About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, March 14, 2011

Impak kebanjiran warga asing ke atas keselamatan negara

Sumber utusan
Oleh Ibrahim Ali
Bahagian Pertama

BARU-BARU ini saya membaca laporan akhbar mengatakan bahawa Kementerian Sumber Manusia akan membawa masuk 45,000 pekerja asing daripada India. Saya harap kerajaan menangguhkan tindakan ini sehingga seluruh masalah berkaitan dengan warga asing yang menghilangkan diri sesudah tamat tempoh visa mereka dapat diselesaikan secara berkesan.

Saya membuat cadangan ini sebab saya tidak mahu Malaysia dibanjiri oleh rakyat asing yang kini tinggal secara haram dan mungkin mencetuskan masalah keselamatan negara pada masa akan datang.

Hakikatnya, hari ini ramai warga asing mencari rezeki di Malaysia. Ada di antara mereka yang dibawa masuk mengikut proses undang-undang. Tetapi, ramai lagi di antara mereka yang menyeludup masuk ke negara kita secara haram atas daya usaha pengoperasi Jenayah Rentas Sempadan atau JRS.

Di samping itu, ada juga di antara mereka yang masuk ke negara ini menerusi visa pelancong. Tetapi, sesudah tamat tempoh viasnya, pelancong ini pun melencong entah ke mana dan tidak dapat dikesan oleh penguat kuasa undang-undang kita.

Contohnya, sempena Tahun Melawat Malaysia 2007, terdapat seramai 26,252 pelancong yang menggunakan Visa Ketibaan atau Visa on Arrival (VOA) telah menghilangkan diri sebai-baik sahaja tempoh sebulan lawatan mereka tamat.

Daripada jumlah pelancong yang tinggal lebih masa ini, rakyat India mencatatkan jumlah paling ramai, iaitu 26,252 orang; diikuti oleh rakyat Pakistan 9,719 orang; rakyat China 3,866 orang; rakyat Bangladesh 5,663 orang, dan rakyat Sri Lanka 3,379 orang.

Ini bermakna bahawa pelancong yang melencong dan menghilangkan diri ini adalah mereka yang datangnya daripada luar alam Nusantara Melayu. Soalnya di sini, ke manakah melencongnya pelancong-pelancong ini?

Adakah pelancong-pelancong daripada luar Nusantara yang lesap ini mencerminkan kewujudan beberapa sindiket di kalangan rakyat Malaysia yang memberikan perlindungan kepada mereka.

Adakah ini juga bermakna bahawa sindiket yang sama akan berusaha mendapatkan kad pengenalan bagi mereka dengan pembohongan, kononnya oleh kerana mereka tinggal jauh di pedalaman - di estet-estet dan di kebun-kebun sayur - maka mereka tidak mempunyai surat beranak dan dengan itu tidak berani keluar ke pekan-pekan untuk mendapatkan kad pengenalan masing-masing sebagaimana dituntut oleh undang-undang negara.

Lantaran itu, mereka pun menggunakan khidmat sesetengah kelompok, mungkin termasuk kita sebagai ahli politik, untuk mendapatkan kad pengenalan mereka.

Adakah ini hakikatnya? Adakah kerajaan sudah bertindak terhadap perkara seperti ini? Atau, adakah tindakan pelancong yang melencong seperti ini belum dapat diselesaikan hingga ke hari ini?

Selain itu, ada pula dakwaan - saya tidak tahu ini sahih atau sebaliknya - bahawa sesetengah wanita asing yang lesap setelah tamat tempoh visanya, sebenarnya disimpan, atau disembunyikan di beberapa pekan kecil, untuk berkhidmat dengan sindiket tertentu dalam industri yang dikenali sebagai "industri bikin anak."

Maksudnya, wanita-wanita asing ini disimpan di suatu tempat khas yang jauh daripada bandar, untuk mereka melakukan hubungan seks dengan sekumpulan lelaki upahan Malaysia, bagi pihak sesetengah pasangan tua Malaysia yang inginkan anak.

Tetapi - ini juga hanya desas-desus yang saya dengar - matlamat akhir "industri bikin anak" ini adalah untuk menambahkan jumlah penduduk sesetengah etnik tertentu di Malaysia bagi perancangan politik jangka panjang etnik berkenaan di masa akan datang.

Soalnya, adakah ini hanya dongeng, atau adakah ini merupakan satu realiti? Soalnya, adakah autoriti Malaysia tahu akan dongeng seperti ini? Kepada saya, mungkin ada kebenarannya di sebalik dongeng ini.

Sebabnya, "industri bikin anak" ini memang wujud di sebuah negara ASEAN tertentu, walaupun matlamat akhirnya di negara berkenaan adalah berbeza. Jika di Malaysia, dongeng pasal "industri bikin anak" ini mempunyai matlamat politik, di negara ASEAN berkenaan, "industri bikin anak" ini adalah untuk mewujudkan satu generasi baru yang dilahirkan daripada kombinasi pelbagai baka bangsa terpilih di seluruh dunia.

Kerana itulah lelaki yang diupah untuk melakukan hubungan seks dengan wanita-wanita asing di negara berkenaan adalah daripada kalangan cerdik-pandai dan profesional di pelbagai bidang daripada seluruh pelosok jagat.

Oleh sebab itu, saya mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap kumpulan pelancong yang melencong seperti ini. Kerajaan juga menyiasat sama ada inikah impak dan kesan penyalahgunaan kuasa di kalangan segelintir pegawai penguat kuasa kita yang bertanggungjawab mengenai imigresen.

Saya tidak menuduh, saya sekadar ingin tahu akan kisah dongeng ini sebab impaknya kepada masa depan negara adalah serius dan mungkin parah.

Seterusnya, saya bangkitkan persoalan, adakah benar bahawa Jabatan Imigresen telah mengenal pasti lebih 300,000 warga asing tinggal di Malaysia secara menipu dengan menyalahgunakan permit mereka, sejak beberapa tahun kebelakangan ini?

Adakah juga benar bahawa hampir separuh atau kira-kira 24,000 daripada 49,000 penghuni penjara di seluruh negara adalah warga asing? Selain itu, adakah benar bahawa pada tahun 2006, dianggarkan antara 300,000 dan 500,000 orang pendatang asing tanpa izin berada di Malaysia dan kos penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin kini paling rendah adalah RM 3.5 juta setahun?

Saya bimbang akan soal pendatang asing yang tidak boleh dikesan ini sebab saya percaya mereka akan menjadi masalah kepada negara kita di hari muka. Mereka akan menjadi punca kepada masalah identiti dan etnisiti di Malaysia.

Mereka juga akan menjadi punca masalah sosial dan masalah politik di Malaysia. Kita tidak wajar bersambil lewa dalam menangani masalah ini. Kita perlu bersungguh-sungguh untuk membanteras dan menghapuskan masalah ini.

Saya juga khuatir mengenai masalah ini sebab ia mencerminkan tahap dan intensiti JRS yang beroperasi di Malaysia mutakhir ini. Hakikatnya begitu, kerana JRS adalah satu daripada ancaman keselamatan bukan tradisional yang kian menjadi-jadi dalam era globalisasi.

Satu daripada kekuatan pengusaha JRS adalah permainan rasuah mereka. Pengusaha JRS sanggup merasuah sesiapa sahaja yang sudi menerimanya sebab JRS adalah bisnes yang cukup lumayan. Untungnya berlipat ganda dan tidak payah bayar cukai.

Ringkasnya, JRS adalah bisnes gelap paling canggih dan paling top di serata dunia. Usaha membanterasnya tidak mudah. Oleh sebab itu, saya harap Malaysia tidak mudah menyerah kalah.

Oleh itu, kita perlu insaf bahawa impak JRS dalam konteks pendatang asing tanpa izin, adalah serius. Banyak penganalisis antarabangsa berpendapat JRS ini mengancam sistem negara dan konsep kedaulatannya, serta menggugat keselamatan antarabangsa dan kelangsungan umat manusia.

Jenayah ini juga turut mencetuskan konflik. Selain itu, JRS juga menyemarakkan amalan rasuah untuk mempermudahkan pelaksanaan operasinya supaya tidak diganggu-gugat oleh mana-mana agensi pencegahan, penguatkuasaan dan keselamatan di sesebuah negara yang menjadi sasarannya.

Hakikat ini sudah pun dikaji dan dianalisis oleh banyak pihak. Atas hakikat dan kesedaran inilah PBB mengambil daya usaha serius untuk mengatasinya dengan meluluskan Konvensyen PBB Mengenai Jenayah Rentas Sempadan pada 15 November 2000, dan menguatkuasakannya sejak 29 September 2003.

Malaysia menandatangani konvensyen ini pada 26 September 2002, dan mengesahkannya pada 24 September 2004.

Penandatanganan konvensyen ini membuktikan bahawa Malaysia serius terhadap masalah JRS. Oleh sebab itulah diwujudkan undang-undang mengenai pemerdagangan manusia dan lain-lainnya.

Tetapi, undang-undang ini hanya prihatin mengenai masalah JRS dari sudut sosial, bukannya daripada perspektif keselamatan negara. Oleh sebab itu, saya berpendapat bahawa masalah JRS, khususnya mengenai kemasukan warga asing tanpa izin, atau mengenai warga asing yang menghilangkan diri setelah tamat tempoh visa mereka, perlu dibanteras menerusi perspektif keselamatan nasional.

Dalam konteks in juga, saya harap kerajaan akan mengkaji semula seluruh undang-undang mengenai perburuhan asing di Malaysia supaya tidak wujud sebarang ruang undang-undang yang boleh disksploitasikan oleh pengoperator JRS atau mungkin dieksploitasikan oleh segelintir golongan politik yang bermatlamat untuk menambahkan jumlah etnik mereka di Malaysia kontemporari.

Kerajaan tidak seharusnya memandang remeh soal JRS dalam konteks kemasukan warga asing secara haram ke Malaysia. Maka, sudah sampai masanya untuk kerajaan melakukan gerakan bersepadu dan komprehensif untuk mengkaji semula seluruh undang-undang imigresen dan perburuhan asing bagi mengelakkan Malaysia terancam kedaulatannya akibat kemasukan warga asing secara tidak terkawal.

Bersambung esok.

Datuk Ibrahim Ali ialah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)

1 comment:

Anonymous said...

kerajaan perlu melihat dan menangani masalah ini secara serius @ natijahnya satu hari nanti Malaysia akan tergadai dan di bawah kawalan kuasa asing.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini