About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, October 31, 2012

Kukuhkan benteng pertahanan negara


sumber: utusanpenang@utusan.com.my
Oleh NORAZLINA ISMAIL

DALAM misi mempertahankan negara, kekuatan ketenteraan di daratan, lautan dan udara begitu penting bagi memastikan benteng pertahanan negara sentiasa dalam keadaan kukuh.
Jumlah keanggotaan yang ramai dan kemudahan terkini sahaja tidak mencukupi jika tidak disertai dengan latihan berterusan.

Sebab itu dari semasa ke semasa, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa melibatkan diri dalam pelbagai siri latihan sama ada di peringkat domestik mahu pun antarabangsa bagi memastikan setiap anggota sentiasa berada dana keadaan bersedia.

Melalui latihan berterusan itu juga, kemahiran dan keupayaan setiap anggota juga dapat dipertingkatkan atau sekurang-kurang dikekalkan pada tahap maksimum.
Latihan-latihan tersebut juga dapat menguji setiap aset yang dimiliki oleh ATM demi memastikan ia berada dalam keadaan sempurna dan berkesan.

Bagi tujuan itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan dengan bantuan Tentera Darat Diraja Malaysia telah berkerjasama dalam pelaksanaan Eksesais Angkasa Samudera (Angsa) bagi Siri 7/2012.

Eksesais kali ini memilih Pangkalan Udara Butterworth di Pulau Pinang menjadi lokasi utama penganjuran latihan bermula 10 hingga 28 September lalu.
Eksesais ANGSA telah bermula sejak tahun 2006 dan ia telah dilaksanakan secara Command Post Exercise (CPX) dan Field Training Exercise (FTX) dan dihoskan secara bergilir-gilir antara kedua-dua perkhidmatan tersebut.

Menurut Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali, tujuan utama pelaksanaan latihan itu bagi menilai keupayaan bersama antara TUDM dan TLDM dalam operasi maritim dan udara., melalui Eksesais ANGSA ini, kita dapat menguji tahap kesiapsiagaan kuasa tempur dua perkhidmatan ini.

"Malah, latihan ini juga dilihat mampu menjadi platform dalam usaha meningkatkan keserasian pasukan untuk bersama dalam sesuatu misi," katanya ketika ditemui pada majlis penutup Eksesais ANGSA 7/2012 di Pangkalan Udara Butterworth, baru-baru ini.

Mohammed Noordin berkata, latihan kali ini melibatkan 442 orang anggota dari tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diketuai oleh Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad selaku Pengarah dan dibantu oleh Pegawai Memerintah Pusat Taktik dan Maritim (PUSTAKMAR), Laksamana Pertama Chin Yoon Chin.

Dalam pada itu, latihan tersebut juga dijadikan sebagai satu platform bagi menilai pelaksanaan operasi dan latihan berdasarkan Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan.
Laksamana Pertama Chin Yoon Chin, berkata, berdasarkan penilaian yang dibuat, latihan kali ini dianggap berjaya.

"Konsep latihan kali ini masih lagi mengekalkan Pelan Operasi Benteng Nusa Timur.
"Kesemua peringkat pegawai dan anggota yang terlibat dalam latihan kali ini telah mempamerkan semangat dan komitmen yang tinggi bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan berada tahap terbaik," ujarnya.
Tambahnya, mereka juga mampu mengoptimumkan penggunaan aset-aset ATM yang sedia ada merangkumi insfrastruktur, peralatan dan kemudahan lain bagi mengurangkan kos perbelanjaan.

Lebih membanggakan, misi Eksesais ANGSA kali ini juga telah berjaya melaksanakan penembakan misil dan roket secara bersepadu di Utara Perairan Selat Melaka.

Pada misi itu, TUDM melancarkan penembakan misil jenis Maverick dan Harpoon dari pesawat pejuang F/A-18D Hornet, manakala TLDM pula melancarkan misil jenis EXOCET MM40 dari Kapal Diraja (KD) LEKIU.
Helikopter TLDM, Super Lynx turut tidak ketinggalan dalam melancarkan misil jenis Sea Skua.

Pelancaran roket pula melibatkan pelancaran Sistem Roket Lancar Berganda (ASTROS) II yang dilancarkan oleh pasukan 51 Rejimen Arteleri Diraja TDM dari tapak penembakan Tanjung Aru.

Kecekapan anggota pasukan dalam pelancaran misil dan roket dikagumi kerana kesemua misil dan roket yang dilancarkan tepat mengenai dan memusnahkan sasaran.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Polis_&_Tentera/20121031/te_01/Kukuhkan-benteng-pertahanan-negara#ixzz2E5KE19Aw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, October 25, 2012

Penembakan misil Seawolf, bukti siap siaga tinggi TLDM


Sumber Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 24 Okt. - Tahap siap siaga di tahap tertinggi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbukti sekali lagi dengan kejayaan penembakan peluru berpandu atau misil dari permukaan ke sasaran di Perairan Selat Melaka semalam.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan TLDM, kejayaan tersebut membuktikan keupayaan aset dan sistem persenjataan TLDM berada ditahap yang amat meyakinkan.

“Kejayaan penembakan kontraktual misil jenis Vertical Launch Seawolf (VLSW) dari KD Lekiu sekali lagi telah melakarkan nama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM khasnya sebagai pasukan angkatan tentera yang wajar digeruni di rantau ini.

“Sekali gus menzahirkan kepada dunia bahawa keupayaan perang TLDM dan kompetensi perancang latihan, pengendali, pengurusan, penyelenggaraan dan pengoperasian aset Armada TLDM, berada ditahap kesiagaan yang tinggi dan terlatih," kata kenyataan itu.

Penembakan misil Seawolf telah dilancarkan dari platform kapal Kelas Frigat, Kapal Diraja (KD) Lekiu ke sasaran udara TGX-2 yang ditunda oleh pesawat Learjet 35A.

“Penembakan ini telah dilancarkan sewaktu siri latihan bulanan Armada TLDM iaitu siri Perang Pangkor 9/2012 yang dilaksanakan sekitar Perairan Selat Melaka Utara.

“Dalam penembakan pagi semalam, Seawolf dari KD Lekiu telah berjaya mengenai dan memusnahkan sasaran pada jarak, ketinggian dan kelajuan yang diprogramkan," ujar kenyataan itu.

“Dalam menentukan kejayaan operasi penembakan kali ini, pelbagai aset dan unit TLDM telah terlibat seperti Markas Armada, Depot Peluru dan Letupan, KD Laksamana Muhammad Amin, KD Selangor, Combat Boat (CB) 90, pesawat Super Lynx, pesawat Fennec dan Tim Rakaman dan Analisis dari Weapon Trial and Assesment Team (WTAT) dari Markas Sistem Armada serta Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi bagi Pertahanan (STRIDE), Kementerian Pertahanan.

“Antara tugas yang dilaksanakan ialah perancangan latihan, tinjauan dan pembersihan kawasan, penyediaan misil dan rakaman serta analisis," kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan berkenaan, Seawolf mempunyai panjang 2.995 meter dengan berat 136.5 kilogram boleh meluncur pada kelajuan sehingga 333 meter sesaat dan boleh beroperasi dalam apa juga keadaan cuaca serta berupaya memusnahkan sasaran udara seperti jet pejuang dan peluru berpandu.

Sementara itu katanya, TLDM pada 20 September 2012 telah berjaya melancarkan misil jenis Exocet MM40 dari KD Lekiu dan misil jenis Sea Skua daripada helikopter TLDM jenis Super Lynx dalam Penembakan Bersepadu ATM bersama TUDM dan Tentera Darat dalam Eksesais ANGSA 7/2012.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121025/dn_19/Penembakan-misil-Seawolf,-bukti-siap-siaga-tinggi-TLDM#ixzz2AJt3wFdC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini