About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Friday, September 16, 2011

Eksesais Keris Strike uji tentera Malaysia, AS

Sumber Utusan




MELAKA 15 Sept. - Seramai 267 pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) termasuk 117 orang daripada pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) menyertai Eksesais Keris Strike Siri 15 yang bermula hari ini dan berakhir 27 September ini di Kem Terendak di sini.

Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad berkata, eksesais itu yang dilaksanakan setiap tahun bertujuan menjalin hubungan lebih baik antara kedua-dua negara dan memberi pendedahan mengenai perlaksanaan misi pengaman.

Menurutnya, eksesais tersebut juga membolehkan kedua-dua negara berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam kalangan pegawai dan anggota dalam melaksanakan Operasi Pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Lebih penting, latihan gabungan ini juga akan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam menangani isu keselamatan global dan menangani ancaman pengganas di rantau ini.

"Ini merupakan tahun kedua 3 Divisyen menjalin kerjasama dengan pasukan Tentera Sokongan Misi Kesembilan AS dalam mengendalikan latihan yang sebelum ini kita adakan di Kuantan tahun lalu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Eksesais Keris Strike 15/2011 di Padang Pavilion, Kem Terendak di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Pasukan Tentera Simpanan Sokongan Arahan Misi Kesembilan AS, Brigedier Jeneral Michele G.Compton.

Pada majlis itu, Razali dan G.Compton turut memakaikan lilitan perjawatan utama eksesais kepada pegawai TDM dan tentera AS sebagai simbolik acara perasmian tersebut.

Sementara itu, G.Compton berkata, eksesais yang diadakan itu juga secara tidak langsung dapat menguji keupayaan standard operasi kedua-dua negara itu.

"Latihan ini sama seperti operasi di PBB dan secara tidak langsung hubungan ketenteraan kedua-dua negara dapat dijalin lebih erat," katanya.

Katanya, beliau yakin eksesais itu akan dapat mencapai matlamatnya.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini