Diterbitkan dalam majalah perajurit edisi mei 2013
Oleh Hamzah hd
Bombardier 415MP |
Setelah 42 tahun merdeka, dikatakan sektor penguatkuasaan maritim negara
masih lagi berada di tahap lemah dan perlu penambahbaikan drastik dalam usaha
mencari suatu kaedah yang lebih dinamik dalam bidang penguatkuasaan di
laut. Berdasarkan suatu kajian, telah mendedahkan
bahawa penguatkuasaan maritim tidak boleh bergerak lancar antara penyebabnya adalah
kerana terdapat pertindihan fungsi, pertindihan bidang kuasa dalam kalangan
penguatkuasa-penguatkuasa maritim yang sedia ada seperti Polis marin, Jabatan
Kastam, Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, Imigresen dan lain-lain sekali gus
telah mencetus kepada kehilangan sumber ekonomi negara yang sangat banyak serta
menzahirkan imej negatif terhadap pentadbiran negara yang disebabkan kelemahan
menanganinya.
Agensi-agensi penguatkuasa yang ada masing-masing mempunyai akta
yang tersendiri bagi menangani skop tugas yang telah diamanahkan. Namun begitu skop penguatkuasaan yang
dimiliki adalah sangat terhad dari segi fungsi, aset dan kemampuan yang mana
pastinya banyak membazirkan tenaga dan sumber manusia kerana jangkauan
perlaksanaan penguatkuasaan yang sepatutnya lebih meluas tidak dapat
dilaksanakan dengan berkesan.
Banyak ruang dan lompang yang ditinggalkan yang mana jika dapat
dijangkau secara menyeluruh bukan sahaja boleh
menjadikan zon maritim negara lebih kondusif dan menjanjikan rasa selamat kepada pengguna dengan adanya pemantauan rapi
dalam usaha menjaga dan memelihara keselamatan, keamanan dan kedaulatan yang
berterusan malah dalam satu keadaan lain boleh menjana keuntungan hasil cukai
yang berlebihan serta kutipan denda kepada pesalah-pesalah persekitaran
maritim.
Justeru, sebagai langkah penambahbaikan, tim kajian bagi penubuhan
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau dengan panggilan mudahnya
Maritim Malaysia (MM) mula dibentuk pada April 1999. Berikut adalah kronologi peristiwa yang
mencetus ke arah pembentukan APMM:
21 Ogos 2002- tim kajian telah membentangkan hasil kajian ke kabinet
untuk kelulusan.
16 April 2003- pembentukan komiti Pemandu Kebangsaan dan Tim
Nukleas.
15 Februari 2005 - Akta APMM (Act 633) dikuatkuasakan ke dalam
perkhidmatan MM.
10 Oktober 2005 – Majlis memperkenalkan APMM (soft launch).
30 Oktober 2005 - melancarkan pengoperasian MM dan pada 21 Mac
2006, MM dengan rasminya dilancarkan.
Maritim Malaysia berfungsi bagi menjaga dan memelihara
keselamatan, keamanan dan kedaulatan negara di Zon MM serta menyelamat nyawa
dan harta benda semasa kecemasan di laut seperti mana yang termaktub di dalam
Akta APMM 2004 (Akta 633). Di samping
itu, Seksyen 6(3) [Akta 633] memperuntukan bahawa MM bertanggung jawab mencari
dan menyelamat, mengawal dan mencegah pencemaran, menyekat pelanunan,
pengedaran dadah di lautan lepas dan Maritim Malaysia juga dikehendaki memberi
bantuan dalam apa-apa perkara jenayah atas permintaan negara asing sebagaimana
yang diperuntukkan di bawah Akta Bantuan
Bersama dalam Perkara Jenayah 2002 (Akta 621).
Kabinet juga telah memutuskan bahawa Maritim Malaysia dijadikan sebagai
agensi penguatkuasaan maritim tunggal mulai Ogos 2011 sejajar dengan keputusan
kerajaan terdahulu semasa penubuhan APMM.
Keseluruhannya pengoperasian MM di bawah naungan Jabatan Perdana
Menteri sewaktu negara berada dalam keadaan aman, namun begitu ianya
dikehendaki membantu ATM semasa negara di dalam keadaan perang. Kejadian terbaharu yang dapat kita saksikan
ialah insiden pencerobohan bangsa Suluk di Lahad Datu Sabah yang mana telah
membawa kepada penglibatan MM secara langsung dalam mengawal perairan negara
yang mana telah mencetus kepada pengoperasian MM di kawasan ESSCOM di bawah
kawalan Kementerian Pertahanan.
Pada peringkat awal penggunaan sumber manusia adalah dari proses
tukar lantik secara sukarela yang melibatkan lebih daripada 1000 orang anggota
TLDM yang merupakan tulang belakang kekuatan MM ketika ini. Di samping itu, tawaran juga dibuat kepada
agensi-agensi maritim yang lain seperti Polis marin, Kastam, Perikanan,
Imigresen dan lain-lain agensi yang terlibat dalam konteks ini. Penambahan
perjawatan yang diluluskan adalah secara berperingkat daripada 4,030 kepada
9,077 anggota.
Kekuatan semasa sumber manusia MM pada masa ini ialah lebih daripada
5000 orang pegawai, anggota Lain-lain Pangkat dan Gunasama yang mana telah
mencapai sasaran semasa keanggotaan bagi Fasa ke-2 Pelan Perancangan Strategik MM
dalam konteks kekuatan sumber manusia yang mensasarkan sejumlah 5167 orang
menjelang tahun 2014 sejajar dengan perjawatan MM yang telah diluluskan.
Program
tranformasi MMM akan meneruskan perolehan dan penggantian aset bagi
memperkasakan keupayaan penguatkuasaan dan carilamat. Hampir 90 peratus aset
termasuk kelengkapan dan 100 peratus keperluan sumber manusia dijangka akan
dapat dicapai selepas tahun 2016.
Senarai Aset MM Dan Sejarah Perolehan
Pelan Jangka Pendek yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia
ke-9 (RMK9) melalui Fasa 1 (2006-2010) Pelan Perancangan Strategik MM memberi
keutamaan kepada perolehan aset, pengambilan dan pembangunan sumber
manusia yang diperlukan bagi menyokong
tugas dan aktiviti serta merta.
Penyenaraian aset-aset operasi yang berupa bot, kapal permukaan
dan pesawat udara yang merupakan peralihan serah milik dari agensi-agensi lain
dan juga perolehan baharu.
Dalam fasa ini juga MM telah membuat perolehan 2 buah pesawat Bombardier
415MP, 3 buah pesawat light medium helicopter Agusta AW139 dan 3
buah pesawat medium lift helicopter Dauphin AS 365 N3.
Manakala perolehan baharu aset permukaan ialah KM MARLIN merupakan
sebuah kapal latihan yang telah dihadiahkan oleh The Nippon Foundation
Jepun kepada MM. Kapal telah dilancarkan pada 30 Jan 2006 dan telah siap
pembinaannya pada Mac 2006. Kapal telah
belayar dari Naha, Jepun pada 4 Apr 2006 dan tiba di pelabuhan Klang pada 14
April 2006. Upacara penamaan dan penerimaan KM MARLIN telah diadakan di Pusat
Hidrografi Nasional pada 1 Jun 2006 dan diletakan dibawah pengawasan Pusat
Latihan APMM yang berpangkalan di Kuantan, Pahang.
12 x Bot Kelas Penggalang - dibina oleh Destination Marine Services di
Pelabuhan Klang. Maritim Malaysia telah
membuat tempahan sebanyak 2 buah untuk digunakan sebagai bot pemintas dalam
operasi-operasi khas yang memerlukan kepantasan untuk tiba ke lokasi yang
dikehendaki. Penyerahan bot ini telah
dilakukan pada 10 Sep 2007. Penggalang 1
ditempatkan di DM4 (Pelabuhan Klang) dan Penggalang 2 ditempatkan di DM6 (Johor
Baharu) untuk tugas-tugas operasi.
Manakala 10 buah lagi dari jenis ONUK MRTP 16 yang dibina oleh BYO
Marine dengan kerjasama Bousted Heavy Industry Corporation (BHIC) dan mula
diserah kepada Maritim Malaysia secara berperingkat sejak 5 Disember 2011.
Bot Kelas PETIR |
38 x Bot KILAT (RHIB) - telah dibina oleh MSET Shipbuilding Trengganu untuk tempahan Maritim
Malaysia sebanyak 38 buah. Bot-bot ini
dibina dalam 2 kategori iaitu 13 buah (open type) dan 25 buah (semi
carbin). Bot ini juga ditugaskan di
dalam operasi-operasi khas yang memerlukan kepantasan untuk tiba ke lokasi yang
dikehendaki. Bot-bot ini telah
diserahkan kepada MM secara berperingkat mulai bulan Jan 2006 dan ditempatkan di
semua Wilayah MM.
10 x Bot Kelas PETIR.- Bot ini disumbang oleh TELEKOM MALAYSIA sebanyak 2 buah
manakala 8 buah lagi telah dibina di DMC Batu Pahat. Mula beroperasi pada tahun 2010 selepas
diserahkan kepada MM.
10
x Bot Kelas Pengawal (ex-GRP)
telah mula berkhidmat di dalam perkhidmatan Jabatan Laut pada awal tahun 1999
sebagai bot pemantau dan penandaan laluan kapal-kapal yang menggunakan perairan negara. Berkhidmat selama 8 tahun di dalam perkhidmatan Jabatan Laut seterusnya
diserahkan kepada MM pada bulan Jan 2006.
2
x Kapal Kelas NUSA (ex-RAJAWALI)
berada di dalam perkhidmatan Jabatan Laut pada awal 1993 dan telah berkhidmat selama
15 tahun. Kapal- kapal ini telah ditukar
milik untuk kegunaan Maritim Malaysia
pada Apr 2006.
1
x Kapal Kelas SEMBILANG (ex- SIRI100)
telah mula berkhidmat dalam Jabatan Perikanan pada awal tahun 1986. Ditugaskan untuk membuat pemantauan kepada
nelayan-nelayan tempatan laut dalam.
Setelah berkhidmat selama 20 tahun di dalam perkhidmatan Perikanan, pada
Jun 2006 kapal ini telah diserahkan kepada MM.
1
x Bot Kelas PENINJAU (ex-SIRI300)
telah mula berkhidmat didalam perkhidmatan Jabatan Perikanan
pada awal tahun 1990. Ditugaskan untuk membuat pemantauan terhadap
nelayan-nelayan tempatan persisir pantai dan sangkar-sangkar ikan yang dibina
di pantai negara. Telah berkhidmat selama 16 tahun didalam perkhidmatan Jabatan
Perikanan sebelum diserah kepada MM pada bulan Jun 2006.
4
x Bot Kelas PENYELAMAT (ex SAR)
telah mula berkhidmat didalam perkhidmatan Jabatan Laut pada awal tahun
1998. Digunakan untuk operasi mencari dan menyelamat serta
memberi bantuan kecemasan sekiranya berlaku bencana di laut. Berkhidmat selama
9 tahun di dalam perkhidmatan Jabatan Laut sebelum diserahkan sepenuhnya kepada
MM pada bulan Jan 2006.
5
x Kapal Kelas RAMUNIA (ex BAHTERA) berada
di dalam perkhidmatan KASTAM sejak tahun 1983 dan telah berkhidmat berkhidmat
selama 23 tahun sebelum diserahkan kepada MM pada Jun 2005.
1
x Kapal Kelas RHU (ex SIRI 200)
telah mula berkhidmat didalam perkhidmatan Jabatan Perikanan pada awal
tahun 1990. Diserahkan kepada MM pada Jun 2006 setelah berkhidmat selama 16
tahun dengan Jabatan Perikanan..
4
x Kapal Kelas MALAWALI (ex BINTANG)
telah memasuki perkhidamatan Jabatan Laut pada awal tahun 1999 dan telah
berkhidamat selama 8 tahun. Pada April
2006 kapal-kapal ini diserahkan sepenuhnya kepada Maritim Malaysia.
15
x Kapal Kelas TUGAU (ex - PA)
telah beroperasi dalam perkhidmatan PDRM hampir 10 tahun dan menyerahkan kepada MM pada 2011.
1
x Kapal Kelas LANGKAWI (ex-KD MARIKH) adalah kapal ronda pesisir pantai (OPV) yang
memasuki perkhidmatan TLDM pada tahun 1987.
Kapal ini telah diserahkan kepada MM pada 23 Jun 2006. Walau bagaimanapun pengoperasian kapal ini
adalah di bawah Pusat Kawalan Maritim Putrajaya.
15
x Kapal Kelas GAGAH (ex PZ)
merupakan kapal peronda kelas PZ yang telah memasuki perkhidmatam Pasukan Polis
Marin pada tahun 1980. Kapal tersebut telah berkhidmat selama 26 tahun di dalam
Pasukan Polis Merin. Kapal telah diserahkan kepada MM secara berperingkat mula
pada Jun 2005 hingga Jun 2006.
15
x Kelas SIPADAN (ex PC)
merupakan kapal peronda yang telah memasuki perkhidmatam TLDM pada tahun mulai
tahun 1964. hingga tahun 1968. Kapal
tersebut telah berkhidmat selama 42 tahun didalam TLDM. Kapal telah diserahkan
kepada MM secara berperingkat mula pada Jun 2005 hingga Jun 2006.
Fasa ke 2 Pelan Perancangan Strategik MM (2011-2015)
Sejajar dengan pengiktirafan sebagai
Agensi Penguatkuasaan Maritim Tunggal pada bulan Ogos 2011, MM telah berjaya
menghadapi pelbagai cabaran termasuk pengambilalihan tugas penguatkuasaan
undang-undang maritim negara secara holistik dari lain-lain agensi
penguatkuasaan maritim dengan meletakkan keutamaan untuk
mengukuhkan kemampuan memberi perkhidmatan dan respon yang drastik kepada apa
jua bentuk pelanggaran undang-undang maritim dan kecemasan di laut.
Sejajar
dengan rancangan pembangunan RMK 10, MM akan
meneruskan program-program mempertingkatkan keupayaan penguatkuasaan dan
carilamat, memperkasakan tim STAR, melengkapkan prasarana dan kemudahan latihan
di Pusat Latihan di samping membina kemampuan untuk bantuan melawan kebakaran
dan bantuan kemanusiaan di laut.
Turut mensasarkan perolehan penambahan aset udara dan permukaan yakni
perlaksanaan projek Perolehan Penambahan 2 buah pesawat amphibious, 6 buah
helikopter medium lift, 2 buah kapal latihan, 2 buah kapal peronda saiz
besar dan 8 buah kapal saiz sederhana, 25 buah bot pemintas, 8 buah lifeboat
dan 50 buah bot kecil/RHIB
dan juga penambahbaikan kepada sistem pengawasan laut.
Perolehan
Baharu- 2 medium range maritime surveillance aircraft, 2 multi
purpose command craft, 2 hovercraft dan 3 fire tender.
Sementara
itu program melanjutkan tempoh perkhidmatan kapal(SLEP) dilaksanakan untuk 1
kapal peronda saiz besar dan 13 kapal saiz sederhana.
Fasa
2 akan meneruskan pengutamaan kepada penambahbaikan sistem C31 APMM (Fasa 2 dan
3), sistem pengawasan laut di perairan Sabah, utara Selat Melaka dan Pantai
Timur Semenanjung dan penambahbaikan kepada sistem carilamat seperti perolehan
peralatan pancaran kecemasan peralatan GMDSS melaui COSPAS-SARSAT, peralatan SAR
planning computer aided software dan penambahan stesyen pantai untuk
memperluaskan liputan GMDSS-DSC.
Fasa 2 juga turut memberi keutamaan pembinaan prasarana Ibu Pejabat
Wilayah Selatan, Wilayah Utara dan Wilayah Sabah. di samping pembinaan
prasarana untuk 8 daerah maritim yang kini hanya di Sedili, Kuala Terengganu
dan Sandakan, 4 pangkalan maritim dan 3 stesyen udara yang kini hanya satu di Subang. Pembinaan stesen udara dan pangkalan pos
hadapan Maritim Malaysia, akan meningkatkan keupayaan pemantauan, operasi
penguatkuasaan dan carilamat maritim menerusi respon yang pantas. Projek SWASLA
di Sabah iaitu di Pulau Balambangan, Pulau Mantanani Kechil dan Pulau Gaya
telah pun siap pada Dis 2011.
Fasa
2 ini juga memberi keutamaan dalam melengkapkan kekuatan anggota MM seperti
yang diluluskan di dalam perjawatan Maritim Malaysia. Pengambilan anggota
seramai 5,167 orang bagi keseluruhan fasa ini dan seramai 3,879 orang dilaksanakan
secara berperingkat dari tahun 2011 hingga 2013.
Selebihnya 1,288 orang bagi tahun 2014. Pengambilan
dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu 500 orang bagi anggota baharu
pegawai dan LLP, 603 orang bagi anggota mahir pegawai dan LLP dan 190 orang untuk
pengambilan anggota gunasama setiap tahun.
Mengikuti
perkembangan semasa kemajuan MM terhadap penambahan dan perolehan baharu aset
seperti yang dirancang dalam Fasa Kedua ini, sehingga 2013 tidak nampak apa-apa
perubahan yang menonjol bagi menyakinkan bahawa perancangan ini akan berjaya
direalisasikan menjelang tahun 2015 nanti.
Bertolak
daripada krisis pencerobohan Lahad Datu sejak Februari lalu dengan penglibatan MM
membantu ATM dalam menangani krisis ini dari arah laut sepatutnya menjadikan
LIMA’13 sebagai medan kerajaan bagi memaklumkan penambahan dan perolehan baharu
seperti yang dirancang Maritim Malaysia.
Meskipun
ianya tidak semestinya berlaku sebegitu, sekurang-kurangnya pemerhatian umum
tentang perkembangan ini memberi sedikit keyakinan bahawa peracangan ini sedang
berjalan seperti yang dirancang. Walau
bagaimanapun kenyataan terbaharu kerajaan yang dinyatakan dalam manifesto
PRU’13 bahawa pasukan keselamatan termasuk MM akan ditingkatkan keupayaan telah
memberi sedikit keyakinan semuga sesuatu yang positif akan berlaku sedikit masa
lagi sejajar dengan Pelan Strategik MM mengikut fasa-fasa tertentu.
Kejayaan Dan Pencapaian
Berkat
perancangan dan kesungguhan warga Maritim Malaysia, kadar jenayah maritim di
seluruh negara telah dapat dikurangkan.
Mengikut statistik yang dikeluarkan melalui Laporan Tahunan MM berakhir
2011, penurunan kadar jenayah sebanyak 16 peratus dalam masa 5 tahun iaitu
daripada 20.20 peratus pada 2006 kepada
4.22 peratus pada tahun 2011. Kadar ini berdasarkan kepada 66,678 kali
pemeriksaan dan 4,832 penahanan bagi pelbagai kes. Peningkatan jumlah
pemeriksaan dan penurunan jumlah penahanan menunjukkan penguatkuasaan yang
berkesan berjaya memupuk kesedaran undang-undang dan keselamatan dalam kalangan
komuniti maritim.
Operasi
penguatkuasaan MM telah memperlihatkan banyak kes-kes berprofil tinggi berjaya
ditangani dan dibawa ke muka pengadilan. Antara kejayaan-kejayaan yang dibanggakan
pada tahun 2011 ialah penangkapan dan pendakwaan ke atas tiga kumpulan
penjenayah yang terlibat dalam dua kes merompak di atas kapal dan satu kes
cubaan merampas bot nelayan. Penemuan semula bot tunda Marina 26 dan Marine
Power 3301 yang dirampas di Miri iaitu selepas empat bulan ianya dirampas di
Pulau Tioman dan menyelamatkan kapal MT Nautika Johor Bharu daripada dirampas
keluar ke negara jiran.
Bagi semua kes
penyeludupan khasnya kes pemerdagangan orang, PATI, dadah, ganja, rokok, arak,
pasir, kayu balak, bakau, barang kawalan dan diesel bersubsidi adalah antara
sasaran MM dalam memerangi satu lagi bentuk jenayah rentas sempadan.
Berdasarkan statistik tahun 2006 hingga Disember 2011, sebanyak 794 pelbagai
kes penyeludupan telah dikendalikan yang mana ia turut mengecilkan jurang
kerugian ekonomi di samping dapat mengekang imej negatif negara.
Dalam kes pencerobohan bot nelayan asing, sebanyak 517
tangkapan telah berjaya dilakukan dengan mengutip kira-kira RM236 juta hasil
menerusi denda nelayan asing, pelupusan vesel, kompaun dan lelongan ikan pada
tahun 2007 hingga 2011. Penguatkuasaan yang berkesan ini turut mempengaruhi
peningkatan statistik pendaratan hasil laut iaitu RM4.02 bilion setahun kepada
RM6.32 bilion setahun pada 2009.
Dari sudut
menyediakan perkhidmatan bantuan Mencari dan Menyelamat(Carilamat) di laut, MM
sentiasa berusaha meningkatkan tahap responsif agar rakyat berasa selamat dan
mendapat bantuan yang diperlukan dengan segera. Berdasarkan 2,747 operasi,
jumlah nyawa yang berjaya diselamatkan ialah 2,182 atau 79 peratus. Manakala,
nilai harta benda yang berjaya diselamatkan ialah RM274 juta bersamaan 89
peratus.
Dalam senario geografi politik dan situasi keselamatan maritim
dalam negara yang semakin mencabar dan terdedah kepada kepelbagaian aktiviti
yang memerlukan banyak pengawasan dan penguatkuasaan, kemunculan MM adalah
sangat bertepatan dengan keperluan semasa.
Kawasan maritim negara yang merangkumi Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE)
seluas 614,000 km persegi dan 148,307 km persegi Perairan Wilayah Malaysia (PWM)
dengan persisiran pantai sepanjang 4,490 km adalah sangat luas dan memerlukan
komitmen yang sangat tinggi untuk MM menangani cabaran terutamanya ZEE Selat
Melaka, ZEE Laut China Selatan (LCS) di sepanjang Pantai Timur Semenanjong,
perairan ZEE LCS di Sabah dan Sarawak serta Laut Sulu dan Laut Sulawesi
sepanjang Pantai Timur Sabah. Dengan perkongsian sempadan maritim dengan
beberapa negara serantau serta perairan yang kaya dengan sumber asli di samping
menjadi laluan utama Sea line of communications (SLOC) yang
menghubungkan LCS dan Lautan Hindi menjadikan perairan Malaysia menjadi dimensi yang sangat penting demi
survival negara.
Dalam usia 8 tahun penubuhan,
MM telah menunjukan suatu pencapaian yang sangat membanggakan tentunya
hasil dari perancangan dan kerja kuat pimpinan dan seluruh warga kerja bagi
memacu MM ke arah kecemerlangan ini. PERAJURIT
1 comment:
Where did u get the sources of this information..may i know from what kind of sources? i need help in this topics as well.. TQ
Post a Comment