan tepat dan berkesan.



Penerbitan filem BAKARA ini adalah kerjasama Tentera darat Malaysia (TDM) dengan syarikat Art 2 Pictures Sdn Bhd dan Adaza 88 Studio Sdn Bhd.  Penceritaan filem BAKARA adalah berdasarkan fakta sebenar seperti  mana yang dialami  sendiri oleh trup anggota TDM yang bertugas dalam misi United Nation Operation In Somalia (UNOSOM) di bawah Panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Somalia.  

Pertempuran di Pasar Bakara telah berlaku pada malam 3 Oktober 1993 dan berakhir pada 4 Oktober 1993.  Selain itu, ia turut bertujuan memberi perspektif yang tepat berhubung dengan insiden yang berlaku di Mogadishu. Penerbitan file mini juga secara tidak langsung adalah untuk menghargai perjuangan para pegawai dan anggota veteran yang terlibat dengan peristiwa tersebut.

TDM akan bekerjasama dengan syarikat penerbitan dari aspek teknikal, peralatan, pakaian seragam, keanggotaan serta persenjataan. Kos penerbitan filem ini ditanggung sepenuhnya oleh syarikat penerbitan  tanpa menggunakan sebarang dana atau peruntukan daripada TDM.


Barisan pelakon  yang akan terlibat dalam menjayakan filem ini ialah Bront Palarae, Remy Ishak, Shaheizy Sham, Sugeeta Chandran, Sophia Albarakbah, Khairul Azreen, Fauzi Nawawi dan ramai lagi.  Dengan penglibatan actor dan aktres yang hebat, ianya dijangka mampu menarik penonton sekali gus memaksimakan penyampaian maklumat dan dapat menarik minat generasi muda masa kini tentang profesion ketenteraan terutamanya TDM.



Penggambaran filem dijangka akan bermula seawal bulan Jun 2020 dan jika segalanya berjalan lancar, tayangan dapat dilaksanakan pada bulan Ogos 2021.  Sebagai return of investment, syarikat produksi turut bersetuju untuk menyumbang sedikit hasil yang diperolehi dari penerbitan filem tersebut kepada TDM dan digunakan bagi tujuan pembangunan organisasi.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Penerbitan Filem BAKARA bertempat di Padang Kawad Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD) Mekanize, Kem Lapangan Terbang, Sg Petani Kedah.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut adalah Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, Timb Panglima Tentera Darat, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Adaza 88 Studio Sdn Bhd, Pengarah Filem BAKARA dari Act 2 Pictures Sdn Bhd, Adrian Teh Kean Kok,  Pegawai-pegawai kanan TDM dan warga veteran yang terlibat dalam peristiwa dalam Bakara Market serta warga TDM.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini