About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, November 8, 2011

Pasukan simpanan imbangi ATM

sumber utusan
Oleh SYUKRI SHAARI dan SOFIAN BAHAROM



KEUPAYAAN pertahanan negara tidak seharusnya diletakkan pada bahu angkatan tentera semata-mata, tetapi ia juga merupakan tanggungjawab bersama setiap warganegara sekiranya negara ini diancam musuh.

Struktur Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika ini adalah memadai dengan kekuatan angkatan tetap berskala kecil tetapi mampu diperkukuhkan oleh keseimbangan pasukan simpanan yang mampu dikerah untuk berkhidmat sepenuh masa sekiranya negara menghadapi situasi darurat atau peperangan.

Sejarah telah membuktikan bahawa Pasukan Simpanan ATM telah memainkan peranan yang signifikan dalam menguatkan keupayaan pertahanan negara.

Pasukan simpanan telah berganding bahu dan bekerjasama dengan angkatan tetap untuk memerangi musuh semasa pengisytiharan darurat serta konfrontasi Indonesia dan Malaysia.

Ia telah terbukti apabila hampir 180,000 sukarelawan tampil mempertahankan negara semasa menghadapi konfrontasi tersebut.

Peranan

Seperti pasukan simpanan tentera negara lain di seluruh dunia, peranan yang diamanahkan kepada Pasukan Simpanan ATM termasuklah;

l Membantu-ganti angkatan tetap menggandakan paras kekuatan yang diperlukan untuk mempertahankan kepentingan strategik ketika darurat atau peperangan.

l Membantu angkatan tetap dalam operasi keselamatan dalam negeri dengan bersedia untuk dikerahkan dan diatur gerak apabila keadaan memerlukan.

l Bersedia membantu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menghadapi bencana alam atau lain-lain kecemasan.

Komponen

Pasukan Simpanan ATM terdiri daripada dua komponen iaitu simpanan tetap dan simpanan sukarela.

Pasukan simpanan tetap dikenali sebagai reservists dan terdiri daripada anggota angkatan tetap yang berhenti, meletakkan jawatan, tamat atau bersara daripada perkhidmatan.

Mereka diwajibkan berkhidmat sebagai anggota simpanan di dalam perkhidmatan masing-masing mulai dari tarikh berhenti untuk jangka masa lima tahun bagi pegawai, manakala anggota lain-lain pangkat sehingga mencapai umur 50 tahun atau yang mana terdahulu.

Sementara itu, pasukan simpanan sukarela pula dikenali sebagai volunteers terbuka kepada setiap warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas untuk menyertai secara sukarela setelah memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan.

Pasukan simpanan ATM juga dikenali sebagai Askar Wataniah bagi Tentera Darat selain Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Tugas untuk membangun, melatih dan menyelenggarakan pasukan simpanan ATM terletak pada bahu perkhidmatan masing-masing. Struktur organisasi pula, diatur mengikut peranan dan keperluan perkhidmatan.

Pembangunan karier individu diurus berdasarkan kepada latar belakang akademik dan profesional sukarelawan. Pada ketika ini, ATM mempunyai seramai 60,000 anggota sukarelawan di seluruh negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah pun memberitahu, kementerian menyasarkan kesemua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara akan mempunyai kompeni Askar Wataniah (AW) masing-masing sebelum akhir tahun ini.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini