Sumber Majalah Perajurit edisi sept 2012
Pada 17 Julai 2012, Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali
lagi menjadi tuan rumah bagi Istiadat Pentauliahan Pegawai Kadet Pasukan Latihan
Pegawai Simpanan (PALAPES) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ke 31.
Penganjuran kali ini merupakan kali keempat oleh UUM yang
mana sebelum ini pernah menjadi hos dalam istiadat seumpama pada 1989, 1996 dan
2003. Acara tahunan ini dibuat secara
giliran dalam kalangan IPTA yang mempunyai
pasukan berunifom sebagai subjek ko-kurikulum.
Perbarisan Pentauliahan Diraja pegawai kadet PALAPES IPTA ke-31 ini berkekuatan
seramai 1,284 pegawai kadet yang terdiri daripada 600 orang pegawai kadet
lelaki dan 684 orang pegawai kadet wanita.
Daripada keseluruhan kekuatan yang menerima watikah pentauliahan,
seramai 981 orang dari PALAPES Tentera Darat, 154 orang PALAPES Tentera Laut
dan 149 orang PALAPES Tentera Udara dari 15 buah IPTA di seluruh Malaysia. Di antara IPTA yang terlibat ialah Universiti
Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),Universiti Sains Malaysia
(USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pertanian Malaysia (UPM),
Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM),
Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS),
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Perguruan Sultan Idris
(UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Pertahanan Nasional
Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Sehingga kini seramai 21,199 orang pegawai kadet PALAPES IPTA telah ditauliahkan yang
mana selepas tamat pengajian mereka akan melapor ke pasukan-pasukan sukarela
Askar Wataniah, Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM)
dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).
Sesuai dengan penubuhan IPTA sebagai pusat pengajaran dan penyelidikan
pelbagai bidang di samping memberi sumbangan kepada perkembangan sosial,
ekonomi dan intelektual di kawasan setempat, 15 buah IPTA seperti yang dinyatakan di atas juga
merupakan pusat pengeluaran pegawai graduan yang terlatih dalam ilmu
ketenteraan sebagai sumber tenaga bagi Angkatan Tetap dan Angkatan Simpanan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pengurniaan watikah pentauliahan telah disempurnakan oleh Tunku Temenggong Kedah Yang Teramat Mulia Brigadier Jeneral Kehormat Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Dewan Mu’adzam Shah, UUM sebaik sahaja Istiadat Perbarisan Pentauliahan tamat di Padang Kawad UUM.
Sejarah PALAPES
Sejarah pembentukan Pasukan
Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) bermula sejak 3 April 1965 selari dengan
penubuhan cawangan Angkatan Infantri pertama tentera simpanan di Universiti
Malaya (UM), sebagai reaksi dan tindak balas dari kebimbangan kakitangan dan
pelajar-pelajar UM semasa konfrontasi Malaysia-Indonesia pada tahun 1963.
Di peringkat pembentukan
pasukan ini seramai 30 orang pelajar dari pelbagai fakulti telah menjalani
latihan asas rekrut di Kem Latihan Seputih Batu Gajah Perak semasa cuti
semester. Kebanyakan daripada mereka
mempunyai latar belakang tentera atau polis kerana sebelum ini mereka merupakan
bekas pelajar maktab Tentera Diraja.
Bertitik tolak daripada
peristiwa berdarah 13 mei 1969, kompeni ini telah berkembang dengan penubuhan
Kompeni ‘A’ di Institut Teknologi Mara (ITM), Kompeni ‘B’ di Universiti Putra
Malaysia (UPM) dan Kompeni ‘C’ ditubuhkan di Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) dengan UM kekal sebagai Ibu Pejabat Batalion.
Dengan semangat juang yang
tinggi telah ditunjukkan oleh pelajar-pelajar Pusat Pengajian Tinggi ini telah
membuatkan Pengarah Tentera Simpanan iaitu Brigadier General Dato' Abul As
bin Ismail memulakan perbincangan dengan Naib Canselor semua universiti-universiti terbabit bagi mewujudkan PALAPES.
Ibu Pejabat PALAPES UM
Ibu Pejabat pertama Batalion Infantri pertama UM ditempatkan
di bilik tutorial Fakulti Sastera. Oleh
kerana tiada bangunan atau tapak latihan khusus pada masa itu, semua latihan
dikendalikan di sekitar kampus dan kem-kem tentera.
Pada tahun 1969, UM bersama dengan Kementerian Pertahanan
bersetuju untuk membina sebuah kem baharu untuk batalion mereka pada sebidang
tanah di jalan Damansara iaitu di belakang kampus UM. Pembinaan ini telah diselia oleh Jabatan
Kerja Raya (JKR) dengan menyiapkan 5 blok kayu.
Kem ini turut dikongsi dengan Ibu Pejabat Division ke-11 dan telah
membina 2 blok tambahan mengandungi garaj kenderaan dan perumahan untuk tenaga
pengajar pada tahun 1983. Setelah
Division ke-11 berpindah ke kem Jalan Imphal, kem tersebut telah diserahkan kepada
PALAPES UM.
Malangnya kem Damansara juga tidak dapat menyediakan
fasilitas penuh untuk tujuan latihan kerana bilik kuliah terlalu kecil bagi
menampung semua kadet dalam satu masa.
Kem ini tidak mempunyai padang kawad dan setor senjata yang
mengakibatkan latihan tidak berjalan lancar.
Kem ini juga didapati telah usang dan fungsi-fungsinya yang terhad. Daripada kesedaran itu, satu usaha untuk
membina satu kem baharu telah dimulakan oleh Timbalan Komandan pada masa itu
iaitu Leftenan Kolonel Md Affandi Awang dalam tahun 1994.
Pada 2 Ogos 1996, satu
peruntukan sebanyak 3.5 juta telah diluluskan untuk membina sebuah kompleks
yang mengandungi satu blok pentadbiran, bilik kuliah, setor senjata, bengkel
kenderaan,pos keselamatan dan padang kawad di atas sebidang tanah seluas 8
hektar di belakang Kem Damansara. Pembinaan ini telah siap dibina pada Feb 1998
dan pemindahan dari Kem Damansara telah dilakukan pada Julai 1998. Pada 24 November 1998 kompleks baharu ini
dirasmikan pembukaannya oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Syed Hamid Bin Syed Jaafar Albar dengan
disaksikan oleh Panglima-panglima dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM. (Sumber: http://palapes.um.edu.my).
Selari dengan objektif penubuhan yang sangat signifikan
dengan keperluan semasa pendidikan dan pertahanan maka menjadi kewajiban kepada
pentadbir-pentadbir IPTA memanjangkan kolaborasi dengan pihak Kementerian
Pertahanan bagi meneruskan usaha ini kepada semua IPTA di Malaysia dengan
mengadaptasikan salah satu atau ketiga-ketiga cabang perkhidmatan ATM menjadi
unit PALAPES sebagai medium ko-kurikulum Universiti.
Justeru, mengikut
catatan dari sumber laman-laman sesawang berkaitan, PALAPES UKM ditubuhkan pada 1979, ITM/UiTM (1979),
UPM (1980), USM 1980, UUM 1984, UTM (1991), ATMA/UPNM (1995), UMS (1997),
UniMap (2005), UMT (2007), UPSI (2003) UTHM (2003) dan UIAM (2009) bagi
melahirkan pegawai-pegawai muda berijazah, berdisiplin dan berkarisma untuk
memimpin pasukan-pasukan sukarela setelah tamat pengajian.
Objektif Dan Keistimewaan PALAPES
Pada dasarnya objektif penubuhan PALAPES adalah untuk memberi
pendedahan kepada penuntut-penuntut IPTA
selok belok ilmu ketenteraan untuk membina jati diri ke arah pembentukan insan
berdisiplin dan bersemangat waja. Di
samping menyediakan sumber tenaga pegawai lepasan IPT yang terlatih dalam
bidang ketenteraan kepada Angkatan Tetap dan Angkatan Simpanan bagi mengukuhkan
pertahanan negara.
Latihan PALAPES dijalankan selama 3 tahun sesuai dengan
tempoh pembelajaran normal seseorang penuntut di IPT di mana silibus asasnya
adalah sama dengan latihan kadet di kolej-kolej cabang perkhidmatan namun
latihan keseluruhannya tidak dapat
menandingi mutu latihan di pusat-pusat latihan kadet Angkatan Tetap terutamanya
UPNM yang memberi latihan secara fundalmental serta bertanggungjawab
dalam meningkatkan pengetahuan dan status akademik angkatan bersenjata dengan
menawarkan gelaran sarjana di bidang teknik, ilmu pengetahuan dan pengurusan
sementara tidak mengabaikan keperluan dasar dari latihan tentera.
Sebelum layak ditauliahkan sebagai Pegawai Muda, kadet
PALAPES perlu menjalani latihan yang diperuntukan hampir 300 jam setahun secara
keseluruhannya merangkumi latihan tempatan, latihan kem tahunan dan latihan
pentauliahan. Sepanjang latihan mereka
diberi makan percuma dan insentif RM4.00 sejam bagi latihan tempatan, RM27.71
sejam bagi latihan berterusan, khemah tahunan dan perbarisan tamat latihan di
samping bounty tahunan sebanyak RM520.00. Insentif-insentif yang diterima sekali gus
dapat meringankan beban perbelanjaan sepanjang pengajian.
Antara Patriotisme Dan Kekangan Semasa
Anggota PALAPES sebenarnya telah diberi masa secukupnya oleh
pihak IPTA untuk para peserta menjalani latihan asas ketenteraan dibantu atau
dilatih oleh anggota tetap mengikut perkhidmatan masing-masing sebelum mereka
di tauliahkan sebagai Pegawai Muda dalam Angkatan Sukarela ATM. Malah mereka
juga diberi keistimewaan dan pengiktirafan yang sama seperti anggota sukarela
yang lain dalam konteks pakaian, insentif dan sebagainya.
Sistem dan prosedur
pentauliahan juga tiada bezanya dengan sistem yang dipraktikkan kepada
pegawai-pegawai kadet dari Angkatan Tetap dengan menekankan sepenuhnya adat
istiadat, tradisi rejimental mana-mana cabang dalam ATM. Bermakna selesainya pengurniaan watikah
pentauliahan oleh mana-mana Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan
atau YDP Agong, mereka sudah boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah
dengan pegawai kadet Angkatan Tetap cuma kebolehan, kompetensi dan perjawatan
yang membezakan mereka. Mereka perlu
terus berlatih dan menimba ilmu teknik dan taktik ilmu ketenteraan secara
berterusan jika ingin mendapatkan impak maksima dalam bidang ketenteraan.
Namun begitu, setelah bergelar pegawai muda, ramai yang
mensia-siakan watikah pentauliahan ini tanpa meneruskan kesinambungan latihan
di mana-mana pasukan Angkatan Sukarela untuk meneruskan kesinambungan bagi
mempersiapkan diri menjadi seorang pegawai tentera sebenar.
Dalam persoalan ini penulis tidak menunding jari kepada
pegawai-pegawai muda tersebut secara total kerana banyak
kekangan-kekangan yang terpaksa ditempuhi bagi pegawai-pegawai muda khususnya yang
bekerja dengan agensi-agensi swasta yang
mana pihak majikan langsung tidak berkompromi untuk memberi pelepasan kepada staf-staf
mereka bergiat cergas dalam pasukan berunifom.
Ada juga penempatan pekerjaan terlalu jauh dengan kem-kem
tentera yang menyukarkan mereka untuk
meneruskan latihan dengan mudah. Ada
juga terdapat dalam kalangan
pegawai-pegawai muda memberi alasan terdapat banyak sangat birokrasi seumpama kesukaran
untuk kenaikan pangkat, Unit-unit Sukarela tidak mempunyai ruang lagi untuk
menerima mereka bila mereka bertukar tugas ke sesuatu kawasan baharu dan
pelbagai alasan lagi yang diberi untuk mengiyakan tindakan mereka. Malah tidak
kurang juga angka yang tidak langsung mempunyai alasan untuk tidak hadir
meneruskan latihan melainkan kemungkinan kerana tiada lagi keperluan atau
kepentingan peribadi yang boleh diharapkan dengan title pegawai
sukarela.
Kekangan dan tekanan dari pihak majikan yang tidak patriotik
terus menjadi penghalang utama kepada usaha untuk menjadikan Pertahanan
Menyeluruh (HANRUH) sebagai wadah perjuangan warga negara bangsa mempertahankan
tanahair mereka.
Bagi memudahkan usaha anggota sukarela menghadiri latihan,
pindaan terhadap Akta Angkatan Tentera 1972 telah dilaksanakan. Pindaan
terhadap seksyen 201B dan seksyen 201C telah dikuatkuasakan pada 15 Ogos 2005
yang mewajibkan majikan memberi pelepasan kepada pekerja-pekerja mereka
menghadiri latihan dan penugasan Angkatan Sukarela.
Seksyen 201B Akta ATM 1972 menerangkan mana-mana majikan
yang menghalang pekerjanya menjalani latihan Angkatan Sukarela boleh, apabila
disabitkan, didenda tidak melebihi RM6000.00 atau penjara tidak melebihi 6
bulan atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 201C Akta ATM 1972 menerangkan mana-mana majikan
yang menamatkan pekerjaan pekerjanya yang merupakan Angkatan Sukarela
semata-mata kerana pekerja itu mengikuti latihan atau pertugasan, jika
disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM6000.00 atau penjara tidak
melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Peraturan 41Bab C Perintah Am, 1974 telah memperuntukan cuti
tanpa rekod selama 30 hari oleh Ketua Jabatan kepada seseorang pegawai atau
kakitangan kerajaan yang dikehendaki menghadiri latihan atau khemah tahunan
pasukan-pasukan sukarela.
Meskipun akta yang termaktub cukup kondusif bagi membolehkan Angkatan Sukarelawan yang
bekerja makan gaji dengan kompeni untuk meneruskan aktiviti latihan,
peningkatan dan penugasan namun hakikatnya masih terdapat rungutan seolah-olah
sistem yang disediakan tidak berjalan seperti yang dirancang. Dilema ini tidak
mudah untuk diselesaikan tanpa kerjasama semua pihak-pihak terbabit yang mana
jika diambil jalan sendiri akan mendatangkan impak yang kurang baik sekaligus
akan memudaratkan prestasi kerja pegawai-pegawai muda yang terlibat.
Secara praktikalnya setakat ini belum lagi kedengaran mana-mana majikan telah di penjarakan atau
didenda kerana menghalang pekerjanya dari menyertai latihan Pasukan
Sukarela. Ini menggambarkan bahawa
penguatkuasaan undang-undang tidak berjalan bagi membendung perkara ini
berlaku. Natijahnya fenomena ini hanya
tinggal polemik berterusan. Alangkah
ruginya negara yang telah membelanjakan ribuan ringgit untuk menjadikan seorang
awam yang tidak reti apa-apa tentang tentera,
sehingga anak muda itu menjadi
seorang yang berkarisma di samping segulung ijazah selepas tamat pengajian.
Natijah kepada kesedaran bagi mengekalkan kedaulatan,
keselamatan dan kestabilan negara bukan sekadar menggariskan di atas kertas malah
ianya menuntut lebih daripada itu seumpama menguatkuasakan penglibatan mereka-mereka
yang sudah menyatakan komitmen sesuai dengan akta-akta yang telah diperuntukkan.
HANRUH memerlukan penyertaan dan komitmen yang padu
terutamanya daripada masyarakat yang sudah pun menjadi separa tentera yang
bernaung di bawah Angkatan Simpanan Sukarela (volunteer). Pegawai-pegawai Muda PALAPES, Pegawai-pegawai
dan LLP Askar Wataniah, PSSTLDM dan PSSTUDM dan mengembalikan mandat kepada sebilangan
lagi Angkatan Simpanan Tetap (reservist) yakni anggota/pegawai Angkatan Tetap
yang telah berhenti, meletak jawatan dan bersara dari perkhidmatan. Mereka diwajibkan berkhidmat sebagai
anggota simpanan di dalam perkhidmatan masing-masing mulai dari tarikh berhenti
untuk jangka masa lima tahun bagi pegawai, manakala anggota lain-lain pangkat
sehingga mencapai umur 50 tahun atau yang mana terdahulu.
Mereka merupakan aset sokongan pertahanan yang mampu
bergerak dalam formasi-formasi tertentu selari dengan pelan kontijensi dalam membantu-ganti
angkatan tetap menggandakan paras kekuatan yang diperlukan untuk mempertahankan
kepentingan strategik bila keadaan mendesak.
Kumpulan ini mesti bersungguh-sungguh menjadikan diri mereka model terbaik
untuk dicontohi dan menarik minat orang-orang awam yang lain menyertai jejak
mereka dalam pasukan sukarela.
Peranan dan tanggungjawab tidak hanya terhad kepada
kemampuan memikul senjata dengan kekuatan fizikal di barisan-barisan tertentu
sahaja malah melalui penghayatan ianya boleh diterjemah dan diaplikasikan
mengikut kemampuan dan patriotisme walau di tahap mana seseorang itu
berada. Waktu aman, sesuai dengan Strategi Lautan Biru negara, mereka juga
boleh digerakkan bagi
membantu operasi-operasi keselamatan dalam negeri dan lain-lain operasi
menghadapi bencana alam atau lain-lain kecemasan jika
keadaan memerlukan.
Pembangunan dan perkembangannya Angkatan Sukarela mempunyai
paksi dan hala tuju yang jelas malah sudah mencipta sejarah cemerlangnya yang
tersendiri semasa mempertahankan tanahair pada suatu ketika dahulu. Di era ini, penambahan dan penubuhan
platun-platun baharu bagi setiap Parlimen sangat signifikan dengan keperluan
pertahanan negara masa kini dan mendatang yang mendambakan penyertaan
menyeluruh rakyat Malaysia dari semua kaum.
Individu-invidu yang
telah menyahut cabaran untuk menjadi sebahagian daripada warga pertahanan
negara dengan jujur dan rela hati ingin berbakti kepada ibu pertiwi bukan
dipengaruhi oleh lain-lain maksud seperti ingin menambahkan pendapatan atau
keistimewaan-keistimewaan tertentu sebagai seorang tentera adalah mempunyai
nilai yang sangat tinggi pada tafsiran patriotisme. PERAJURIT
1 comment:
sejurus habis sahaja watikah,bolehkah untuk pegawai muda palapes untuk menyambungkan ke bidang ketenteraan sebagai kerjayanya?
Post a Comment