About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Sunday, September 1, 2013

POLITIK DAN PERTAHANAN PASCA INSURGENSI

Oleh Hamzah hd. 

Pertahanan dalam konteks  komponen tidak boleh dipisahkan dengan senjata berat atau ringan maupun balistik dan juga mesti dikaitkan dengan kubu atau benteng atau dalam konteks tentera laut ianya berupa ‘chaff’ serta persenjataan berat dan balistik yang mana kesemua komponen itu membawa maksud digunakan untuk mempertahankan diri dan lain-lain pasukan sahabat daripada serangan atau pun ancaman.  Namun pada huraiannya, pertahanan merupakan reaksi dari satu pihak terhadap sesuatu serangan dengan  melakukan segala cara dan langkah-langkah taktikal, melalui identifikasi dan penilaian risiko atau bahaya samada dalam bentuk pertahanan aktif atau pertahanan pasif.

Pertahanan dalam konteks perlaksanaan ialah proses taktikal yang bermula dari persediaan ketahanan fizikal dan mental setiap anggota pasukan keselamatan sehinggalah kepada memberi jaminan perlindungan kepada pasukan itu sendiri dengan daya inisiatif, spesialisasi, kelengkapan dan persenjataan semasa berhadapan dengan musuh bertujuan memberi perlindungan menyeluruh terhadap wilayah-wilayah dan kepentingan-kepentingan strategik serta tanah jajahan negara keseluruhannya.

Pertahanan sesebuah negara akan menjadi lebih ampuh jika kekuatan rakyat terbanyak digembleng bersama antara orang-orang awam dan anggota tentera meskipun kekuatan jitu ialah kekuatan angkatan bersenjata seperti tentera dan polis.  Maka dalam konteks Malaysia, Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) telah diperkenalkan dalam negara yang mana menggalakkan penglibatan orang-orang awam menjadi separa tentera. 

Namun begitu, sebagai dasar timbal balas amalan tentera di waktu aman adalah membantu agensi-agensi lain di dalam sektor penguatkuasaan bersama seperti rondaan bersama PDRM, Jabatan Penjara dan lain-lain. Strategi Lautan Biru yang diperkenalkan ini merupakan penglibatan Tentera dan Jabatan Perkhidmatan Awam digemblengkan dalam konteks kerjasama atau operasi bersama atas dasar semua jabatan boleh disatu bagi mencapai beberapa matlamat jangka pendek dan jangka masa panjang bukan sahaja dapat menampung kekurangan keanggotaan malah dapat menjimatkan kos pengoperasian. 

Salah satu model terbesar telah berjaya dilaksanakan berdasarkan kerjasama erat ATM dan PDRM ialah Operasi Daulat ketika menghadapi kumpulan penceroboh di kampung Tanduo Lahad Datu.

Strategi merupakan aplikasi taktikal dan tipu helah untuk memenangkan sesuatu peperangan namun begitu di era kebelakangan ini  terminologi strategi sudah digunakan secara meluas dalam pelbagai konteks seperti politik, perniagaan, pentadbiran dan sebagainya.  Maka dari segi kaitanya terma strategi masih lagi membawa kepada maksud untuk memenangi sesuatu pertandingan, perebutan dan lain-lain yang mana keberkesanan strategi ini bergantung sejauh mana saiz keberhasilan dan keberuntungan yang bakal diperolehi.

Menilai Pertahanan Dari 2 Tragedi Di Sabah

Kita sering merasakan dan beranggapan bahawa negara kita yang mempunyai jalinan diplomatik yang baik dengan negara-negara serantau tidak akan mengalami konflik yang boleh mencetus kepada suatu pergolakan.  Umum sedia maklum bahawa Malaysia ialah sebuah negara maritim yang masih lagi berada dalam situasi tuntutan bertindih terhadap wilayah-wilayah persempadanan laut terutamanya di Kepulauan Spratly yang kaya dengan hidupan dan sumber asli dan sejarah Sabah itu sendiri mempunyai konotasi yang mencurigakan sebelum menyertai Malaysia suatu ketika dahulu. 

Memencilkan pemikiran terhadap kemungkinan akan berlaku konflik dalam negara adalah sangat bahaya dan memungkinkan terjadinya kealpaan dalam konteks pengawalan keselamatan, perisikan dan juga persediaan kepada pertahanan mapan.

Menilai suasana politik semasa tanahair yang komunitinya berbilang bangsa dan etnik yang semakin goyah silaturrahimnya meskipun sesama kaum dan akan mengundang kepada satu suasana perpecahan dan boleh melarat kepada isu-isu perkauman yang lebih besar jika tidak dikawal atau melakukan pencegahan awal. Keamanan nasional dan internasional saling berhubungan kerana ketidakamanan nasional akan mudah menyebar dan merebak menjadi masalah keamanan internasional.

Operasi Pandanan And Sipadan Island Resort (OPS PASIR), mengambil sempena nama 2 buah buah pulau yang ada kaitan dengan dua insiden penculikan yang membabitkan kumpulan Abu Sayaf pada 23 April dan 10 Sept 2000. Misi utama OPS PASIR ialah bagi mewujudkan satu keadaan yang selamat  di Pantai Timur Sabah dengan melindungi kedaulatan nasional serta mewujudkan satu suasana kondusif untuk aktiviti ekonomi setempat. Operasi bersama melibatkan anggota dan aset-aset ATM ini dikendalikan oleh Markas Angkatan Bersama ATM ditubuhkan bukan sahaja untuk menangani perang tidak simetri dalam pencegahan perlanunan di kawasan Timur Sabah yang meliputi 22 pulau dan 11 kawasan pesisiran pantai sepanjang 1,577 kilometer dari Tawau hingga Kudat malah sebenarnya lebih bersifat dimensi yang mana persiapan juga untuk menghadapi kemungkinan kepada perang sebenar yang dijangkakan meletus di Laut China Selatan ekoran tuntutan bertindih di Kepulauan Spratly berdasarkan tindakan-tindakan agresif negara-negara menuntut.

Pencerobohan berdarah pengganas di Lahad Datu yang bermula sejak 12 Feb 2013 lalu telah membuka mata banyak pihak terutamanya masyarakat terbanyak dalam negara yang sebelum ini tidak ramai yang  tahu tentang kewujudan etnik atau masyarakat Suluk di Sabah yang mana juga lebih dikenali dengan panggilan Tausug di Selatan Filipina.

Masyarakat Suluk sudah lama bertapak di Sabah dan dipercayai sehingga kini sudah beberapa generasi telah menjadikan Sabah sebagai penempatan yang pada awalnya kehadiran mereka untuk berniaga dan berkahwin dengan warga tempatan dan terus menetap sehingga pembentukan Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia sekaligus menjadi warganegara Malaysia secara automatik.

Untuk mendapat angka sebenar pendudukan masyarakat Suluk di sabah adalah sangat sukar kerana ada yang berdaftar dan ada yang tidak berdaftar.  Mengikut statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terdapat lebih daripada 300,000 etnik Suluk yang berdaftar sebagai warganegara manakala sebahagian lagi yang masuk dengan menggunakan paspot, sebagai pelarian dan tak kurang juga sebagai Pendatang Tanpa Izin(PTI) ke negeri Sabah.  Justeru masyarakat Suluk di Sabah dianggarkan ketiga terbesar selepas etnik Kadazan dan Cina malah majoriti umat Islam di Sabah adalah berasal dari selatan Filipina yakni kaum Suluk.

Keadaan geografi yang memisahkan Selatan Filipina dengan Sabah ialah Laut Sulu yang mana pada suatu ketika dahulu seolah-olah tidak mempunyai sempadan yang khusus yang mana keadaan ini memudahkan penduduk dari selatan Filipina melakukan lintas sempadan maritim ke negeri Sabah.

Sebelum penubuhan negara Malaysia pada 16 sept 1963, Sabah merupakan sebuah wilayah di bawah pemerintahan Kolonial Inggeris dan dikenali sebagai Borneo Utara British.
Sabah merupakan negeri yang sangat strategik dan terdedah kepada kemasukan anasir-anasir luar serta mempunyai etnik yang pelbagai yang mana etnik-etnik itu adalah berakar umbi dari negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Brunei.  Potensi untuk penceroboh mendapat maklumat pertahanan negara melalui sanak- saudara atau sahabat handai mereka yang sudah bermastautin dalam negara adalah sangat tinggi dan mudah berdasarkan iktibar dan pengajaran yang sudah berlaku dalam peristiwa Lahad Datu yang mana penglibatan warganegara yang bersekongkol sebagai tali barut musuh atas dasar kaum dan asal usul.

Bertitik tolak daripada peristiwa ini, kerajaan tentunya sudah sedar apa yang harus di beri perhatian bagi membendung kegiatan ini dari berulang dalam konteks penguatkuasaan keselamatan, imigrasi dan pertahanan dengan memberi tumpuan kepada ketiga-tiga agensi tersebut berbentuk tindakan dan persediaan aset yang berkaitan.

The Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) merupakan salah satu tindakan drastik kerajaan dalam menangani isu ini dan diharap selain daripada Unit ini diberi sentuhan khusus, peningkatan kepada pengawalan dan kebajikan rakyat negeri Sabah melalui aktiviti politik juga harus diberi perhatian khusus supaya sokongan kepada kerajaan serta semangat patriotisme kepada tanah air termeteri di dalam hati sekali gus dapat membendung aktiviti-aktiviti tali barut yang boleh mengancam keselamatan dan pertahanan negara.

ESSCOM yang telah diumumkan penubuhannya oleh Perdana Menteri pada 7 mac 2013 adalah bertujuan bagi memastikan pengawasan berterusan di sepanjang Pantai Timur Sabah iaitu sejauh 1400km merangkumi kawasan Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Kunak dan Tawau. Perlaksanaan ESSCOM telah melibatkan 3 agensi utama iaitu rakyat tempatan yang terdiri daripada Ikatan Relawan Rakyat (RELA), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Jawatankuasa Keselamatan Kampong (JKK),  ATM  dan PDRM telah menempatkan 5 batalion tambahan di lokasi-lokasi strategik di sepanjang kawasan keselamatan dengan pusat kawalan di Lahad Datu.  Semua aset-aset maritim dari APMM, PDRM dan ATM digembleng dalam operasi bersama di samping pembinaan segera Balai-balai Polis baharu di Pulau Bum Bum, Pulau Mabul, Pulau Gaya dan Felda Sahabat serta menaiktaraf Balai polis di Cenderawasih dan Pulau Tambisan.  Membina 2 Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQS) di Kudat dan Lahad Datu serta Pos Kawalan Imigresen Kawalan Bersepadu di Karakit akan dibangunkan supaya memudahkan proses keluar masuk secara sah.

Kuasa Ekonomi Dan Politik

Pertahanan juga telah diterjemahkan melalui kuasa ekonomi yang mana konsep ini mula dikembangkan di Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua melalui kebijaksanaan publik mengimbangi kuasa ekonomi dengan aplikasi militer dan diplomatik samada dalam masa aman atau dalam kancah pergolakan.  Ancaman kepada keamanan tidak hanya berpunca dari musuh tradisional seperti dalam lingkungan negara-negara berkonflik sahaja malah ianya boleh dicetuskan dari orang atau organisasi  di luar sistem diplomatik seperti perusahaan-perusahaan multinasional atau badan-badan korperat swasta yang bukan dari kalangan pemerintah. 

Justeru, kuasa ekonomi adalah sangat relevan bagi memaksa sesuatu kerjasama erat dalam membantu pemerintah dalam memperkuatkan sistem pertahanan ketenteraan atau yang bersangkutan dengannya malah menjadi sebaliknya bila sistem ekonomi terkandas dalam keadaan gangguan keselamatan.

Justeru, kita mula sedar bahawa untuk menangani peperangan tidak simetri ini memerlukan ‘sentuhan’ tentera dan kolaborasi MISC dengan TLDM melalui transformasi BM5 dan BM6 merupakan kerjasama menang-menang yang mana sebelum kolaborasi ini dipersetujui, banyak kapal-kapal komersial dunia yang berhubung dengan negara-negara antarabangsa melalui jalan laut sering kita dengar telah diganggu oleh penjenayah yang menjalankan modus operandi mereka dengan melakukan aktiviti-aktiviti menawan dan merompak aset-aset yang dibawa. Situasi ini telah meletakkan syarikat-syarikat perkapalan berada dalam suasana ketakutan kerana mereka sangat terdedah dengan ancaman perlanunan yang sedang berleluasa terutamanya di kawasan Teluk Eden.

Sesuatu yang menjadi perhatian rakyat saban tahun ialah menjelang pembentangan Bajet Negara.  Pemerhati dan pemain pertahanan merasakan pengurusan pertahanan negara jauh lebih rumit berbanding sektor-sektor lain iaitu bagaimana untuk mempertahankan negara serta kedaulatan dari pelbagai ancaman dalam keadaan negara berhadapan dengan keterbatasan sumber pelaburan, infrastruktur, teknologi dalam membantu pengurusan pertahanan secara efisyen dan efektif.  Dalam konteks ini sering ada perdebatan di dalam memberi keutamaan apakah sektor pertahanan perlu diberi anggaran yang lebih tinggi berbanding dengan sektor kesihatan atau pendidikan sebagai contoh. 

Satu lagi isu penting yang sering diperdebatkan atau mencetus persepsi selain jumlah bajet ialah ketelusan, akauntabiliti dan keberkesanan dalam pengelolaan anggaran bajet pertahanan.  Dalam sistem politik demokrasi, ekonomi pertahanan memerlukan reformasi yakni perubahan atau pem­baharuan yang terarah kepada keadaan yang lebih baik di mana entiti ekonomi dan pertahanan mesti diurus secara serentak dengan membenarkan peningkatan perolehan dengan mengambil kira semua perolehan semasa aset dan kelengkapan ketenteraan demi kesejahteraan serta keamanan warga negara untuk jangkamasa panjang.

Kestabilan politik yang mantap dan dinamik akan mewujudkan ketahanan dalam ertikata memelihara kesatuan bangsa, sosio-budaya dan kaum sekali gus memangkin kepada semangat patriotisme anak-anak muda dan mencebur diri dalam bidang keselamatan dan pertahanan.  Urusan militer pada dasarnya tidak berkaitan dengan politik namun urusan pertahanan negara jauh lebih rumit dan dalam konteks Malaysia yang mengamalkan dasar demokrasi berparlimen memerlukan perbincangan dan kelulusan parlimen terlebih dahulu sebelum kerajaan memutuskan apa-apa perolehan yang berskala besar.  Justeru, persefahaman dalam pengelolaan kepentingan sektor pertahanan di antara pemerentah dengan ahli parlimen, ATM, sektor swasta dan masyarakat awam adalah sangat perlu bergerak dalam keadaan harmoni.

Persepsi

Adalah menjadi sangat jengkel bila perolehan untuk memantapkan pertahanan negara sering dipolitikkan dan menjadi polemik yang berpanjangan oleh ahli-ahli politik.  Tambah memburukkan keadaan perolehan yang telah memasuki perkhidmatan pun menjadi bahan cercaan serta memperlekehkan keupayaan dan kesiapsigaan aset.

Ahli-ahli politik dalam negara seolah-olah tiada agenda lain untuk diketengahkan bagi meraih pengaruh bagi meningkatkan saham politik mereka selain memainkan isu-isu kenegaraan.  Sejarah komunisme dalam negara menjadi polemik hangat pada satu ketika bila seorang Ahli Parlimen pembangkang cuba memutarbelitkan fakta sejarah yang kononnya komunis adalah pejuang sebenar dalam konteks penentangan dengan anggota-anggota polis yang terdiri dari anak watan yang bertanggongjawab mempertahankan tanahair mereka sendiri walaupun di bawah pemerintahan sementara penjajah.  Maka berpusu-pusu puak-puak yang cenderung mengiakan kenyataan songsang itu.

Isu Scorpene sejak mula dibangkitkan oleh pihak pembangkang tentang ketidakmusabahan harga perolehan sehingga kini masih menjadi polemik awam terutamanya dalam kalangan  rakyat yang cenderung kepada pembangkang.  Isu ini menjadi isu politik dan turut dikaitkan dengan pembunuhan Altantuya Syaribu warga Monggolia yang mempunyai kaitan dalam perolehan ini.

Tidak cukup dengan isu perolehan, Scorpene yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sebagai aset strategik TLDM turut dilabel dan diperlekeh oleh pembangkang dan penyokong-penyokongnya sebagai sebuah kapal selam yang tidak sopistikated ekoran daripada kebocoran maklumat kesiapsiagaan mengenai status teknikal  KD TAR yang tidak boleh menyelam beberapa waktu.

Isu-isu dan propaganda sebegini terus dimainkan dengan rakus dengan tujuan supaya bila sebilangan rakyat dan pemimpin memperkatakan berterusan, maka persepsi rakyat yang cenderung kepada ideologi mereka dan generasi baharu akan terpengaruh dan membenci apa saja elemen yang bersangkutan dengan kerajaan.

Walaupun pelbagai penerangan telah diperjelaskan oleh pihak ATM  terhadap kerasionalan harga pembelian dan status teknikal terhadap aset-aset ATM  ini namun ianya tidak berbekas.  Tanpa  menyedari alangkah bahayanya jika budaya membocorkan maklumat kesiapsiagaan aset tempur ATM terus mengambil tempat di media-media  tabloid terpilih arus perdana dan media-media baharu akan menghancurkan kestabilan dan keutuhan pertahanan negara mereka sendiri.

Tidak memadai dengan ‘serangan’ terhadap TLDM, TUDM juga dipalit dengan isu-isu perolehan multy role combat aircraft (MRCA) dan helikopter kombat yang direka-reka bagi menggambarkan kepada rakyat bahawa kerajaan yang memerintah sekarang ini adalah kononnya sebuah kerajaan yang tidak kompeten dan korup dengan memperjudikan nasib keselamatan rakyat dengan perolehan-perolehan yang tidak bermutu atau mahal harganya.
Pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu pada Feb lalu telah mencetus persoalan dan pertanyaan rakyat umum tentang tahap keselamatan negara.  Antara lain persoalan yang menjadi polemik ialah tentang kesiapsiagaan ATM dan PDRM membentengi sempadan dari ancaman luar.

Soalan demi soalan berkisar kepada di mana dan apakah yang sedang dilakukan oleh unit-unit perisikan PDRM dan ATM yang tidak ‘menghidu’ langsung kemasukan atau pergerakan dan aktiviti rentas sempadan kumpulan separa tentera dalam skala yang besar merancang untuk menawan Sabah?

Pencerobohan yang berlaku dalam mood PRU’13 telah mengundang banyak spekulasi dan menjadi bahan politik dengan menuduh kejadian ini sebagai satu sandiwara oleh politikus. Sehinggakan ATM menggunakan pengangkutan udara Air Asia pun menjadi bahan ketawa dan ejekan memperlekehkan keupayaan ATM.

Panglima Medan TD Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim menegaskan bahawa penggunaan pesawat komersial untuk mobilisasi anggota dan kelengkapan tentera ke Sabah tempohari tidak membabitkan barisan hadapan.

Langkah ini membuktikan kerjasama antara Air Asia dengan ATM.  Persepsi negatif ini sengaja ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu supaya rakyat diberi gambaran bahawa ATM akan menghadapi masalah besar jika perkhidmatan awam ini lumpuh semasa negara dalam kancah peperangan besar.

Sebenarnya tidak ramai rakyat umum mengetahui bahawa TD khususnya mempunyai kemahiran dan kepakaran meliputi pelbagai bidang lain.
Tegasnya, dalam situasi genting dan terdesak, pemerintah medan TD mampu mengambil alih dan mengendalikan pengangkutan komersial dalam negara seperti feri, keretapi dan sebagainya malah juga keperluan-keperluan asas rakyat seperti loji air, bekalan letrik melalui unit-unit pakar Askar Wataniah yang sememangnya dikhususkan penubuhannya untuk melaksanakan tugas-tugas seumpama.

Sesuatu kebatilan lambat laung terdedah dengan sendirinya bila mana seorang anak muda Tionghua (Shen Yee Aun) yang merupakan angkatan  muda yang mewakili satu parti siasah telah mendedahkan isu politik semasa dan kegiatan Red Bean Army (RBA) sebagai Cyber Trooper.  Adalah tidak mustahil setiap isu yang diangkat akan disusuli dengan penyebaran dan manipulasi secara besar-besaran dan berterusan supaya ianya sampai kepada sasaran pembaca-pembaca laman media baharu maupun laman-laman sosial terutama golongan-golongan muda yang tidak pernah mengenal sejarah tanahair negara sendiri secara jelas.
 
Fenomena ini sangat jelas menggambarkan pertahanan di era teknologi maklumat yang berkembang pesat tanpa kawalan ini sangat mencabar kewibawaan pasukan keselamatan bagi mencegah dan mengawal  persepsi, prejudis, propaganda serta khabar angin yang banyak berlegar di dalam media baharu dan laman sosial di kala pertempuran masih lagi berjalan.

Ada kalanya maklumat yang tersebar berbentuk propaganda dari kalangan pihak musuh atau manipulasi oleh rakyat sendiri cuba menangguk di air keruh dalam usaha menaikkan saham politik kepartian dan ada juga maklumat yang benar tetapi masih bertaraf rahsia turut tersebar ekoran penggunaan gajet-gajet persendirian yang tidak dikawal dalam kalangan anggota-anggota keselamatan itu sendiri.

Dalam usaha menutralisasikan maklumat yang tidak tepat dari mempengaruhi minda masyarakat terutamanya dalam konteks perjuangan warga negara bangsa terhadap pengaruh-pengaruh luar, perlu dibuat kajian semula terhadap kurikulum sejarah di peringkat sekolah malah juga dokumentari secara berterusan dalam media yang mudah diakses oleh kebanyakan golongan masyarakat seperti televisyen dan seumpamanya.

Dokumenkan peristiwa ini dengan sebaik mungkin  supaya 50 tahun lagi sejarah ini tidak diterbalikan dengan menyatakan pahlawan-pahlawan yang mempertahankan bumi Lahad Datu  adalah penceroboh dan Jamalul Kiram itu adalah hero sebenar dalam episod pertumpahan darah dalam peristiwa tersebut.

Dalam konteks ini, penguatkuasaan undang-undang perlu dipertegaskan setegas-tegasnya terhadap warga negara yang dengan sengaja mendedahkan rahsia negara, mempersendakan institusi Raja-raja, memperlekehkan sistem perundangan samada dengan perkataan maupun perbuatan.

Kita boleh lihat dewasa ini pendemo sudah berani mempertikai kedaulatan panji-panji Jalur Gemilang (JG) dan secara terbuka menyatakan JG perlu diganti dengan bendera Sang Saka Malaya (SSM) dengan alasan kononnya JG mempunyai ciri-ciri yang hampir serupa dengan bendera Amerika.  Mereka mendakwa SSM merupakan bendera asal bagi Tanah Melayu yang dikatakan menjadi panji-panji perjuangan Parti kebangsaan Melayu Malaya (PKKM) yang di bawa oleh Abdullah CD dan Burhanudin Helmi semasa menuntut kemerdekaan di India daripada kerajaan British pada 17 Dis 1947.

Persoalannya, sudah banyak kali kedengaran amaran untuk mengambil tindakan kepada mereka-mereka yang terlibat samada yang menggunakan laman sosial atau pendemo jalanan namun tidak begitu terserlah sejauh mana mereka-mereka ini diheret ke muka pengadilan.  Sehingga artikel ini ditulis, di Dewan Rakyat baru sahaja Ahli Parlimen mencadangkan supaya satu akta khusus diwujudkan bagi menangani isu ini.

Memetik keluhan seorang rakan Facebook yang merupakan pemain utama dalam memperjuangkan kedaulatan negara dari ancaman komunis yang menyatakan kekesalan kerana menghapuskan perjuangan komunis di Malaysia. Katanya dengan keamanan yang telah dicapai ini membuatkan rakyat begitu selesa dan seronok untuk mencipta kekacauan baharu seperti berdemo dan menghasut khalayak supaya mencetus kekacauan atas kepentingan diri.  Katanya mungkin jika ancaman komunis masih ada di Malaysia, puak-puak ini tidak ada masa untuk membuat kekacauan.

Kesimpulan

Natijah daripada definisi di atas memberi gambaran kepada umum bahawa pertahanan dan keselamatan mapan sesebuah negara memerlukan komponen-komponen  kelengkapan yang cukup dan bersesuaian serta keperibadian gabungan modal insan, yang komited, berinisiatif, berstrategi, patriotik dan taat dengan sumpah kesastria menyimpan rahsia negara dengan seketat-ketatnya. Apatah lagi bagi sebuah negara seperti Malaysia yang mempunyai komposisi rakyat yang berbilang kaum, etnik dan budaya yang berbeza yang jika tidak diberi ‘sentuhan’ strategik akan mudah mencetuskan perang saudara.

Kita sepatutnya tidak boleh merasa selesa dengan keamanann yang negara kecapi sekarang untuk menafikan kepentingan sesuatu aset dengan alasan negara akan menanggung kos yang terlalu tinggi untuk memperolehinya.  Memang tidak dinafikan faktor keupayaan ekonomi patut juga difikirkan sebelum sesuatu keputusan pembelian dibuat tetapi alasan sebegitu boleh dipertimbangkan jika negara kita sudah memiliki sepenuhnya keperluan strategik pertahanan di dalam ketiga-tiga cabang ATM.

Apalah maknanya negara mempunyai wang yang banyak jika dalam masa yang sama negara digugat dan sukar ditangkis oleh kerana kekurangan aset-aset strategik yang cukup membantu?.  Apakah selamanya pemimpin negara mampu bertahan dan sabar dengan kaedah diplomasi?.  Memang tidak dinafikan, kaedah ini sangat berkesan untuk mengelak negara dari terjebak dengan kancah peperangan, tetapi maukah kita maruah negara diperlekehkan jika satu demi satu kepunyaan negara beralih tangan?. 

Penulis juga cukup yakin bahawa tahap kesabaran seseorang pemimpin negara tidak sama dan selalunya ia berkait rapat dengan ideologi yang dimiliki oleh parti-parti politik yang menaunginya.  Jika kesabaran pemimpin atau daya diplomasi lemah maka keputusan untuk menyahut cabaran provokasi akan lebih cenderung kepada penggunaan kuasa ketenteraan.  Dalam suasana ini, rakyat dari golongan mana sekali pun akan bergantung harap kepada kekuatan tentera sebagai benteng pertahanan.

Apa yang perlu difikirkan sekarang ialah bagaimana untuk memenuhi keperluan ATM menjurus kepada kekuatan sebenar yang diperlukan untuk menjaga keamanan dan kedaulatan tanahair.  Keadaan semasa negara sangat memerlukan komitmen semua warganegara supaya dapat mengasingkan pemikiran yang bersifat individu atau puak daripada mempersoalkan perolehan pertahanan kepada suatu pemikiran yang boleh membantu merealisasikan perolehan sesuatu keperluan kerana inilah masanya untuk ATM berlatih dan mencuba kaedah-kaedah baharu taktikal hasil dari sokongan teknologi semasa. Perajurit

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini