About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, May 1, 2018

NASIB PALESTIN DAN AL-AQSA

Artikel ini telah disiarkan di dalam majalah Perajurit edisi Mei dan Jun 2018
Oleh: Paklang Hamzah/ Foto: MAPIM

Kesempatan penulis berada dalam satu majlis wacana khas mengenai umat Islam sejagat khususnya membicarakan nasib Al-Quds dan Al-Aqsa yang kian terhimpit  di dalam cengkaman Yahudinisasi.  Ceramah yang disampaikan sendiri oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) iaitu saudara  Haji Mohd Azmi bin Abdul Hamid. 

Sepintas lalu MAPIM adalah sebuah badan Non Govermental Organizations (NGO ) ditubuhkan untuk mengurus dan menyelesaikan masalah yang dihadapi umat Islam seluruh dunia.  Antaranya masalah luaran dan dalaman berkenaan isu global berkait, ekonomi , budaya, sosial dan pertahanan.  Secara khususnya MAPIM adalah rakan perundingan dan penyelaras  agensi pertubuhan-pertubuhan Islam untuk mewujudkan persepakatan dalam tindakan mendepani isu-isu Islam, perbincangan berterusan mengenai kaedah dakwah Islam yang berkesan dan pembinaan Khairo Ummah secara keseluruhannya yang bergerak aktif bersama 88 buah Pertubuhan Islam di Malaysia.

Kelangsungan daripada pertemuan singkat ini, saudara Haji Mohd Azmi membenarkan apa saja maklumat yang disampaikan dalam wacana tersebut samada  dalam bentuk syarahan maupun cetakan disebarkan dalam apa jua bentuk sebaran am bagi melebarluaskan permasalahan yang dihadapi oleh negara Palestin umumnya serta memanjangkan informasi tentang segala gerak kerja yang sedang diusahakan oleh MAPIM.  Mengambil pendekatan bahawa sesungguhnya ‘Mempertahankan Al-Aqsa Merupakan Suatu Kefardhuan’ maka  penulis rasa turut terpanggil untuk sama-sama menyahut seruan MAPIM sekadar kemampuan yang ada semuga usaha kecil penulis ini turut ditulis oleh Allah Swt sebagai suatu amalan yang baik.

Pendahuluan

Dr. Sharif Amin Abu Shammalah yang merupakan CEO Al-Quds Foundation Malaysia menulis bahawa sepanjang tahun 2017, Masjid Al-Aqsa dan bahagian timur Bandar Al-Quds telah berada di bawah penaklukan Zionis genap lima dekad.  Manakala bahagian barat telah ditakluki di bawah penjajahan sejak tahun 1948 Masehi, detik di mana rejim Zionis menjajah bumi Palestin dan mengusir rakyat Palestin keluar dari negara mereka sendiri.

Semenjak hari itu, tiada hari berlalu di Palestin dan Masjid Al-Aqsa melainkan keperitan demi keperitan.  Selepas penaklukan Al-Quds pada tahun 1967, Zionis telah mengambil satu pendekatan sistematik sejajar dengan rancangan kejam dan ganas yang bertujuan untuk mengubah hak penduduk Palestin dan orang-orang Islam ke atas Kota Palestin.  Mereka melakukan ‘Pengyahudian Al-Quds’ dan langkah ini dilakukan ke atas manusia, tempat-tempat suci, segala apa yang ada di atas permukaan bumi malah juga di bawahnya, sistem pendidikan, budaya dan cara hidup, rumah-rumah, pokok-pokok dan sehinggakan tanah perkuburan, jalan-jalan atau nama-nama jalan juga tidak dapat diselamatkan daripada usaha pengyahudian ini.

Apa yang perlu disebutkan di sini ialah peranan Yahudi seluruh dunia terutama golongan hartawan yang mendana aktiviti Yahudinisasi dalam Bandar Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa dengan mengumpulkan lebih dari 40 jutawan Yahudi di seluruh dunia agar menyumbang secara konsisten bagi menjadikan Al-Quds Bandar Yahudi yang mana statistik menunjukkan salah seorang dari mereka telah menyumbang sebanyaklebih 170 juta dollar sehingga kini.

Selain itu terdapat gerakan yang aktif di negara-negara Amerika dan Eropah dari pertubuhan Yahudi yang menyumbang usaha-usaha Yahudinisasi dalam kota Al-Quds dan menyampaikan dana untuk program-program pelaksanaan Yahudinisasi.  Dari Amerika sahaja sekitar 50 pertubuhan Amerika telah menyumbang lebih dari 260 juta dollar untuk pertubuhan Yahudinisasi sepanjang tempoh 2011 hingga 2015.  Israel membenarkan puluhan pertubuhan Yahudi di dalam Al-Quds untuk menerima sumbangan-sumbangan seperti ELAD, Pertubuhan Pelajar-pelajar kerana Haikal, Pimpinan Haikal, wanita untuk Haikal dan lain-lain lagi.  Namun pada sudut yang lain Israel memerangi badan-badan pertubuhan Palestin dengan merampas dan menutup dana mereka dan membicarakan ahli-ahlinya.

Sejarah Al-Quds dan Al-Aqsa


Imam Masjid Al-aqsa Sheikh Yusuf Abu Sunainah berbual dengan Cikgu Azmi

Kota Palestin (Baitul Maqdis) terletak di tengah-tengah negara Palestin yang merupakan bandar terpenting dan ibu kotanya  adalah salah satu daripada bandar-bandar bersejarah yang tertua dan salah satu bandar yang paling suci bagi pemilik agama-agama samawi antaranya agama Yahudi, Kristian dan agama Islam.  Dikaitkan kisahnya dengan para Nabi dan buminya dipenuhi tempat-tempat suci seperti Gereja Kebangkitan dan Masjid Al-Aqsa yang mulia menjadi warisan ketamadunan dan kebudayaan dunia termasuk dalam senarai “Tapak Warisan Dunia’ dan ‘Tapak Warisan Dunia Yang Terancam’.  Di tempat ini juga terjadinya konflik perbalahan antara pemilik tanah iaitu rakyat Palestin dan rejim penjajah Zionis.

Arab Yebus telah mengasaskan Palestin 4000 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa dan diperintah oleh pemerintahan Byzantine sehingga ia dibebaskan oleh Muslim Arab pada tahun 636 Masihi /16 Hijrah semasa pemerintahan Khalifah Ibn Al-Khattab.  Beliau mengembalikan kepada penduduknya  keamanan yang dijamin melalui ‘Perjanjian Umar’ yang menjadi satu penghormatan selain daripada lawatannya ke kota ini.  Ia adalah satu-satunya kawasan yang didatangi oleh Khalifah sendiri untuk membukanya.  Beliau melakukan semula Masjid Al-Aqsa dan menyusun persekitarannya, membaik pulih kestabilan masyarakat, pembangunan bandar dan menghidupkan semula sistem pendidikan secara aktif.

Keadaan ini berterusan sehinggalah ditawan oleh Frank Kristian pada tahun 1099 Masihi /492 Hijrah dalam satu peperangan yang panjang dengan negara Islam.  Kembalilah Palestin dan Al-Aqsa melalui tahun-tahun yang sukar di mana berlakunya pembunuhan dan pengusiran penduduk Palestin dan cubaan menukar Al-Aqsa menjadi ibu pejabat Gereja dan kubu pahlawan (Kubu Pahlawan Berkuda).  Keadaan ini kekal sehinggalah kebangkitan Islam yang diketuai oleh Salahuddin Al-Ayyubi pada tahun 1187 Masihi/583 Hijrah. 

Maka pemerintahan kembali semula kepada umat Islam dan kekal dimiliki oleh umat Islam lebih daripada tujuh abad pemerintahan oleh negara-negara Islam secara berselang seli oleh para Khalifah dan raja-raja yang bersaing dalam menjaga Al-Quds khususnya tempat-tempat agama di dalamnya.
Pada tahun 1917, Britain telah menawan Palestin dan Al-Quds (Baitul Maqdis).  Sejak dari peristiwa itu, Britain membantu kemasukan pendatang Yahudi dari Eropah dan lain-lain melalui penubuhan  ‘Negara Bangsa’ untuk orang-orang Yahudi di Palestin  melalui satu perjanjian yang dibuat oleh Menteri Luar British iaitu Balfour (1917) yang dikenali sebagai ‘perjanjian daripada pihak yang tidak memiliki kepada pihak yang tidak mempunyai hak’.

Rakyat Palestin menolak perjanjian itu dan Kota Palestin atau Al-Quds telah menjadi tonggak dan memainkan peranan dalam menggerakkan tenaga dan semangat umat Islam dalam menghadapi permasalahan ini dan memimpin revolusi menentang penjajahan British dan projek Zionis ini.  Telah berlaku beberapa revolusi seperti Revolusi Buraq (1924), Revolusi Oktober (1933), Revolusi Besar-besaran penduduk Palestin (1936-1939) dan lain-lain lagi.

Pada tahun 1948, rejim Zionis melancarkan perang pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin.  Mereka menawan sebahagian besar wilayah selepas satu siri pembunuhan ngeri secara beramai-ramai.  Manakala di Al-Quds mereka menawan sebahagian kawasan barat daripada kota ini yang berkeluasan 84 peratus yang mempunyai kira-kira 60 ribu penduduk bandar dan meninggalkan bahagian timur bandar kepada orang-orang Arab dan orang-orang Palestin di Jordan termasuk kawasan Kota Lama dan Masjid Al-Aqsa.

Pada tahun 1967, Zionis telah berjaya dengan misi penaklukan Kota Suci Palestin (Al-Quds) dengan penaklukan bahagian timur kota ini dan menamakannya dengan nama Israel dan menganggap ia sebagai satu bahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada mereka.  Masyarakat antarabangsa secara majoritinya menentang dan tidak mengiktiraf penaklukan ini.  Mereka menghalang  pemindahan kedutaan mereka ke kawasan  Al-Quds ini tetapi tidak mengambil tindakan sewajarnya yang lebih kuat untuk menolak penjajahan Israel.  Tindakan mereka hanya sekadar mengeluarkan kenyataan dan kutukan dalam keadaan aman.
kubah al-sakhrah


Sejak dari itu, isu Palestin telah berkembang pesat sejak dilancarkan kempen menentang penaklukan terhadapnya.  Israel mengabaikan undang-undang antarabangsa, resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),  tidak memperdulikan bantahan beratus juta umat Islam dan masyarakat dunia yang menolak perlanggaran terhadap kesucian kota, tempat suci umat Islam dan penganut Kristian.  Al-Quds sentiasa menjadi percikan yang menyalakan kebangkitan Palestin menentang penjajahan seperti Gerakan Terowong (1996), Intifada (Kebangkitan) Al-Aqsa (2000) dan yang terbaharu adalah Intifada yang ketiga iaitu Intifada ‘Al-Quds’ (2015) hingga ke hari ini.

Masjid Al-Aqsa dikira sebagai tempat ketiga paling suci dalam Islam selepas Masjid Al-Haram dan Masjid Al-Nabawi yang menjadi sebab mengapa Kota Al-Quds menjadi sangat penting.  Ia juga merupakan tempat Rasulullah SAW diisrakkan dari Masjid Al-Haram dan darinya pula Rasulullah SAW dimikrajkan ke langit.  Padanya Rasulullah (saw) mengimamkan seluruh Nabi seperti mana yang dirakam di dalam Al-Quran Al-Karim dengan firmanNya yang bermaksud Maha suci Allah yang telah memperjalankan dengan hambaNya pada waktu malam dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya untuk Kami perlihatkan baginya dari tanda kebesaran Kami sesungguhnya Dia maha melihat. Al- Israk:1

Masjid Al-Aqsa ialah semua kawasan yang diliputi tembok (kawasan di atas tembok) yang merangkumi semua mercu tanda Masjid seperti Musolla Al-Qibali, Musolla Al-Marwani, semua kubah-kubah seperti kubah Al-Sakhrah dan kubah Al-Silsilah, pintu-pintu gerbang, wakaf-wakaf dan pondok-pondok serta lapangan-lapangan yang mencecah keluasannya 144,000 meter persegi, sekitar satu perenam dari kota lama Al-Quds semuanya adalah milik mutlak dan suci orang Islam.  Selepas Masjid Al-Aqsa jatuh ke tangan Zionis sejak 1967 ianya semakin terancam dan terdedah dengan aktiviti Yahudinisasi oleh pihak Zionis.

Yahudinisasi Al-Quds

Istilah Yahudinisasi Kota Al-Quds adalah merujuk kepada sekumpulan proses dan polisi yang diikuti oleh penjajah Zionis dan pertubuhan Yahudi terhadap Masjid Al-Aqsa dan Kota Al-Quds bagi merubah persekitaran keagamaan dan kebudayaan serta penduduk dari Islam Arab kepada  bandar Yahudi ala Barat  bagi membolehkan penukaran ini kepada bandar Yahudi sepenuhnya.  Projek ini berpusat dalam 3 peringkat iaitu manusia, tanah dengan apa yang ada di atas dan di dalamnya serta tempat-tempat suci. 
askar yahudi israel mengiringi pelancong yahudi masuk ke masjid alaqsa

Yahudinisasi Penduduk - Pada tahun 1948, Israel membunuh dan mengusir 60 ribu orang dan diikuti ribuan lagi pada tahun 1967 manakala yang sempat lari menyelamatkan diri ke bahagian timur dikira sebagai pendatang asing (imigran) bukan warganegara dan Zionis berurusan dengan mereka mengikut undang-undang penduduk Israel yang memberi kuasa penuh kepada Kementerian Dalam Negeri Israel merampas kad pengenalan (kerakyatan) mereka.

Israel telah menarik balik kerakyatan dari 14500 orang Al-Quds dan merangka untuk melucutkan 100 ribu kerakyatan lagi seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Zionis Benyamin Netanyahu supaya menjadikan penduduk Palestin di Al-Quds hanya 22 peratus sahaja supaya merubah demografinya untuk kepentingan Yahudi.

Kerajaan haram Israel terus memaksa undang-undang ketat ke atas rakyat Al-Quds bagi memastikan bandar Al-Quds kosong dari penduduk Arab Islam.  Setelah mereka menganggap penduduk asal Al-Quds sebagai imigran mereka memperkenalkan undang-undang pusat kehidupan pada tahun 1998 yang mana setiap penduduk Baitul Maqdis yang memiliki rumah atau kerja di luar sempadan Al-Quds akan dibuang kerakyatannya dan diharamkan pendidikan ke atas dia dan keluarganya serta perkhidmatan kesihatan sehingga diusir keluar dari A-Quds.

Sesiapa dari kalangan penduduk Al-Quds yang berbangsa Arab yang berkahwin dengan orang luar samada lelaki atau perempuan tidak akan diberikan pada pasangannya kerakyatan bahkan pada keluarga yang bakal hadir juga bagi membuatkan mereka berhijrah untuk hidup dengan keluarga mereka samada  orang Palestin atau negara lain.

Kerajaan Israel memperkenalkan pelbagai cukai yang tidak masuk akal dan tinggi bagi melumpuhkan ekonomi mereka supaya mereka terpaksa meninggalkan kedai mereka ke tempat lain maka akan lenganglah bandar Al-Quds untuk bangsa Yahudi sahaja.

Yahudinisasi Tempat - Israel menjadikan projek Yahudinisasi ini sejak hari pertama penjajahan Kota Al-Quds pada tahun 1967 Masihi dengan merobohkan penempatan bersejarah Muslim Maghribi dan mengusir seluruh penduduknya malahan ada juga yang menjadi mangsa jentolak.  Di dalam kampung ini terdapat 135 buah rumah, dua buah Masjid dan sebuah sekolah.  Di atas runtuhan kampong ini berdekatan dengan Masjid Al-Aqsa dari arah barat mereka mendirikan apa yang dinamakan hari ini sebagai ‘Tembok Meratap’. 
Cikgu Azmi di Medan Moroko dan dinding Ratapan Yahudi


Nama ini juga sebahagian dari usaha Yahudinisasi kerana dikatakan oleh mereka itulah tempat dinding kuil mereka.  Jadi mereka menangis kerana kehilangannya serta untuk menukar kebudayaan yang berkaitan dengan Masjid Al-Aqsa dan memasukkan unsur Yahudi dalam sejarah Masjid Al-Aqsa dengan dakwaan-dakwaan mereka.  Sedangkan kampong maghribi ini telah dibina 800 tahun sebelum penjajahan Israel iaitu selepas pembebasan Masjid Al-Aqsa dari tentera salib sebagai pemukiman mujahidin yang datang dari negeri sekitar Maghribi pada ketika itu dalam menyertai kempen Sultan Salahuddin al-Ayyubi bagi membebaskan Al-Aqsa.  

Siri keganasan ini berterusan sehingga hari ini, rumah dan bangunan terus dirobohkan. Dari statistik yang dapat dikumpul bermula 1967 hingga 1999 sebanyak lebih dari 2000 buah rumah telah dirobohkan.  Menurut PBB dalam statistik pengurusan hak asasi manusianya menyatakan lebih dari 1400 kes pencerobohan dicatatkan sejak 1988 hingga 2014.  Bertambah getir lagi bila laporan berkenaan isu yang sama mencatatkan 1236 kes sejak tahun 2000 hingga 2015 menyebabkan pengusiran ribuan dari warga Palestin.

Dari sudut lain, mereka menyukarkan dalam urusan mengeluarkan permit binaan bagi orang Palestin dengan menetapkan harga di luar kemampuan atau menghampiri mustahil bagi mendapatkan permit tersebut.  Bahkan tempoh kelulusan juga memakan masa kebiasaannya selama 3 tahun sehinggakan mereka meninggalkan Al-Quds dan membina kediaman di Tebing  Barat ataupun membinanya tanpa permit yang kemudian akan dirobohkan dan tuan bangunan akan menanggung kos perobohan tersebut atau  memaksa mereka merobohkannya sendiri.

Antara cabaran yang dihadapi oleh penduduk Al-Quds terutamanya penduduk Al-Quds Lama adalah mereka tidak dibenarkan menyelenggara kediaman mereka yang telah lama.  Sesiapa yang berbuat demikian akan dianggap sebagai jenayah dan dikenakan denda (walaupun secara sembunyi) sehinggalah ia runtuh sendiri dan ditinggalkan penghuninya.  Tambahan lagi dengan tawaran dari NGO Yahudi dengan jutaan dollar kepada penduduk Al-Quds supaya meninggalkan rumah mereka.  Namun mereka menolak dan enggan meninggalkan rumah mereka walaupun mereka sangat memerlukan duit bagi menjaga kelangsungan Kota Al-Quds dari ancaman Yahudinisasi.


Yahudinisasi Pendidikan - Sejak dari tahun 1967 lagi, sistem pendidikan Israel dijadikan sebagai sistem pendidikan yang mesti diikuti di Al-Quds dengan tujuan untuk memadam kebudayaan asal penduduk Al-Quds dan digantikan dengan kebudayaan mereka.  Tentera telah mengeluarkan amaran rasmi agar tidak diajar 55 buah buku yang berkait dengan bahasa Arab, pendidikan Islam dan falsafah.  Bagaimanapun larangan itu ditarik balik namun beberapa kandungannya dibuang dari buku-buku tersebut sehingga ia menjadi nipis. Usaha melakukan Yahudinisasi dalam pendidikan ini berterusan dalam 3 cara iaitu:
- Menjadikan pelajar tidak boleh bersekolah dengan menghalang mereka dari mendapat hak pendidikan atau menutup jalan-jalan ke sekolah dengan sekatan-sekatan tentera.
- Menghalang guru-guru dengan menangkap mereka dan mengenakan tekanan ke atas mereka.
- Mengganggu sistem pendidikan dengan campur tangan dalam bahan pengajaran dan mengarahkan ulang cetak bagi membuang darinya sebarang unsur patriotik yang berkaitan dengan Palestin atau nilai kenegaraan samada dari aspek sejarah, gambar, slogan ataupun pelajaran.
Realitinya mereka memenuhkan pendidikan pelajar Yahudi dengan kedengkian pada bangsa Arab, Islam dan menyeru kepada penghapusan etnik dengan pemesongan sejarah dan realiti.

Pengisytiharan Al-Quds Sebagai Ibu Negara Bersama - Selepas penjajahan ke atas bahagian timur Al-Quds pada tahun 1967 dan menggabungkannya ke bahagian barat dan mengisytiharkan ibu negara bersekutu bagi Israel namun ditolak oleh PBB dan Majlis Keselamatan Dunia yang menganggap ia tidak mematuhi undang-undang dan menuntut agar Israel keluar dari Al-Quds.  Israel tidak mengendahkan keputusan antarabangsa ini bahkan membuat penegasan pada tahun 1980 dengan melampau mengisytiharkan Al-Quds sebagai ‘Ibu Negara Abadi’  bagi Israel.  Majlis Keselamatan Dunia telah mengeluarkan laporannya bernombor 478 yang menyatakan pengisytiharan ini sebagai sebuah kebatilan dan bercanggah dengan keputusan antarabangsa yang lalu namun Israel terus berdegil dan tidak mengendahkan keputusan tersebut.

Penukaran Nama Tempat, Jalan Dan Bangunan - Rejim Israel secara berterusan menukar nama-nama Islam kepada nama-nama dalam bahasa Hebrew di papan-papan tanda sekitar Al-Quds bagi memadam tanda kewujudan orang Arab Islam dan tamadun mereka di sana.  Mereka telah menubuhkan Badan Penamaan Kerajaan yang bertugas menamakan semula jalan-jalan dan tempat-tempat serta mercu tanda  menurut kehendak Zionis dari segi politik, dakwaan sejarah, menurut Taurat yang telah dipinda dan mengeluarkan panduan pelancong, peta dan laporan rasmi dengan nama baharu tersebut termasuk mercu tanda yang sangat masyhur seperti pintu-pintu Al-Quds yang memiliki sejarah tersendiri dan jalan-jalan utama.  Bahkan Masjid Al-Aqsa juga telah dinamakan ‘Temple Mount’ dengan meletakkan papan tanda nama itu di atas pintu Masjid.  Telah siap ditukar nama-nama di Al-Quds kepada nama baharu sebanyak 7000 tempat.  Yahudinisasi ini merupakan jenayah ketamadunan dan kebudayaan yang dilakukan secara paksa dan tipu helah juga rompakan.

Penukaran Nama Mercu Tanda Bersejarah - Rejim Israel dan Badan Penempatan mereka ingin merombak persekitaran bangunan Kota Al-Quds dengan pelbagai langkah dan inisiatif.  Antaranya meruntuhkan pusat kediaman Arab dan Islam seperti yang berlaku di kampong Maghribi tahun 1967 dan digantikan dengan kawasan lapang di hadapan Tembok Burak (dinding barat bagi Masjid Al-Aqsa) bagi kegunaan Yahudi yang beribadah di Lapangan Meratap.  Di bukit Al-Syaraf yang menempatkan beberapa Masjid, Sekolah dan Surau golongan sufi serta sebuah Pasar  serta 700  buah rumah dipaksa penduduknya berpindah dan menggantikan mereka dengan pendatang Yahudi lalu dinamakannya Bukit Yahudi.

Yahudi membina Synagog Hurva setinggi 4 tingkat dengan kubah besar di atasnya bagi menandingi kubah al-sakhrah.


 Banyak lagi pusat kediaman yang bersejarah telah dirampas dan ditukar dari bangunan-bangunan Arab menjadi bangunan ketenteraan atau kuil seperti Sekolah Al-Tankizikiah (dari zaman Al-Mamluk) telah menjadi kuil Yahudi.  Surau sekolah itu telah ditukar sebagai tempat pembuangan sampah.  Begitu juga dengan kuil ‘Khemah Ishaq’ yang asalnya adalah tanah wakaf Islam yang bernama Hammam Al-Ain.  Contoh lain Rejim Israel telah bekerjasana dengan pertubuhan Yahudi menubuhkan  Synagog Hurva setinggi 4 tingkat di atasnya terletak sebuah kubah yang besar bagi menandingi Kubah Emas di Kubah Al-Sakhrah dalam usaha menguasai pemandangan bangunan Al-Quds.  Terkini pada tahun 2015 telah siap tandas awam bagi kegunaan pelawat Yahudi di kawasan ‘Tembok Menangis’ mereka di atas robohan bangunan orang Islam.

Rampasan Tanah Dan Perluasan Penempatan Haram - Rejim Israel secara terus menerus mengeluarkan perintah merampas tanah orang Palestin dan menjadikannya milik kerajaan.  Rampasan ini merangkumi rumah, Masjid dan bangunan yang telah dirobohkan dan dirampas, atau tanah pertanian yang ditukar milik kepada kerajaan dengan alasan mendirikan taman-taman Talmud dan projek-projek penempatan.

Projek penempatan ini bertujuan bagi menenggelamkan Al-Quds dengan lautan penempatan haram dan memadam ciri bangunan Arab Islam di samping terus menghimpit penduduk asal agar terpisah dari tanah air mereka.  Termasuk dalam projek ini  pembinaan dinding pemisah yang bersifat perkauman sepanjang 700 km yang mana 46 km darinya mengelilingi keseluruhan Al-Quds  bagi menjadikan ia terpisah dari kampung-kampung dan bandar-bandar lain secara geografi dan pentadbiran.  Sehingga menjadikan mereka menjadi bandar-bandar berasingan yang tidak layak mendapat kemudahan perbandaran dan menjurus kepada pengurangan penduduk Arab dari Al-Quds.
Bahagian perangkaan Israel mendedahkan tentang penambahan saiz penempatan Yahudi di Al-Quds melalui dua penggal perlantikan kerajaan sekarang Benjamin Netanyahu secara tepatnya antara 2009 dan 2016 yang mana telah mencapai penambahan bilangan pendatang sebanyak 70 peratus, ini meningkatkan nisbah tanah yang dibina penempatan baharu sebanyak 60 peratus.

Begitu juga dengan perangkaan bahawa tempat-tempat bersejarah di Al-Quds dijarah secara berleluasa bagi membina lebih banyak lagi penempatan.  Kini Israel telah mengusir 68 keluarga Palestin sepanjang tempoh pemerintahan Netanyahu, 55 keluarga telah diusir pada tahun 2015-2016, kini mereka mengancam untuk mengusir 300 lagi keluarga Palestin dari Al-Quds manakala yang lain telah diusir atau diruntuhkan rumah mereka.

Terkini pada Febuari 2017, walaupun dengan bantahan masyarakat antarabangsa, Knesset Israel meluluskan projek penempatan yang memelihara hak penempatan haram yang dibina di atas tanah rakyat Palestin pada sempadan 1967 walaupun dokumen pemilikan oleh orang Palestin dibuktikan.

Yahudinisasi Masjid Al-Aqsa

Walaupun Masjid Al-Aqsa merupakan suci dan memiliki kedudukan yang besar dalam Islam dan bagi orang Islam di seluruh dunia namun Israel tidak mengendahkannya bahkan mereka telah melakukan Yahudinisasi ke atas Masjid Al-Aqsa secara berperingkat bagi merealisasikan kewujudan Yahudi secara berterusan dan secara langsung di Masjid Al-Aqsa dan lapangannya.  Oleh itu mereka telah melalui beberapa peringkat secara bersambung antaranya:

Percubaan Membakar Dan Meletupkan Al-Aqsa – Pada tahun 1969, seorang ekstremis Yahudi telah menyebabkan kebakaran di Masjid Al-Aqsa khususnya di Masjid Al-Qibali.  Api turut meyambar mimbar Solehuddin Al-Ayyubi serta dinding Masjid dan perabotnya.  Rejim Israel melengahkan usaha memadamnya  bahkan melepaskan penjenayah ini dengan alasan pesakit jiwa tanpa dikenakan sebarang tindakan.  Setelah itu berulang-ulang usaha mengebom Masjid Al-Aqsa, yang terakhir ialah pada 2015 oleh seorang Yahudi warganegara Amerika yang merupakan anggota pertubuhan ekstremis Yahudi.  Walau bagaimanapun cubaan itu dapat dikesan beberapa jam sebelum dia melaksanakan operasinya.

Menguasai Beberapa Bahagian Dari Al-Aqsa – Israel memaksa penguasaannya ke atas beberapa bahagian dari Masjid Al-Aqsa antaranya Kubah Al-Janbalatiyah di perkarangan Kubah Al-Sakhrah telah ditukar sebagai Balai Polis Israel dalam Masjid Al-Aqsa.  Begitu juga pintu barat yang dirampas kuncinya dari orang Islam  pada tahun 1967 dan digunakan bagi polis dan juga pelampau-pelampau Yahudi merempuh masuk ke Masjid Al-Aqsa.

Galian Di bawah Al-Aqsa – Israel telah melakukan sebilangan besar galian di bawah Masjid Al-Aqsa bagi tujuan arkeologi dan juga pembinaan terowong.  Bilangan galian  di sekeliling Masjid Al-Aqsa dan di bawahnya sehingga tahun 2016 telah mencecah 63 galian.

Mereka mendakwa tujuan galian arkeologi itu adalah bagi mencari kesan Haikal Sulaiman yang mereka dakwa kewujudannya.  Galian ini telah menjejaskan tiang-tiang Masjid Al-Aqsa dan mengakibatkan juga keretakan pada dinding-dindingnya, selain meruntuhkan binaan-binaan sekelilingnya.  Galian ini juga telah melupuskan tingkat-tingkat sejarah yang ditinggalkan oleh Islam yang menjadi saksi kepada sejarah Masjid Al-Aqsa dan juga Al-Quds itu sendiri.

Galian ini bercanggah dengan ajaran Taurat apatah lagi etika keilmuan  bagi membuktikan ia ialah bandar Yahudi.  Sebahagian sejarawan Yahudi menolak  galian ini kerana menghormati etika keilmuan walaupun selama mana mereka menggali mereka tidak akan menjumpai kesan sejarah Yahudi di Al-Aqsa atau di bawahnya.  Mereka hanya akan menjumpai kesan dan kewujudan Islam yang awal ataupun Byzantium dan tidak ada kaitan dengan kewujudan Yahudi.

Larangan Pembaikan dan Pemulihan Di dalam Al-Aqsa – Larangan melakukan pembaikan dan pemulihan di dalam Masjid Al-Aqsa namun kerana kesucian Masjid ini adalah menjadi satu kewajipan bagi memelihara dan memmperbaiki bangunan, lapangan serta perhiasannya.  Mereka yang bermukim di Masjid Al-Aqsa mencuba secara sembunyi melakukan beberapa pembaikan yang sederhana tetapi mereka diancam dengan tangkapan dan dakwaan oleh Israel.  Menurut laporan rasmi bahawa bilangan projek-projek pemulihan yang tergendala oleh penjajah sehingga akhir 2016 mencecah 40 projek.

Pencerobohan Demi Pencerobohan – Pencerobohan ini berlaku secara berterusan oleh kumpulan-kumpulan pelampau Yahudi dan pelancong-pelancong asing terhadap Masjid Al-Aqsa di bawah pengawasan tentera penjajah.  Kumpulan pelampau ini merayakan upacara Talmud  di sana.  Beberapa tahun kebelakangan ini, pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa telah bertambah bilangannya dan bentuknya yang mana turut disertai orang kerajaan dan ahli Parlimen Zionis.  Percerobohan ini bertujuan membuktikan kewujudan Yahudi di masjid Al-Aqsa adalah benar dan juga Masjid Al-Aqsa adalah benar dan juga Masjid Al-Aqsa bukan lagi sebagai tempat sejarah yang di lawati bersama  antara orang-orang Yahudi dan orang Islam.

Pengepungan Al-Aqsa – Pembinaan Kuil-kuil Yahudi di sekeliling pagarnya seperti Kuil yang dibina di atas ‘Sekolah Al-Tankiziah’ yang bersambung dengan Masjid al-Aqsa atau pun yang lebih rendah darinya Kuil Wilson Bridge.  Pertubuhan Yahudi menggalakkan Yahudi dari seluruh dunia melawat Kuil-kuil ini bagi mengikat mereka dengan Al-Quds.  Selain itu rejim Israel mendirikan taman-taman Taurat sekitar Al-Aqsa menggantikan kesan sejarah Islam.

Bilangan Kuil yahudi yang mengelilingi Al-Aqsa dan di dalam Bandar Lama yang keluasannya tidak sampai 1 kilometer persegi adalah sebanyak 102 buah Kuil.  Pertubuhan Yahudi dan kerajaan Israel berlumba-lumba dalam merancang untuk meruntuhkan Masjid Al-Aqsa sebagai langkah mula membina Haikal Yahudi di atasnya.  Beberapa replika Haikal yang bakal dibina di atas tapak Masjid Al-Aqsa telah disiapkan oleh mereka.

Memerangi Kewujudan Orang Islam Di Al-Aqsa –Akhir 2015 Menteri Pertahanan Israel mengeluarkan kenyataan berkenaan Murabitin di Masjid Al-Aqsa  sebagai organisasi pengganas bagi mengelak mereka-mereka ini mendirikan solat di dalam Masjid Al-Aqsa.  Murabitin adalah terdiri dari lelaki dan wanita yang bernazar untuk berada dalam Masjid Al-Aqsa  untuk mempelajari Al-Quran dan menyekat Yahudi dari menceroboh dan mencemari Masjid. Mereka berada di sana pada setiap masa agar mereka dapat secara aman menghalang Al-Aqsa daripada pembahagian berdasarkan waktu dan ruang.  Di antara matlamat mereka  juga adalah untuk menghalang penjajah radikal daripada merampas Masjid tersebut.  Kerap kali mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan, gangguan malahan  hukuman daripada pihak berkuasa Israel yang ingin menghalang mereka daripada berada di Al-Aqsa.

 Ini menjadikan Israel campur tangan secara langsung bagi kepentingan kumpulan pelampau Yahudi yang mencemari Masjid Al-Aqsa dan menyeru kepada perobohannya untuk membina Haikal Yahudi di tempatnya.

Pada akhir 2015 Israel telah melancarkan perang yang terancang ke atas konvoi Syaddu Al-Rihal dengan menghentikan dan merampasnya agar tidak sampai ke Masjid Al-Aqsa.  Syaddu Al-Rihal ialah bas-bas yang membawa orang yang mahu mendirikan solat dari Palestin ke Masjid Al-Aqsa.
Melarang Orang Islam Solat di Al-Aqsa – Selain meletakkan orang yang solat dan guru-guru Al-Quran dalam senarai orang yang tidak dibenarkan memasuki Masjid Al-Aqsa dan memerangi Murabitin dari memulihara Masjid, polis Israel juga menangkap lelaki dan wanita dalam Masjid Al-Aqsa kerana melaungkan takbir ke arah kumpulan zionis yang menceroboh Masjid Al-Aqsa Al-Mubarak.

Mereka juga mengenakan had umur bagi golongan yang dibenarkan masuk ke Masjid Al-Aqsa untuk mendirikan solat di dalamnya.  Kebanyakan kampung tidak dibenarkan ke atas penduduk di bawah umur 50 tahun dari memasuki Masjid Al-Aqsa. Ini membuatkan ribuan mereka mendirikan solat di luar kawasan Masjid iaitu di atas jalan tar kerana ada sekatan yang dibuat di sekeliling Masjid Al-Aqsa.

Di samping mengeluarkan larangan pergi ke Masjid Al-Aqsa bagi semua rakyat Palestinyang menetap di Gaza, Tebing barat dan beberapa tempat lain kecuali beberapa puluh orang tua.

Pembahagian Masa dan Tempat Ke atas Al-Aqsa – Ini adalah polisi paling bahaya yang menjurus ke arah Yahudinisasi Masjid Al-Aqsa iaitu dengan menetapkan masa-masa tertentu bagi menghalang orang Islam berada di dalam Masjid Al-Aqsa iaitu dari jam 7.30 hingga 11.30 pagi dan jam 1.30 hingga 2.30 petang kerana waktu ini dikhususkan kepada orang Yahudi membaca Talmud di Masjid Al-Aqsa.

Ini adalah permulaan kepada pembahagian tempat yang mana dikhususkan beberapa tempat untuk Yahudi mendirikan ritual mereka  di dalam Masjid Al-Aqsa serta menghalang orang Islam berada di tempat tersebut manakala dikhususkan tempat tertentu untuk orang Islam mendirikan solat dalam Masjid mereka.  Ini adalah pelanggaran hak umat Islam yang terkepung dalam Masjid Al-Aqsa dan ke atas kebebasan beribadah yang berlaku terang-terangan.

Pengharaman Azan di Al-Aqsa Dan Masjid Al-Quds

Pengharaman melaungkan azan di Al-Aqsa telah diusulkan oleh pihak rejim Zionis  untuk menghalang umat Islam dari melaungkan azan pada waktu malam di Masjid dalam perkarangan Al-Aqsa dan bandar-bandar Palestin yang terletak di kawasan Garisan Hijau iaitu sempadan yang memisahkan negara haram Israel dengan negara-negara jiran. 

Pembentangan usul kali pertama ini telah diluluskan di parlimen Israel pada Mac 2017.  Usul ini dibentangkan di parlimen berikutan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan tersebut merasa terganggu oleh azan yang dilaungkan oleh masyarakat Palestin.  Usul tersebut mendapat sokongan penuh oleh kerajaan Israel dan telah mengharamkan laungan azan menggunakan pembesar suara sekitar jam 11.00 malam hingga 7.00 pagi.  Denda akan dikenakan sekitar USD13000 hingga USD2600 bagi sesiapa yang mengingkari undang-undang baharu ini.  Jelas bahawa undang-undang ini bertujuan menghapuskan identiti Islam di Al-Aqsa dan di Al-Quds kerana azan pertama dilaungkan oleh Bilal bin Rabah( r.a) yakni muazzin Nabi Muhammad (s.a.w ) di Al-Quds selepas tentera Islam berjaya menawan Al-Aqsa 1300 tahun sebelum Zionis menakluknya kembali.

Penutup

Apa yang disebut di sini hanyalah beberapa ringkasan dari kesukaran dan polisi jahat dalam usaha mengyahudinisasikan Al-Quds, Masjid Al-Aqsa, penduduk setempat, kebudayaan Islam dan jalan-jalannya.  Adapun apa yang berlaku adalah jauh lebih perit dan sukar serta sangat meruncing keadaannya.
Apa yang lebih penting dan wajib difahami dalam senario ini ialah keperihatinan masyarakat dunia luar dari kelumpok masyarakat Palestin bahawa orang Islam di dalam Al-Quds telah berkorban tenaga, harta serta nyawa dan menyumbang usaha yang sangat besar bagi menyekat perancangan Yahudinisasi dan mempertahankan Masjid Al-Aqsa dengan berdiri di hadapan serangan ganas, diancam penangkapan, dipukul dan disukarkan dalam pencarian rezki. 
Mereka sangat mendambakan peranan dan pertolongan kaum muslimin seluruh dunia samada dalam bentuk kerajaan, rakyat atau pertubuhan bukan kerajaan sama-sama tampil bagi mempertahan dan  memulihara Masjid Al-Aqsa dan Kota Suci Al-Quds yang suatu hari nanti akan mungkin terjajah dan berpindah tangan kepada Israel.
Dari titik ini Yayasan Al-Quds Malaysia yang mendukung perjuangan Al-Quds untuk bertahan dari penguasaan Yahudi ke atas bumi Palestin secara umumnya menyeru dan berharap kepada semua masyarakat Malaysia untuk sama-sama merasai keperitan yang ditanggung oleh saudara seislam di sana dan ikut sama berjuang cara yang termampu di lakukan.
Seperti mana maksud dari firman Allah Taala dalam Surah At-taubah Ayat 41: Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang dijalan Allah) samada dengan keadaan ringan ataupun dengan keadaan berat (disebab pelbagai tanggungjawab).

Memetik sebahagian dari amanat Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardawi Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia menegaskan: Barangsiapa yang mampu menghadapi Israel dengan dirinya maka lakukanlah, barangsiapa yang mampu membantu para pejuang dengan hartanya maka lakukanlah dan barangsiapa yang tidak mampu maka ikhlaskanlah doa untuk mereka.  Sesungguhnya mempertahankan Al-Aqsa merupakan satu kefardhuan.

Ini jelas menunjukkan bahawa setiap muslim dituntut supaya membantu sama-sama menangani kesusahan yang ditanggung oleh saudara seislam yang lain semampu yang mungkin.  Justeru marilah sama-sama kita membantu pihak Al-Quds Foundation Malaysia dan juga MAPIM dalam usaha mereka melaksanakan Projek Wakaf Dan Infaq Aqsa yang mana dana yang diperolehi akan digunakan untuk tujuan berikut:

1.       Pemulihan dan Pemuliharaan- Projek untuk memulihara, membina semula dan memperbaiki pelbagai sudut binaan Masjid Al-Aqsa yang mana binaannya telah banyak dirosakkan oleh tentera Israel.  Sementara itu pencerobohan penduduk Yahudi untuk mengambilalih rumah-rumah warisan Palestin perlu dihalang dengan memastikan rumah-rumah di sekeliling Masjid Al-Aqsa tidak dirampas oleh Yahudi.

2.       Penyelenggaraan Dan Pengurusan – Aktiviti menyelenggara dan mengurus Masjid Al-Aqsa termasuk keperluan dana untuk membiayai petugas dan kerja-kerja pembersihan Masjid, pembiayaan elaun lima orang Imam sepenuh masa , kos elektrik serta bekalan.  Oleh itu dana yang terkumpul akan dijana lagi bagi mendapatkan pusingan dana yang cukup agar boleh membiayaai pengurusan dan penyelenggaraan Masjid Al-Aqsa.

3.       Pendidikan – Semua projek yang berkait dengan pendidikan yang dibangun dan diurus dalam kawasan Masjid Al-Aqsa untuk mempelajari dan mengajar ilmu Islam, Halaqah Al-Quran dan Hadis , Madrasah Tahfiz belia, kelas wanita dan kanak-kanak, tarbiyyah dan pelatihan generasi muda Islam.
4.       Perkhidmatan Awam- Semua aktiviti berkaitan dengan khidmat awam di dalam kawasan Masjid Al-Aqsa termasuk khidmat kesihatan, khidmat untuk warga emas dan OKU , khidmat untuk kanak-kanak dan wanita, penyelenggaraan dan penceriaan serta pengurusan landskap Masjid Al-Aqsa.

5.       Pembinaan Institusi – Aktiviti untuk membangunkan institusi untuk mengukuhkan Masjid Al-Aqsa yang dilengkapi perpustakaan, pusat penyelidikan, galeri, pusat wakaf, markas untuk belia dan wanita serta pusat penerbitan.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi pihak MAPIM di talian/fax : +604 421 6510/ Hotline: 011-1064 3309/ Website:www.wakafaqsa.com /Facebook:wakafaqsa.
Bagi yang ingin menderma boleh melalui CIMBBANK 8602715930 (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia). 

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini