Aksi gabungan partisipasi yang memukau
Istilah keganasan telah
berkembang dengan ketara pada era 1970an hingga 1980an yang mana dunia
dikejutkan oleh gerakan puak Tentera Merah Rakyat Jepun dan The Baader Meinhof yakni kumpulan militan Jerman Barat. Kemudian berakhirnya era perang dingin
menyaksikan kemunculan ancaman asimetrik atau perang non militer yang cirinya
lebih lembut dan lebih murah dari segi kerugian dan kemusnahan berbanding
perang konvensional.
Namun begitu perang asimetrik
juga menyaksikan perubahan mendadak dan tindak tanduk kemasyarakatan telah mencetus peningkatan suasana ancaman
global yang tidak dapat dijangka.
Keadaan ancaman-ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional
telah berkembang dengan pesat sehinggakan mengatasi keupayaan sesebuah negara
dalam mencari jalan yang sesuai bagi mengatasinya.
Sesetengah penganalisis
berpendapat punca merebaknya aktiviti-aktiviti keganasan ini adalah berpunca
dari ketidakpuasan hati sesetengah golongan di negara-negara tertentu terhadap
campurtangan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya dengan mencabuli hak asasi
manusia dan menghalalkan peperangan atas
dasar kononnya untuk memerangi keganasan dalam sesebuah negara.
Ancaman terbesar dalam sesebuah
negara hari ini ialah ancaman dari rangkaian entiti antarabangsa yang datang
dalam pelbagai bentuk dari ektremis agama hingalah kepada keganasan siber. Untuk menanganinya semestinya memerlukan
pengetahuan, informasi dan kualiti berita yang berbeza-beza dari pelbagai
medium menjadi sebahagian komponen yang sangat penting dalam membentuk politikal,
ekonomi, budaya dan keselamatan. Penyebaran maklumat yang begitu pantas boleh
menghubungkan dunia dan sampai dengan begitu cepat dan mudah daripada kaedah
sebelumnya.
Lebih dinamik lagi bila mana ancaman
dunia hari ini datang dari pelaku yang tidak mempunyai negara sendiri seperti
IS yang diasas di Iraq atau kelumpok kaum dari sesebuah negara seperti puak
Kiram dari selatan Filipina yang datang membuat onar secara tidak langsung telah
memberi cabaran yang serius bagi sesebuah negara yang berdaulat mempertahankan
kedaulatan mereka. Sebaran maklumat melalui komunikasi media sosial menjadi
pelantar yang lengkap dan dinamik dalam menyalurkan propaganda bagi
mempengaruhi dan merekrut anggota-anggota baharu dengan format jihad dan
sebagainya.
Justeru lanskap pertahanan
masakini memerlukan tentera dan lain-lain agensi keselamatan bergabung tenaga
bagi menangani isu dan cabaran. Tambah
merumitkan lagi keadaan bila mana kumpulan ini sudah mempunyai talibarut yang
sudah bertapak dalam negara yang menjadi mata telinga penceroboh yang mampu mencetus
pengaplikasian taktikal yang berkesan oleh pihak musuh.
Ini adalah kerana ancaman
keganasan hari ini telah dikuatkan oleh rangkaian antarabangsa yang mana
sesuatu kejadian di salah satu penjuru dunia boleh merebak secara pantas dan mendapat reaksi ribuan batu
dari tempat kejadian. Kecanggihan
teknologi masakini membenarkan seorang pengganas melancarkan serangan hanya
melalui talian tanpa meninggalkan keselesaan bersama keluarga di rumah sendiri.
Pendekatan Melawan Keganasan
Kempen gerakan anti keganasan
mula diberi perhatian oleh Amerika Syarikat setelah berlakunya serangan 11
September 2001 yang telah meranapkan bangunan Menara Berkembar World Trade Centre yang kononnya
didalangi oleh Al-Qaeda iaitu sebuah
pertubuhan fundalmental Islam Sunni yang diasaskan oleh Osama Bin Laden.
Dalam kempen ini perang anti
keganasan telah di benarkan oleh Kongres
Amerika Syarikat dengan tindakan ketenteraan, politik, undang-undang
malah juga keagamaan. Kempen yang mula diketengahkan oleh Presiden A.S. George
W. Bush menjadi titik mula kepada tindak balas daripada pertubuhan-pertubuhan
yang tidak sehaluan dengan dengan menjadikan sekutu-sekutu Amerika sebagai
sasaran.
Di Malaysia, Rang Undang-undang
Pencegahan Keganasan 2015 (POTA 2015) baharu sahaja diluluskan tanpa sebarang
pindaan di Dewan Rakyat pada 7 April 2015 yang lalu dalam usaha mengekang
aktiviti-aktiviti militan yang kian menular mengancam keselamatan rakyat dan
negara. Mengikut undang-undang
berkenaan, pihak kerajaan boleh menahan selama tidak lebih dari dua tahun
sebelum melanjutkan tempoh tahanan jika perlu ke atas mereka yang disyaki
terbabit dalam kegiatan keganasan sebagai pencegahan.
Dari masa ke semasa keadaan ini
semakin jelas bahawa tiada negara mampu bersendirian menghadapi pencerobohan
seperti ini. Walau bagaimanapun pada
tahun 2006 komuniti antarabangsa mula bersatu untuk menghadapi ancaman yang
sama dan bersetuju dengan strategi melawan keganasan bernaung di bawah
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Oleh itu pembentukan strategi ini menjadi
mercu tanda kepada dasar organisasi serantau
melalui Asean Convention on Counter Terrorism of 2007.
Perjuangan menentang keganasan
tidak hanya sekadar peneutralan ancaman yang melanda tetapi ianya mendambakan
pendekatan keseluruhan kerajaan yang mana tidak terhad kepada sesuatu agensi
tetapi penyertaan pelbagai hala serta penglibatan banyak negara untuk menghapus
atau mengurangkan kemungkinan organisasi pengganas bertapak di sempadan.
Multinational Counter
Terrorism Exercise 2015 (MNCTX 2015)
Atas kesedaran ini Eks-MNCTX 2015
adalah sangat penting ke arah pengistiharan dan berkongsi kesedaran dalam
menjalankan operasi bersama bukan sahaja dalam kalangan organisasi melawan keganasan
tetapi meliputi lain-lain agensi yang wujud dalam atmosfera melawan keganasan.
Julung kalinya Eks-MNCTX
dianjurkan oleh Markas Angkatan Bersama Angkatan Tentera Malaysia (MAB-ATM) bersama Pasukan Gerakan Khas (PGK) PDRM
dengan kolaborasi anggota Anti Keganasan Pasukan Khusus ATM dan PDRM melalui
Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
Eks ini menjadi sangat signifikan
dan memenuhi kehendak semasa keselamatan serantau dengan penyertaan 173 orang anggota Anti Keganasan
pelbagai negara seperti Brunei
Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Philipina, Singapura, Thailand,
Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu.
Sempena Pameran Udara dan Maritim
Langkawi 2015 (LIMA’15), unit-unit ini berkumpul di Lapang Sasar Antarabangsa
Langkawi Malaysia (LISRAM). Bermula dari 13 Mac dan berakhir 19 Mac 2015, para
peserta menjalani proses Table Top, Ceramah Melawan Keganasan dan
Latihan Medan bagi meningkatkan kebolehan, bertukar-tukar pandangan dan
pengalaman serta menguatkan keyakinan diri mereka di dalam perjuangan menentang
keganasan global.
MNCTX bukan sahaja sebagai
platform bagi membina kekuatan untuk bertindak balas kepada ancaman tetapi
ianya juga mempamerkan keupayaan pasukan ini membenteras keganasan hingga ke
akar umbi bagi melindungi keselamatan manusia.
Pencapaian MNCTX 2015 tidak boleh
disangsikan lagi kejayaannya dan telah memberi petanda untuk meneruskan
penganjuran eksesais dengan menggalakkan penglibatan lebih banyak negara dan agensi
di masa-masa akan datang serta mempertingkatkan keyakinan dan daya usaha untuk
mengatasi ancaman terbesar kepada keselamatan global dan kemakmuran manusia di abad ke 21 ini.
Di hari kemuncak eksesais,
penonton dari kalangan Belia-belia Asean dan Media dipertontonkan dengan
aksi-aksi medan dari Pasukan Khusus ATM
dan PDRM yang mempamerkan kehebatan, kecekapan dan keyakinan yang sangat tinggi
dalam pengendalian senjata kecil dan senjata kegunaan am.
Di antara aksi-aksi yang dipertontonkan ialah Basic Shooting,
Rapid Shooting, Confidence Shooting, Face to Face Shooting, Shoot on Wheels. Seterusnya demonstrasi oleh anggota sniper
mempamerkan kebolehan individu, kebolehan tembakan spontan, Barret Calibre
12.7mm dan Anti material Rifle 20mm.
Demonstrasi kemuncak ialah
latihan ketangkasan dalam senario menyelamat tebusan oleh gabungan Pasukan
Khusus PDRM dan ATM di mana pasukan ini telah membuat operasi serangan taktikal
terhadap sekumpulan pengganas bersenjata dan membawa bahan letupan yang telah
menawan sebuah bas bersama penumpang yang dijadikan tebusan.
Tim Alpha yang mengandungi
kumpulan serangan, kumpulan keselamatan, dan kumpulan sokongan termasuk Unit
K9. Mine Resistant Ambush Protected
(MRAP) TYPHOON digunakan sebagai kenderaan penghalang, dua buah VAMTAC,
tiga buah Rapid Intervention Vehicle digunakan oleh kumpulan serangan
dan kumpulan sokongan. Sebagai tambahan
sebuah Van yang diiringai oleh PDRM dan VAMTAC untuk membawa tebusan ke tempat
selamat. Operasi ini juga turut dibantu oleh dua buah helikopter Agusta LOH
A109 dari Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).
Aksi kedua yang dipersembahkan
ialah aksi menyelamat tebusan di dalam bangunan di mana Tim Alpha dan Tim Bravo
telah ditugaskan untuk melaksanakan operasi menyelamat tebusan yang sedang
ditawan di sebuah resort oleh penjenayah bersenjata. Tim Alpha menyerang di tingkat bawah dan Tim Bravo
telah menyerang di tingkat atas resort.
Aset-aset yang terlibat dalam aksi ini ialah dua buah Condo APC, dua
buah VAMTAC, empat buah Rapid Intervention Vehicle, MRAP TYPHOON, dua
buah pesawat helikopter Agusta LOH A109 dan pesawat EC725 TUDM.
Fasa pertama serangan adalah fasa
persediaan diri dan peralatan kedua-dua tim.
Fasa kedua mereka meletupkan lokasi sasaran dengan aksi pantas kedua-dua
tim. Helikopter EC725 memulakan membuat penerbangan
lintas lalu bagi mengalih perhatian pihak musuh kemudian diikuti oleh Agusta
LOH A109 membantu kawasan operasi dengan penembak tepat dari udara. Kemudian Agusta LOH A109 kedua membuat
pergerakan bagi menurunkan ahli anggota penyerang tambahan dengan kaedah fast
roping. Kemudian helikopter EC725 kembali sekali lagi melaksanakan teknik
spie rig bagi membawa keluar tebusan sebelum keseluruhan bangunan resort
diletupkan sepenuhnya.
Natijah
Bila menyebut memerangi, maka
semua akan faham sesebuah organisasi atau negara akan berhadapan dengan keperluan, kelengkapan
dan sumber manusia. Semakin besar ancaman yang datang maka semakin banyak lah
keperluan, kelengkapan dan sumber manusia yang diperlukan. Kelengkapan yang sesuai samada untuk
kesiagaan di darat maupun di laut serta angkatan dari pasukan khusus ATM dan PDRM yang terlatih untuk tujuan
tersebut.
Dalam konteks Malaysia, ancaman
keganasan masih lagi kelihatan seperti sesuatu yang terpencil tetapi persiapan
untuk berhadapan dengan puak pengganas telah melibatkan penglibatan modal insan,
aset laut dan darat dari Pasukan Keselamatan yang berlipat kali ganda banyaknya. Bukan kerana kekuatan pengganas itu besar
tetapi kita tidak tahu dari sudut mana dan bila pengganas itu akan muncul yang
mengakibatkan persediaan negara untuk kesiapsiagaan hampir meliputi sepanjang
pantai negeri Sabah selama 24 jam berterusan sehingga disahkan tiada ancaman
dilapurkan.
Jika persempadanan laut
semenanjong turut terancam dengan ancaman keganasan seumpama Sabah maka
persiapan sedemikian juga harus dipersiapkan di sepanjang Selat Melaka sebagaimana
yang dilakukan di Sabah yang tentunya memerlukan penambahan segala bentuk
keperluan keselamatan dan pertahanan.
Persediaan ini tentunya
memerlukan gabungan aset negara dari Tentera Laut, Maritim Malaysia dan Polis
marin yang dikehendaki berkawal dari pesisir laut serta gabungan dari Tentera
Darat dan PDRM yang berkawal di bahagian daratan serta Tentera Udara yang membuat pemantauan
udara.
Maka di sini timbullah
cakap-cakap tentang aset-aset dalam negara yang serba kekurangan baik dari
pihak ATM dan juga PDRM. Dalam konteks Malaysia, ketaatan dan kecekapan Pasukan
Khusus tidak boleh dinafikan. Mereka
menjunjung segala perintah tanpa ragu dan gentar tetapi adalah sangat tidak
adil jika segala keperluan yang mereka perlukan untuk keselesaan dan yang lebih
penting lagi keperluan yang boleh mengoptimumkan keselamatan, keupayaan,
mobiliti, daya tempur dan daya tahan mereka semasa mereka melaksanakan
tugas-tugas operasi.
Justeru, benarlah
seperti yang digambarkan bahawa Eks MNCT ini sangat relevan untuk diperkasakan
kolaborasi keupayaan Pasukan Khusus pelbagai negara dari masa ke semasa bukan
hanya dalam konteks taktikal modal insan tetapi kerjasama perisikan,
pencegahan, pengawalan persempadanan dan penglibatan aset secara bersama bagi
memenuhi apa jua bentuk kekurangan.
|