About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, May 25, 2011

Komando Maritim sedia hadapi kemungkinan

sumber utusan
Oleh FARIDAH SHUIB



SERAMAI 10 pegawai lain-lain pangkat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah dianugerahkan beret Pasukan Khas Laut (Paskal) dan sijil daripada KD Panglima Hitam di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, baru-baru ini.

Untuk melayakkan diri mendapat anugerah itu, mereka perlu mengharungi pahit getir selama tiga bulan dengan melalui pelbagai peringkat latihan iaitu di peringkat kem, hutan, paya, laut dan seterusnya peringkat pelolosan serta pelarian.

Menurut Ketua Pasukan Tindakan Khas Agensi Maritim Malaysia, Kapten Maritim Abim ak Sungom, sebelum dipilih anggota terlibat telah menjalani latihan pemanasan selama sebulan bermula 2 Disember 2010 hingga 5 Januari 2011.

Semasa ujian akhir pemanasan, anggota-anggota perlu melepasi piawaian berlari sejauh 6.8 kilometer di bawah 30 minit dan berenang gaya bebas sejauh 500 meter di bawah 10 minit, gaya tepi 500 meter bawah 12 minit dan gaya campuran 500 meter bawah 12 minit.

"Walaupun gembira kerana terpilih menjalani latihan ala komando, mereka tidak menyangka ada di antaranya tidak dapat melepasi latihan yang amat mencabar sebelum diserapkan ke dalam PTK Maritim Malaysia,'' ujarnya.

Pemilihan awal calon Kursus Asas Komando itu bermula di Pangkalan TUDM Kuala Lumpur. Ia telah menghimpunkan 55 anggota Maritim Malaysia yang berminat untuk bergelar PTK.

Katanya, pemilihan anggota dilakukan mengikut standard yang digunapakai di dalam pasukan elit seperti Pasukan Khas Udara (Paskau), Paskal dan komando Tentera Darat.

Ia bertujuan memastikan kecekapan anggota-anggota PTK Maritim Malaysia selari dengan piawai pasukan elit yang ada sekarang.

Dalam fasa pertama pemilihan awal, semua anggota telah menjalani dua peringkat ujian iaitu Ujian Fizikal Air (UFA) dan Ujian Fizikal Darat (UFD).

Kesemua calon yang berjaya iaitu empat pegawai dan 43 anggota lain-lain pangkat meneruskan latihan Kursus Pra-Asas Komando selama dua minggu di sekitar kawasan Teluk Batik, Lumut, Perak. Ia untuk membina daya ketahanan mental dan fizikal selain pengenalan dan pendedahan awal mengenai pengendalian senjata kecil serta ilmu perang selain memupuk semangat kerjasama dan setiakawan dalam kumpulan.

Dari situ, hanya 30 calon yang berjaya dan mereka seterusnya menjalani latihan intensif selama tiga minggu.

Latihan tersebut menitikberatkan aspek fizikal di air dan darat.

Untuk itu setiap calon mesti melepasi ujian-ujian seperti larian 6.8 kilometer dalam masa kurang 34 minit, tekan tubi tidak kurang 50 kali dalam masa 90 saat, bangkit tubi tidak kurang 50 kali dalam masa 90 saat, panjat tali 15 meter dan sebagainya.

Mereka juga perlu melepasi ujian fizikal air seperti renang gaya bebas 500 meter bawah 10 minit, renang gaya tepi 500 meter bawah 12 minit, renang gaya campuran 500 meter bawah 12 minit, menyelam ke dasar sedalam tujuh meter, menyelam jauh 35 meter, terjun tinggi 10 meter.

Selain itu dalam keadaan tangan dan kaki diikat, mereka juga perlu berenang sejauh 75 meter, mengapung selama 15 minit dan menyelam sedalam lima meter.

Dalam pemilihan akhir, hanya 25 calon layak mengikuti Kursus Asas Komando iaitu seorang pegawai dan 24 anggota lain-lain pangkat di KD Panglima Hitam, Pangkalan TLDM Lumut.

Bagaimanapun, hanya 10 calon yang berjaya menamatkan cabaran tersebut.

Kursus pertama telah diadakan di Paskau Pangkalan TUDM Jugra, Banting, Selangor pada 2009 yang mana seramai 22 orang telah lulus dengan cemerlang.

Semua anggota yang berjaya itu akan ditugaskan sebagai anggota Penyelamat dan Penggempur Khas bagi melaksanakan pelbagai misi PTK.

TLDM terus mantap

Oleh Ani Awang
oleh Roy Azis Abd Aziz

SETIAP pasukan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) biasanya akan mengadakan sambutan hari ulang tahun masing-masing sebagai memperingati kejayaan dan kematangan setiap pasukan itu.

Sambutan hari ulang tahun penubuhan itu juga diharap akan membangkitkan semangat kecintaan anggota kepada pasukan dan memastikan kerjasama pegawai dan anggota di semua peringkat diperkukuhkan setiap masa.

Justeru, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak terkecuali dengan mengadakan pelbagai program sambutan Ulang Tahun TLDM ke-77 di Padang Kawad KD Pelandok di Pangkalan TLDM di sini baru-baru ini.

Istiadat perbarisan ulang tahun itu disertai 85 pegawai dan 515 anggota terlibat dalam istiadat perbarisan yang diketuai Ketua Perbarisan Komander Ahmad Rashidi Othman.

Mereka yang berpakaian seragam putih berdiri gagah untuk memberi tabik hormat kepada Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Wira Jamil Osman yang mengadakan pemeriksaan kawalan kehormatan pada istiadat tersebut.

Majlis dimulakan dengan perarakan empat panji-panji diraja bagi kapal KD Pelandok, KD Malaya, KD Rajawali dan KD Panglima Hitam.

Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, TLDM sedang berusaha menaikkan gaji serta elaun anggotanya sejajar dengan peningkatan taraf perjawatan di kalangan anggotanya.

Beliau berkata, usaha itu perlu bagi meningkatkan semangat dan motivasi anggota TLDM.

Katanya, antara elaun yang sedang dalam pertimbangan kerajaan adalah bayaran insentif perkhidmatan kapal selam, tugas stesen luar pantai, bahasa asing, pasukan khas, juruterbang dan elaun bagi juru teknik pesawat.

"Cadangan gaji dan elaun ini sedang dipertimbangkan oleh kerajaan," katanya di KD Pelandok, Pangkalan TLDM di sini baru-baru ini.

Selain itu, Abdul Aziz berkata, TLDM sedang mengambil langkah proaktif melaksanakan transformasi ke arah memartabatkan TLDM bagi mencapai misi dan visinya.

Menurutnya, untuk mencapai tujuan itu, TLDM telah menggunakan pelan strategi seperti kesiagaan, menambah baik kesediaan sumber, pengurusan sumber manusia, pengurusan lojistik dan membangunkan modal insan.

Beliau berkata, kesemua pelan tersebut perlu dilaksanakan di setiap markas, unit dan setiap anggota.

Selain itu, kata Abdul Aziz, aset TLDM sentiasa diselenggara dengan baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa yang diperlukan demi untuk menjaga kepentingan negara.

Katanya, pihaknya juga bekerjasama dengan agensi luar menerusi kerjasama strategik di antara TLDM dengan MISC Berhad.

"Kerjasama itu terbukti berkesan apabila berjaya mengiringi 238 buah kapal dengan melindungi nilai dagangan negara berjumlah hampir RM63.3 bilion," ujar beliau.

Sementara itu, seramai lima orang menerima Anugerah Pujian Panglima Tentera Laut dan dua orang bagi Anugerah Bintara dan Laskar Terbaik TLDM.

Pegawai Waran 1, Nik Ezanee Nek Anom, 44, berkata, Anugerah Pujian Panglima Tentera Laut yang diterima itu merupakan satu penghargaan kepadanya yang sudah berkhidmat dengan TLDM selama 23 tahun.

"Anugerah ini memberi satu dorongan dan semangat untuk bekerja lebih kuat.

"Azam saya akan datang adalah untuk membimbing anggota bawahan supaya mereka menjadi anggota yang terlatih," katanya yang berasal dari Tumpat, Kelantan.

Nik Ezanee menyertai TLDM pada 19 Jun 1988 dan pernah bertugas di KD Mahameru, KD Jerong, KD Indra Sakti, Kapal RMN SSC dan pasukan projek PV TLDM serta mewakili TLDM ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertugas di Daffur, Sudan.

Menurutnya, pengalaman paling mencabar semasa bertugas di Daffur kerana mereka terdedah dengan ancaman bertugas di padang pasir.

"Namun kelengkapan persenjataan kita lebih maju berbanding dengan mereka," katanya.

Bagi Laskar Kanan (Paskal) Luye ak Aru, 36, yang mempunyai kepakaran sebagai penyelam kapal, payung terjun, ikhtiar hidup pertempuran, tempur jarak dekat dan perisikan - kelebihan itu banyak membantu kejayaannya dalam TLDM.

"Saya terbabit dengan Ops Fajar 1 untuk membebaskan kapal Bunga Melati 2 dan 5 daripada tawanan lanun Somalia.

"Pengalaman yang ada pada saya banyak membantu saya menggunakan kepakaran bagi setiap operasi yang disertai," katanya yang berasal dari Sarawak.

Dia menyertai TLDM pada 18 April 1996 dan kini bertugas di KD Panglima Hitam.

Pegawai Waran 11 (Paskal), Teruna Hassan, 41, berkata, anugerah yang diberikan itu merupakan satu penghargaan yang tinggi pada dirinya.

"Semasa bertugas sebagai Ketua Tim Gempur Dua, semasa Ops Fajar 8, pasukan saya berjaya menyelamatkan kesemua anak-anak kapal serta melindungi harta negara.

"Saya percaya pasukan Paskal boleh dimantapkan dengan meningkatkan peralatan sedia ada bagi membolehkan ia menjadi pasukan yang disegani dalam TLDM," katanya yang kini bertugas di KD Panglima Hitam.

Berasal dari Papar, Sabah, beliau menyertai TLDM pada 8 Januari 1990.

Laskar Kanan (Paskal) Abdul Aziz Ismail, 33, berkata, anugerah itu merupakan satu penghargaan kepadanya untuk terus menabur khidmat bakti dalam TLDM.

"Saya berazam untuk bekerja dengan lebih gigih demi negara dan memperoleh banyak pengalaman semasa berkhidmat di TLDM termasuk terlibat dalam Ops Fajar 1, 4 dan 8,'' katanya yang mula berkhidmat dengan TLDM pada 18 April 1996.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini