Artikel ini telah disiarkan di dalam majalah Perajurit edisi Mei dan Jun 2018
Kota Palestin (Baitul Maqdis) terletak di tengah-tengah negara Palestin yang merupakan bandar terpenting dan ibu kotanya adalah salah satu daripada bandar-bandar bersejarah yang tertua dan salah satu bandar yang paling suci bagi pemilik agama-agama samawi antaranya agama Yahudi, Kristian dan agama Islam. Dikaitkan kisahnya dengan para Nabi dan buminya dipenuhi tempat-tempat suci seperti Gereja Kebangkitan dan Masjid Al-Aqsa yang mulia menjadi warisan ketamadunan dan kebudayaan dunia termasuk dalam senarai “Tapak Warisan Dunia’ dan ‘Tapak Warisan Dunia Yang Terancam’. Di tempat ini juga terjadinya konflik perbalahan antara pemilik tanah iaitu rakyat Palestin dan rejim penjajah Zionis.
Oleh: Paklang Hamzah/ Foto: MAPIM
Kesempatan penulis berada dalam
satu majlis wacana khas mengenai umat Islam sejagat khususnya membicarakan
nasib Al-Quds dan Al-Aqsa yang kian terhimpit
di dalam cengkaman Yahudinisasi.
Ceramah yang disampaikan sendiri oleh Presiden Majlis Perundingan
Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) iaitu saudara
Haji Mohd Azmi bin Abdul Hamid.
Sepintas lalu MAPIM adalah sebuah
badan Non Govermental Organizations (NGO ) ditubuhkan untuk mengurus dan
menyelesaikan masalah yang dihadapi umat Islam seluruh dunia. Antaranya masalah luaran dan dalaman
berkenaan isu global berkait, ekonomi , budaya, sosial dan pertahanan. Secara khususnya MAPIM adalah rakan
perundingan dan penyelaras agensi
pertubuhan-pertubuhan Islam untuk mewujudkan persepakatan dalam tindakan
mendepani isu-isu Islam, perbincangan berterusan mengenai kaedah dakwah Islam
yang berkesan dan pembinaan Khairo Ummah secara keseluruhannya yang
bergerak aktif bersama 88 buah Pertubuhan Islam di Malaysia.
Kelangsungan daripada pertemuan
singkat ini, saudara Haji Mohd Azmi membenarkan apa saja maklumat yang
disampaikan dalam wacana tersebut samada
dalam bentuk syarahan maupun cetakan disebarkan dalam apa jua bentuk sebaran
am bagi melebarluaskan permasalahan yang dihadapi oleh negara Palestin umumnya
serta memanjangkan informasi tentang segala gerak kerja yang sedang diusahakan
oleh MAPIM. Mengambil pendekatan bahawa
sesungguhnya ‘Mempertahankan Al-Aqsa Merupakan Suatu Kefardhuan’ maka penulis rasa turut terpanggil untuk sama-sama
menyahut seruan MAPIM sekadar kemampuan yang ada semuga usaha kecil penulis ini
turut ditulis oleh Allah Swt sebagai suatu amalan yang baik.
Pendahuluan
Dr. Sharif Amin Abu Shammalah
yang merupakan CEO Al-Quds Foundation Malaysia menulis bahawa sepanjang tahun
2017, Masjid Al-Aqsa dan bahagian timur Bandar Al-Quds telah berada di bawah
penaklukan Zionis genap lima dekad.
Manakala bahagian barat telah ditakluki di bawah penjajahan sejak tahun
1948 Masehi, detik di mana rejim Zionis menjajah bumi Palestin dan mengusir
rakyat Palestin keluar dari negara mereka sendiri.
Semenjak hari itu, tiada hari
berlalu di Palestin dan Masjid Al-Aqsa melainkan keperitan demi keperitan. Selepas penaklukan Al-Quds pada tahun 1967,
Zionis telah mengambil satu pendekatan sistematik sejajar dengan rancangan
kejam dan ganas yang bertujuan untuk mengubah hak penduduk Palestin dan
orang-orang Islam ke atas Kota Palestin.
Mereka melakukan ‘Pengyahudian Al-Quds’ dan langkah ini dilakukan ke
atas manusia, tempat-tempat suci, segala apa yang ada di atas permukaan bumi
malah juga di bawahnya, sistem pendidikan, budaya dan cara hidup, rumah-rumah,
pokok-pokok dan sehinggakan tanah perkuburan, jalan-jalan atau nama-nama jalan
juga tidak dapat diselamatkan daripada usaha pengyahudian ini.
Apa yang perlu disebutkan di sini
ialah peranan Yahudi seluruh dunia terutama golongan hartawan yang mendana
aktiviti Yahudinisasi dalam Bandar Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa dengan
mengumpulkan lebih dari 40 jutawan Yahudi di seluruh dunia agar menyumbang
secara konsisten bagi menjadikan Al-Quds Bandar Yahudi yang mana statistik
menunjukkan salah seorang dari mereka telah menyumbang sebanyaklebih 170 juta
dollar sehingga kini.
Selain itu terdapat gerakan yang
aktif di negara-negara Amerika dan Eropah dari pertubuhan Yahudi yang
menyumbang usaha-usaha Yahudinisasi dalam kota Al-Quds dan menyampaikan dana
untuk program-program pelaksanaan Yahudinisasi.
Dari Amerika sahaja sekitar 50 pertubuhan Amerika telah menyumbang lebih
dari 260 juta dollar untuk pertubuhan Yahudinisasi sepanjang tempoh 2011 hingga
2015. Israel membenarkan puluhan
pertubuhan Yahudi di dalam Al-Quds untuk menerima sumbangan-sumbangan seperti
ELAD, Pertubuhan Pelajar-pelajar kerana Haikal, Pimpinan Haikal, wanita untuk
Haikal dan lain-lain lagi. Namun pada
sudut yang lain Israel memerangi badan-badan pertubuhan Palestin dengan
merampas dan menutup dana mereka dan membicarakan ahli-ahlinya.
Sejarah Al-Quds dan Al-Aqsa
Imam Masjid Al-aqsa Sheikh Yusuf Abu Sunainah berbual dengan Cikgu Azmi |
Kota Palestin (Baitul Maqdis) terletak di tengah-tengah negara Palestin yang merupakan bandar terpenting dan ibu kotanya adalah salah satu daripada bandar-bandar bersejarah yang tertua dan salah satu bandar yang paling suci bagi pemilik agama-agama samawi antaranya agama Yahudi, Kristian dan agama Islam. Dikaitkan kisahnya dengan para Nabi dan buminya dipenuhi tempat-tempat suci seperti Gereja Kebangkitan dan Masjid Al-Aqsa yang mulia menjadi warisan ketamadunan dan kebudayaan dunia termasuk dalam senarai “Tapak Warisan Dunia’ dan ‘Tapak Warisan Dunia Yang Terancam’. Di tempat ini juga terjadinya konflik perbalahan antara pemilik tanah iaitu rakyat Palestin dan rejim penjajah Zionis.
Arab Yebus telah mengasaskan
Palestin 4000 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa dan diperintah oleh pemerintahan
Byzantine sehingga ia dibebaskan oleh Muslim Arab pada tahun 636 Masihi /16
Hijrah semasa pemerintahan Khalifah Ibn Al-Khattab. Beliau mengembalikan kepada penduduknya keamanan yang dijamin melalui ‘Perjanjian
Umar’ yang menjadi satu penghormatan selain daripada lawatannya ke kota
ini. Ia adalah satu-satunya kawasan yang
didatangi oleh Khalifah sendiri untuk membukanya. Beliau melakukan semula Masjid Al-Aqsa dan
menyusun persekitarannya, membaik pulih kestabilan masyarakat, pembangunan
bandar dan menghidupkan semula sistem pendidikan secara aktif.
Keadaan ini berterusan
sehinggalah ditawan oleh Frank Kristian pada tahun 1099 Masihi /492 Hijrah dalam
satu peperangan yang panjang dengan negara Islam. Kembalilah Palestin dan Al-Aqsa melalui
tahun-tahun yang sukar di mana berlakunya pembunuhan dan pengusiran penduduk
Palestin dan cubaan menukar Al-Aqsa menjadi ibu pejabat Gereja dan kubu
pahlawan (Kubu Pahlawan Berkuda).
Keadaan ini kekal sehinggalah kebangkitan Islam yang diketuai oleh
Salahuddin Al-Ayyubi pada tahun 1187 Masihi/583 Hijrah.
Maka pemerintahan kembali semula
kepada umat Islam dan kekal dimiliki oleh umat Islam lebih daripada tujuh abad
pemerintahan oleh negara-negara Islam secara berselang seli oleh para Khalifah
dan raja-raja yang bersaing dalam menjaga Al-Quds khususnya tempat-tempat agama
di dalamnya.
Pada tahun 1917, Britain telah
menawan Palestin dan Al-Quds (Baitul Maqdis).
Sejak dari peristiwa itu, Britain membantu kemasukan pendatang Yahudi
dari Eropah dan lain-lain melalui penubuhan
‘Negara Bangsa’ untuk orang-orang Yahudi di Palestin melalui satu perjanjian yang dibuat oleh
Menteri Luar British iaitu Balfour (1917) yang dikenali sebagai ‘perjanjian
daripada pihak yang tidak memiliki kepada pihak yang tidak mempunyai hak’.
Rakyat Palestin menolak
perjanjian itu dan Kota Palestin atau Al-Quds telah menjadi tonggak dan
memainkan peranan dalam menggerakkan tenaga dan semangat umat Islam dalam
menghadapi permasalahan ini dan memimpin revolusi menentang penjajahan British
dan projek Zionis ini. Telah berlaku
beberapa revolusi seperti Revolusi Buraq (1924), Revolusi Oktober (1933),
Revolusi Besar-besaran penduduk Palestin (1936-1939) dan lain-lain lagi.
Pada tahun 1948, rejim Zionis
melancarkan perang pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin. Mereka menawan sebahagian besar wilayah
selepas satu siri pembunuhan ngeri secara beramai-ramai. Manakala di Al-Quds mereka menawan sebahagian
kawasan barat daripada kota ini yang berkeluasan 84 peratus yang mempunyai
kira-kira 60 ribu penduduk bandar dan meninggalkan bahagian timur bandar kepada
orang-orang Arab dan orang-orang Palestin di Jordan termasuk kawasan Kota Lama
dan Masjid Al-Aqsa.
Pada tahun 1967, Zionis telah
berjaya dengan misi penaklukan Kota Suci Palestin (Al-Quds) dengan penaklukan
bahagian timur kota ini dan menamakannya dengan nama Israel dan menganggap ia
sebagai satu bahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada mereka. Masyarakat antarabangsa secara majoritinya
menentang dan tidak mengiktiraf penaklukan ini.
Mereka menghalang pemindahan
kedutaan mereka ke kawasan Al-Quds ini
tetapi tidak mengambil tindakan sewajarnya yang lebih kuat untuk menolak
penjajahan Israel. Tindakan mereka hanya
sekadar mengeluarkan kenyataan dan kutukan dalam keadaan aman.
kubah al-sakhrah |
Sejak dari itu, isu Palestin telah
berkembang pesat sejak dilancarkan kempen menentang penaklukan
terhadapnya. Israel mengabaikan
undang-undang antarabangsa, resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(PBB), tidak memperdulikan bantahan
beratus juta umat Islam dan masyarakat dunia yang menolak perlanggaran terhadap
kesucian kota, tempat suci umat Islam dan penganut Kristian. Al-Quds sentiasa menjadi percikan yang menyalakan
kebangkitan Palestin menentang penjajahan seperti Gerakan Terowong (1996),
Intifada (Kebangkitan) Al-Aqsa (2000) dan yang terbaharu adalah Intifada yang
ketiga iaitu Intifada ‘Al-Quds’ (2015) hingga ke hari ini.
Masjid Al-Aqsa dikira sebagai
tempat ketiga paling suci dalam Islam selepas Masjid Al-Haram dan Masjid
Al-Nabawi yang menjadi sebab mengapa Kota Al-Quds menjadi sangat penting. Ia juga merupakan tempat Rasulullah SAW
diisrakkan dari Masjid Al-Haram dan darinya pula Rasulullah SAW dimikrajkan ke
langit. Padanya Rasulullah (saw)
mengimamkan seluruh Nabi seperti mana yang dirakam di dalam Al-Quran Al-Karim
dengan firmanNya yang bermaksud Maha suci Allah yang telah memperjalankan
dengan hambaNya pada waktu malam dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa yang
telah Kami berkati sekelilingnya untuk Kami perlihatkan baginya dari tanda
kebesaran Kami sesungguhnya Dia maha melihat. Al- Israk:1
Masjid Al-Aqsa ialah semua
kawasan yang diliputi tembok (kawasan di atas tembok) yang merangkumi semua
mercu tanda Masjid seperti Musolla Al-Qibali, Musolla Al-Marwani, semua
kubah-kubah seperti kubah Al-Sakhrah dan kubah Al-Silsilah, pintu-pintu
gerbang, wakaf-wakaf dan pondok-pondok serta lapangan-lapangan yang mencecah
keluasannya 144,000 meter persegi, sekitar satu perenam dari kota lama Al-Quds
semuanya adalah milik mutlak dan suci orang Islam. Selepas Masjid Al-Aqsa jatuh ke tangan Zionis
sejak 1967 ianya semakin terancam dan terdedah dengan aktiviti Yahudinisasi
oleh pihak Zionis.
Yahudinisasi Al-Quds
Istilah Yahudinisasi Kota Al-Quds
adalah merujuk kepada sekumpulan proses dan polisi yang diikuti oleh penjajah
Zionis dan pertubuhan Yahudi terhadap Masjid Al-Aqsa dan Kota Al-Quds bagi
merubah persekitaran keagamaan dan kebudayaan serta penduduk dari Islam Arab
kepada bandar Yahudi ala Barat bagi membolehkan penukaran ini kepada bandar
Yahudi sepenuhnya. Projek ini berpusat
dalam 3 peringkat iaitu manusia, tanah dengan apa yang ada di atas dan di
dalamnya serta tempat-tempat suci.
Yahudinisasi Penduduk -
Pada tahun 1948, Israel membunuh dan mengusir 60 ribu orang dan diikuti
ribuan lagi pada tahun 1967 manakala yang sempat lari menyelamatkan diri ke
bahagian timur dikira sebagai pendatang asing (imigran) bukan warganegara dan
Zionis berurusan dengan mereka mengikut undang-undang penduduk Israel yang
memberi kuasa penuh kepada Kementerian Dalam Negeri Israel merampas kad
pengenalan (kerakyatan) mereka.
Israel telah menarik balik
kerakyatan dari 14500 orang Al-Quds dan merangka untuk melucutkan 100 ribu
kerakyatan lagi seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Zionis Benyamin
Netanyahu supaya menjadikan penduduk Palestin di Al-Quds hanya 22 peratus
sahaja supaya merubah demografinya untuk kepentingan Yahudi.
Kerajaan haram Israel terus
memaksa undang-undang ketat ke atas rakyat Al-Quds bagi memastikan bandar
Al-Quds kosong dari penduduk Arab Islam.
Setelah mereka menganggap penduduk asal Al-Quds sebagai imigran mereka
memperkenalkan undang-undang pusat kehidupan pada tahun 1998 yang mana setiap
penduduk Baitul Maqdis yang memiliki rumah atau kerja di luar sempadan Al-Quds
akan dibuang kerakyatannya dan diharamkan pendidikan ke atas dia dan
keluarganya serta perkhidmatan kesihatan sehingga diusir keluar dari A-Quds.
Sesiapa dari kalangan penduduk
Al-Quds yang berbangsa Arab yang berkahwin dengan orang luar samada lelaki atau
perempuan tidak akan diberikan pada pasangannya kerakyatan bahkan pada keluarga
yang bakal hadir juga bagi membuatkan mereka berhijrah untuk hidup dengan
keluarga mereka samada orang Palestin
atau negara lain.
Kerajaan Israel memperkenalkan
pelbagai cukai yang tidak masuk akal dan tinggi bagi melumpuhkan ekonomi mereka
supaya mereka terpaksa meninggalkan kedai mereka ke tempat lain maka akan
lenganglah bandar Al-Quds untuk bangsa Yahudi sahaja.
Yahudinisasi Tempat -
Israel menjadikan projek Yahudinisasi ini sejak hari pertama penjajahan
Kota Al-Quds pada tahun 1967 Masihi dengan merobohkan penempatan bersejarah
Muslim Maghribi dan mengusir seluruh penduduknya malahan ada juga yang menjadi
mangsa jentolak. Di dalam kampung ini
terdapat 135 buah rumah, dua buah Masjid dan sebuah sekolah. Di atas runtuhan kampong ini berdekatan
dengan Masjid Al-Aqsa dari arah barat mereka mendirikan apa yang dinamakan hari
ini sebagai ‘Tembok Meratap’.
Nama ini juga sebahagian dari
usaha Yahudinisasi kerana dikatakan oleh mereka itulah tempat dinding kuil
mereka. Jadi mereka menangis kerana
kehilangannya serta untuk menukar kebudayaan yang berkaitan dengan Masjid
Al-Aqsa dan memasukkan unsur Yahudi dalam sejarah Masjid Al-Aqsa dengan
dakwaan-dakwaan mereka. Sedangkan
kampong maghribi ini telah dibina 800 tahun sebelum penjajahan Israel iaitu
selepas pembebasan Masjid Al-Aqsa dari tentera salib sebagai pemukiman
mujahidin yang datang dari negeri sekitar Maghribi pada ketika itu dalam
menyertai kempen Sultan Salahuddin al-Ayyubi bagi membebaskan Al-Aqsa.
Siri keganasan ini berterusan
sehingga hari ini, rumah dan bangunan terus dirobohkan. Dari statistik yang
dapat dikumpul bermula 1967 hingga 1999 sebanyak lebih dari 2000 buah rumah
telah dirobohkan. Menurut PBB dalam
statistik pengurusan hak asasi manusianya menyatakan lebih dari 1400 kes
pencerobohan dicatatkan sejak 1988 hingga 2014.
Bertambah getir lagi bila laporan berkenaan isu yang sama mencatatkan
1236 kes sejak tahun 2000 hingga 2015 menyebabkan pengusiran ribuan dari warga
Palestin.
Dari sudut lain, mereka
menyukarkan dalam urusan mengeluarkan permit binaan bagi orang Palestin dengan
menetapkan harga di luar kemampuan atau menghampiri mustahil bagi mendapatkan
permit tersebut. Bahkan tempoh kelulusan
juga memakan masa kebiasaannya selama 3 tahun sehinggakan mereka meninggalkan
Al-Quds dan membina kediaman di Tebing
Barat ataupun membinanya tanpa permit yang kemudian akan dirobohkan dan
tuan bangunan akan menanggung kos perobohan tersebut atau memaksa mereka merobohkannya sendiri.
Antara cabaran yang dihadapi oleh
penduduk Al-Quds terutamanya penduduk Al-Quds Lama adalah mereka tidak
dibenarkan menyelenggara kediaman mereka yang telah lama. Sesiapa yang berbuat demikian akan dianggap
sebagai jenayah dan dikenakan denda (walaupun secara sembunyi) sehinggalah ia
runtuh sendiri dan ditinggalkan penghuninya.
Tambahan lagi dengan tawaran dari NGO Yahudi dengan jutaan dollar kepada
penduduk Al-Quds supaya meninggalkan rumah mereka. Namun mereka menolak dan enggan meninggalkan
rumah mereka walaupun mereka sangat memerlukan duit bagi menjaga kelangsungan
Kota Al-Quds dari ancaman Yahudinisasi.
Yahudinisasi Pendidikan - Sejak
dari tahun 1967 lagi, sistem pendidikan Israel dijadikan sebagai sistem
pendidikan yang mesti diikuti di Al-Quds dengan tujuan untuk memadam kebudayaan
asal penduduk Al-Quds dan digantikan dengan kebudayaan mereka. Tentera telah mengeluarkan amaran rasmi agar
tidak diajar 55 buah buku yang berkait dengan bahasa Arab, pendidikan Islam dan
falsafah. Bagaimanapun larangan itu
ditarik balik namun beberapa kandungannya dibuang dari buku-buku tersebut
sehingga ia menjadi nipis. Usaha melakukan Yahudinisasi dalam pendidikan ini
berterusan dalam 3 cara iaitu:
- Menjadikan pelajar tidak boleh
bersekolah dengan menghalang mereka dari mendapat hak pendidikan atau menutup
jalan-jalan ke sekolah dengan sekatan-sekatan tentera.
- Menghalang guru-guru dengan
menangkap mereka dan mengenakan tekanan ke atas mereka.
- Mengganggu sistem pendidikan
dengan campur tangan dalam bahan pengajaran dan mengarahkan ulang cetak bagi
membuang darinya sebarang unsur patriotik yang berkaitan dengan Palestin atau
nilai kenegaraan samada dari aspek sejarah, gambar, slogan ataupun pelajaran.
Realitinya mereka memenuhkan
pendidikan pelajar Yahudi dengan kedengkian pada bangsa Arab, Islam dan menyeru
kepada penghapusan etnik dengan pemesongan sejarah dan realiti.
Pengisytiharan Al-Quds Sebagai
Ibu Negara Bersama - Selepas penjajahan ke atas bahagian timur
Al-Quds pada tahun 1967 dan menggabungkannya ke bahagian barat dan
mengisytiharkan ibu negara bersekutu bagi Israel namun ditolak oleh PBB dan
Majlis Keselamatan Dunia yang menganggap ia tidak mematuhi undang-undang dan
menuntut agar Israel keluar dari Al-Quds.
Israel tidak mengendahkan keputusan antarabangsa ini bahkan membuat
penegasan pada tahun 1980 dengan melampau mengisytiharkan Al-Quds sebagai ‘Ibu
Negara Abadi’ bagi Israel. Majlis Keselamatan Dunia telah mengeluarkan
laporannya bernombor 478 yang menyatakan pengisytiharan ini sebagai sebuah
kebatilan dan bercanggah dengan keputusan antarabangsa yang lalu namun Israel
terus berdegil dan tidak mengendahkan keputusan tersebut.
Penukaran Nama Tempat, Jalan
Dan Bangunan - Rejim Israel secara berterusan menukar nama-nama
Islam kepada nama-nama dalam bahasa Hebrew di papan-papan tanda sekitar Al-Quds
bagi memadam tanda kewujudan orang Arab Islam dan tamadun mereka di sana. Mereka telah menubuhkan Badan Penamaan
Kerajaan yang bertugas menamakan semula jalan-jalan dan tempat-tempat serta
mercu tanda menurut kehendak Zionis dari
segi politik, dakwaan sejarah, menurut Taurat yang telah dipinda dan
mengeluarkan panduan pelancong, peta dan laporan rasmi dengan nama baharu
tersebut termasuk mercu tanda yang sangat masyhur seperti pintu-pintu Al-Quds
yang memiliki sejarah tersendiri dan jalan-jalan utama. Bahkan Masjid Al-Aqsa juga telah dinamakan
‘Temple Mount’ dengan meletakkan papan tanda nama itu di atas pintu
Masjid. Telah siap ditukar nama-nama di
Al-Quds kepada nama baharu sebanyak 7000 tempat. Yahudinisasi ini merupakan jenayah
ketamadunan dan kebudayaan yang dilakukan secara paksa dan tipu helah juga
rompakan.
Penukaran Nama Mercu Tanda
Bersejarah - Rejim Israel dan Badan Penempatan mereka ingin merombak
persekitaran bangunan Kota Al-Quds dengan pelbagai langkah dan inisiatif. Antaranya meruntuhkan pusat kediaman Arab dan
Islam seperti yang berlaku di kampong Maghribi tahun 1967 dan digantikan dengan
kawasan lapang di hadapan Tembok Burak (dinding barat bagi Masjid Al-Aqsa) bagi
kegunaan Yahudi yang beribadah di Lapangan Meratap. Di bukit Al-Syaraf yang menempatkan beberapa
Masjid, Sekolah dan Surau golongan sufi serta sebuah Pasar serta 700
buah rumah dipaksa penduduknya berpindah dan menggantikan mereka dengan
pendatang Yahudi lalu dinamakannya Bukit Yahudi.
Yahudi membina Synagog Hurva setinggi 4 tingkat dengan kubah besar di atasnya bagi menandingi kubah al-sakhrah. |
Banyak lagi pusat kediaman yang bersejarah
telah dirampas dan ditukar dari bangunan-bangunan Arab menjadi bangunan
ketenteraan atau kuil seperti Sekolah Al-Tankizikiah (dari zaman Al-Mamluk)
telah menjadi kuil Yahudi. Surau sekolah
itu telah ditukar sebagai tempat pembuangan sampah. Begitu juga dengan kuil ‘Khemah Ishaq’ yang
asalnya adalah tanah wakaf Islam yang bernama Hammam Al-Ain. Contoh lain Rejim Israel telah bekerjasana
dengan pertubuhan Yahudi menubuhkan Synagog Hurva setinggi 4 tingkat di atasnya
terletak sebuah kubah yang besar bagi menandingi Kubah Emas di Kubah Al-Sakhrah
dalam usaha menguasai pemandangan bangunan Al-Quds. Terkini pada tahun 2015 telah siap tandas
awam bagi kegunaan pelawat Yahudi di kawasan ‘Tembok Menangis’ mereka di atas
robohan bangunan orang Islam.
Rampasan Tanah Dan Perluasan
Penempatan Haram - Rejim Israel secara terus menerus mengeluarkan perintah
merampas tanah orang Palestin dan menjadikannya milik kerajaan. Rampasan ini merangkumi rumah, Masjid dan
bangunan yang telah dirobohkan dan dirampas, atau tanah pertanian yang ditukar
milik kepada kerajaan dengan alasan mendirikan taman-taman Talmud dan
projek-projek penempatan.
Projek penempatan ini bertujuan
bagi menenggelamkan Al-Quds dengan lautan penempatan haram dan memadam ciri
bangunan Arab Islam di samping terus menghimpit penduduk asal agar terpisah
dari tanah air mereka. Termasuk dalam
projek ini pembinaan dinding pemisah
yang bersifat perkauman sepanjang 700 km yang mana 46 km darinya mengelilingi
keseluruhan Al-Quds bagi menjadikan ia
terpisah dari kampung-kampung dan bandar-bandar lain secara geografi dan
pentadbiran. Sehingga menjadikan mereka
menjadi bandar-bandar berasingan yang tidak layak mendapat kemudahan
perbandaran dan menjurus kepada pengurangan penduduk Arab dari Al-Quds.
Bahagian perangkaan Israel
mendedahkan tentang penambahan saiz penempatan Yahudi di Al-Quds melalui dua
penggal perlantikan kerajaan sekarang Benjamin Netanyahu secara tepatnya antara
2009 dan 2016 yang mana telah mencapai penambahan bilangan pendatang sebanyak
70 peratus, ini meningkatkan nisbah tanah yang dibina penempatan baharu
sebanyak 60 peratus.
Begitu juga dengan perangkaan
bahawa tempat-tempat bersejarah di Al-Quds dijarah secara berleluasa bagi
membina lebih banyak lagi penempatan.
Kini Israel telah mengusir 68 keluarga Palestin sepanjang tempoh
pemerintahan Netanyahu, 55 keluarga telah diusir pada tahun 2015-2016, kini
mereka mengancam untuk mengusir 300 lagi keluarga Palestin dari Al-Quds
manakala yang lain telah diusir atau diruntuhkan rumah mereka.
Terkini pada Febuari 2017,
walaupun dengan bantahan masyarakat antarabangsa, Knesset Israel meluluskan
projek penempatan yang memelihara hak penempatan haram yang dibina di atas
tanah rakyat Palestin pada sempadan 1967 walaupun dokumen pemilikan oleh orang
Palestin dibuktikan.
Yahudinisasi Masjid Al-Aqsa
Walaupun Masjid Al-Aqsa merupakan
suci dan memiliki kedudukan yang besar dalam Islam dan bagi orang Islam di
seluruh dunia namun Israel tidak mengendahkannya bahkan mereka telah melakukan
Yahudinisasi ke atas Masjid Al-Aqsa secara berperingkat bagi merealisasikan
kewujudan Yahudi secara berterusan dan secara langsung di Masjid Al-Aqsa dan
lapangannya. Oleh itu mereka telah
melalui beberapa peringkat secara bersambung antaranya:
Percubaan Membakar Dan
Meletupkan Al-Aqsa – Pada tahun 1969, seorang ekstremis Yahudi telah
menyebabkan kebakaran di Masjid Al-Aqsa khususnya di Masjid Al-Qibali. Api turut meyambar mimbar Solehuddin Al-Ayyubi
serta dinding Masjid dan perabotnya.
Rejim Israel melengahkan usaha memadamnya bahkan melepaskan penjenayah ini dengan
alasan pesakit jiwa tanpa dikenakan sebarang tindakan. Setelah itu berulang-ulang usaha mengebom
Masjid Al-Aqsa, yang terakhir ialah pada 2015 oleh seorang Yahudi warganegara
Amerika yang merupakan anggota pertubuhan ekstremis Yahudi. Walau bagaimanapun cubaan itu dapat dikesan
beberapa jam sebelum dia melaksanakan operasinya.
Menguasai Beberapa Bahagian Dari
Al-Aqsa – Israel memaksa penguasaannya ke atas beberapa bahagian dari
Masjid Al-Aqsa antaranya Kubah Al-Janbalatiyah di perkarangan Kubah Al-Sakhrah telah
ditukar sebagai Balai Polis Israel dalam Masjid Al-Aqsa. Begitu juga pintu barat yang dirampas
kuncinya dari orang Islam pada tahun
1967 dan digunakan bagi polis dan juga pelampau-pelampau Yahudi merempuh masuk
ke Masjid Al-Aqsa.
Galian Di bawah Al-Aqsa –
Israel telah melakukan sebilangan besar galian di bawah Masjid Al-Aqsa bagi
tujuan arkeologi dan juga pembinaan terowong.
Bilangan galian di sekeliling
Masjid Al-Aqsa dan di bawahnya sehingga tahun 2016 telah mencecah 63 galian.
Mereka mendakwa tujuan galian
arkeologi itu adalah bagi mencari kesan Haikal Sulaiman yang mereka dakwa
kewujudannya. Galian ini telah
menjejaskan tiang-tiang Masjid Al-Aqsa dan mengakibatkan juga keretakan pada
dinding-dindingnya, selain meruntuhkan binaan-binaan sekelilingnya. Galian ini juga telah melupuskan
tingkat-tingkat sejarah yang ditinggalkan oleh Islam yang menjadi saksi kepada
sejarah Masjid Al-Aqsa dan juga Al-Quds itu sendiri.
Galian ini bercanggah dengan
ajaran Taurat apatah lagi etika keilmuan
bagi membuktikan ia ialah bandar Yahudi.
Sebahagian sejarawan Yahudi menolak
galian ini kerana menghormati etika keilmuan walaupun selama mana mereka
menggali mereka tidak akan menjumpai kesan sejarah Yahudi di Al-Aqsa atau di
bawahnya. Mereka hanya akan menjumpai
kesan dan kewujudan Islam yang awal ataupun Byzantium dan tidak ada kaitan
dengan kewujudan Yahudi.
Larangan Pembaikan dan
Pemulihan Di dalam Al-Aqsa – Larangan melakukan pembaikan dan pemulihan di
dalam Masjid Al-Aqsa namun kerana kesucian Masjid ini adalah menjadi satu
kewajipan bagi memelihara dan memmperbaiki bangunan, lapangan serta
perhiasannya. Mereka yang bermukim di
Masjid Al-Aqsa mencuba secara sembunyi melakukan beberapa pembaikan yang
sederhana tetapi mereka diancam dengan tangkapan dan dakwaan oleh Israel. Menurut laporan rasmi bahawa bilangan
projek-projek pemulihan yang tergendala oleh penjajah sehingga akhir 2016
mencecah 40 projek.
Pencerobohan Demi Pencerobohan
– Pencerobohan ini berlaku secara berterusan oleh kumpulan-kumpulan pelampau
Yahudi dan pelancong-pelancong asing terhadap Masjid Al-Aqsa di bawah
pengawasan tentera penjajah. Kumpulan
pelampau ini merayakan upacara Talmud di
sana. Beberapa tahun kebelakangan ini,
pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa telah bertambah bilangannya dan bentuknya
yang mana turut disertai orang kerajaan dan ahli Parlimen Zionis. Percerobohan ini bertujuan membuktikan
kewujudan Yahudi di masjid Al-Aqsa adalah benar dan juga Masjid Al-Aqsa adalah
benar dan juga Masjid Al-Aqsa bukan lagi sebagai tempat sejarah yang di lawati
bersama antara orang-orang Yahudi dan
orang Islam.
Pengepungan Al-Aqsa – Pembinaan
Kuil-kuil Yahudi di sekeliling pagarnya seperti Kuil yang dibina di atas
‘Sekolah Al-Tankiziah’ yang bersambung dengan Masjid al-Aqsa atau pun yang
lebih rendah darinya Kuil Wilson Bridge.
Pertubuhan Yahudi menggalakkan Yahudi dari seluruh dunia melawat Kuil-kuil
ini bagi mengikat mereka dengan Al-Quds.
Selain itu rejim Israel mendirikan taman-taman Taurat sekitar Al-Aqsa
menggantikan kesan sejarah Islam.
Bilangan Kuil yahudi yang
mengelilingi Al-Aqsa dan di dalam Bandar Lama yang keluasannya tidak sampai 1
kilometer persegi adalah sebanyak 102 buah Kuil. Pertubuhan Yahudi dan kerajaan Israel
berlumba-lumba dalam merancang untuk meruntuhkan Masjid Al-Aqsa sebagai langkah
mula membina Haikal Yahudi di atasnya.
Beberapa replika Haikal yang bakal dibina di atas tapak Masjid Al-Aqsa
telah disiapkan oleh mereka.
Memerangi Kewujudan Orang
Islam Di Al-Aqsa –Akhir 2015 Menteri Pertahanan Israel mengeluarkan
kenyataan berkenaan Murabitin di Masjid Al-Aqsa
sebagai organisasi pengganas bagi mengelak mereka-mereka ini mendirikan
solat di dalam Masjid Al-Aqsa. Murabitin
adalah terdiri dari lelaki dan wanita yang bernazar untuk berada dalam Masjid
Al-Aqsa untuk mempelajari Al-Quran dan
menyekat Yahudi dari menceroboh dan mencemari Masjid. Mereka berada di sana
pada setiap masa agar mereka dapat secara aman menghalang Al-Aqsa daripada
pembahagian berdasarkan waktu dan ruang.
Di antara matlamat mereka juga
adalah untuk menghalang penjajah radikal daripada merampas Masjid
tersebut. Kerap kali mereka terpaksa
berhadapan dengan pelbagai halangan, gangguan malahan hukuman daripada pihak berkuasa Israel yang
ingin menghalang mereka daripada berada di Al-Aqsa.
Ini menjadikan Israel campur tangan secara
langsung bagi kepentingan kumpulan pelampau Yahudi yang mencemari Masjid
Al-Aqsa dan menyeru kepada perobohannya untuk membina Haikal Yahudi di
tempatnya.
Pada akhir 2015 Israel telah
melancarkan perang yang terancang ke atas konvoi Syaddu Al-Rihal dengan
menghentikan dan merampasnya agar tidak sampai ke Masjid Al-Aqsa. Syaddu Al-Rihal ialah bas-bas yang membawa
orang yang mahu mendirikan solat dari Palestin ke Masjid Al-Aqsa.
Melarang Orang Islam Solat di
Al-Aqsa – Selain meletakkan orang yang solat dan guru-guru Al-Quran dalam
senarai orang yang tidak dibenarkan memasuki Masjid Al-Aqsa dan memerangi
Murabitin dari memulihara Masjid, polis Israel juga menangkap lelaki dan wanita
dalam Masjid Al-Aqsa kerana melaungkan takbir ke arah kumpulan zionis yang
menceroboh Masjid Al-Aqsa Al-Mubarak.
Mereka juga mengenakan had umur
bagi golongan yang dibenarkan masuk ke Masjid Al-Aqsa untuk mendirikan solat di
dalamnya. Kebanyakan kampung tidak
dibenarkan ke atas penduduk di bawah umur 50 tahun dari memasuki Masjid
Al-Aqsa. Ini membuatkan ribuan mereka mendirikan solat di luar kawasan Masjid
iaitu di atas jalan tar kerana ada sekatan yang dibuat di sekeliling Masjid Al-Aqsa.
Di samping mengeluarkan larangan
pergi ke Masjid Al-Aqsa bagi semua rakyat Palestinyang menetap di Gaza, Tebing
barat dan beberapa tempat lain kecuali beberapa puluh orang tua.
Pembahagian Masa dan Tempat Ke
atas Al-Aqsa – Ini adalah polisi paling bahaya yang menjurus ke arah
Yahudinisasi Masjid Al-Aqsa iaitu dengan menetapkan masa-masa tertentu bagi
menghalang orang Islam berada di dalam Masjid Al-Aqsa iaitu dari jam 7.30
hingga 11.30 pagi dan jam 1.30 hingga 2.30 petang kerana waktu ini dikhususkan
kepada orang Yahudi membaca Talmud di Masjid Al-Aqsa.
Ini adalah permulaan kepada
pembahagian tempat yang mana dikhususkan beberapa tempat untuk Yahudi
mendirikan ritual mereka di dalam Masjid
Al-Aqsa serta menghalang orang Islam berada di tempat tersebut manakala
dikhususkan tempat tertentu untuk orang Islam mendirikan solat dalam Masjid
mereka. Ini adalah pelanggaran hak umat
Islam yang terkepung dalam Masjid Al-Aqsa dan ke atas kebebasan beribadah yang
berlaku terang-terangan.
Pengharaman Azan di Al-Aqsa
Dan Masjid Al-Quds
Pengharaman melaungkan azan di
Al-Aqsa telah diusulkan oleh pihak rejim Zionis
untuk menghalang umat Islam dari melaungkan azan pada waktu malam di
Masjid dalam perkarangan Al-Aqsa dan bandar-bandar Palestin yang terletak di
kawasan Garisan Hijau iaitu sempadan yang memisahkan negara haram Israel dengan
negara-negara jiran.
Pembentangan usul kali pertama
ini telah diluluskan di parlimen Israel pada Mac 2017. Usul ini dibentangkan di parlimen berikutan
penduduk yang tinggal di sekitar kawasan tersebut merasa terganggu oleh azan
yang dilaungkan oleh masyarakat Palestin.
Usul tersebut mendapat sokongan penuh oleh kerajaan Israel dan telah
mengharamkan laungan azan menggunakan pembesar suara sekitar jam 11.00 malam
hingga 7.00 pagi. Denda akan dikenakan
sekitar USD13000 hingga USD2600 bagi sesiapa yang mengingkari undang-undang
baharu ini. Jelas bahawa undang-undang
ini bertujuan menghapuskan identiti Islam di Al-Aqsa dan di Al-Quds kerana azan
pertama dilaungkan oleh Bilal bin Rabah( r.a) yakni muazzin Nabi Muhammad
(s.a.w ) di Al-Quds selepas tentera Islam berjaya menawan Al-Aqsa 1300 tahun
sebelum Zionis menakluknya kembali.
Penutup
Apa yang disebut di sini hanyalah
beberapa ringkasan dari kesukaran dan polisi jahat dalam usaha
mengyahudinisasikan Al-Quds, Masjid Al-Aqsa, penduduk setempat, kebudayaan
Islam dan jalan-jalannya. Adapun apa
yang berlaku adalah jauh lebih perit dan sukar serta sangat meruncing
keadaannya.
Apa yang lebih penting dan wajib
difahami dalam senario ini ialah keperihatinan masyarakat dunia luar dari
kelumpok masyarakat Palestin bahawa orang Islam di dalam Al-Quds telah
berkorban tenaga, harta serta nyawa dan menyumbang usaha yang sangat besar bagi
menyekat perancangan Yahudinisasi dan mempertahankan Masjid Al-Aqsa dengan
berdiri di hadapan serangan ganas, diancam penangkapan, dipukul dan disukarkan
dalam pencarian rezki.
Mereka sangat mendambakan peranan
dan pertolongan kaum muslimin seluruh dunia samada dalam bentuk kerajaan,
rakyat atau pertubuhan bukan kerajaan sama-sama tampil bagi mempertahan
dan memulihara Masjid Al-Aqsa dan Kota
Suci Al-Quds yang suatu hari nanti akan mungkin terjajah dan berpindah tangan
kepada Israel.
Dari titik ini Yayasan Al-Quds
Malaysia yang mendukung perjuangan Al-Quds untuk bertahan dari penguasaan
Yahudi ke atas bumi Palestin secara umumnya menyeru dan berharap kepada semua
masyarakat Malaysia untuk sama-sama merasai keperitan yang ditanggung oleh
saudara seislam di sana dan ikut sama berjuang cara yang termampu di lakukan.
Seperti mana maksud dari firman
Allah Taala dalam Surah At-taubah Ayat 41: Pergilah kamu beramai-ramai
(untuk berperang dijalan Allah) samada dengan keadaan ringan ataupun dengan
keadaan berat (disebab pelbagai tanggungjawab).
Memetik sebahagian dari amanat
Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardawi Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia menegaskan: Barangsiapa
yang mampu menghadapi Israel dengan dirinya maka lakukanlah, barangsiapa yang
mampu membantu para pejuang dengan hartanya maka lakukanlah dan barangsiapa
yang tidak mampu maka ikhlaskanlah doa untuk mereka. Sesungguhnya mempertahankan Al-Aqsa merupakan
satu kefardhuan.
Ini jelas menunjukkan bahawa
setiap muslim dituntut supaya membantu sama-sama menangani kesusahan yang
ditanggung oleh saudara seislam yang lain semampu yang mungkin. Justeru marilah sama-sama kita membantu pihak
Al-Quds Foundation Malaysia dan juga MAPIM dalam usaha mereka melaksanakan Projek
Wakaf Dan Infaq Aqsa yang mana dana yang diperolehi akan digunakan untuk
tujuan berikut:
1. Pemulihan dan Pemuliharaan- Projek untuk memulihara, membina
semula dan memperbaiki pelbagai sudut binaan Masjid Al-Aqsa yang mana binaannya
telah banyak dirosakkan oleh tentera Israel.
Sementara itu pencerobohan penduduk Yahudi untuk mengambilalih
rumah-rumah warisan Palestin perlu dihalang dengan memastikan rumah-rumah di sekeliling
Masjid Al-Aqsa tidak dirampas oleh Yahudi.
2. Penyelenggaraan Dan Pengurusan – Aktiviti menyelenggara dan
mengurus Masjid Al-Aqsa termasuk keperluan dana untuk membiayai petugas dan
kerja-kerja pembersihan Masjid, pembiayaan elaun lima orang Imam sepenuh masa ,
kos elektrik serta bekalan. Oleh itu
dana yang terkumpul akan dijana lagi bagi mendapatkan pusingan dana yang cukup
agar boleh membiayaai pengurusan dan penyelenggaraan Masjid Al-Aqsa.
3. Pendidikan – Semua projek yang berkait dengan pendidikan yang
dibangun dan diurus dalam kawasan Masjid Al-Aqsa untuk mempelajari dan mengajar
ilmu Islam, Halaqah Al-Quran dan Hadis , Madrasah Tahfiz belia, kelas wanita
dan kanak-kanak, tarbiyyah dan pelatihan generasi muda Islam.
4. Perkhidmatan Awam- Semua aktiviti berkaitan dengan khidmat awam
di dalam kawasan Masjid Al-Aqsa termasuk khidmat kesihatan, khidmat untuk warga
emas dan OKU , khidmat untuk kanak-kanak dan wanita, penyelenggaraan dan
penceriaan serta pengurusan landskap Masjid Al-Aqsa.
5. Pembinaan Institusi – Aktiviti untuk membangunkan institusi
untuk mengukuhkan Masjid Al-Aqsa yang dilengkapi perpustakaan, pusat
penyelidikan, galeri, pusat wakaf, markas untuk belia dan wanita serta pusat
penerbitan.
Sebarang pertanyaan boleh hubungi
pihak MAPIM di talian/fax : +604 421 6510/ Hotline: 011-1064 3309/
Website:www.wakafaqsa.com /Facebook:wakafaqsa.
Bagi yang ingin menderma boleh melalui CIMBBANK
8602715930 (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia).
No comments:
Post a Comment