Sumber: Majalah Perajurit edisi Disember 2012
Oleh Hamzah hd.
(Cetusan rasa Jen Tan Sri Md. Hashim bin Hussein(Bersara)
(Mantan Panglima Tentera Darat)
Biodata
YBhg. Jen
Tan Sri Dato’ Seri Md. Hashim bin Hussein (Bersara) adalah Panglima Tentera
Darat ke-18. Beliau adalah penerima Ijazah
Sarjana dalam ‘War Studies’ dari King’s College di London dan merupakan lulusan
US Army Command and General Staff College di Fort Leavenworth. Antara jawatan
yang telah disandangnya adalah Pegawai Memerintah 11 RAMD, Komandan LATEDA dan
dilantik sebagai Komander pertama untuk mengetuai Batalion Malaysia (MALBAT)
dalam misi UN Protection Force (UNPROFOR) di Bosnia Herzegovina. Pada 13 Ogos
1994 beliau telah dilantik sebagai
Panglima 10 Briged Para pertama yang merupakan komponen utama Pasukan
Aturgerak Cepat (PAC). Beliau seterusnya
telah mengambil alih jawatan Panglima Tentera Darat mulai 1 Jan 1999 sehingga
31 Dis 2002. Beliau adalah pegawai Malaysia pertama yang telah diberi
penghormatan di US Army Command and General Staff College, Fort Leavenworth Hall
of Fame. Beberapa negara luar seperti Jepun, Korea Selatan, negara-negara
ASEAN, Afrika Selatan dan Switzerland telah mengundang beliau untuk
menyampaikan syarahan. Kewibawaan dan kecemerlangan beliau sebagai Panglima
Tentera Darat telah mendapat perhatian kerajaan, justeru menjelang persaraan
daripada perkhidmatan, beliau telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi
Malaysia ke Pakistan mulai tahun 2003 sehingga tahun 2006. Beliau adalah
merupakan Pengerusi Pihak Berkuasa Kebangsaan, Konvensyen Senjata Kimia di
Kementerian Luar Negeri dari tahun 2006 hingga tahun 2010.
Pendahuluan
Istilah pencen,
bersara atau berhenti daripada Perkhidmatan Tentera menandakan terpisahnya
kehidupan seseorang itu dengan alam ketenteraan secara formal. Antaranya bukan lagi berpakaian, berjalan,
berfikir atau bercakap cara tentera. Tidak lagi mentadbir dan mengurus
kakitangan di bawah tanggungjawab ala tentera. Benar sebagaimana ungkapan Jen
MacArthur bahawa Old soldiers never die, They just fade away, kepulangan
bekas tentera ke pangkuan masyarakat awam untuk menjalani kehidupan seharian
secara amnya memerlukan satu pendekatan yang baru dan begitu berlainan. Masing-masing membawa haluan hidup yang
tersendiri sama ada sebagai peniaga, usahawan, makan gaji atau terlibat dengan
aktiviti-aktiviti Non-Government Organisation (NGO) dan tidak kurang
sebagai pesara sepenuh masa.
Tidak boleh dinafikan kesemua
aktiviti yang dilakukan oleh bekas tentera akan tetap memberi faedah sama ada
secara langsung atau tidak langsung kepada masyarakat. Namun dalam nafas yang sama, ingin ditekankan
bahawa seseorang perlu menilai diri dan
mencuba untuk memberi sumbangan kepada negara berdasarkan kepakaran yang
diperolehi semasa berada dalam perkhidmatan. Seruan ini adalah khusus kepada semua pegawai
dan anggota terutama anggota-anggota Lain-lain Pangkat (LLP) yang kebanyakannya
bersara pada usia awal 40an. Secara
peribadi YBhg Tan Sri telah berpeluang memegang beberapa jawatan di peringkat
antarabangsa yang mencabar setelah bersara. Ironinya tugas yang dipertanggungjawabkan
adalah merupakan satu amanah yang besar. Dalam hal ini ingatan peribadi sering tertumpu
kepada Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang merupakan teras kepada artikel
ini.
Dengan mukaddimah sedemikian,
artikel ini akan mengimbas kembali pengalaman beliau di dalam Perkhidmatan Tentera
dengan menyentuh kenangan bersama Kor
RAJD. SAPPER adalah gelaran umum kepada
semua pegawai dan anggota RAJD. Gelaran
SAPPER juga adalah merujuk kepangkatan seseorang anggota RAJD yang bersamaan
dengan prebet/trooper/signaller.
Mengenali Ubique
Semasa menjalani latihan Pegawai Kadet, YBhg Tan Sri
telah mengenali rakan-rakan yang kemudiannya ditauliahkan ke dalam RAJD.
Antaranya adalah Dato’ Abdul Rahman bin Ismail (bersara Brig Jen), Dato’ Mohd
Hashim bin Hj Abu (bersara Brig Jen), Shaik Ahmad bin Ibrahim (bersara Kol). Mereka bertiga adalah kenalan rapat sejak mereka di Cawangan Putera, Maktab Tentera
Diraja. Mereka adalah merupakan
exemplary officers and well polished gentlemen dan secara peribadi, beliau
kagum dengan perwatakan dan kewibawaan mereka.
Sepanjang Perkhidmatan Tentera, melalui pergaulan semasa
berkursus dan melihat penglibatan dalam latihan medan, YBhg Tan Sri tertarik
dengan pegawai dan anggota RAJD. Sesuai
dengan cogankata ‘Ubique’ yang membawa pengertian ‘Di Mana Sahaja’, peranan
utama RAJD adalah membantu TD untuk bertempur, hidup dan bergerak (fight,
live and move). Justeru mereka akan
memberi bantuan kejuruteraan taktikal dalam semua fasa peperangan untuk meningkatkan
mobiliti pasukan sahabat seperti membuka laluan dan jalan-jalan pendekat,
membina jambatan dan rakit bagi merentasi wet gap serta membersih padang
periukapi dan halangan. Dalam
melambatkan pergerakan musuh pula mereka akan melubangkan jalan (road cratering),
memasang halangan dan melakukan kerja-kerja pemusnahan ke atas sasaran
strategik seperti Reserved Demolition termasuk
menafikan sumber-sumber penting jatuh ke tangan musuh. Dalam melindungi dan membantu meneruskan
kelangsungan hidup pasukan sahabat, terup RAJD terlibat menyediakan medan dan
kubu pertahanan. Mereka juga terkenal dengan cogankata First
in, Last out kerana merupakan antara pasukan terawal yang masuk ke dalam
kawasan misi untuk kerja-kerja penyediaan awal seperti pemasangan litar letupan
dalam Reserved Demolition atau membina jambatan dan jalan-jalan pendekat
ke objektif musuh. Merekalah antara pasukan terakhir yang akan
berundur atau keluar dari kawasan misi setelah memastikan sasaran dimusnahkan
atau kerja-kerja menutup gap medan periukapi telah selesai.
RAJD
juga diperlukan melakukan pelbagai tugas untuk pasukan-pasukan selain bantuan
kepada pasukan taktikal. Majoriti penugasan sebegini adalah di kawasan senggaraan
formasi seperti membina dan menyenggara bangunan, membina jalan dan landasan
terbang dan bekalan air. Selain daripada
itu RAJD juga terlibat dalam Projek Jiwa Murni seperti pembinaan jalan, jambatan, rumah, masjid dan surau untuk masyarakat
awam. Begitulah uniknya penugasan mereka
yang mempunyai rentetan sejarah yang panjang. Justeru tidak banyak Rejimen dan Kor dalam TD
yang berpeluang melakukan penugasan-penugasan sedemikian. Ada benarnya seperti yang mereka dakwa
memiliki sifat serta perwatakan ‘Engineer
in mind and Infantry at heart’.
Sejak ditauliahkan sebagai seorang
pegawai tentera pada tahun 1966, YBhg Tan Sri telah
menyaksikan sendiri kemampuan dan keupayaan RAJD yang merupakan salah satu
komponen utama dalam satu-satu siri eksesais dan latihan medan TD. Mereka tidak kenal erti penat lelah dan
bekerja tidak mengira masa.
Beliau juga amat tertarik dengan
kelayakan akademik, kepakaran, keupayaan dan dedikasi kepada tugas yang
dipamerkan oleh pegawai dan anggota RAJD.
Namun hakikat bahawa disebabkan RAJD adalah sebuah Kor yang kecil, maka
peluang untuk mereka meningkat ke satu pangkat yang lebih tinggi terbatas. Pengetahuan beliau yang luas mengenai RAJD
telah mewujudkan kefahaman yang mendalam terhadap Kor tersebut. Brig Jen dato’ Pahlawan Mohd Tairobi bin Abd
Razak (Bersara-bekas Ketua Jurutera) pernah menyatakan bahawa YBhg Tan Sri
sangat perihatin dan mempunyai hubungan yang rapat dengan RAJD. Justeru beliau mengumpamakan hubungan ini
dengan mengatakan makna ‘Ubique’ yang lebih sesuai dan khusus buat YBhg
Tan Sri adalah ‘Sentiasa Bersamanya’ untuk menggambarkan betapa akrabnya dengan
Kor RAJD.
Chock-A-Block
(Chock-A-Block adalah bahasa hukuman yang diberikan oleh
Bridge Commander semasa kawad pembinaan jambatan Bailey untuk memasukkan bar
besi ke dalam contruction roller supaya rangkaian panel jambatan tetap berada
dalam posisi dan tidak bergerak ke
hadapan atau ke belakang).
|
kediaman medan |
Peluang untuk mengenali RAJD secara
lebih dekat adalah sewaktu dilantik sebagai Komander MALBAT 1 dalam Misi
Pasukan Perlindungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNPROFOR) di Bosnia
Herzegovina mulai Okt 1993 sehingga Ogos 1994. Negara Bosnia Herzegovina adalah
begitu asing bagi kebanyakan pegawai dan anggota apatah lagi kumpulan ini
merupakan kontinjen yang julung-julung kalinya dari Malaysia yang menyertai
pasukan pengaman PBB di bumi Eropah. Memeritkan keadaan adalah aspek
keselamatan yang tidak menentu, masalah komunikasi, sokongan logistik dan cuaca
yang begitu sejuk.
Antara keutamaan tugas Komander
MALBAT adalah menyediakan kawasan penempatan bagi seluruh Kontinjen di mana
terup RAJD diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya. Alhamdulillah, walaupun
bekerja dalam keadaan cuaca yang extreme iaitu dalam keadaan salji yang
tebal, pangkalan untuk seluruh Kontinjen MALBAT dibina oleh terup RAJD dengan
begitu pantas dan amat sempurna sekali binaannya. Terasa begitu terharu apabila
menyingkap kembali misi di Bosnia Herzegovina terutamanya di atas keringat dan
jasabakti yang dicurahkan oleh terup RAJD.
Sekali-sekala imbasan wajah-wajah Mej Zainuddin bin Ismail, Mej Sharifuddin
bin Shaharom, Kapt Azme bin Dolah, Kapt Marhaimi bin Shamsudin, Kapt Damanhuri
bin Darusman, Kapt Sabri bin Ali, Kapt Zainal bin Sarwi, Kapt Khairy bin
Muhamad, Kapt Abdillah bin Awang, Lt Abd Rahman bin Abd Halim dan Lt Nik Amir
bin Nik Yaacob datang silih berganti di dalam kenangan beliau.
Apabila diberi peluang menerajui TD, seorang pegawai RAJD
telah dipilih sebagai Pembantu Ketenteraan beliau. Pegawai yang telah
dicalonkan oleh Jabatan Arah Jurutera adalah Lt Kol Abu Suffian bin Ahmad. Ternyata pemilihan Jabatan Arah Jurutera
adalah tepat. Kesetiaan dan kebolehan
beliau selama berkhidmat adalah tidak diragui sama sekali. Ujian demi ujian dilontarkan dan beliau masih
mencurahkan khidmat bakti dengan amat memuaskan.
Salah satu projek yang diusahakan oleh YBhg Tan Sri adalah penubuhan Muzium TD yang bertujuan untuk memulihara sejarah dan tradisi TD supaya
dapat menjadi khazanah warisan bangsa. Artifak-artifak yang mempunyai sejarah bangsa
yang bernilai telah dikumpul dari seluruh pelusuk negara untuk dipamerkan. Ini
dapat memberi pendedahan kepada generasi kemudian tentang sejarah perjuangan
yang telah dilalui oleh generasi terdahulu dalam mempertahankan maruah agama,
bangsa dan negara.
Kini Muzium TD yang tersergam indah di Port Dickson telah
menjadi mercu tanda dan kemegahan bukan sahaja untuk TD malahan sering menjadi
tumpuan pelancong yang berkunjung ke sana.
Mereka telah mencurah idea, memerah keringat dan bekerja keras bagi
merealisasikan projek tersebut adalah sekumpulan pegawai RAJD yang terdiri
daripada Brig jen Dato’ Pahlawan Mohd Tairobi bin Abd Razak (Bersara), Mej
Khamis bin Salim (Kurator Pertama Muzium), Mej Baharudin bin Noryat dan Kapt
Zuraiman bin Abd Ghani.
Dengan kudrat dan iradat Allah SWT YBhg Tan Sri telah
ditawarkan jawatan sebagai Pesuruhjaya
Tinggi Malaysia di Pakistan walaupun belum sampai waktu persaraan daripada
TD. Setelah berkhidmat di Pakistan
selama 3 tahun, dipercayai dengan cara yang tersendiri beliau telah berjaya
mempereratkan lagi perhubungan di antara kedua buah negara. Presiden Pakistan pada masa itu adalah Jen
Perves Musharraf merangkap Panglima TD Pakistan. Semasa di Pakistan, beliau telah ditawarkan
oleh Tan Sri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar, Menteri Luar ketika itu dengan
jawatan Pengerusi Pihak Berkuasa Kebangsaan – Konvensyen Senjata Kimia (PBK
KSK) di Kementerian Luar Negeri yang telah disandang sejak awal tahun 2006 sehingga
Mac 2010.
Di antara tugasan utama PBK KSK adalah menentukan
peraturan-peraturan yang ditandatangani oleh negara-negara peserta (State
Party) dalam The Chemical Weapon Convention (CWC) iaitu satu
perjanjian antarabangsa yang melarang pembangunan, pengeluaran, perolehan,
pengumpulan stok, pemindahan dan penggunaan senjata kimia serta keperluan untuk
memusnahkan senjata yang sedia ada. CWC
juga turut mengawal penggunaan dan perdagangan bahan-bahan kimia yang dapat
ditukar atau diguna untuk menghasilkan senjata kimia.
YBhg Tan Sri telah
memulakan menyusun jadual aktiviti dalam negara mengikut garis panduan yang telah
diberi. Pihak Organisation for the
Prohibition of Chemical Weapon (OPCW) berpuas hati dengan perlaksanaan
konvensyen oleh semua pihak yang terbabit di Malaysia. Di samping mewujudkan Akta, Peraturan dan Manual, mereka telah dapat
mengumpul beberapa rujukan dan kesemuanya telah dibukukan. Peranan yang dimainkan dan sumbangan yang
diberikan oleh Malaysia adalah sangat berkesan dalam aspek ini dan menjadi satu
contoh kepada negara-negara jiran.
Pengiktirafan ini juga terpahat dalam kalangan pegawai-pegawai OPCW di
The Hague, Netherlands. Mereka menggalak
dan menasihatkan YBhg Tan Sri untuk melibatkan diri secara lebih aktif lagi.
Selaku Pengerusi PBK KSK, antara tugas lain YBhg Tan Sri adalah
berurusan dengan pihak-pihak yang terlibat dalam mengawal atau menggunakan
bahan-bahan kimia dari kalangan Agensi Kerajaan dan swasta. Bagi Kementerian Pertahanan, wakil yang
relevan adalah RAJD selaku custodian aspek kimia dalam TD. Secara tidak langsung sekali lagi beliau
perlu berintraksi dengan pegawai dan anggota RAJD. Memegang kepada hakikat pegawai-pegawai RAJD
begitu profesional, apa juga kursus dan latihan yang dianjurkan oleh OPCW akan
dapat dimanfaatkan oleh pegawai dan anggota mereka. Hikmahnya pekerjaan YBhg Tan Sri di PBK KSK
mempunyai right chemistry dengan RAJD melalui bancuhan yang betul.
Di
antara 14 buaah Kementerian dan Agensi di bawah seliaan PBK KSK, TD adalah merupakan satu-satunya
yang mempunyai organisasi terlatih, lengkap dengan peralatan dan mempunyai
kepakaran untuk mematahkan serangan dan ancaman bahan kimia. Kor RAJD melalui Pertahanan Nuklear, Biologi
dan Kimia 3 Div (PNBK 3 Div) dan Institut Kejuruteraan Medan TD (IKEM) bukan
sahaja berfungsi dan berperanan sebagaimana yang telah dijelaskan malah turut
melatih seluruh warga ATM termasuk agensi awam dalam aspek pertahanan NBK.
Komitmen mantan Panglima-panglima 3 Div
iaitu Jen Tan Sri Zulkifeli bin Mohd Zin dan Lt Jen Dato’ Seri
Ahmad Hasbullah bin Mohd Nawawi terhadap PNBK 3 Div adalah cukup tinggi di
mana mereka telah memberi perhatian yang istimewa terhadap kefungsian dan
latihan pasukan tersebut. Pasukan
tersebut telah diberi tanggungjawab untuk melatih formasi-formasi di bawah
naungan 3 Div dalam latihan pertahanan untuk menghadapi ancaman
NBK.
Di bawah Pegawai Memerintah Lt Kol Mohd Nasarudin
bin Mohd Yusof, PNBK 3 Div telah dapat memastikan warga 3 Div menerima faedah
kepakaran mereka dalam latihan pertahanan menghadapi ancaman NBK melalui
siri-siri latihan PNBK secara aktif. Lt
Kol Mohd Nasarudin memiliki ciri-ciri peribadi yang baik dan
mempunyai keupayaan yang tinggi. Malah beliau pernah ditawarkan
untuk ditumpangkan di PBK KSK tetapi ianya tidak dapat direalisasikan pada masa
itu.
Dalam satu sesi
perbincangan dengan pegawai-pegawai OPCW, pertanyaan ke atas kemungkinan
seorang pegawai TD dari Malaysia diterima berkhidmat di ibu pejabat OPCW telah
dibangkitkan. Tidak lama selepas itu,
berlaku komunikasi di antara OPCW, PBK KSK dan pegawai berkenaan. Sejurus kemudian, Lt Kol Mohd Nasarudin telah dipanggil untuk ditemuduga di
The Hague, Netherlands bagi jawatan Chemical Weapons and Munitions
Specialist. Justeru panggilan
temuduga oleh ibu pejabat OPCW untuk beliau dikira sebagai half the battle
is won. Pada akhir tahun 2009,
beliau telah diterima untuk mengisi jawatan tersebut dengan OPCW. Perasaan YBhg Tan Sri tidak dapat digambarkan
apabila menerima berita tersebut. Sesungguhnya pemilihan pegawai dari Malaysia
ke dalam pasukan pemeriksa senjata kimia buat julung-julung kalinya oleh
organisasi antarabangsa adalah merupakan satu manifestasi kepercayaan dan
pengiktirafan terhadap TD khasnya dan ATM amnya. Ini adalah satu rekod yang cemerlang buat
RAJD, TD, ATM dan juga Malaysia. Namun
apa yang lebih penting adalah
usaha-usaha dan cita-cita untuk membantu pegawai-pegawai RAJD telah
menjadi kenyataan.
Sebelum Lt Kol Mohd
Nasarudin berlepas ke The Hague, YBhg Tan Sri sempat menasihati beliau
agar dapat membuktikan kebolehan beliau dengan menonjolkan imej yang mantap dan
sentiasa menjaga nama baik TD dan negara. Biarlah dunia tahu bahawa anak Melayu ini boleh
berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mereka yang berasal dari
hemisfera utara mahupun hemisfera selatan. Pesanan lain, selepas tamat tugas kelak,
seboleh mungkin biarlah pengganti beliau juga adalah seorang pegawai RAJD. Ini bukanlah satu perkara yang mustahil
sekiranya beliau mempunyai rekod perkhidmatan yang baik semasa menjalankan
tugas dan seterusnya berjaya mendapat kepercayaan pegawai-pegawai kanan di OPCW
di mana akan membuka laluan untuk seorang pegawai dari Malaysia dipilih
berkhidmat di sana kelak.
|
Lt Kol Nasa |
Tidak berapa lama selepas setibanya Lt Kol Mohd Nasarudin di The Hague, beliau telah menghubungi YBhg Tan
Sri untuk mengucapkan terima kasih di atas usaha dan bantuan PBK KSK sehingga membolehkan
beliau berkhidmat di OPCW. Beliau telah
melahirkan perasaan bangga kerana merupakan anak Melayu yang pertama berkhidmat
dengan badan antarabangsa berkenaan. Beliau
juga berazam tidak akan mensia-siakan peluang yang diberi dan akan sentiasa menjaga
nama baik negara.
Epilog
Kesimpulan yang ingin disampaikan oleh YBhg Tan Sri adalah;
- Apabila
diberi tugas, laksanakanlah dengan sebaik mungkin kerana hasilnya juga adalah
yang terbaik. Kita perlu sentiasa mengutamakan tugas tanpa mengira waktu,
lokasi atau usia. Kita patut sentiasa
bersedia untuk memberi sumbangan setakat mana yang terdaya demi agama, bangsa,
negara dan organisasi.
- Kedua, lakukanlah
sesuatu perbuatan itu kerana mengharap keredhaan Allah SWT dan bukan untuk mencari
nama dan bermuka-muka. Sesuatu kejayaan itu
akan terpancar dari hati yang ikhlas dan insyaAllah segala sumbangan murni dan niat ikhlas kita akan
mendapat ganjaran yang selayaknya.
- Ketiga, istiqamah
dalam perjuangan dan jangan mudah berputus asa apabila menghadapi kegagalan
kerana Man proposes but God disposes.
Seandainya kita jatuh, haruslah terus bangkit dan rencanakan perhitungan
semula dengan wawasan dan iltizam yang baru. Jadikan kegagalan tadi sebagai
satu pengajaran yang berguna.
Diharap mesej
yang ingin disampaikan ini dapat dihayati oleh semua warga TD. Coretan mengenai
pengalaman bersama RAJD ini hanyalah
merupakan sebahagian kecil daripada jumlah yang besar pengalaman sepanjang 37
tahun perkhidmatan dalam tentera. Malah
banyak lagi kisah suka duka yang telah dilalui
selaku Pegawai Memerintah 11 RAMD, Panglima 10 Briged Para malah selaku
PTD sendiri. Sudah tentu dalam tempoh
Perkhidmatan, banyak juga peristiwa-peristiwa telah dilalui bersama-sama
pegawai dan anggota daripada semua Kor
dan Rejimen dalam TD termasuklah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kesemua ini adalah asam garam kehidupan yang
telah dapat mewarnai kehidupan beliau sebagai seorang pegawai tentera.
Pengkisahan
ini juga bukanlah untuk mengharap puji-pujian dan jauh sekali gelaran yang
masyhur, hanya sekadar menyempurnakan hasrat untuk memberi manfaat dan
memungkinkan sesuatu yang mustahil menjadi satu realiti. Seperti
balada old soldier yang disentuh dalam ucapan bersejarah Jen MacArthur, beliau
telahpun menamatkan kerjaya tentera dan masih cuba melakukan sesuatu yang
berfaedah sebagaimana Allah SWT telah tunjukkan jalan-jalanNya ke arah
itu. Ajaran agama Islam menekankan bahawa sebaik-baik manusia
adalah mereka yang memberi manfaat kepada manusia yang lain dengan menjadikan
sesuatu perkara pada hari ini lebih baik daripada hari semalam dan jadikan
sesuatu pada hari esok lebih baik daripada hari ini. PERAJURIT