Sumber : Majalah Perajurit Edisi Julai 2012
Kapal
Perang secara umumnya adalah kapal atau sering juga dipanggil bot (bergantung
kepada pengkelasan) yang beroperasi dalam organisasi tentera laut dan
terminologi kapal perang juga sering digunakan bagi menekankan kepada subkelas
yang membezakan peranan sebagai kapal kombatan, kapal sokongan, kapal latihan
dan juga kapal rondaan. Secara khusus sering
juga kapal perang dituju khas kepada
kapal/bot kombatan sahaja yakni kelas yang mengaplikasikan sistem persenjataan
yang khusus kepada semua jenis atau dimensi peperangan seperti permukaan, bawah
permukaan, udara dan eletronik.
Namun, hakikatnya kapal
perang dibina adalah bertujuan untuk
berperang dengan musuh-musuh yang berada di lautan atau di perairan. Maka binaannya
agak berbeza berbanding kapal yang direka untuk perdagangan maupun untuk
perhubungan terutama dari segi struktur dan saiz. Perbezaan yang paling ketara ialah kapal
perang akan dipersenjatai dengan persenjataan-persenjataan tertentu sejak dari
awal pembinaan seperti persenjataan kecil, meriam, misil dan juga membawa
peralatan-peralatan di samping bekalan-bekalan untuk kegunaan sendiri yang
mencukupi bagi kegunaaan sesuatu tempoh jangka masa tertentu di laut yang mana
bertujuan untuk bertahan daripada serangan musuh malah juga berupaya untuk menyerang
balas bagi memusnahkan pertahanan angkatan musuh.
Selain itu struktur binaan direka bentuk dengan
mengutamakan aspek ketahanan dan lebih mudah pengendalian berbanding kapal
komersil. Keanggotaan kapal perang juga agak ramai dan diberi tugas-tugas
tertentu bersesuaian dengan kemahiran dengan kepakaran mereka disamping
kemahiran-kemahiran sekunder dalam konteks Ilmu Kelautan dan Panduarah. Tentunya kapal-kapal perang adalah kepunyaan
tentera-tentera laut sesebuah negara berbanding kapal-kapal komersil boleh
dimiliki oleh individu atau pun kompeni-kompeni perkapalan.
Dalam masa perang, perbezaan antara kapal
perang dan kapal-kapal komersil sering kali dikaburi atau penyamaran supaya
gerak gerinya tidak dapat dihidu oleh pihak lawan sebagai strategi taktikal. Dalam sejarah peperangan, kapal-kapal dagang ini
sering kali dipersenjatai dan digunakan sebagai kapal perang tambahan seperti Q-ships
dalam Perang Dunia Pertama Q-ships juga dikenali sebagai Q-boats, Decoy
Vessels, Special Service Ships atau Mystery Ships iaitu kapal-kapal dagang
yang dipersenjatai dengan senjata tersembunyi bagi mengaburi dan ‘menggoda’
kapal-kapal selam supaya membuat serangan permukaan.
Ini memberi peluang kepada Q-Ships menembak
dan menenggelamkan mereka. Demikian dengan Merchant Cruisers yang
memainkan peranan yang sama juga pernah di lengkapkan dengan persenjataan untuk
menghadapi peperangan semasa meletusnya Perang Dunia Kedua.
Sehingga abad ke 17, sudah menjadi perkara
biasa, kapal-kapal dagang diserap ke dalam perkhidmatan tentera laut dan tidak
menghairankan sebahagian dari kekuatan armada itu adalah kapal-kapal yang
diolah dari kapal dagang. Sehingga
ancaman peperangan tidak simetri tidak
lagi aktif pada abad ke 19, ianya menjadi amalan biasa memperlengkapkan persenjataan
kepada kapal-kapal dagang yang lebih besar seperti Galleons. Kapal-kapal perang yang diolahkan ini juga seringkali
digunakan sebagai pembawa trup atau kapal-kapal bekalan seperti oleh tentera
laut Perancis dalam abad ke-18 atau tentera laut Jepun semasa Perang Dunia
Kedua.
Mendepani ancaman peperangan tidak simetri
khusus terhadap lanun-lanun profesional yang mempunyai kelengkapan ala tentera
tidak pernah berakhir malah dalam abad terkini di Teluk Aden dalam perairan
Somalia menjadi medan kesinambungan kemelut ini yang mana banyak kapal-kapal
perdagangan seluruh dunia yang menggunakan laluan ini menjadi mangsa aktiviti
perlanunan profesional ini termasuk kapal-kapal perdagangan dari Malaysia pada
Ogos 2008.
Untuk penyelesaian jangka panjang terhadap keselamatan, satu konsep
kerjasama dan perkongsian strategik di antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)
dan Malaysia International Shipping Company (MISC) telah
termeterai. Dua buah kapal dagang
ditransformasikan menjadi kapal Auxiliary TLDM iaitu Bunga Mas 5 (BM5) dan
Bunga Mas 6 (BM6) bagi menyelesaikan satu masalah negara khususnya Angkatan Tentera
Malaysia dalam usaha mengekang ancaman baru.
Dalam masa Mesopotamia, Ancient Persia,
Ancient Greece dan Empayar Rom, kebiasaan kapal-kapal perang yang mempunyai dayung
dan layar sekalu gus adalah seperti Biremes, Triremes dan Quinqueremes.
Kapal-kapal ini berbentuk panjang dan sempit dan dikuasakan dengan mendayung
juga direkakan pelantak untuk menenggelamkan kapal musuh dengan menghampiri dan
menyerang awak-awaknya secara berdepan. Bagaimanapun
dengan pembangunan lastik pada kurun-kurun kedua dan pertama BC (era kelasik) dan
pengkhususan teknologi berikutnya membolehkan
armada pertama Hellenistic age (Greek Kelasik) melengkapi kapal perang dengan artileri.
Dengan penyatuan politik Laut Mediterranean dalam abad ke empat BC, artileri
tentera laut tidak digunakan lagi.
Lewat zaman kuno dan Middle Ages
sehingga abad ke-16, peperangan tentera laut bergantung pada krew kapal itu sendiri
untuk menggunakan pelantak, pedang dan pelbagai peluru seperti busur, panah dan
lain-lain. Peperangan tentera laut waktu itu lebih kepada aksi melanggar dan menggeledah jadi kapal perang pada masa
itu tidak memerlukan pengkhususan kepada karakteristik yang sesuai seperti mana
kapal-kapal perang hari ini.
Artileri tentera laut telah dibangunkan
semula dalam abad ke-14, tetapi meriam bukanlah menjadi suatu senjata yang
biasa digunakan semasa di laut sehingga meriam-meriam yang berkebolehan yang pelurunya mampu diisi semula
dengan pantas untuk digunakan dalam pertempuran yang sama.
Saiz
kapal yang besar juga diperlukan bagi membawa sejumlah besar meriam-meriam yang
akan dibawa ke medan pertempuran namun usaha ini amat mustahil bagi kapal-kapal
yang membuat pendorongan berasaskan dayung.
Sehingga abad ke 16 pergerakan kapal mula beralih kepada kuasa angin
iaitu dengan menggunakan kaedah layar sebagai kuasa pendorong.
Pada
abad ke-17, kapal-kapal perang telah mula membawa persenjataan meriam dalam
kuantiti yang bertambah dan diposisikan
di bahagian lambong kiri dan kanan kapal sebagai taktik baru di dalam
menyediakan kuasa tembak yang berkesan dalam kedudukan formasi sederet (formasi
1). Namun begitu pada pertengahan abad
ke-18, kapal Frigate atau kapal perang yang bersenjatakan meriam telah semakin
berkurang untuk berada di barisan pertempuran, konvoi perdagangan, peninjau
kapal musuh dan pengawalan pantai bagi menyekat pendaratan musuh.
Semasa abad ke 19 satu revolusi baru telah
mengambil tempat secara perlahan dalam kaedah pendorongan, persenjataan dan
pembinaan kapal perang. Enjin stim telah
diperkenalkan pada mulanya sebagai percubaan kepada satu pasukan tambahan dalam
suku kedua abad ke19. Perang Crimea yakni
perbalahan di antara Rusia, British, Perancis, Ottoman dan Kindom of Sardinia
Empayar telah memberi satu rangsangan besar bagi pembangunan senjata meriam.
Bermula
dari bahan letupan yang di buat daripada cengkerang yang mudah meletup telah
mencetuskan idea baru kepada pengenalan
besi, kemudian keluli berperisai untuk bahagian-bahagian dek kapal perang yang lebih
besar. Kapal perang berperisai pertama, French Gloire dan British Warrior telah
menjadikan kapal-kapal kayu diistihar usang. Penggunaan logam kemudiannya menggantikan kayu
sepenuhnya sebagai bahan utama untuk pembinaan kapal perang.
Dari tahun-tahun 1850an, barisan kapal-kapal layar telah digantikan dengan kapal-kapal perang
berkuasa stim, sementara kapal-kapal layar Frigate telah digantikan oleh Cruiser
berkuasa stim. Persenjataan kapal perang juga telah berubah dengan ciptaan barbettes
yang berputar di atas menara kecil yang membenarkan laras ditujukan secara
bebas ke arah kapal lain dan hanya mampu membawa sebilangan kecil meriam berat
sahaja. Istilah barbette adalah
dari perkataan Perancis yang merujuk kepada ciri-ciri perlindungan yang
melingkungi meriam berat.
Inovasi akhir semasa abad ke 19 adalah
pembangunan torpedo dan pembangunan bot torpedo. Pembinaan Bot-bot Torpedo yang kecil tapi
berkelajuan tinggi ini seolah-olah
menawarkan satu alternatif kepada negara-negara yang ingin membangunkan armada
kapal perang yang mahal-mahal.
Era Dreadnoughts telah mencetus satu lagi revolusi dalam mereka bentuk
kapal perang bermula sebaik sahaja selepas giliran abad, apabila Britain
melancarkan semua kapal perang bermeriam besar . Dreadnoughts telah dibina pada tahun 1906. Sebuah kapal perang yang unik daripada
kelasnya telah dikembangkan sebagai
model untuk pembinaan kapal perang masa depan dan diterima pakai seluruh dunia. Dikuasakan oleh turbin wap, saiznya lebih
besar, lebih laju dan lebih dengan lebih kuasa tembak daripada semua
kapal-kapal perang yang wujud di zaman itu.
Britain juga membangunkan battlecruisers
pertama. Tapak meriam yang sama berat dengan
Dreadnoughts malah kerangka badan kapalnya yang lebih besar. Battlecruisers lebih
laju dan lebih berkuasa daripada semua Cruiser yang wujud. Bot Torpedo Pemusnah turut dibangunkan pada
masa yang sama dengan Dreadnoughts. Bot Torpedo Pemusnah ini lebih besar, lebih laju dan lebih kuasa
tembak daripada bot torpedo biasa
justeru, Destroyer ditugaskan untuk melindungi kapal induk (mother ship)
dari ancaman bot-bot torpedo.
Semasa
dunia di ambang Perang Dunia Kedua, Jerman dan Great Britain sekali lagi muncul
sebagai dua kuasa laut Atlantik yang dominan. Jerman, di bawah Treaty of
Versailles, mempunyai tentera lautnya yang terhad kepada hanya beberapa
buah kapal kecil permukaan. Tetapi dengan menggunakan istilah nama-nama yang
bijak seperti ‘pocket battleships’
telah berjaya memperdayakan pemerintah tentera laut British dan Perancis secara konsisten setelah
berjaya mencuri maklumat dari talian yang dibekalkan kepada kapal tentera laut
bersekutu seperti Admiral Graf Spee, Scharnhorst dan Gneisenau.
Senjata pembunuh yang dibawa oleh
Kriegsmarine telah dikenal pasti menjadi ancaman terbesar yang mana Bismarck
telah ditenggelamkan dalam satu kawasan terbiar dalam siri pertempuran yang
singkat di utara Atlantik sementara Tirpitz mengalami sedikit kekecohan sebelum
ianya dimusnahkan oleh pesawat Royal Airforce.
Tentera Laut Diraja British menguasai Eropah
menjelang 1943. Perang Dunia Kedua membawa perubahan besar dalam reka bentuk
dan peranan beberapa jenis kapal perang. Buat pertama kalinya, kapal Pengangkut
Pesawat menjadi pilihan yang jelas untuk dijadikan sebagai kapal main body di
dalam task force tentera laut.
Perang Dunia Kedua adalah satu-satu peperangan
dalam sejarah di mana beberapa pertempuran berlaku antara kalangan kapal-kapal
pembawa pesawat (aircraft career). Dalam
Perang Dunia Kedua juga kelihatan untuk pertama kalinya penggunaan radar dalam
pertempuran. Sejarah menggambarkan buat
kali pertamanya pertempuran tentera laut
berlaku di mana kapal-kapal dari kedua-dua pihak tidak langsung melibatkan diri
dalam pertempuran, sebaliknya menghantar pesawat membuat serangan-serangan
dalam Battle of Coral Sea.
Pembangunan Kapal Selam pertama telah
dibangunkan pada lewat abad ke-19, tetapi ia hanya selepas pembangunan torpedo
yang mana kapal-kapal selam menjadi benar-benar berbahaya sekali gus ianya sangat berguna kepada tentera laut untuk
pertahanan strategik. Sebelum akhir Perang Dunia Pertama, kapal-kapal selam
telah membuktikan potensi mereka dalam peperangan atas dan bawah permukaan di
samping sangat berkesan di dalam pengumpulan maklumat perisikan. Semasa Perang
Dunia Kedua armada Kapal Selam U-boats tentera laut Jerman hampir-hampir
kebuluran dan menyerah diri kepada Britain.
Era millennium, pembangunan kapal selam bukan
lagi sesuatu yang luar biasa dan perolehan bagi tentera laut negara-negara
membangun menjadi suatu kemestian bagi mempertingkatkan pertahanan negara
masing-masing. Tentera laut negara-negara maju telah lama menjadikan peranan
kapal selam sebagai elemen yang paling strategik dalam pertahanan mereka. Memiliki berpuluh-puluh buah kapal selam
berkuasa nuklear bukan lagi suatu perkara luar biasa malah pemilikan aset bawah
permukaan ini telah menjadi suatu
makanisma cegah rintang yang sangat efektif.
Era terkini, program Scorpene telah berjaya
mempengaruhi banyak negara untuk menggunakan produk ini yang dikatakan memenuhi
spesifikasi yang diperlukan oleh banyak tentera laut. Temasuk TLDM yang telah pun mengoperasikan
produk ini dan ternyata ianya telah memenuhi spesifikasi yang diperlukan dalam
konteks kos dan keupayaan untuk pengawasan strategik perairan negara.
Di antara ciri-ciri unik lain yang dimiliki
Scorpene ialah menggabungkan kemajuan terbaru bentuk badan kapal dengan
pembinaan bermodul dengan teknologi terkini termasuk synchronous propulsion
motor, two-stage turbo-charged diesel engine dan bateri-bateri berkapasiti
tinggi. Gabungan inovasi-inovasi yang merupakan antara rekabentuk kapal selam
yang terkini dalam kelasnya yang dibina berasaskan reka bentuk kapal selam
Penyerang Nuklear (SSN) Tentera Laut Perancis selari dengan keperluan tentera
laut masa depan.
Kejayaan dalam penggunaan kapal selam semasa
Perang Dunia Pertama dan Kedua mempunyai kaitan yang menjadi pemangkin kepada
pembangunan kapal-kapal pengiring konvoi seperti Destroyer Escort dan menjadi
satu kehairanan mengapa jenis-jenis kapal baru lebih suka mengguna pakai
nama-nama kapal-kapal dahulu kala yang bersaiz kecil seperti Frigate, Corvette
dan Sloop. Sloop dalam takrif tentera laut moden ialah merujuk kepada sebuah
kapal perang yang bersaiz antara Frigate dan Corvette yang sering digunakan
semasa Perang Dunia Kedua seperti mana Royal Navy pernah menggunakan Sloop
seperti Flower Class dan Black Swan yang memain peranan sebagai kapal pengiring
dan anti kapal selam.
Kapal Frigate pernah digunakan oleh
tentera-tentera laut Eropah secara meluas sebagai penguatkuasa dagangan di
perairan mereka. Di Amerika sebelum
perang pada tahun 1812, Joshua Humphreys telah mereka satu kapal Frigate yang
besar, laju serta lebih baik persenjataannya dari lain-lain kapal di dalam
kelasnya. Setelah diperkenalkan kapal
perang keluli yang berkuasa stim pada
pertengahan abad ke 19, kapal jenis Frigate ini tidak lagi digunakan sehingga
meletusnya perang Dunia Kedua, Frigate diperkenalkan kembali oleh British sebagai pengiring kapal selam yang mana saiznya lebih
besar daripada Corvette dan lebih kecil daripada Destroyer.
Pembuatan dan pembangunan kapal Pengangkut Pesawat Udara
merupakan satu anjakan yang paling utama dalam pembangunan peperangan tentera
laut. Terdahulu di Taranto dan kemudiannya di Pearl Harbour, kapal Pengangkut Pesawat
Udara ini telah menunjukkan keupayaannya
menyerang secara intensif terhadap kapal-kapal lawan yang berada di luar jarak
dan penglihatan kapal-kapal permukaan yang akhirnya di akhir Perang Dunia
Kedua, kapal Pengangkut
Pesawat Udara ini telah menjadi satu platform
mobiliti dan dominan dalam peperangan tentera laut.
Kapal Perang Moden
Kapal perang moden pada umumnya dibahagikan
kepada tujuh kategori utama iaitu Kapal Pengangkut Pesawat Udara
(aircraft/helicopter career), Cruiser, Destroyer, Frigate, Corvette, Kapal
Selam dan Kapal Pendarat (amphibious
assault ship).
Namun begitu keperluan sesetengah negara maritim
yang berkepulauan memerlukan kombatan yang lebih kecil bagi memenuhi keperluan
operasi di pesisir laut yang lebih cetek tetapi dalam masa yang sama masih mempunyai
sistem persenjataan yang hebat dan sama seperti kelas Frigate. Maka lahirlah platform-platform kompak
seumpama Fast Attack Craft, Mini Corvette, Fast Patrol Boat dan seumpamanya yang
dilengkapi dengan meriam, misil dan torpedo yang mana keupayaan kombatan kelas
seumpama ini sangat digeruni kerana mobiliti dan kuasa tempur yang ampuh dalam
menyempurnakan misi tembak dan lari kerana pergerakannya agak sukar dikesan
oleh radar.
Kapal Pemusnah atau Destroyer pada umumnya dianggap sebagai
kapal kombatan permukaan yang paling dominan dalam kategori blue water navy
era moden. Namun begitu sesuatu yang
mesti dinyatakan dengan jujur ialah dengan kemunculan Cruiser, Frigate dan Corvette,
apa yang dikatakan Destroyer sebagai kombatan yang terbaik adalah masih kabur
kerana semua kelas kombatan era moden ini telah dilengkapi dengan kelengkapan
dan peralatan yang lengkap bagi menangani
ancaman semua dimensi seperti ancaman udara, permukaan, bawah permukaan
dan juga elektronik.
Pengenalan kelas tidak lagi dengan pasti
menunjukkan hierarki sesaran dan saiz
semua jenis-jenis kapal telah membesar melebihi takrif-takrif yang digunakan
lebih awal dalam abad ke-20. Satu lagi pembezaan utama antara kapal-kapal zaman
dahulu dengan kapal moden ialah kapal
perang moden lebih ‘lembut’ berbanding rekaan-rekaan terdahulu.
KD Lekiu kombatan moden TLDM |
Sehingga kini ramai penggemar-penggemar
tentera laut yang masih keliru dengan saiz dan kekuatan sesebuah kapal perang
terutamanya dalam kategori Frigate, Corvette dan seumpamanya. Frigate
dalam U.S. Navy adalah sebuah kapal yang dikategorikan sebagai kapal yang lebih
besar daripada Destroyer dan lebih kecil daripada Cruiser yang mempunyai
sesaran 4000-9000 tan yang direka sebagai kapal pengiring dan kapal
penyerang. Manakala di dalam tentera
laut British dan Kanada, kapal pengiring adalah lebih besar daripada Corvette
dan lebih kecil daripada Destroyer yang mempunyai sesaran antara 1200-2500 tan
yang lebih kurang menyamai Destroyer pengiring di dalam tentera laut Amerika.
Kenyataan ini sekali gus
menggambarkan saiz jenis-jenis kapal perang yang mengguna pakai jenama Frigate,
Corvette, New Generation Patrol Vessel, Littoral Combat Ship dan lain-lain
adalah merupakan jenama yang diperagakan untuk memberi satu kelainan atau
mempunyai niat-niat tertentu bagi mengaburi atau mungkin juga bagi menjaga
perasaan negara jiran serantau terhadap perolehan atau pembangunan aset
pertahanan negara tersebut dengan
membuat sedikit perubahan kepada sudut-sudut tertentu.
Namun bagi warga tentera laut
sendiri tidak begitu mengambil berat tentang jenis-jenis kapal dan
mengindikasikan jenis-jenis kapal secara umum samada selari dengan jenis-jenis
yang sedia ada atau dengan memodifikasikan dengan jenama-jenama yang lebih
sesuai dengan bentuk dan saiz seperi mini Frigate, mini Corvette atau
menggabungkan dengan ciri-ciri tugasan seperti Offshore Patrol Vessel (OPV),
New Generation Patrol Vessel (NGPV), Littoral Combat Ship (LCS) dan pelbagai
jenama mengikut cita rasa tentera laut pengguna itu sendiri. Walhal walau apa jenama yang digelarkan
sekali pun, kebanyakan secara asasnya mempunyai karakteristik teknikal serta
ciri-ciri kelengkapan dan keupayaan kombat yang fungsinya hampir sama.
Sering
kali didapati kapal yang dibina bersaiz Frigate, Corvette atau lebih kecil
daripada itu diklafikasikan sebagai kapal ronda yang mana karakteristik dan
persediaan kombatnya boleh menenggelamkan kapal pengangkut misil anti
permukaanya, boleh menjatuhkan jet pejuang dengan rapid calibre atau
misil udaranyanya malah juga boleh memburu dan membenamkan kapal-kapal selam
yang berada dalam jangkauan dengan sonar dan torpedonya.
Littoral Combat Ship semakin disebut ramai pada abad ini. Saiznya yang berada
dalam famili Frigate/Corvette namun ciri-cirinya yang menjadi igauan kebanyakan
tentera laut moden ialah ciri-ciri halimunan yakni kehadirannya amat sukar
dikesan oleh radar. Pemerhati-pemerhati
pertahanan berpendapat dunia pertahanan maritim hari ini bertumpu kepada suatu
rekaan yang sudah tentu bercirikan halimunan iaitu kombinasi rekabentuk
aerodinamik yang tidak banyak menonjolkan struktur binaan yang bersudut tepat.
Sebahagian besar struktur dindingnya diperbuat daripada bahan komposit dari
campuran kayu dan gentian kaca kerana bahan ini akan bertindak sebagai radar
absorbent material (RAM) supaya tidak menghasilkan pantulan jitu oleh
pancaran radar dari permukaan maupun udara. Dengan ini akan memberi kelebihan
taktikal yang menjadi elemen penting dalam sesuatu peperangan. Ciri-ciri lain
yang agak terkini dari segi rekaannya ialah anjungan yang boleh memandang 360
darjah, menara bersepadu, serombong dan kedudukan persenjataan meriam skunder.
‘Frigate’ yang berjenama LCS ini juga
dikatakan dinamik dengan aplikasi untuk pertahanan pesisir yang mempunyai
sistem intergrasi yang boleh bekerjasama dengan elemen tentera darat dan udara
dengan baik bagi gerakan angkatan bersama. Pertahanan pesisir juga memberi penekanan
kepada operasi yang berlaku di daratan yang mana turut dipengaruhi oleh
elemen-elemen yang berada di laut pesisir dan sebaliknya di dalam pertukaran
maklumat oseanografi dan persekitaran atmosfera yang berubah dengan cepat yang
mempengaruhi keberkesanan penderia radar, sonar serta pengoperasian sistem
persenjataan dipertingkat ke tahap maksimum.
Salah
satu daripada model LCS masa kini adalah rekaan Lockheed Martin Corp. yang
telah ditempah oleh beberapa negara termasuk TLDM sebanyak 6 buah kapal yang
dijangka memulakan pembinaan pada RMK10.
Mempunyai reka bentuk General Dynamic yang dikatakan memenuhi
keperluan peringkat atasan dan menyamakan beberapa parameter petunjuk prestasi.
Boleh memecut dengan kelajuan 40 batu
notika sejam. Menumpukan kepada keupayaan misi, menyokong operasi
pasukan-pasukan khas, Maritime Interdiction Operations (MIO), Intelligence,
Surveillance and Reconnaissance (ISR), and Anti-Terrorism/Force Protection
(AT/FP). Dikatakan juga berupaya melancarkan pesawat tanpa pemandu bagi
melaksanakan misi-misi yang diarahkan. LCS
mampu mengubah operasi tentera laut yang mana dalam ruang perang pesisir yang
memerlukan fokus kepada keupayaan bagi menentang ancaman-ancaman tidak simetri
yang kian berleluasa.
Selain
daripada persediaan aset kombatan, sebahagian lagi kategori kapal yang bertindak
sebagai platform sokongan dalam kebanyakan organisasi tentera laut dunia ialah
kapal-kapal bantuan, seperti Kapal
Pemburu dan Penyapu Periuk Api. Tren tentera laut masa kini juga mempamirkan
helikopter maritim sebagai elemen organik yang mesti dibawa oleh setiap kapal
kombatan dan juga kapal bantuan.
helikopter maritim organik yang mesti milik bagi setiap kapal kombatan |
Langkah
ini bukan sahaja dilihat sebagai suatu usaha kepada pembesaran ketumbukan
tetapi hakikat sebenarnya adalah era pertahanan hari ini menuntut perkhidmatan
pesawat diberi peranan berdasarkan keupayaannya yang sangat dinamik dan
terserlah sebagai komponen sokongan bagi mencapai objektif penghantaran udara,
pengawasan medan pertempuran, carilamat kombat, pemindahan mangsa/mayat,
pemindahan perubatan, menjejak sasaran melampaui ufuk, peperangan anti kapal
selam (AKS) malah sebagai pemandu dan pesawat pengantara bagi mengekploitasi
kelebihan jarak peluru berpandu anti-kapal jarak jauh dan lain-lain.
Justeru, jika ditanya angkatan yang
mempunyai jenis kapal yang bagaimanakah yang lebih berpotensi untuk memenangi
pertempuran di medan perang, jawapannya adalah terlalu subjektif kerana banyak
lagi elemen-elemen lain yang perlu diambil kira. Terutamanya seperti kesediaan
alat ganti yang mencukupi, keupayaan ulangbekal dan yang paling penting sekali
ialah kebijaksanaan teknikal dan taktikal yang ada kepada operator perangnya di
samping nyala rasa dan semangat perjuangan warga angkatan demi ugama bangsa dan
negaranya.
Kemahiran atau kebijaksanaan
taktikal yang diadun dengan kekentalan semangat dan jati diri setiap warga
tentera laut akan menjanjikan reputasi sesebuah tentera laut itu mungkin berada
ditahap maksima dan di kala itu jika mereka diberikan aset dan kelengkapan yang
berkapabiliti tinggi dengan teknologi terkini, adalah diyakini tiada nasib yang
tidak menguntungkan mereka dalam setiap pertempuran. PERAJURIT
Rujukan:
Battleship
of world war.
Wikipedia
encyclopedia
No comments:
Post a Comment