About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, August 29, 2012

PAHLAWANKU - NUBARI YANG TERLUKA

Oleh Hamzah hd.

Mukaddimah
Program pengkisahan sejarah yang dianjurkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Negeri Perlis pada 28 Ogos 2012 yang lalu adalah manifestasi penghargaan kepada pahlawan-pahlawan negara era insurgensi yang telah berkorban jiwa dan raga mereka di dalam membenteras kemaraan dan pendominasian Parti Komunis Malaya (PKM) di hutan belantara Malaysia pada suatu ketika dahulu khususnya dan pengorbanan warga pasukan keselamatan sepanjang zaman secara keseluruhannya.

Program ini adalah satu usaha untuk mencungkil bahan-bahan sejarah lisan dari masyarakat setempat yang dirakam secara formal dan tidak formal daripada beberapa individu-individu terpilih bertujuan untuk menghasilkan bahan-bahan sejarah lisan untuk dijadikan rujukan dan kajian di Unit Koleksi Negeri Perlis.  Mengimbau kembali sejarah dan nostalgia penting yang pernah berlaku di Malaysia secara umumnya dan kawasan-kawasan sekitar Negeri Perlis secara khusus bagi memastikan kesinambungan sejarah silam tidak luput ditelan zaman.

 ‘Nubari  Yang Terluka’ cuba mengimbau kisah-kisah perjuangan pejuang-pejuang dan pahlawan yang telah terkorban dalam usaha menuntut pembelaan dan pembebasan tanahair melalui beberapa orang individu yang terpilih yang mana dalam konteks ini adalah mereka yang terdiri dari bekas pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat secara langsung menentang pengganas komunis.  Dengan hasrat, sumbang bakti, keringat  dan darah merah mereka yang mengalir semasa mempertahankan maruah bangsa sentiasa dikenang dan mendapat pengiktirafan dari semua rakyat Malaysia.

Keperitan dan kesengsaraan sepanjang menjalankan tugas di perbatasan memerlukan nilai kesabaran yang tinggi.  Keluarga dan kampong halaman ditinggalkan demi negara.  Perjuangan mereka samada sebelum merdeka atau pasca merdeka dikenang dan tidak dinafikan hingga kini oleh majoriti rakyat Malaysia terutamanya pihak pemerintah yang mengiktiraf 31 Julai sebagai Hari Pahlawan dan merencanakan sesuatu saban tahun.

Banyak peristiwa penting telah berlaku dalam lipatan sejarah Malaysia yang mana paling meninggalkan kesan ialah pendudukan Jepun di Tanah Melayu dari 15 Feb 1942 hingga 12 sep 1945 yang telah menyemarakkan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat Malaya.  Ini terbukti dengan kemunculan beberapa gerakan anti Tentera Jepun yang merupakan reaksi penduduk terhadap kekejaman Tentera Jepun.  Rentetan penjajahan Inggeris dan Jepun di Tanah Melayu menjadikan dimensi penentangan bertambah rumit dan berpanjangan walaupun penjajah sudah berjaya diusir keluar. 

Parti Komunis Malaya (PKM) yang pada mulanya membentuk Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA) yang juga dikenali sebagai Bintang Tiga bersama British telah berpatah arang berkerat rotan setelah Jepun meninggalkan Tanah Melayu dengan membubarkan MPAJA dan mengambil jalan sendiri kembali menentang British dan anggota keselamatan iaitu Askar Melayu dan Polis yang pada masa itu dikelolakan oleh pihak British.

Peristiwa Bukit Kepong pada 23 feb 1950 telah menyebabkan 17 anggota polis terkorban dalam mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong.  Lt. Adnan Saidi dan Sarjan Jamil Mohd Shah telah memahatkan nama mereka sebagai pejuang negara yang gugur di medan peperangan.  Wira-wira ini bertempur hingga ke titisan darah yang terakhir demi makna sebuah keamanan.

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah memberi sinar harapan kepada perjuangan penduduk Tanah Melayu.  Pihak British telah membenarkan Tanah Melayu mentadbir sendiri negaranya.  Perpaduan  antara tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India telah membuahkan hasil apabila Perjanjian London yang ditandatangani pada 8 Feb 1956 telah memberi petanda bahawa Tanah melayu akan merdeka pada 31 Ogos 1957.  Justeru pada 31 Ogos 1957, kalimat Merdeka telah dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman di hadapan ribuan penduduk Tanah Melayu menandakan Malaya sudah dari belenggu penjajahan.

Peristiwa Kalabakan era konfrontasi Malaysia-Indonesia telah merakam satu tragedi berdarah berlaku pada tanggal 29 Disember 1963 yang telah mengorbankan seorang pegawai dan tujuh anggota Batalion ke-3 RAMD, manakala 18 orang anggota lagi tercedera setelah diserang oleh 130 orang tentera Indonesia.  Peristiwa berdarah yang menimpa Kompeni ‘C’ Batalion ke-3 RAMD itu terletak tidak jauh dari tebing Sungai Kalabakan.  Pos sementara ini terletak  kira-kira 30 batu ke utara Tawau dan 12 batu ke utara sempadan Kalimantan, Indonesia. Walaupun dalam keadaan tidak bersedia, anggota-anggota platun telah menentang musuh yang berlipat ganda ramainya dan memaksanya berundur.

Kekacauan dalam negara tidak tamat begitu saja malah senario pasca merdeka menyaksikan ancaman PKM begitu agresif dan mencabar ketahanan dan kesabaran rakan-rakan dalam pasukan keselamatan.  Berkat kesungguhan dan perencanaan yang betul pemerintah telah membawa kepada perletakan senjata PKM pada tahun 1989 tetapi pemantauan berterusan diberi sehingga kini terhadap ideologi ini yang mana kebanyakan penganalisis pertahanan mengatakan ideologi PKM tidak turut terpadam atau dibubarkan ketika perjanjian tersebut dan ia kemungkinan boleh dihidupkan semula bila keadaan memerlukan.

Sebenarnya banyak lagi peristiwa-peristiwa berdarah yang terakam dalam sejarah negara yang melibatkan pasukan keselamatan Malaysia yang telah berkorban nyawa demi kedaulatan negara.  Dalam ratusan peristiwa sejarah perjuangan ini tercatat cuma beberapa peristiwa sahaja yang masyarakat boleh akses melalui pengkisahan seperti ini yang mana segar dari mulut mereka-mereka yang terlibat secara langsung.

Ahli Panel 1

Lt Kol PGB Basri (Bersara)

Leftenan Kolonel (Lt Kol) Basri bin Haji Omar PGB (Bersara) dilahirkan pada 22 Mei 1952 di Merbok Kedah mendapat pendidikan awal di negeri Kedah dan bersekolah menengah di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh pada tahun 1970.  Melanjutkan pelajaran di Royal Military College (RMC) dan seterusnya ditauliahkan di dalam perkhidmatan ATM pada 14 April 1972.  Membuat pengkhususan dalam bidang kejuruteraan di Pune India pada tahun 1981 dan beliau merupakan Pegawai Kejuruteraan di dalam Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

Selaku pegawai Askar Jurutera beliau banyak terbabit di dalam operasi melibatkan penanaman, pembersihan dan pemusnahan bom dan jerangkap samar.  Pernah pada musim hujan bulan Nov dan Dis 1975, beliau dan pasukannya terlibat di dalam penanaman jerangkap samar di perbatasan Malaysia Thai iaitu sepanjang 5 km tanpa henti.  Dalam suasana hutan tropika yang tebal dan hujan lebat berterusan menjadikan tugas tersebut sangat mencabar.

Satu peristiwa yang tidak boleh dilupakan sampai akhir hayat beliau ialah semasa beliau mengetuai Pasukan Jurutera membersih jerangkap samar di dalam sebuah terowong yang ditinggalkan oleh pengganas komunis setelah diasak oleh Pasukan Komando Tentera Darat (TD) di sempadan Malaysia-Thai iaitu dalam kawasan Gubir dalam negeri Kedah. 

Kisah ini berlaku pada tahun 1976 dalam satu operasi yang dinamakan OPS GUBIR 2 iaitu operasi mencari dan memusnah jerangkap samar kerana sebelum ini pasukan keselamatan selalu terkena jerangkap samar dan telah ramai yang terkorban justeru Dato Mahmud, Panglima 2 Divisyen pada masa itu mahukan supaya tempat persembunyian pengganas komunis pula diserang ekoran dari informasi yang diperolehi daripada anggota musuh yang menyerah diri berkenaan kewujudan terowong bawah tanah.

Dalam gerakan ini tidak dilibatkan askar Infantri biasa tetapi Pasukan Khas (Komando) telah diaturgerakkan.  Dari kem Gubir ke kawasan operasi adalah dengan menggunakan helikopter NURI dengan mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk tiba ke kawasan sempadan dan semua anggota terlibat didaratkan dengan kaedah repelling dan winching kerana kawasan itu tiada tempat pendaratan heli (Landing pad).  Komando yang terlibat seramai lebih kurang 60 orang manakala Tim Jurutera turut diaturgerakkan sebagai pembantu untuk membersih jerangkap samar dan membuat landing pad untuk pendaratan heli.

Pada 20 Apr 1976, hanya Lt. M Meor dan pasukannya saja yang masuk bersama Komando dengan menggunakan 5 buah NURI untuk menyerang namun cubaan pertama kemasukan gagal kerana mereka terlebih dahulu diserang oleh pengganas komunis.  Percubaan kedua berjaya kerana NURI diiringi oleh Allouette sebagai gunships.  Semasa winching down, pengganas komunis menyambut kedatangan dari bawah menyebabkan Komando turun bertempiaran mencari perlindungan untuk bertindak balas. Semasa pihak Komando memberi tentangan, tiba-tiba saja musuh didapati ‘hilang’.  

Pada masa itu lah Sarjan Husin dan Sarjan Jantan telah terpijak jerangkap samar dan putus kaki.  Selepas itu Tim Jurutera pula didaratkan  untuk membuat pembersihan dan lain-lain tugas yang berkaitan.  Lt M Mior membuat anggaran bahawa kawasan itu mempunyai lebih kurang 3,600 jerangkap samar yang tertanam.  Oleh kerana jerangkap samar terlalu banyak, Tim Jurutera terpaksa membuat lorong selamat terlebih dahulu untuk membolehkan askar berjalan dan tidur/berehat dengan selamat.  Makanan dihantar dari Kem Gubir melalui udara, cuma minuman sahaja yang dibawa oleh setiap individu yang terlibat.

Mengimbau kembali peristiwa yang bermula pada 22 Apr 1976 itu, Lt Muda Basri tiba di Kem Gubir dan pada 23 Apr beliau digerakkan dengan helikopter ke kawasan operasi.  Pada petang 24 Apr mereka memperolehi satu peta yang menunjukkan satu sistem terowong di bawah kem pengganas tersebut sekali gus terjawab persoalan pengganas ‘hilang’ dengan tiba-tiba semasa bertempur dengan Komando pada hari pertama.  Difahamkan bahawa terowong tersebut bersambung terus ke negara Thailand.  Oleh kerana penemuan sistem terowong yang agak sistematik binaannya dan juga merupakan penemuan pertama dalam sejarah TDM, maka menjadi satu tugas Tim Jurutera untuk membuat penyiasatan dan kajian lanjut.  

Hari pertama membuat proses pembersihan semuanya berjalan lancar dan hari kedua, selaku ketua tim, Lt Muda Basri ingin melihat sendiri bagaimana anak-anak buahnya sedang membuat pembersihan jerangkap samar.  Satu lagi Tim Jurutera yang diketuai oleh Lt Meor berada jauh di bahagian hadapan.

Dengan ditemani oleh L/Kpl Abdullah, mereka menuruni sehingga 31 anak tangga di dalam terowong tersebut.  Waktu itu Lt Basri terlihat satu guni beras yang dilipat dan diletakkan di sebelah kiri.  Terdetik di hatinya mengesyaki kemungkinan di situ ada suis jerangkap samar di mana jika terpijak pasti akan menghasilkan letupan.  Justeru beliau telah memberi arahan supaya L/kpl Abdullah dan yang lain-lain mengikuti rapat di sebelah kanan.  Dalam suasana gelap di tempat itu mereka terpaksa menggunakan lampu suluh untuk bergerak. 

Sebaik saja Lt Muda Basri melangkah kaki ke sebelah kanan, tiba-tiba satu letupan kuat berlaku.  Dirinya rebah dan senjata yang dibawanya juga terpelanting.  L/kpl Abdullah menjerit mengatakan bahawa dia sudah terkena jerangkap samar.  Lt Muda Basri luka di bahagian punggung, walaupun kelihatan tidak begitu serius, kesakitannya amat terasa dan beliau diberi suntikan morfin untuk meredakan kesakitannya. Pakaiannya koyak rabak dimamah serpihan bahan letupan jerangkap samar.

L/Kpl Abdullah terkena di bahagian dada yang sememangnya instalasi jerangkap samar dibuat begitu untuk mendapat impak maksima dengan mensasarkan organ jantung manusia.  Dalam keadaan gawat itu semua tertumpu untuk menyelamatkannya.  Beliau diusung naik keluar dari terowong dalam keadaan parah.  Setiba di permukaan, beliau menghembuskan nafas terakhir. 

Apa yang diceritakan oleh  Lt Kol Basri, Allahyarham  Abdullah adalah seorang anggota yang baik, patuh kepada perintah dan komited dalam tugas.  Apa yang sangat menyedihkan ialah semasa ‘pemergian’ beliau, isterinya sedang mengandung.  Jenazah L/kpl Abdullah dibawa ke Taiping untuk diuruskan sebelum dibawa ke kampong halamannya di Melaka.

Dalam peristiwa lain pada hari yang sama iaitu 22 Apr 1976 juga secara kebetulannya Trooper Yaacob dari yunit Komando telah terkena jerangkap samar dan putus kakinya.  Trooper Yaacob merupakan rakan sedarjah LtM Basri semasa persekolahan di Kedah.  Beliau di wadkan di hospital Alor Setar.  Pak Omar, bapa kepada LtM Basri datang melawat Yaacob bersama bapanya Pak Hasan. 

Beliau tidak tahu yang anaknya juga telah terkena jerangkap samar kerana berita kemalangan Ltm Basri dimaklumkan pada keluarga di rumah.  Sungguh terkejut bila dimaklumkan bahawa anaknya Basri juga diwadkan di Hospital tersebut.

Di Hospital Alor Setar 25 Apr, LtM Basri dikunjungi oleh Mej Haris Rejab, pegawai TD yang bertugas di RBCO Songkhla semasa beliau dalam perjalanan balik ke Sungai Petani.  Surat khabar 27 dan 28 Apr melaporkan tentang NURI kemalangan di kawasan operasi Gubir ditembak Komunis.  Semua krew dan penumpang terkorban termasuk Mej Haris dan Lt Wan Munsif. Lt Wan Munsif asalnya beliau juga seorang Pegawai Jurutera yang telah mengambil alih projek LtM Basri di Kelantan yang selepas itu telah beralih angin menjadi seorang juruterbang TUDM. 

LtM Basri telah dikurniakan Pingat Keberanian PGB ialah pada 2 Jun 1976 di atas jasa dan keberanian beliau semasa menjalankan tugas.  Satu perkara yang beliau ingin kongsi dengan generasi  sekarang yang masih dalam perkhidmatan khususnya atau semua umat Islam umumnya ialah adanya ayat-ayat Al-quran yang tertentu jika diamalkan dengan betul ianya boleh ‘penyelamat’ kepada kita dari ditimpa kecelakaan yang lebih besar dalam sesuatu kejadian.  Dengan izin Allah.

Ahli Panel 2


Mej Ishak  (bersara) bermastautin di Perlis

Mej Ishak bin Mohd Isa KPK (Bersara) lahir di Bukit Mertajam Pulau Pinang pada 1 Feb 1955.  Mendapat pendidikan awal di Pahang dan Perlis seterusnya melanjutkan pelajaran menengah di Technical Institute Tunku Abdul Rahman Pulau Pinang.

Beliau memulakan latihan asas ketenteraan di Pusat Latihan Rekrut Port Dickson pada 15 Sep 1973 selama 3 bulan dan meneruskan latihan Bakal Pegawai Kadet, Sebatang Karah Port Dickson sehingga April 1974 dan meneruskan pengajian ketenteraan di Maktab Tentera Diraja Sungai Besi sehingga Okt 1974.  Beliau bersara dari perkhidmatan tentera pada 15 Sep 1996.  Beliau menerima anugerah Pingat Keputusan Perutusan Keberanian (KPK) pada tahun 1980 berpaksikan pengorbanan dan keberanian yang ditunjukan semasa menyertai operasi-operasi penting menentang pengganas komunis.

Antara peristiwa-peristiwa yang sukar untuk Mej Ishak lupakan sepanjang perkhidmatan ialah semasa menjalani kursus Taktik Pegawai Muda di Kem Komando Sungai Udang Melaka, Ops Sedar Gubir dan Ops 792 Alpha di Selatan Thai.

Mengenang kembali peristiwa yang membawa tragedi rakan sekursusnya iaitu LtM Razak yang putus kakinya terkena rotor blade NURI yang tiba-tiba terhempas semasa siri latihan abseiling sedang dilakukan di hutan Kem Trendak.  Sebagai ketua dalam kumpulan kedua, LtM Ishak menjadi orang pertama yang turun dengan selamat diikuti oleh LtM Azman dan LtM Razak.  Semasa LtM Razak diturunkan dari NURI tiba-tiba helikopter tersebut  terhempas.  Walaubagaimana pun rakan-rakan yang semua selamat kecuali buddynya yang paling rapat telah kehilangan kaki dalam sekelip mata.

Semasa bertugas dengan Unit 14 Malaysian Teritorrial Army(MTA)/9 Renjer sekitar tahun 1977, LtM Ishak yang merupakan Ketua Platun No 4 terlibat dengan Ops Sedar Gubir yang mereka menganggap sebagai operasi balas dendam kerana sebelum ini ramai rakan-rakan dari pasukan keselamatan telah tercedera dan terkorban di kawasan ini.  Sebelum bertempur dalam operasi itu, mereka telah menyerang satu penempatan komunis di Sintok iaitu di kawasan sempadan namun pihak musuh baru saja mengosongkan tempat itu.

Di kawasan tersebut terdapat 3 lubang seluas lubang kubur yang dibina oleh komunis untuk dijadikan perangkap binatang liar sebagai sumber makanan.  Terdapat seekor Tapir yang terperangkap di dalam salah satu lubang tersebut.  Selama 6 hari 5 malam mereka bersembunyi di kawasan itu menunggu kehadiran musuh yang kemungkinan akan datang untuk melihat perangkap mereka.  Oleh kerana musuh juga tidak muncul-muncul, mereka mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan. 

Tapir yang terperangkap juga disembelih untuk dijadikan ransum. Dalam pergerakan balik ke Markas Medan setelah gagal membuat serang hendap,  LtM Ishak tiba-tiba terjatuh dalam salah satu lubang perangkap tersebut.  Selepas beberapa hari setelah pulih dari kesakitan akibat terjatuh dalam lubang perangkap dan beliau juga megalami demam selepas itu, beliau mengambil keputusan untuk kembali membuat serangan hendap tempat Tapir ditemui kerana beliau menjangkakan musuh akan kembali datang untuk melihat perangkap namun sekali lagi gagal kerana musuh tidak juga datang.

Pada 24 Mei, Platun No 4 yang sedang berada di sektor  Sungai Kawi diarahkan untuk membantu platun no 5 yang berada di sektor Sungai Seraya.  Pada 25 Mei 1977 LtM Ishak dibantu oleh anak-anak buahnya melakukan rondaan dan terpaksa menyeberangi 2 batang sungai dan 2 buah gunung untuk sampai ke lokasi.  Sepanjang perjalanan mereka telah terjumpa banyak kesan-kesan pendudukan pengganas komunis yang baharu ditinggalkan.  Tiba di satu permatang yang berada betul-betul di garisan sempadan Malaysia-Thai pada pukul 5.00 petang dalam keadaan hujan panas tetapi agak lebat.  Mereka cuma berteduh di bawah pohon palas gajah yang banyak kedapatan di kawasan itu.  Di atas permatang itu juga terdapat kesan-kesan serang hendap yang pernah berlaku sebelum ini.

Arahan diberi kepada anak-anak buah supaya terus menembak jika ternampak orang yang tidak dikenali masuk ke kawasan itu  pada waktu malam kerana mereka yakin tiada orang lain akan masuk ke kawasan itu melainkan musuh.  Lokasi ini tiada kubu dibuat melainkan mereka hanya mengambil perlindungan di celah-celah pokok palas sahaja.  Lebih kurang jam 6.45 petang, kelihatan kelibat musuh telah memasuki kawasan serang hendap mereka maka pertempuran bermula dalam keadaan masing-masing tidak nampak di antara satu sama lain cuaca gelap dilitupi hutan tebal. 

Dalam pertempuran yang tak sampai 20 minit itu, LtM Ishak dimaklumkan seorang anak buahnya Renjer Badrul telah terkena tembakan di siku.  Darah keluar dengan banyaknya, kemudian diberi rawatan kecemasan untuk meredakannya.  Siang keesokan harinya baru mereka membuat search di kawasan tersebut dan menjumpai satu mayat musuh dalam keadaan tertiarap.  Bersamanya sepucuk senapang M16 dan barang-barang persendirian.  Didapati kesan-kesan darah menuju ke Thailand dan dianggarkan 3-5 orang musuh telah cedera atau terbunuh dalam pertempuraan ini  tetapi mereka sempat melarikan diri ke sempadan.

Untuk membolehkan mayat dan anggota yang sakit dikeluarkan dari hutan belantara tersebut, NURI dipanggil untuk  casevac dan bodevac. Keadaan hutan tebal dan pokok-pokok yang tinggi di kawasan itu adalah mustahil untuk membuat landing pad.  Sebagai alternatif. mereka dikehendaki mencari satu kawasan yang sesuai untuk winching point.  Untuk membuat winching point, mereka terpaksa meredah belantara dari jam 11 pagi hingga jam 4.30 petang baru berjumpa satu kawasan yang sesuai untuk winching.  Setelah mayat pengganas dan Rjr Badrul dikeluarkan dari kawasan operasi, mereka bermalam di situ dan keesokan harinya  barulah mereka bergerak balik ke Pangkalan hadapan dan pada 30 Mei mereka diterbangkan ke Kem Gubir.  Keesokannya pula baru mereka balik menemui keluarga di Kem Batu Uban Pulau Pinang.

Semasa melaksanakan Ops 792 Alpha (Selamat Sawadee) di Sadao selatan Thailand, satu peristiwa yang tak dapat dilupakan oleh Mej Ishak di mana heli yang mereka naiki telah ditembak oleh pengganas semasa sedang menuju ke Landing Point.  Kejadian ini memaksa mereka terjun keluar dari helikopter dalam ketinggian 10 kaki dari bumi.  Sebagai tentera kadang kala kami terpaksa mengambil tindakan drastik dan membelakangkan keselamatan bila berhadapan dengan situasi bahaya yang datang di luar jangkaan.  Pilihan hanya satu samada memilih mendapat risiko yang lebih kecil semasa terjun dari heli yang sedang hover atau terpaksa menggadai nyawa jika heli diletupkan jika kami lambat bertindak.
Banyak lagi peristiwa-peristiwa yang berlaku keatas beliau dan rakan-rakan sepanjang perkhidmatan yang mana tidak ada kesempatan untuk beliau menceritakan kesemuanya dalam satu masa.  Pesan beliau kepada anak-anak bangsa Malaysia hari ini, hargailah keamanan yang telah dicipta oleh generasi terdahulu dengan air mata dan darah demi kesejahteraan dan keharmonian hidup generasi hari ini.

Ahli Panel ke 3


Mej Nor Ibrahim aktif  sebagai blogger
Mejar Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU (Bersara) dilahirkan pada 9 April 1949 di Kuala Kangsar.  Beliau mendapat pendidikan awal di Lumut, Perak dan meneruskan pengajian peringkat menengah di Sekolah King Edward VII, Taiping. Selepas tamat pengajian di Maktab Tentera Diraja ( MTD), Sungai Besi selama dua tahun (1967-1969), beliau memasuki perkhidmatan TD pengambilan ke 11 Tauliah Tetap (regular) dan ditauliahkan sebagai second lieutenant pada 14 April 1969.

Pada tahun 1973, beliau memulakan kerjaya sebagai juruterbang helikopter TUDM setelah mendapat pendedahan di sebuah syarikat penerbangan milik rakyat Amerika, iaitu SEA Helicopters (Malaysia), di Kuala Lumpur.  Semasa latihan, beliau dilatih dengan pesawat Bell 47G, Bell Jet Ranger dan Allouette 111 selama setahun sebelum di tugaskan di No 10 Skuadron, TUDM Kuantan. 

Sepanjang menjalankan tugas sebagai juruterbang NURI, beliau banyak terlibat secara langsung dalam operasi menentang pengganas komunis di Semenanjung Malaysia.  Bukan sahaja kehilangan ramai rakan seperjuangan malah bergelumang darah dengan warga TD yang cedera parah dan terkorban.  NURI  turut menjadi sasaran pengganas komunis dan beliau sendiri pernah ditembak oleh mereka.

Dalam pemikiran pengganas komunis, helikopter adalah di antara elemen kapabiliti kritikal yang merupakan kunci utama kepada pasukan yang mana jika dimusnahkan atau ditawan ia akan melemahkan keupayaan tempur sesuatu pasukan. Tanpa helikopter akan menjejaskan mobiliti operasi TD di hutan belantara.

Ini bermakna peranan juruterbang NURI  juga kritikal dan nyawa mereka seperti telur di hujung tanduk kerana mereka juga menjadi sasaran utama pengganas komunis. Tidak hairanlah jika nyawa juruterbang-juruterbang NURI sebenarnya turut menjadi ‘idaman’ pengganas komunis sehinggakan mereka menyebarkan risalah dengan menawarkan RM 3000.00 untuk satu nyawa mereka. Anggota perisikan pernah menjumpai lakaran taktikal pengganas komunis supaya menjadikan juruterbang sebagai sasaran utama untuk ditembak dalam usaha mereka melumpuhkan mobiliti TD di belantara.

Pada 27 April tahun 1976 negara telah dikejutkan dengan berita sebuah helikopter NURI ditembak jatuh oleh pengganas komunis.  Semua krew dan penumpang terkorban di kawasan operasi di Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir, Kedah. Helikopter tersebut dalam fasa penerbangan dari landing pad (LP) ke Kem Gubir semasa ditembak. 

Semasa kejadian itu, Mej Nor Ibrahim sedang mengikuti kursus peralihan ‘Kapten’ helikopter NURI di No.10 Skuadron, TUDM Kuantan. Beliau menceritakan semua juruterbang-juruterbang yang terlibat merupakan rakan-rakan seperjuangan yang sangat dikenali. Beliau telah ditugaskan untuk mengiringi jenazah Lt. (U) Wan Munsif ke Kangar untuk dikebumikan dan membantu keluarga arwah mengurus perpindahan isterinya ke Kangar. 

Sudah 36 tahun peristiwa ini berlalu.  Seorang insan yang mengikuti rapat segala peristiwa dan perkembangan berkaitan ialah Puan Khadizah Khalid, isteri kepada Allahyarham Lt Wan Munsif yang juga ada bersama dalam program ini.


Cikgu Khadizah
Dalam satu peristiwa lain, Mej Nor menceritakan satu peristiwa semasa trup TD sedang menaiki NURI Alpha di Kroh, Kapten NURI Charlie dalam penerbangan balik ke Kroh dari landing pad, telah memberitahu bahawa NURI Bravo telah ditembak oleh pengganas komunis semasa hovering.  Selepas melepaskan beban (underslung load), Kapten NURI tersebut terus beredar.

Mej Nor Ibrahim pada masa itu berpangkat Kapten telah mengarahkan Charlie mengiringi Bravo untuk mendarat di landing strip di Banchatharat. Gunship juga diarah berlegar di ruang udara sementara menunggu ketibaan beliau. 

Setiba di landing strip, trup ditugaskan untuk memberi perlindungan keselamatan.  NURI Bravo diarah untuk shutdown dan beliau mengarahkan krew NURI Bravo mengambilalih NURI Alpha tanpa mematikan enjin sementara beliau sendiri memeriksa keseluruhan NURI Bravo. Selain fuselage berlubang-lubang, satu janakuasa tidak berfungsi akibat terkena tembakan. Seterusnya trup diarahkan menaiki semula NURI Alpha dan mengarah kapten NURI Bravo membawa balik trup ke Kroh.  Mej Nor Ibrahim pula mengambilalih NURI Bravo dan mengarahkan kapten NURI Charlie mengekorinya dengan diiringi oleh gunship dengan pesanan kepada kapten NURI Charlie supaya mengambil beliau dan krew sekiranya beliau terpaksa membuat pendaratan kecemasan. 

Beliau selamat mendarat di Kroh.  Ketua Staf di Butterworth bertanyakan tindakan beliau selanjutnya, samada beliau memerlukan recovery team atau tidak. Mej Nor memaklum kepada Ketua Staf yang dia akan terbang balik ke PangkalanTUDM Butterworth dan memerlukan sebuah NURI lain untuk dia meneruskan tugas.  

Sebuah NURI tersedia untuknya dan beliau terbang semula ke Kroh, dan menyelesaikan misi dengan jayanya.  Namun disebalik kejayaan itu Trup yang berada di landing pad ketika itu memberitahu apa sebenarnya yang berlaku semasa Mej Nor sedang hovering NURI Bravo di landing pad. Mereka ternampak varey light di udara. Tiba-tiba, pengganas komunis telah menembak NURI Bravo yang dipandunya dari semua arah. Pengganas telah mengelilingi landing pad dan hanya menunggu waktu untuk menembak NURI Bravo.  Nasib masih menyebelahi beliau.

Demi menyempurnakan sesuatu tugas dalam kalangan intra ATM, Mej Nor banyak menggunakanbudi bicara di samping mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan. Sebagai contoh, walaupun ketiadaan gunship untuk penerbangan malam, jika NURI diperlukan untuk penerbangan casevac maupun ulang bekal (resupply) yang melibatkan hidup mati anggota di perbatasan akan menjadi keutamaan kepada beliau. Prinsip tidak mementingkan diri sendiri dan tidak prejudis di antara perkhidmatan menjadi pegangan beliau.


Di suatu senja semasa detachment di Kroh, Pegawai Risik 6 RAMD telah memohon kepada Brigade Air Support Officer (BASO) bagi pihak Markas Udara, supaya NURI mengambil satu casevac di landing pad.  Anggota tersebut telah ditembak di kepala dan masih hidup. Pada dasarnya BASO meluluskan permohonan tersebut tetapi konsiderasi terpulang kepada juruterbang samada bersetuju atau tidak untuk membuat penerbangan memandangkan hari sudah beransur gelap. 

BASO sedia maklum NURI tidak dilengkapi dengan peralatan untuk penerbangan malam. Semata-mata mengharapkan kebolehan pancaindera sahaja. Mej Nor Ibrahim sememangnya pernah membuat penerbangan malam tetapi melibatkan penerbangan dari ‘airfield to airfield’ sahaja kerana banyak objek-objek yang boleh dijadikan panduan. Terbang malam ke Landing Pad ‘kawasan panas’ mengundang kecelakaan walaupun diiringi oleh gunship.
Dalam keadaan serba salah setelah Pegawai Risik merayu dan BASO menyerahkan tanggungjawab kepada juruterbang untuk membuat keputusan, Mej Nor Ibrahim akhirnya bersetuju untuk mengambil anggota yang sedang bertarung dengan maut setelah juruterbang Alouette Gunship bersedia untuk mengiringi.

Sebenarnya apa yang sedang digambarkan oleh beliau pada masa itu ialah ketika sebuah NURI terapung (hover) untuk menaikkan casevac dengan limpahan lampu yang terang benderang yang terpaksa dinyalakan untuk membantu Kuarter Master menaikkan casevac adalah kemungkinan boleh menarik perhatian pengganas komunis yang berada di sekitar lokasi akan menjadikan NURI sebagai sasaran latihan penembakan malam. Malangnya anggota tersebut telah meninggal dunia semasa di dalam helikopter.

Untuk mendarat di Kroh, beliau dan gunship dipandu oleh lampu Land Rover.  Beberapa buah Land Rover digunakan sebagai marker di grass strip. Misi berjaya. TUDM tidak menghampakan TDM. Sebagai penghargaan, keesokan petang, Pegawai Memerintah 6 RAMD telah menjemput mereka untuk minum teh di Mes pegawai beliau (khemah kanvas). 
Penerbangan tersebut telah diketahui oleh Ketua Skuadron (KS). Sekembali dari detachment, resepsi yang beliau terima ialah KS mempersoalkan tindakan beliau yang tidak mengambil kira risiko ke atas kedua-dua buah pesawat dan krew seandainya pengganas komunis mengambil tindakan menembak mereka pada malam itu. 

Alasan beliau ialah jika sekiranya beliau tidak melakukan penerbangan tersebut, anggota itu akan terkorban dan kemungkinan anggota-anggota keselamatan akan hilang kepercayaan terhadap TUDM kerana keadaan anggota pada masa itu sebenarnya masih hidup. Sekiranya diberitahu anggota tersebut telah terkorban, sudah pasti beliau tidak akan mengambil risiko kerana bodevac boleh dilakukan ke esokan hari.  

Sebagai kapten pesawat, beliau bertanggungjawab ke atas sebarang keputusan yang beliau telah buat.  Sekurang-kurangnya beliau telah cuba untuk menyelamatkan satu nyawa tetapi ketentuan Ilahi mengatasi segalanya.
Atas dasar menentang segala usaha individu atau kumpulan yang cuba untuk membawa pulang Chin Peng ke Malaysia, beliau rasa bertanggung jawab dan sedar betapa perlunya beliau tampil berkongsi pengalaman semasa menentang kekejaman pengganas untuk tatapan umum.

Beliau juga mengharapkan supaya pihak kerajaan Perlis mengambil suatu pendekatan positif terhadap pengorbanan anak-anak Perlis dengan memberi apa-apa penghargaan kepada pejuang-pejuang yang masih hidup dan juga kepada balu-balu sebagai mengenang jasa dan budi mereka yang tersangat tinggi nilainya kepada negara.

Penutup

Sebagai rakyat Malaysia keseluruhan amnya seharusnya berusaha mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara kerana kemakmuran dan keamanan ini akan diwarisi kepada generasi yang akan datang.  Ketengangan dan kekacauan yang berlaku di luar negara seperti Mesir dan yang terbaru di Syria wajar kita jadikan contoh yang terbaik.  Turut tercatat dalam sejarah ialah rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 telah banyak meninggalkan kesan kehancuran, kemusnahan dan pertumpahan darah yang berlaku berpunca dari ketegangan kaum.

Kesan daripada suasana sebegini akan menjejaskan bukan sahaja nama baik negara malahan kemerosotan ekonomi dan sosial masyarakat juga akan terjejas sama.  Mencipta kemerdekaan dan mengekalkan keamanan negara bukan suatu perkara yang senang untuk digapai satu ketika dahulu namun berkat ketabahan dan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Sambathan dan Tun Tan Cheng Lock maka  perpaduan kaum dapat dijalin dengan baik dan terus dipertahankan oleh pimpinan terkemudian.  Kita tidak mahu sejarah luka berulang kembali dan generasi hari ini perlu diberi kefahaman sejelas-jelasnya supaya keamanan dan keharmonian yang dikecapi hari ini dapat dinikmati sampai bila-bila.  MP




Wednesday, August 15, 2012

Rentetan Sejarah Pergolakan Malaysia


Sumber: Majalah Perajurit edisi ogos 2012
Oleh Hamzah hd.

Sejarah pergolakan, penentangan dan perjuangan rakyat di Tanah Melayu boleh dikatakan telah bermula sejak tahun 1500an yang kebanyakannya adalah berpunca dari penjajahan dan campurtangan bangsa lain ke atas tanahair mereka.  Banyak kerajaan-kerajaan dan kesultanan Melayu telah dinaungi kuasa-kuasa asing yang berbeza iaitu dari kuasa-kuasa penjajah Eropah seperti Portugis, Belanda dan British malah juga dengan kuasa-kuasa serantau seperti Siam dan Jepun.

Perlombongan bijih timah bermula sejak tahun 1820 telah mencetus kemasukan imigran dari negeri China secara beramai-ramai ke Perak dan Selangor merupakan generasi terawal bangsa Cina yang yang bertapak di Malaysia hingga ke hari ini.  Campur tangan British dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu telah berlaku pada tahun 1895, apabila Raja-raja Melayu telah menerima  Residen British dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu bersekutu sekali gus menjadi kuasa asing yang dominan di Tanah Melayu pada waktu itu.


Perjuangan PKM dalam dua era

Ancaman Parti Komunis Malaya

Dominasi ini telah menjadi punca kepada konflik berpanjangan di Tanah Melayu yang mengheret bangsa-bangsa imigran dan penduduk tempatan bersengketa. Parti Kuomintang dari China telah bertanggung jawab menyebarkan fahaman komunis ke Tanah Melayu.  

Oleh kerana Cawangan Kuomintang di Tanah Melayu telah diharamkan oleh British, maka golongan komunis di Tanah Melayu menubuhkan Parti Komunis Nanyang tetapi diharamkan pada tahun 1930 kemudian menubuhkan pula Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun yang sama yang bertujuan untuk menjadikan sebuah Republik Komunis di Tanah Melayu.  Untuk merealisasikan hasrat itu PKM terpaksa berhadapan dengan kuasa Inggeris yang sedang melebarkan empayarnya di benua Asia.

Bila Jepun mula menjajah Tanah Melayu pada 15 Februari 1942 sehingga 12 September 1945 maka terbentuk suatu suasana baru yang menjadikan konflik bertambah rumit.  Dalam masa penjajahan ini telah lahir beberapa puak penentang , seperti Force 136, Gerila Kinabalu dan lain-lain gerakan yang menentang kezaliman tentera Jepun.

Suasana ini memaksa PKM bekerjasama dengan British untuk memerangi Jepun telah membentuk Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA) yang juga dikenali sebagai Bintang Tiga untuk berperang dengan mereka. Menerusi MPAJA, bantuan senjata, latihan, kewangan, bekalan lojistik dan perubatan telah diperolehi daripada British.  Dalam tempoh 3 tahun kekuatan tentera MPAJA dianggarkan seramai 7,000 orang anggota dan tidak hairanlah apabila darurat berlaku pihak British  dan anggota pasukan keselamatan terpaksa berhadapan dengan kesukaran menghapuskan sekumpulan tentera yang telah dilatih untuk berperang.

Dalam masa yang sama selain daripada kumpulan penentang, lahir juga kumpulan-kumpulan kecil rakyat negeri yang terperangkap dengan janji dan dakyah palsu pihak Jepun untuk memerdekakan Tanah Melayu dari kongkongan British telah bertindak menyokong dan menjadi tali barut tentera Jepun.

Kesengsaraan rakyat di atas kezaliman tentera Jepun semasa penjajahannya mendorong kepada kumpulan penentang membalas dendam selepas Jepun menyerah kalah. PKM mengambil kesempatan untuk berkuasa melalui gerila-gerila MPAJA dengan melakukan keganasan membunuh saki baki orang-orang Melayu yang pernah bekerja sebagai polis dan tali barut Jepun.  Keadaan ini telah mencetuskan pergaduhan antara kaum terutamanya di bahagian selatan Tanah Melayu yang akibatnya orang-orang Melayu bangkit bertindak balas menentang Bintang Tiga.

Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan komunis Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh mereka. Akibat kegagalan komunis Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan militer, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan senjata api di samping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.

Orang-orang Melayu yang bersimpati dan cenderung kepada perjuangan PKM telah menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada  17 Oktober 1945 melalui tokoh-tokoh jawatankuasanya yang terdiri daripada Mokhtaruddin Lasso (Presiden),  Arshad Ashaari (bendahari),  Rashid Maidin,  Abdullah C.D. yang mana mereka lebih cenderung supaya Tanah Melayu menyertai Indonesia bagi mendapat kemerdekaan pada 1949 dan kemuncak kepada pengistiharan darurat oleh British adalah insiden pembunuhan tiga orang pengurus estet berbangsa Eropah.

Pada 1 Februari 1949, PKM merasmikan penubuhan Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) dan pada 21 Mei 1949, Rejimen Ke-10 TPNM dirasmikan penubuhannya di Kerdau, Temerloh, Pahang. Rejimen Ke-10 adalah pasukan yang terdiri daripada putera-puteri bangsa Melayu. Kebanyakan anggotanya adalah bekas anggota PKMM, Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar ( AWAS) dan Barisan Tani Malaya (BTM) yang diharamkan oleh penjajah British. Abdullah C.D. adalah Pesuruhjaya Politik pasukan tersebut.

Pada tahun 1953, induk Rejimen Ke-10 melakukan peralihan strategik dari pangkalannya di Temerloh ke kawasan sempadan Malaya-Thailand  dan tiba pada tahun 1954. Tahun 1960, Rejimen Ke-10 mulai merekrut perajurit di kawasan sempadan.

Manakala anggota keselamatan iaitu Askar Melayu pada masa darurat di seluruh negara diistiharkan pada 8 Jun 1948  hanya berkekuatan 3 batalion.  Mereka telah berjuang menentang PKM bersama tentera British, Komanwel dan Pasukan Polis.  

Kemudian Askar Melayu di perbesarkan kepada 7 batalion sehingga tahun 1956.  Dalam masa yang sama Kor Armor dan Rejimen Semboyan ditubuhkan.  Dengan penubuhan 2 pasukan baharu itu telah memberi peluang kepada rakyat berbangsa bukan Melayu turut berganding bahu mempertahankan negara yang sedang menghadapi banyak ancaman.  Selepas itu Rejimen Jurutera dan Kor Polis Tentera ditubuhkan. Pertambahan keanggotaan Tentera Darat telah membuahkan kejayaan demi kejayaan dalam meredakan ancaman komunis.

Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat serta asakan demi asakan daripada Pasukan Keselamatan memaksa Chin Peng meminta perundingan diadakan.  Justeru, Rundingan Baling telah diadakan pada 28 dan 29 Disember 1955 namun tidak membawa apa-apa keputusan positif  ke arah perdamaian. Faktor kegagalan perundingan ini adalah kerana pihak kerajaan meminta supaya PKM dibubarkan dan akan diberi pengampunan jika berbuat demikian tetapi Chin Peng pula meminta PKM dibenarkan untuk bergerak sebagai sebuah parti politik namun usul tersebut ditolak.

Setelah negara mencapai kemerdekaan pada 1957, tentera darat telah berkembang pesat bagi mengisi kekosongan dengan pengunduran tentera British dan Komanwel.  Sehingga 1961 Rejimen Askar Melayu telah berkembang kepada 11 batalion di samping penubuhan pasukan bantuan logistik bagi menampung keperluan TD dan bantuan kepada pasukan Infantri menghapuskan saki baki PKM dalam apa jua bentuk perkhidmatan yang diperlukan sesuai dengan kepakaran masing-masing.

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Januari 1948 yang mengandungi 11 negeri di Tanah Melayu (9 negeri Melayu dan penempatan British di Pulau Pinang dan Melaka) yang sebelumnya adalah dikenali sebagai Malayan Union telah dibubarkan kerana desakan pemimpin-pemimpin politik Melayu dan pakatan yang dipimpin oleh Dato Onn Jaafar yang pada masa itu berusaha keras untuk membebaskan Tanah Melayu dari penjajahan British.
Len Chen berumur 80 tahun berasal dari gurun Kedah.
40 tahun berjuang di hutan bersama PKM

Malaya memperolehi kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957 ketika darurat masih lagi berkuatkuasa. Pada 31 Julai 1960, darurat ditamatkan setelah ancaman komunis semakin berkurangan dan pengunduran mereka ke sempadan Tanah Melayu - Thailand. Penempatan baru komunis di sempadan telah membolehkan mereka mengumpul dan memulihkan kekuatannya serta merekrutkan anggota-anggota baharu.

Kemudian pada 16 September 1963 Malaysia dibentuk dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura. Tarikh ini juga diingati sebagai Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga dikenali sebagai Hari Malaysia..

Di era insugensi, peranan dan komitmen Pasukan Keselamatan jelas memberi gambaran peningkatan dan kemampuan warganegara sendiri menangani ancaman. Semua kaum dan etnik telah diberi peranan yang sama di dalam pasukan-pasukan keselamatan tanpa ada rasa prejudis antara satu sama lain. Perpaduan kaum di dalam pasukan keselamatan jelas mempamirkan kerukunan dan keharmonian di bawah kedaulatan satu panji-panji dan mereka menterjemahkan dengan memberi perkhidmatan cemerlang di dalam menghadapi ancaman subversif.
Kapt Ah Meng kini menjadi jurucakap di perkampungan PKM Sadao.
 Berasal dari Sg Besi Kuala Lumpur. Menyertai PKM sejak 1972


Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya di bawah pimpinan CCM Abdullah CD dan Rejimen ke-12 di bawah pimpinan  CCM Ah Sze telah menunjukkan bantahan dan melakukan tindakan agresif melakukan sabotaj terhadap pembinaan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) bermula 1970 yang mengakibatkan penangguhan dan kerugian berjuta-juta ringgit.  Suasana ini telah mencetus kepada strategi baru ATM yang mana Batalion Infantri Siri 300 ditubuhkan bagi menjaga kepentingan tersebut.

Dengan terbinanya JRTB  dan pembangunan dan penerokaan tanah-tanah baru di sempadan menjadikan hutan semakin sempit dan kuasa mobiliti Pasukan Keselamatan menjadi lebih lancar dan pantas menyebabkan pergerakan PKM menjadi semakin sukar dan sering terkepung oleh tindakan dan gerakan agresif Pasukan Keselamatan yang langsung tidak memberi ruang untuk mereka bergerak bebas malah juga proganda mereka tidak lagi mendapat sokongan rakyat Malaysia yang mula memahami kebaikan fahaman demokrasi yang diamalkan malah faktor kemerosotan pengaruh dan ideologi komunisme dunia yang semakin runtuh.
Perjanjian Hadyai

Justeru, satu lagi rundingan damai 3 penjuru telah termeteri iaitu Perjanjian Hadyai telah ditandatangani pada 2 Disember 1989 di antara Kerajaan Malaysia, Parti Komunis Malaya dan Kerajaan Thailand yang telah membawa kepada perletakan senjata  PKM  setelah 41 tahun Malaysia dibelenggu oleh ancaman komunis. Perjanjian bersejarah ini diadakan di Hotel Le Garden, Hadyai.

PKM Pasca Perletakan Senjata

Perkampungan Daerah Sadao - Selepas darurat ditamatkan pada 1960, PKM masih meneruskan gerakan agresif bersenjata di seluruh Semenanjong.  Beberapa kem strategik di beberapa kawasan di Selatan Thai menjadi medan merekrut, melatih anggota-anggota baru dan merangka strategi bagi melumpuhkan tentera darat Malaysia khususnya.


Terowong yang kini dijaga sebagai artifak pelancongan

Salah satu kem yang menjadi pusat pertahanan ampuh PKM pada waktu itu dibina di lereng bukit yang tersembunyi dan dilitupi hutan teropika yang sangat tebal malah  tidak boleh kelihatan jika ditinjau melalui udara seperti pergerakan anggota-anggota malah   objek  seni seperti asap. 

Kem ini terletak di Tombon Khlong Khwang, Amphoe Nathawi , 92 km dari Hatyai.  Di lereng atau di celah-celah bukit ini juga dibina  terowong sepanjang 1 km. Terowong yang lebarnya lebih kurang 3 kaki dengan ketinggian lebih kurang 7 kaki mengandungi 3 tingkat dengan 16 lorong dan terdapat banyak ruang-ruang berbilik seperti bilik tidur, ruang pejabat, ruang mesyuarat, lapang sasar dan sebagainya. 

Di luar terowong terdapat gelanggang basketball, dapur, bilik istiadat perkahwinan dan tempat tinggal pengikut-pengikutnya.  Terdapat aliran air yang mengalir yang menjadi sumber minuman dan mandian penghuninya.  Kem ini pada suatu ketika pernah menempatkan sehingga 400 orang anggota PKM dalam satu masa.  Proses membuat terowong ini memerlukan masa 2 tahun untuk disiapkan dan digambarkan pengorekan ini mampu dilakukan hanya 2 atau 3 kaki sehari kerana ianya terpaksa memecahkan batu-batu pejal.


Di dalamnya yang bertingkat-tingkat

Selepas perletakan senjata PKM pada tahun 1989, kerajaan Malaysia dikatakan telah menawarkan pengampunan dan saki baki anggota PKM disaran untuk menyerah diri.  Anggota PKM mendakwa, mereka akan ditahan di Pusat Tahanan Kemunting selama 2 tahun sebelum dibebaskan sepenuhnya melainkan ketua mereka Chin Peng dan seorang lagi pegawai kanan yang ditawarkan bebas sepenuhnya. Namun begitu hanya 500 orang dikatakan balik ke Malaysia dan sebahagaiannya lagi  tidak mahu menyerah diri  telah mengambil keputusan untuk terus tinggal di negara Thailand. 

Untuk itu kerajaan Thai telah menganugerahkan kepada mereka tempat kediaman dan tanah pertanian sebanyak 6 ekar seorang untuk diusahakan di sepanjang laluan Hatyai-Nathawi-Ban Prakob-Khao Nam Khang dan kini mereka telah menjadi warganegara Thailand yang sah.
Manakala kawasan ini telah digazetkan sebagai Taman Nasional Khao Nam Khang di  di Tombon Khlong Khwang, Amphoe Nathawi.  Penempatan ini telah diubah suai dan di pulihara sebagai tapak sejarah dengan mempamirkan artifak perjuangan PKM untuk tarikan pelancong   setelah perjuangan pengganas komunis di Malaysia tamat  pada tahun 1989.

Kem ini pernah di serang dalam Operasi Daoyai Musnah 1 pada 14 Januari 1977 oleh gabungan angkatan Royal Thai Army dan ATM bertujuan untuk membuat pembersihan ke atas kem Komunis yang terbesar di selatan Thai ini. Operasi ini disusuli Op Daoyai Musnah 2 bagi meneruskan kecemerlangan Op Daoyai Musnah 1 bagi membersih saki-baki PKM yang tinggal.

Kampong Perdamaian Syakirin - Bermastautinnya bekas kader dan perajurit Rejimen Ke-10 TRM adalah di satu kampung yang diberi nama Kampung Rattana Kitti 4 atau pun disebut Kampung Perdamaian Ke-4 di Daerah Sukhirin, Wilayah Narathiwat. Penduduk pada masa awalnya terdiri daripada 167 keluarga berjumlah seramai 270 orang.  Kerajaan Diraja Thailand memberikan bantuan seperti elaun sara hidup selama 3 tahun, rumah untuk setiap keluarga, tanah kebun seluas 15 rai sekeluarga, bantuan bercucuk-tanam dan berbagai kemudahan lain termasuk bantuan pembangunan kampung.

Pada 28 Jun l993, di bawah perhatian Puteri Chulabhorn, kampung ini diletakkan di bawah Institiut Pengkajian Chulabhorn dan diberikan nama Kampung Chulabhorn Patana 12. Dengan demikian, kampung ini telah memperolehi kemajuan yang lebih pesat dan telah dilengkapkan dengan berbagai kemudahaan asas seperti jalanraya, elektrik, air paip, air bersih, telefon, mesjid, sekolah rendah, klinik, taman asuhan kanak-kanak dan lain sebagainya.

Sekarang ini, Kampung Chulabhorn Patana 12 berjumlah 138 keluarga dengan jumlah penduduk seramai 500 orang, lebih 200 orang di antaranya ialah kanak-kanak.
Kampung Chulabhorn Patana 12 diselenggarakan oleh 3 badan iaitu Jawatankuasa Kampung diketuai oleh Ketua Kampung bertanggungjawab mentadbir kampung.  Jawatankuasa Ugama diketuai oleh Imam mengurus urusan ugama Islam dan berbagai aktiviti ugama dan Badan Kebajikan mengurus bantuan kemanusiaan kepada orang tua, orang cacat dan uzur dan bantuan-bantuan lainnya yang diperlukan.

Untuk memulihara dan mengenang perjuangan lampau sebuah Muzium telah didirikan pada tahun 1990 u mntukenyimpan bahan-bahan bersejarah yang bernilai, khasnya bahan-bahan perjuangan bersenjata PKM Rejimen Ke-10.
Turut di pulihara ialah bekas tapak Markas Besar Rejimen Ke-10 dan terowongnya yang  terletak kira-kira 1 kilometer dari kampong ini. Kem itu digunakan oleh Rejimen Ke-10 dari tahun l981 hingga tahun l986. Manakala terowong sepanjang 300 meter digunakan pada tahun 1983 hingga l986.

Konfrontasi

Pengistiharan negara Malaysia ini juga menjadi penyebab terhalangnya niat Presiden Sukarno untuk menubuhkan Indonesia Raya iaitu untuk mencantumkan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dengan Indonesia yang mula direncanakan sejak 1962.

 Kemarahan Sukarno tidak terhenti setakat perang mulut sahaja malah turut melibatkan penggunaan ketenteraan dalam kempennya untuk ‘mengganyang’ Malaysia. Rentetan konfrontasi (1962-1966) ini secara tidak langsung turut memberi kematangan kepada perwira dan perajurit tanahair menangani konflik serantau.  

Banyak peristiwa-peristiwa berdarah yang berlaku dalam sejarah ini di antaranya ialah Peristiwa Kalabakan di Tawau Sabah yang berlaku pada 29 Dis 1963 di mana Pos Kompeni C Batalion ke-3 RAMD telah diserang angkatan rejim Sukarno yang telah mengorbankan 7 orang anggota platun dan mencederakan 16 anggota yang lain.  Pendaratan dan penyusupan angkatan rejim Sukarno di Johor  1 Sept 1964 juga dapat dikekang oleh Tentera Darat dalam beberapa hari sahaja.  

Pencerobohan rejim Sukarno ini bukan sahaja tidak mendapat sokongan dari rakyat  tempatan malah anggota mereka sendiri mulai sedar bahawa mereka telah tertipu oleh dakyah Sukarno dan akur bahawa masyarakat Johor waktu itu adalah datang dari rumpun mereka sendiri.

Semangat  ‘ganyang’ Malaysia sebenarnya tidak terhenti setakat itu sahaja kerana api permusuhan sentiasa dihidupkan dari masa ke semasa dengan pelbagai isu yang ada kala ianya didalangi oleh rakyat sendiri yang tidak berpuas hati dengan kerajaan dan sentiasa berusaha mencetus isu supaya negara dilihat tidak aman dan kacau bilau di mata dunia.

Namun begitu semangat rumpunan Melayu antara Indonesia dan Malaysia terjalin kuat juga di atas kebijaksanaan pemimpin-pemimpin mutakhir kedua-dua belah pihak yang menyediakan dasar diplomatik mapan telah berjaya mengekang reaksi-reaksi ganas  segelintir  rakyat Indonesia yang ‘terpedaya’ malah ada yang mengatakan tindakan mereka-mereka yang menghidupkan semangat Ganyang Malaysia itu adalah satu kelumpok yang diupah oleh suatu pihak. 

Jika dikaji secara rasional, tindakan ganas puak-puak Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) ini hanya membesarkan beberapa isu remeh dan terpencil seperti masalah majikan dan orang gaji, isu pengubahan lagu kebudayaan serta beberapa isu persempadanan yang mana ianya boleh diselesaikan dengan cara baik dan bijak oleh kedua-dua pihak kerajaan tanpa perlu rakyat mendesak sebegitu rupa yang lebih kepada sikap ‘melaga-lagakan’ supaya peperangan yang lebih besar tercetus.

Rusuhan Kaum

Pergolakan kaum yang berlaku di Singapura 1965 menjadi alasan Tunku untuk memisahkan Singapura dari Malaysia. Lee Kuan Yew yang mempunyai autoriti sebagai pemimpin Singapura menjadikan bangsa Melayu terpinggir dan mencetus beberapa kejadian rusuhan kaum antara Melayu dan Cina dan menyebabkan ramai yang cedera dan terbunuh.

 Namun penyingkiran Tunku tehadap Singapura daripada Malaysia tidak berjaya memadam api perkauman Cina-Melayu kerana 13 Mei 1969 menyaksikan satu lagi rusuhan kaum menjadi sejarah terburuk dalam sejarah Malaysia dengan jumlah ratusan angka korban dan ribuan angka yang tercedera.

Sentimen kaum ini telah disemarakkan lagi  Semasa kempen Pilihan Raya 1969 dengan  memanipulasi kan isu oleh  penceramah-penceramah politik dari kalangan parti pembangkang.  Untuk menagih faedah pilihanraya mereka telah membesar-besarkan isu  bangsa  serta hak keistimewaan orang Melayu sebagai bumiputera dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. 

Parti Perikatan yang dianggotai oleh (UMNO-MCA-MIC telah gagal memperolehi majoriti 2/3 di parlimen, walaupun masih berjaya membentuk kerajaan persekutuan.  Pihak pembangkang pula  memperolehi pencapaian gemilang dalam pilihanraya telah meraikan kemenangan mereka pada 11 Mei 1969.  

Perarakan tersebut sebenarnya tidak bermotif untuk menimbulkan isu perkauman tetapi  terdapat segelintir pengikut perarakan telah mengeluarkan slogan-slogan sensitif berkenaan isu perkauman semasa mengadakan perarakan di jalan-jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Perarakan turut dijalankan pada 12 Mei 1969 di mana kaum Cina berarak menerusi kawasan Melayu, melontar penghinaan sehingga mendorong kepada kejadian tersebut.

Pihak pembangkang yang sebahagian besar darinya kaum Cina dari Democratic Action Party (DAP) dan Gerakan yang menang, mendapatkan permit polis bagi perarakan kemenangan melalui jalan yang ditetapkan di Kuala Lumpur. Bagaimana pun perarakan telah tidak melalui  laluan yang ditetapkan malah melalui kawasan Melayu Kampung Baru, menyorak  dan menghina penduduk di situ. Ianya berlarutan hingga ke 13 Mei 1969 di mana UMNO juga telah mengadakan perarakan balas.

Cabar mencabar antara kedua pihak berlaku dan dengan tokok tambah cerita tentang pembunuhan kejam yang dilakukan oleh kedua-dua belah pihak menjadikan keadaan tidak dapat dikawal dan mengakibatkan rusuhan kaum ini tidak boleh dibendung pada suatu ketika dan berakhir dengan rusuhan antara kaum yang terburuk dalam sejarah Malaysia.  Penglibatan Rejimen Renjer yang komposisinya campuran kaum dikatakan juga telah memburukkan lagi keadaan.  Menyedari hakikat itu, Askar Renjer dikeluarkan dan digantikan dengan RAMD bagi meredakan keadaan.

Tersurat dan Tersirat

Mutakhir, keselamatan negara kerap kali tergugat oleh perhimpunan-perhimpunan dan demontrasi-demontrasi jalanan yang menuntut pemantauan, kesiagaan, pencegahan yang rapi oleh anggota keselamatan untuk mententeramkan keadaan sehingga tindakan tegas ini sering dimanipulasikan.

Transformasi dalam persekitaran politik turut mencetus konflik pemikiran dalam masyarakat yang mana fakta sejarah perjuangan dan penentangan yang sekian lama terpahat dalam buku sejarah sudah mula dipertikaikan.  Apa yang tersurat dalam dokumen sejarah Malaysia,  pengganas komunis adalah pertualang namun mutakhir ada segelintir rakyat yang berani mengistiharkan anggota PKM sebagai pejuang dengan mengemukakan bukti-bukti tersirat mengikut acuan kepercayaan yang menjurus kepada kepentingan mereka.  Golongan ini menjadikan bekas-bekas anggota PKM sebagai rakan kolaborasi bagi mencungkil sejarah lama perjuangan dengan membesar- besarkan isu-isu yang kononnya bercanggah dengan dokumentasi sejarah.

Secara rasional, umumnya ramai boleh bertolerasi untuk memperakui bahawa PKM yang mengganas demi mengusir elemen-elemen penjajahan dan sekutu-sekutunya yang bertapak di bumi Malaya sebelum merdeka sebagai pejuang namun apakah rasionaliti seseorang akan dapat menerima penentangan dan kebiadaban PKM memerangi dengan segala kekuatan dan taktikal terhadap anggota-anggota keselamatan yang 100 peratus dari warga negara bangsa selama 32 tahun pasca merdeka?.  Bukan sekadar kemusnahan infratruktur, malah ribuan anggota keselamatan terbunuh, cedera ringan dan cedera parah, cacat seumur hidup, meninggalkan isteri menjadi balu, anak menjadi yatim malah ibu/bapa hilang tempat bergantung.  Semuanya angkara komunis.

Sesungguhnya mengiktirafkan komunis sebagai pejuang dengan menidakkan jasa dan kepahlawanan warga pasukan keselamatan ibarat menyapu garam pada luka yang belum sembuh bagi seluruh anggota-anggota keselamatan.  Biarpun generasi terkini pasukan keselamatan tidak dapat merasai keperitan rakan terdahulu namun ibarat mencubit peha kiri, peha kanan tetap merasa kesakitannya.

Skeptikal dengan Perjanjian Damai Hadyai yang mencetus kepada perletakan  senjata PKM tetapi hakikatnya ramai berpendapat  mereka tidak menyerah kalah dan menggugurkan hasrat mereka untuk bangkit semula mengangkat senjata kerana ideologi komunis masih wujud dan tidak mustahil generasi baharu  akan kembali berjuang menegakkan ideologi dan cita-cita politik mereka yang belum selesai bila tiba masanya yang sesuai.

Persepsi ini berdasarkan kebangkitan pengaruh pemerintahan sosialisme yang dikatakan salah satu cabang komunisme, di Amerika Selatan. Secara halus, mereka ini akan menyusup masuk dalam mana-mana persatuan atau parti-parti politik dan akan mempengaruhi dan berusaha untuk mengambil alih persatuan tersebut dan mengembangkan sayapnya.

 Sejauh mana kebenaran teori ini hanya masa yang akan menentukannya.  Apa yang perlu, sebagai rakyat Malaysia yang patriotik dan cintakan kedamaian wajib mempertahankan kedamaian dan ketenteraman ini ke tahap maksima  kerana menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara adalah tanggungjawab bersama.  Pengalaman dari pergolakan masa lampau boleh dijadikan teladan dan sempadan yang mana jika diteliti kebanyakan berpunca dari hasutan dan campur tangan pihak luar. Berusaha mempertahankan kemerdekaan yang sudah dicapai adalah lebih mudah daripada berjuang sekali lagi untuk mendapatkan kemerdekaan kali kedua. PERAJURIT

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini