Sumber: Majalah Perajurit edisi ogos 2012
Oleh Hamzah hd.
Sejarah
pergolakan,
penentangan dan perjuangan rakyat di Tanah Melayu boleh dikatakan telah bermula
sejak tahun 1500an yang kebanyakannya adalah berpunca dari penjajahan dan
campurtangan bangsa lain ke atas tanahair mereka. Banyak kerajaan-kerajaan dan kesultanan Melayu telah dinaungi kuasa-kuasa asing yang
berbeza iaitu dari kuasa-kuasa penjajah Eropah seperti Portugis, Belanda dan
British malah juga dengan kuasa-kuasa serantau seperti Siam dan Jepun.
Perlombongan bijih timah bermula sejak tahun 1820 telah mencetus kemasukan
imigran dari negeri China secara beramai-ramai ke Perak dan Selangor merupakan
generasi terawal bangsa Cina yang yang bertapak di Malaysia hingga ke hari
ini. Campur tangan British dalam hal ehwal
negeri-negeri Melayu telah berlaku pada tahun 1895, apabila Raja-raja Melayu
telah menerima Residen British dalam
pentadbiran negeri-negeri Melayu bersekutu sekali gus menjadi kuasa asing yang
dominan di Tanah Melayu pada waktu itu.
Perjuangan PKM dalam dua era |
Ancaman Parti Komunis Malaya
Dominasi ini telah menjadi punca kepada konflik
berpanjangan di Tanah Melayu yang mengheret bangsa-bangsa imigran dan penduduk
tempatan bersengketa. Parti Kuomintang dari China telah bertanggung jawab
menyebarkan fahaman komunis ke Tanah Melayu.
Oleh kerana Cawangan Kuomintang di Tanah
Melayu telah diharamkan oleh British, maka golongan komunis di Tanah Melayu
menubuhkan Parti Komunis Nanyang tetapi diharamkan pada tahun 1930 kemudian
menubuhkan pula Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun yang sama yang bertujuan untuk
menjadikan sebuah Republik Komunis di Tanah Melayu. Untuk merealisasikan hasrat itu PKM terpaksa
berhadapan dengan kuasa Inggeris yang sedang melebarkan empayarnya di benua
Asia.
Bila Jepun mula menjajah
Tanah Melayu pada 15
Februari 1942 sehingga 12 September 1945 maka terbentuk suatu suasana baru yang
menjadikan konflik bertambah rumit.
Dalam masa penjajahan ini telah lahir beberapa puak penentang , seperti
Force 136, Gerila Kinabalu dan lain-lain gerakan yang menentang kezaliman tentera
Jepun.
Suasana ini memaksa PKM bekerjasama dengan British untuk memerangi
Jepun telah membentuk Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA) yang juga
dikenali sebagai Bintang Tiga untuk berperang dengan mereka. Menerusi
MPAJA, bantuan senjata, latihan, kewangan, bekalan lojistik dan perubatan telah
diperolehi daripada British. Dalam
tempoh 3 tahun kekuatan tentera MPAJA dianggarkan seramai 7,000 orang anggota
dan tidak hairanlah apabila darurat berlaku pihak British dan anggota pasukan keselamatan terpaksa
berhadapan dengan kesukaran menghapuskan sekumpulan tentera yang telah dilatih
untuk berperang.
Dalam masa yang sama selain daripada kumpulan penentang,
lahir juga kumpulan-kumpulan kecil rakyat negeri yang terperangkap dengan janji
dan dakyah palsu pihak Jepun untuk memerdekakan Tanah Melayu dari kongkongan
British telah bertindak menyokong dan menjadi tali barut tentera Jepun.
Kesengsaraan
rakyat di atas kezaliman tentera Jepun semasa penjajahannya mendorong kepada
kumpulan penentang membalas dendam selepas Jepun menyerah kalah. PKM mengambil
kesempatan untuk berkuasa melalui gerila-gerila MPAJA dengan
melakukan keganasan membunuh saki baki orang-orang Melayu yang pernah bekerja
sebagai polis dan tali barut Jepun.
Keadaan ini telah mencetuskan pergaduhan antara kaum terutamanya di
bahagian selatan Tanah Melayu yang akibatnya orang-orang Melayu bangkit
bertindak balas menentang Bintang Tiga.
Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang
singkat menyebabkan komunis Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh
mereka. Akibat kegagalan komunis Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan
gerakan militer, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan
perletakan senjata api di samping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila
terbabit.
Orang-orang
Melayu yang bersimpati dan cenderung kepada perjuangan PKM telah menubuhkan
Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 17 Oktober 1945 melalui
tokoh-tokoh jawatankuasanya yang terdiri daripada Mokhtaruddin Lasso (Presiden), Arshad Ashaari (bendahari), Rashid Maidin, Abdullah C.D. yang mana mereka lebih
cenderung supaya Tanah Melayu menyertai Indonesia bagi mendapat kemerdekaan
pada 1949 dan kemuncak kepada pengistiharan darurat oleh British
adalah insiden pembunuhan tiga orang pengurus estet berbangsa Eropah.
Pada
1 Februari 1949, PKM merasmikan penubuhan Tentera Pembebasan Nasional Malaya
(TPNM) dan pada 21 Mei 1949, Rejimen Ke-10 TPNM dirasmikan penubuhannya di
Kerdau, Temerloh, Pahang. Rejimen Ke-10 adalah pasukan yang terdiri daripada
putera-puteri bangsa Melayu. Kebanyakan anggotanya adalah bekas anggota PKMM, Angkatan
Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar ( AWAS) dan Barisan Tani Malaya (BTM)
yang diharamkan oleh penjajah British. Abdullah C.D. adalah Pesuruhjaya Politik
pasukan tersebut.
Pada
tahun 1953, induk Rejimen Ke-10 melakukan peralihan strategik dari pangkalannya
di Temerloh ke kawasan sempadan Malaya-Thailand dan tiba pada tahun 1954. Tahun 1960, Rejimen
Ke-10 mulai merekrut perajurit di kawasan sempadan.
Manakala anggota keselamatan iaitu Askar Melayu pada masa
darurat di seluruh negara diistiharkan pada 8 Jun 1948 hanya berkekuatan 3 batalion. Mereka telah berjuang menentang PKM bersama
tentera British, Komanwel dan Pasukan Polis.
Kemudian Askar Melayu di perbesarkan kepada 7 batalion sehingga tahun
1956. Dalam masa yang sama Kor Armor dan
Rejimen Semboyan ditubuhkan. Dengan
penubuhan 2 pasukan baharu itu telah memberi peluang kepada rakyat berbangsa
bukan Melayu turut berganding bahu mempertahankan negara yang sedang menghadapi
banyak ancaman. Selepas itu Rejimen
Jurutera dan Kor Polis Tentera ditubuhkan. Pertambahan keanggotaan Tentera
Darat telah membuahkan kejayaan demi kejayaan dalam meredakan ancaman komunis.
Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat
serta asakan demi asakan daripada Pasukan Keselamatan memaksa Chin Peng meminta
perundingan diadakan. Justeru, Rundingan
Baling telah diadakan pada 28 dan 29 Disember 1955 namun tidak membawa apa-apa
keputusan positif ke arah perdamaian. Faktor
kegagalan perundingan ini adalah kerana pihak kerajaan meminta supaya PKM
dibubarkan dan akan diberi pengampunan jika berbuat demikian tetapi Chin Peng
pula meminta PKM dibenarkan untuk bergerak sebagai sebuah parti politik namun usul
tersebut ditolak.
Setelah negara mencapai kemerdekaan pada 1957, tentera
darat telah berkembang pesat bagi mengisi kekosongan dengan pengunduran tentera
British dan Komanwel. Sehingga 1961
Rejimen Askar Melayu telah berkembang kepada 11 batalion di samping penubuhan
pasukan bantuan logistik bagi menampung keperluan TD dan bantuan kepada pasukan
Infantri menghapuskan saki baki PKM dalam apa jua bentuk perkhidmatan yang
diperlukan sesuai dengan kepakaran masing-masing.
Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Januari 1948 yang mengandungi
11 negeri di Tanah Melayu (9 negeri Melayu dan penempatan British di Pulau
Pinang dan Melaka) yang sebelumnya adalah dikenali sebagai Malayan Union telah
dibubarkan kerana desakan pemimpin-pemimpin politik Melayu dan pakatan yang
dipimpin oleh Dato Onn Jaafar yang pada masa itu berusaha keras untuk
membebaskan Tanah Melayu dari penjajahan British.
Malaya memperolehi
kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957 ketika darurat masih lagi berkuatkuasa. Pada 31 Julai 1960,
darurat ditamatkan setelah ancaman komunis semakin berkurangan dan pengunduran
mereka ke sempadan Tanah Melayu - Thailand. Penempatan baru komunis di sempadan
telah membolehkan mereka mengumpul dan memulihkan kekuatannya serta merekrutkan
anggota-anggota baharu.
Kemudian pada 16 September
1963 Malaysia dibentuk dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura. Tarikh
ini juga diingati sebagai Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga
dikenali sebagai Hari Malaysia..
Di era insugensi, peranan
dan komitmen Pasukan Keselamatan jelas memberi gambaran peningkatan dan
kemampuan warganegara sendiri menangani ancaman. Semua kaum dan etnik telah
diberi peranan yang sama di dalam pasukan-pasukan keselamatan tanpa ada rasa
prejudis antara satu sama lain. Perpaduan kaum di dalam pasukan keselamatan
jelas mempamirkan kerukunan dan keharmonian di bawah kedaulatan satu
panji-panji dan mereka menterjemahkan dengan memberi perkhidmatan cemerlang di
dalam menghadapi ancaman subversif.
Kapt Ah Meng kini menjadi jurucakap di perkampungan PKM Sadao. Berasal dari Sg Besi Kuala Lumpur. Menyertai PKM sejak 1972 |
Rejimen
ke-10 Parti Komunis Malaya di bawah pimpinan CCM Abdullah CD dan Rejimen ke-12
di bawah pimpinan CCM Ah Sze telah
menunjukkan bantahan dan melakukan tindakan agresif melakukan sabotaj terhadap
pembinaan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) bermula 1970 yang mengakibatkan
penangguhan dan kerugian berjuta-juta ringgit.
Suasana ini telah mencetus kepada strategi baru ATM yang mana Batalion
Infantri Siri 300 ditubuhkan bagi menjaga kepentingan tersebut.
Dengan
terbinanya JRTB dan pembangunan dan
penerokaan tanah-tanah baru di sempadan menjadikan hutan semakin sempit dan
kuasa mobiliti Pasukan Keselamatan menjadi lebih lancar dan pantas menyebabkan pergerakan
PKM menjadi semakin sukar dan sering terkepung oleh tindakan dan gerakan
agresif Pasukan Keselamatan yang langsung tidak memberi ruang untuk mereka
bergerak bebas malah juga proganda mereka tidak lagi mendapat sokongan rakyat
Malaysia yang mula memahami kebaikan fahaman demokrasi yang diamalkan malah
faktor kemerosotan pengaruh dan ideologi komunisme dunia yang semakin runtuh.
Justeru,
satu lagi rundingan damai 3 penjuru telah termeteri iaitu Perjanjian Hadyai
telah ditandatangani pada 2 Disember 1989 di antara Kerajaan Malaysia, Parti
Komunis Malaya dan Kerajaan Thailand yang telah membawa kepada perletakan senjata PKM
setelah 41 tahun Malaysia dibelenggu oleh ancaman komunis. Perjanjian
bersejarah ini diadakan di Hotel Le Garden, Hadyai.
PKM Pasca Perletakan Senjata
Perkampungan
Daerah Sadao - Selepas darurat ditamatkan
pada 1960, PKM masih meneruskan gerakan agresif bersenjata di seluruh
Semenanjong. Beberapa kem strategik di
beberapa kawasan di Selatan Thai menjadi medan merekrut, melatih
anggota-anggota baru dan merangka strategi bagi melumpuhkan tentera darat
Malaysia khususnya.
Terowong yang kini dijaga sebagai artifak pelancongan |
Salah satu kem
yang menjadi pusat pertahanan ampuh PKM pada waktu itu dibina di lereng bukit
yang tersembunyi dan dilitupi hutan teropika yang sangat tebal malah tidak boleh kelihatan jika ditinjau melalui
udara seperti pergerakan anggota-anggota malah
objek seni seperti asap.
Kem ini terletak
di
Tombon Khlong Khwang, Amphoe Nathawi , 92 km dari Hatyai. Di lereng atau di
celah-celah bukit ini juga dibina
terowong sepanjang 1 km. Terowong yang lebarnya lebih kurang 3 kaki
dengan ketinggian lebih kurang 7 kaki mengandungi 3 tingkat dengan 16 lorong dan
terdapat banyak ruang-ruang berbilik seperti bilik tidur, ruang pejabat, ruang
mesyuarat, lapang sasar dan sebagainya.
Di luar terowong
terdapat gelanggang basketball, dapur, bilik istiadat perkahwinan dan tempat
tinggal pengikut-pengikutnya. Terdapat
aliran air yang mengalir yang menjadi sumber minuman dan mandian
penghuninya. Kem ini pada suatu ketika
pernah menempatkan sehingga 400 orang anggota PKM dalam satu masa. Proses membuat terowong ini memerlukan masa 2
tahun untuk disiapkan dan digambarkan pengorekan ini mampu dilakukan hanya 2
atau 3 kaki sehari kerana ianya terpaksa memecahkan batu-batu pejal.
Di dalamnya yang bertingkat-tingkat |
Selepas
perletakan senjata PKM pada tahun 1989, kerajaan Malaysia dikatakan telah
menawarkan pengampunan dan saki baki anggota PKM disaran untuk menyerah
diri. Anggota PKM mendakwa, mereka akan
ditahan di Pusat Tahanan Kemunting selama 2 tahun sebelum dibebaskan sepenuhnya
melainkan ketua mereka Chin Peng dan seorang lagi pegawai kanan yang ditawarkan
bebas sepenuhnya. Namun begitu hanya 500 orang dikatakan balik ke Malaysia dan
sebahagaiannya lagi tidak mahu menyerah
diri telah mengambil keputusan untuk
terus tinggal di negara Thailand.
Untuk itu
kerajaan Thai telah menganugerahkan kepada mereka tempat kediaman dan tanah
pertanian sebanyak 6 ekar seorang untuk diusahakan di sepanjang laluan
Hatyai-Nathawi-Ban Prakob-Khao Nam Khang dan kini mereka telah menjadi
warganegara Thailand yang sah.
Manakala kawasan
ini telah digazetkan sebagai Taman Nasional Khao Nam Khang di di Tombon Khlong Khwang, Amphoe Nathawi. Penempatan ini telah diubah suai dan di
pulihara sebagai tapak sejarah dengan mempamirkan artifak perjuangan PKM untuk
tarikan pelancong setelah perjuangan
pengganas komunis di Malaysia tamat pada
tahun 1989.
Kem ini pernah di serang dalam
Operasi Daoyai Musnah 1 pada 14 Januari 1977 oleh gabungan angkatan Royal Thai
Army dan ATM bertujuan untuk membuat pembersihan ke atas kem Komunis yang
terbesar di selatan Thai ini. Operasi ini disusuli Op Daoyai Musnah 2 bagi
meneruskan kecemerlangan Op Daoyai Musnah 1 bagi membersih saki-baki PKM yang
tinggal.
Kampong Perdamaian Syakirin - Bermastautinnya
bekas kader dan perajurit Rejimen Ke-10 TRM adalah di satu kampung yang diberi nama Kampung Rattana
Kitti 4 atau pun disebut Kampung Perdamaian Ke-4 di Daerah Sukhirin, Wilayah
Narathiwat. Penduduk pada masa awalnya terdiri daripada 167 keluarga berjumlah seramai
270 orang. Kerajaan Diraja Thailand
memberikan bantuan seperti elaun sara hidup selama 3 tahun, rumah untuk setiap
keluarga, tanah kebun seluas 15 rai sekeluarga, bantuan bercucuk-tanam dan
berbagai kemudahan lain termasuk bantuan pembangunan kampung.
Pada 28 Jun
l993, di bawah perhatian Puteri Chulabhorn, kampung ini diletakkan di bawah
Institiut Pengkajian Chulabhorn dan diberikan nama Kampung Chulabhorn Patana
12. Dengan demikian, kampung ini telah memperolehi kemajuan yang lebih pesat
dan telah dilengkapkan dengan berbagai kemudahaan asas seperti jalanraya,
elektrik, air paip, air bersih, telefon, mesjid, sekolah rendah, klinik, taman
asuhan kanak-kanak dan lain sebagainya.
Sekarang ini,
Kampung Chulabhorn Patana 12 berjumlah 138 keluarga dengan jumlah penduduk
seramai 500 orang, lebih 200 orang di antaranya ialah kanak-kanak.
Kampung
Chulabhorn Patana 12 diselenggarakan oleh 3 badan iaitu Jawatankuasa Kampung
diketuai oleh Ketua Kampung bertanggungjawab mentadbir kampung. Jawatankuasa Ugama diketuai oleh Imam
mengurus urusan ugama Islam dan berbagai aktiviti ugama dan Badan Kebajikan
mengurus bantuan kemanusiaan kepada orang tua, orang cacat dan uzur dan
bantuan-bantuan lainnya yang diperlukan.
Untuk memulihara
dan mengenang perjuangan lampau sebuah Muzium telah didirikan pada tahun 1990 u
mntukenyimpan bahan-bahan bersejarah yang bernilai, khasnya bahan-bahan
perjuangan bersenjata PKM Rejimen Ke-10.
Turut di
pulihara ialah bekas tapak Markas Besar Rejimen Ke-10 dan terowongnya yang terletak kira-kira 1 kilometer dari kampong
ini. Kem itu digunakan oleh Rejimen Ke-10 dari tahun l981 hingga tahun l986.
Manakala terowong sepanjang 300 meter digunakan pada tahun 1983 hingga l986.
Konfrontasi
Pengistiharan negara
Malaysia ini juga menjadi penyebab terhalangnya niat Presiden Sukarno untuk
menubuhkan Indonesia Raya iaitu untuk mencantumkan Persekutuan Tanah Melayu,
Sabah dan Sarawak dengan Indonesia yang mula direncanakan sejak 1962.
Kemarahan Sukarno tidak terhenti setakat
perang mulut sahaja malah turut melibatkan penggunaan ketenteraan dalam
kempennya untuk ‘mengganyang’ Malaysia. Rentetan konfrontasi (1962-1966) ini
secara tidak langsung turut memberi kematangan kepada perwira dan perajurit
tanahair menangani konflik serantau.
Banyak
peristiwa-peristiwa berdarah yang berlaku dalam sejarah ini di antaranya ialah
Peristiwa Kalabakan di Tawau Sabah yang berlaku pada 29 Dis 1963 di mana Pos
Kompeni C Batalion ke-3 RAMD telah diserang angkatan rejim Sukarno yang telah
mengorbankan 7 orang anggota platun dan mencederakan 16 anggota yang lain. Pendaratan dan penyusupan angkatan rejim
Sukarno di Johor 1 Sept 1964 juga dapat
dikekang oleh Tentera Darat dalam beberapa hari sahaja.
Pencerobohan rejim Sukarno ini bukan sahaja
tidak mendapat sokongan dari rakyat
tempatan malah anggota mereka sendiri mulai sedar bahawa mereka telah
tertipu oleh dakyah Sukarno dan akur bahawa masyarakat Johor waktu itu adalah
datang dari rumpun mereka sendiri.
Semangat ‘ganyang’ Malaysia sebenarnya tidak terhenti
setakat itu sahaja kerana api permusuhan sentiasa dihidupkan dari masa ke
semasa dengan pelbagai isu yang ada kala ianya didalangi oleh rakyat sendiri yang
tidak berpuas hati dengan kerajaan dan sentiasa berusaha mencetus isu supaya
negara dilihat tidak aman dan kacau bilau di mata dunia.
Namun
begitu semangat rumpunan Melayu antara Indonesia dan Malaysia terjalin kuat
juga di atas kebijaksanaan pemimpin-pemimpin mutakhir kedua-dua belah pihak
yang menyediakan dasar diplomatik mapan telah berjaya mengekang reaksi-reaksi
ganas segelintir rakyat Indonesia yang ‘terpedaya’ malah ada
yang mengatakan tindakan mereka-mereka yang menghidupkan semangat Ganyang
Malaysia itu adalah satu kelumpok yang diupah oleh suatu pihak.
Jika
dikaji secara rasional, tindakan ganas puak-puak Benteng Demokrasi Rakyat
(BENDERA) ini hanya membesarkan beberapa isu remeh dan terpencil seperti
masalah majikan dan orang gaji, isu pengubahan lagu kebudayaan serta beberapa
isu persempadanan yang mana ianya boleh diselesaikan dengan cara baik dan bijak
oleh kedua-dua pihak kerajaan tanpa perlu rakyat mendesak sebegitu rupa yang
lebih kepada sikap ‘melaga-lagakan’ supaya peperangan yang lebih besar
tercetus.
Rusuhan
Kaum
Pergolakan
kaum yang berlaku di Singapura 1965 menjadi alasan Tunku untuk memisahkan
Singapura dari Malaysia. Lee Kuan Yew yang mempunyai autoriti sebagai pemimpin
Singapura menjadikan bangsa Melayu terpinggir dan mencetus beberapa kejadian
rusuhan kaum antara Melayu dan Cina dan menyebabkan ramai yang cedera dan
terbunuh.
Namun penyingkiran Tunku tehadap Singapura
daripada Malaysia tidak berjaya memadam api perkauman Cina-Melayu kerana 13 Mei
1969 menyaksikan satu lagi rusuhan kaum menjadi sejarah terburuk dalam sejarah
Malaysia dengan jumlah ratusan angka korban dan ribuan angka yang tercedera.
Sentimen
kaum ini telah disemarakkan lagi Semasa kempen Pilihan Raya 1969 dengan memanipulasi kan isu oleh penceramah-penceramah politik dari kalangan
parti pembangkang. Untuk menagih faedah
pilihanraya mereka telah membesar-besarkan isu bangsa serta hak keistimewaan orang Melayu sebagai bumiputera
dan hak kerakyatan orang bukan Melayu.
Parti Perikatan yang dianggotai oleh (UMNO-MCA-MIC telah
gagal memperolehi majoriti 2/3 di parlimen, walaupun masih berjaya membentuk
kerajaan persekutuan. Pihak pembangkang pula
memperolehi pencapaian gemilang dalam
pilihanraya telah meraikan kemenangan mereka pada 11 Mei 1969.
Perarakan tersebut sebenarnya tidak bermotif untuk
menimbulkan isu perkauman tetapi terdapat segelintir pengikut perarakan telah
mengeluarkan slogan-slogan sensitif berkenaan isu perkauman semasa mengadakan
perarakan di jalan-jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Perarakan turut
dijalankan pada 12 Mei 1969 di mana kaum Cina berarak menerusi kawasan Melayu,
melontar penghinaan sehingga mendorong kepada kejadian tersebut.
Pihak pembangkang yang sebahagian besar darinya kaum Cina
dari Democratic Action Party (DAP) dan Gerakan yang menang, mendapatkan
permit polis bagi perarakan kemenangan melalui jalan yang ditetapkan di Kuala
Lumpur. Bagaimana pun perarakan telah tidak melalui laluan yang ditetapkan malah melalui kawasan
Melayu Kampung Baru, menyorak dan menghina
penduduk di situ. Ianya berlarutan hingga ke 13 Mei 1969 di mana UMNO juga
telah mengadakan perarakan balas.
Cabar mencabar antara kedua pihak berlaku dan dengan
tokok tambah cerita tentang pembunuhan kejam yang dilakukan oleh kedua-dua
belah pihak menjadikan keadaan tidak dapat dikawal dan mengakibatkan rusuhan
kaum ini tidak boleh dibendung pada suatu ketika dan berakhir dengan rusuhan
antara kaum yang terburuk dalam sejarah Malaysia. Penglibatan Rejimen Renjer yang komposisinya
campuran kaum dikatakan juga telah memburukkan lagi keadaan. Menyedari hakikat itu, Askar Renjer
dikeluarkan dan digantikan dengan RAMD bagi meredakan keadaan.
Tersurat dan Tersirat
Mutakhir, keselamatan negara kerap kali tergugat oleh
perhimpunan-perhimpunan dan demontrasi-demontrasi jalanan yang menuntut pemantauan,
kesiagaan, pencegahan yang rapi oleh anggota keselamatan untuk mententeramkan
keadaan sehingga tindakan tegas ini sering dimanipulasikan.
Transformasi dalam persekitaran politik turut mencetus konflik pemikiran
dalam masyarakat yang mana fakta sejarah perjuangan dan penentangan yang sekian
lama terpahat dalam buku sejarah sudah mula dipertikaikan. Apa yang tersurat dalam dokumen sejarah
Malaysia, pengganas komunis adalah
pertualang namun mutakhir ada segelintir rakyat yang berani mengistiharkan
anggota PKM sebagai pejuang dengan mengemukakan bukti-bukti tersirat mengikut
acuan kepercayaan yang menjurus kepada kepentingan mereka. Golongan ini menjadikan bekas-bekas anggota
PKM sebagai rakan kolaborasi bagi mencungkil sejarah lama perjuangan dengan
membesar- besarkan isu-isu yang kononnya bercanggah dengan dokumentasi sejarah.
Secara rasional, umumnya ramai boleh bertolerasi untuk memperakui bahawa
PKM yang mengganas demi mengusir elemen-elemen penjajahan dan sekutu-sekutunya
yang bertapak di bumi Malaya sebelum merdeka sebagai pejuang namun apakah
rasionaliti seseorang akan dapat menerima penentangan dan kebiadaban PKM
memerangi dengan segala kekuatan dan taktikal terhadap anggota-anggota
keselamatan yang 100 peratus dari warga negara bangsa selama 32 tahun pasca
merdeka?. Bukan sekadar kemusnahan
infratruktur, malah ribuan anggota keselamatan terbunuh, cedera ringan dan
cedera parah, cacat seumur hidup, meninggalkan isteri menjadi balu, anak
menjadi yatim malah ibu/bapa hilang tempat bergantung. Semuanya angkara komunis.
Sesungguhnya mengiktirafkan komunis sebagai pejuang dengan menidakkan jasa
dan kepahlawanan warga pasukan keselamatan ibarat menyapu garam pada luka yang
belum sembuh bagi seluruh anggota-anggota keselamatan. Biarpun generasi terkini pasukan keselamatan
tidak dapat merasai keperitan rakan terdahulu namun ibarat mencubit peha kiri,
peha kanan tetap merasa kesakitannya.
Skeptikal dengan Perjanjian Damai Hadyai yang mencetus kepada
perletakan senjata PKM tetapi hakikatnya
ramai berpendapat mereka tidak menyerah
kalah dan menggugurkan hasrat mereka untuk bangkit semula mengangkat senjata
kerana ideologi komunis masih wujud dan tidak mustahil generasi baharu akan kembali berjuang menegakkan ideologi dan
cita-cita politik mereka yang belum selesai bila tiba masanya yang sesuai.
Persepsi ini berdasarkan kebangkitan pengaruh pemerintahan sosialisme yang
dikatakan salah satu cabang komunisme, di Amerika Selatan. Secara
halus, mereka ini akan menyusup masuk dalam mana-mana persatuan atau parti-parti
politik dan akan mempengaruhi dan berusaha untuk mengambil alih persatuan
tersebut dan mengembangkan sayapnya.
Sejauh mana kebenaran teori ini hanya masa
yang akan menentukannya. Apa yang perlu,
sebagai rakyat Malaysia yang patriotik dan cintakan kedamaian wajib
mempertahankan kedamaian dan ketenteraman ini ke tahap maksima kerana menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara
adalah tanggungjawab bersama. Pengalaman
dari pergolakan masa lampau boleh dijadikan teladan dan sempadan yang mana jika
diteliti kebanyakan berpunca dari hasutan dan campur tangan pihak luar. Berusaha
mempertahankan kemerdekaan yang sudah dicapai adalah lebih mudah daripada
berjuang sekali lagi untuk mendapatkan kemerdekaan kali kedua. PERAJURIT
No comments:
Post a Comment