About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, October 6, 2016

Jenazah Kpl Mohd Faizol di temui

Jenazah Koperal Mohd Faizol Rosli, 29, telah ditemui pada jam 1045H oleh tim penyelam PASKAL TLDM 30 meter dari Pulau Perak  selepas empat hari hilang akibat terjatuh ke laut di Pulau Perak, dekat perairan Langkawi. Jenazah tiba di Pangkalan Udara Butterworth pada jam 1330H sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya Butterworth untuk bedah siasat.

Dalam kejadian jam 4.40 petang Isnin lalu, Koperal Johbartlee Kanil, 32, dari Sabah dan Koperal Mohd Faizol Rosli, 29, dari Kampung Sungai Limau di Pulai, Baling, dekat sini, dilaporkan hilang di Pulau Perak selepas terjatuh ke laut ketika mengambil air. Kedua-dua anggota itu dari Tim Nusa Batalion ke-4 Rejimen Renjer Diraja (RRD) berpangkalan di Oran, Perlis dan masing-masing ditugaskan di Pulau Perak yang terletak kira-kira 66 batu nautika dari barat daya Langkawi, sejak sebulan lalu.

Gambar Ihsan Markas TD.

Saturday, October 1, 2016

EVOLUSI PAKAIAN SERAGAM TLDM

Oleh Paklang Hamzah
Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah Perajurit edisi Oktober 2016


Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terkenal dengan sistem pemakaian yang agak  kompleks kerana pada awal penubuhannya banyak dipengaruhi oleh tradisi Tentera Laut British malah Tentera Laut negara-negara bekas jajahan British (Komanwel) juga turut dipengaruhi tradisi yang sama dalam konteks pakaian seragam, lambang-lambang serta eksesori pada baju serta budaya tentera laut.


Namun begitu TLDM tidak mengambil masa begitu lama untuk berdikari keluar sedikit demi sedikit meninggalkan budaya pemakaian yang tidak menepati syariat di samping membuat penyesuaian dari bahasa Inggeris kepada bahasa kebangsaan seperti pada tanda pangkat, kepakaran yang terdapat pada pakaian dan dokumentasi.


Warga TLDM  dibekalkan dengan variasi pakaian seragam yang mana pemakaiannya mengikut kesesuaian masa dan tugas.  Pakaian-pakaian yang dimaksudkan dibahagikan kepada tugas-tugas operasi, istiadat, kerja harian, pakaian malam, teknikal dan tugas-tugas khas.


Sejak penubuhan, TLDM sentiasa mengkaji keperluan untuk penambahbaikan terhadap pakaian seragam serta aksesori bagi memastikan pemakaian pakaian seragam warganya sentiasa kemaskini dan mengikut peredaran zaman serta memenuhi keperluan-keperluan semasa. 


Tranformasi pakaian juga mungkin dipengaruhi oleh faktor keselamatan, kesesuaian, ekonomi dan sebagainya.  Lazimnya juga perubahan atau penambahbaikan pakaian seragam ini berlaku apabila sesuatu pertukaran atau peralihan pucuk pimpinan sesebuah pasukan berlaku .


Pakaian Celoreng Baharu TLDM

Pakaian celoreng bagi sesebuah pasukan keselamatan terutamanya bagi angkatan tentera adalah mempunyai kaitan rapat dengan suasana warna persekitaran.  Warna yang berasaskan campuran hijau kelabu menjadi pilihan tentera negara-negara yang beroperasi dalam suasana hutan terutamanya di hutan-hutan tebal tropika yang memberi kelebihan kuasa perlindungan bagi mengelirukan penglihatan musuh. 


Bagi tentera negara-negara yang bersuasana padang pasir, celoreng campuran warna kelabu cerah menjadi pilihan utama. 
Fabrik celoreng juga mengalami tranformasi yang mana pada era milenium ini celoreng digital mula diperkenalkan kerana evolusi peperangan sudah mula transisi kepada suasana dalam kawasan terbina yang memerlukan elemen warna pengeliruan yang sesuai dengan persekitaran.

Pemakaian seragam celoreng ini biasanya dikhususkan kepada pasukan khas dan infantri tentera namun begitu sudah menjadi trend muthakhir, semua pasukan-pasukan beruniform samada yang berasaskan keselamatan dalam negeri mau pun sukarelawan mempunyai celoreng yang berorientasikan pakaian seragam mereka sebagai warna asas seperti Bomba, Imigresen dan lain-lain.
Fenomena ini berlaku adalah mungkin telah dipengaruhi oleh penilaian terhadap keseragaman, kekemasan serta ketrampilan individu dan pasukan  kelihatan  lebih terserlah dengan memakai celoreng di samping kelasakan paten dan fabrik yang dikhususkan untuk tugas-tugas penguatkuasaan dan pemantauan.

Ironinya, pakaian seragam bukan sahaja untuk kelihatan cantik malah  ianya juga dapat mencerminkan identiti serta kemasyhuran sesebuah angkatan. Pakaian seragam yang digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan elemen penting bagi menentukan pegawai dan anggota kelihatan segak dan selesa dalam melaksanakan tugas operasi, latihan dan juga eksesais.


Namun, ciri-ciri keselamatan, keselesaan serta kos merupakan aspek terpenting dalam ATM selain keseragaman bagi sesuatu pakaian yang digunakan.
Terbaharu, dalam usaha memastikan transformasi pakaian  memenuhi keperluan, satu kajian holistik telah dilakukan oleh TLDM dan maklumbalas kajian telah menunjuk dan mengesahkan wujudnya keperluan untuk penggantian pakaian operasi yang sedia ada.


Kajian mendapati reka bentuk pakaian operasi ini menitikberatkan keselesaan, penampilan, tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan dan sesuai untuk apa jua operasi maritim pada masa kini.
Pada masa ini, pegawai dan anggota TLDM dibekalkan dengan  3 jenis baju operasi iaitu baju biru lengan panjang, baju biru lengan pendek dan  Action Working Dress (AWD) bagi mereka yang bertugas di kapal dan pakaian Celoreng Woodland Camouflage bagi anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL).


Justeru, pada 26 Ogos 2016, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman bin Hj Ahmad Badaruddin telah melancarkan Pakaian Operasi baharu TLDM yang bercorak Celoreng Digital yang bakal dikuatkuasakan pemakaian sepenuhnya kepada warga TLDM pada Januari 2017. Penggunaan Pakaian Operasi TLDM ini bakal menggantikan ketiga-tiga jenis pakaian tersebut.


Penggantian ini wajar dilaksanakan terutamanya kepada warga TLDM yang bertugas di kapal dan pakaian ini juga sesuai digunakan di pangkalan sebagai pakaian harian terutamanya bagi unit-unit operasi. Kewujudan pakaian ini memperlihatkan warga TLDM lebih bersedia dalam menghadapi apa jua operasi serta dapat bertindak dengan lebih efektif di samping keselesaan diutamakan.


Pakaian Operasi TLDM juga dilihat mampu meningkatkan imej TLDM setanding dengan Tentera Laut negara-negara maju.  Corak digital diadaptasikan dari persekitaran semula jadi supaya lebih efektif dalam penyamaran selain mempunyai ciri tahan lasak ketika digunakan sewaktu latihan dan dalam melaksanakan operasi.


Fabrik yang dipilih juga mampu mengurangkan risiko kecederaan dan tidak membataskan pergerakan anggota semasa beroperasi selain mempunyai strip pembalik cahaya di bahagian lengan baju agar memberi pantulan cahaya pada waktu malam.
Transformasi pakaian operasi 3 -to-1 ini bukan sahaja menyumbang kepada kesiapsiagaan TLDM khususnya malah sekali gus turut menyumbang kepada langkah penjimatan wang negara.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini