About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, March 15, 2011

Bekukan seluruh pengambilan buruh asing ke Malaysia

Sumber Utusan
Bahagian Kedua

KERAJAAN wajar membekukan seluruh pengambilan buruh asing ke Malaysia buat masa ini. Selagi pihak penguat kuasa undang-undang belum berjaya membanteras kehadiran seluruh warga asing di Malaysia secara haram, maka selagi itulah pembekuan ini perlu dikuatkuasakan.

Saya membuat cadangan ini dalam konteks mutakhir ini di mana terdapat kementerian sehingga membuka kaunter khas semata-mata untuk memudahkan pembawaan masuk sejumlah 45,000 pekerja asing daripada India.

Persoalan saya di sini, mengapakah bawa masuk warga asing sedangkan yang berada di Malaysia secara haram berpuluh-puluh ribunya jumlahnya? Adakah kementerian berkenaan dan juga Kementerian Dalam Negeri tidak memandang serius hakikat ini?

Mengapa diburu seluruh pendatang asing tanpa permit ini secara habis-habisan di seluruh negara? Mengapa harus bawa orang baru masuk secara halal tetapi kemudiannya mereka juga akan lesap dan melencong entah ke mana?

Berkait persoalan ini, kerajaan juga perlu menyiasat, adakah benar bahawa mutakhir ini terdapat buruh-buruh asing yang diizinkan bekerja di syarikat-syarikat yang sensitif terhadap keselamatan negara Malaysia?

Contohnya, adakah benar bahawa beratus-ratus bekas tentera laut India kini diizinkan berkhidmat sebagai pekerja pelabuhan di Pelabuhan Klang? Bukankah pelabuhan merupakan satu daripada pintu masuk ke negara ini?

Bagaimana jika buruh asing ini dijadikan perkakas untuk memajukan JRS? Bagaimana jika buruh-buruh asing ini bersubahat dengan kegiatan penyeludupan, sama ada barang-barang biasa, ataupun senjata api dan juga dadah?

Bagaimana jika buruh-buruh asing yang terdiri daripada kumpulan yang terlatih di bidang ketenteraan ini terlibat dengan aktiviti-aktiviti sabotaj, espionage dan pengkhianatan terhadap Malaysia?

Saya bangkitkan persoalan ini dalam konteks JRS, sebab ia memang sering dijadikan saluran kepada kegiatan terorisme, sabotaj atau pun espionage. Saya juga bangkitkan soal kehadiran bekas tentera laut India berkhidmat di Pelabuhan Klang sebab saya menerima maklumat mengenai hal ini.

Oleh sebab itu, saya minta harap kerajaan menjelaskan kemusykilan ini secara terperinci. Jangan lagi jawab perkara ini penuh dengan silat dan lenggang lenggok yang mengelirukan.

Berikan jawapan sama ada hakikat ini benar, mengapa dan apakah rasionalnya? Adakah kita semua insaf bahawa keselamatan negara kita terdedah kepada bahaya jika kelompok yang terlatih dalam ketenteraan ini disalahgunakan oleh pihak musuh kita?

Saya serius dalam hal ini sebab saya prihatin terhadap kedaulatan dan kemerdekaan tanah air ini. Saya tidak rela masa depan kita terancam dan lama-kelamaan bangsa Melayu kehilangan kuasa di tanah airnya sendiri.

Sebenarnya, banyak lagi perkara sensitif mengenai khidmat buruh asing ini. Apa tidaknya, jika rekod dan data mereka pun disimpan oleh pihak yang melakukan pemeriksaan perubatan mereka yang saya dapat tahu syarikat ini pun merupakan anak syarikat milik sebuah negara asing.

Ringkasnya, kerajaan perlu melakukan apa yang saya cadangkan di atas. Lakukan kajian menyeleruh dan bersepadu terhadap dasar kita terhadap perburuhan asing. Perlu ditetapkan di sektor manakah mereka boleh diizinkan bekerja dan di sektor mana pula mereka tidak boleh diizinkan untuk bekerja.

Penyimpanan rekod pekerja asing pula perlu diserahkan kepada jabatan kerajaan yang khusus. Jangan izinkan syarikat milik negara asing menyimpan rekod dan data pekerja asing di Malaysia. Ini semua bermakna kerajaan perlu melakukan suatu tindakan drastik berasaskan keselamatan negara supaya tidak mudah kita dimanupulasikan oleh pihak-pihak asing yang memusuhi Malaysia.

Oleh sebab itu, biarpun Malaysia mempunyai undang-undang yang ketat dan tegas mengenai penyeludupan dadah, mengenai pihak warga asing tanpa izin, mengenai rasuah, dan mengenai hal ehwal imigresen, mari kita tanya diri sendiri secara ikhlas dan jujur, adakah seluruh undang-undang ini boleh menjamin keselamatan nasional dan keselamatan insan Malaysia jika seluruh undang-undang tersebut telah dikompromikan oleh sesetengah pihak atas motivasi rasuah?

Persoalan inilah yang sewajarnya menginsafkan pihak kerajaan untuk mensekuritisasikan seluruh JRS, khususnya mengenai buruh asing, sebagai ancaman keselamatan nasional. Ini kerana keseluruhan jenayah rentas sempadan adalah bahaya yang nyata kepada negara dan rakyatnya dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk sosio-politik dan ekonomi.

Oleh sebab itu juga, kerajaan perlu bertindak tegas menerusi penguatkuasaan undang-undang imigresen yang rigid dan keras. Sebarang bentuk korupsi sistemik dalam pengurusan imigresen dan pekerja asing perlu dibanteras habis-habisan dan dengan segera.

Tindakan ini penting dilakukan secara komprehensif kerana mutakhir ini wujud kajian-kajian oleh sarjana keselamatan antarabangsa yang membuktikan bahawa pelbagai sindiket transmigrasi dan JRS kini berjaya melakukan rasuah sistemik terhadap jentera pentadbiran daripada yang serendah-rendahnya hingga ke peringkat penggubal undang-undang dan pentadbir undang-undang di beberapa negara.

Hakikat ini serius sebab jumlah pendatang asing tanpa izin boleh mencetuskan pelbagai bentuk jenayah, boleh melunturkan identiti sesebuah negara, dan boleh menggugat status kekuasaan di negara terbabit di masa akan datang.

Dalam konteks ini, Kerajaan juga wajar mengkaji semula kemasukan buruh asing daripada India dan Republik Rakyat China dan lain-lain negara sumber yang bukan Islam.

Pada waktu yang sama, agensi-agensi kemasukan pelajar asing daripada luar negara, terutamanya daripada Republik Rakyat China dan Afrika, perlu dipantau dan dibanteras sekeras-kerasnya jika terbukti wujud penyelewengan.

Tindakan-tindakan ini kritikal kerana segelintir rakyat asing bukan Islam yang sudah diwarganegarakan di Malaysia kini terbukti sedang berusaha untuk mengubah status quo identiti Malaysia yang berpaksikan Melayu, Islam dan Bumiputera.

Ini berbahaya kepada kelangsungan Melayu, Islam, dan Bumiputera. Dalam dekad-dekad mendatang, soal mengubah identiti status quo ini boleh jadi bertambah genting dan boleh menjejaskan keselamatan negara. Oleh sebab itu, kerajaan perlu tidak berkompromi terhadap seluruh masalah ini pada hari ini.

Moga-moga kerajaan memahami maksud saya yang tersirat di sebalik kenyataan ini. Oleh sebab itu, kerajaan perlu mempertahankan kedaulatan negara, menjaga keselamatan negara, memastikan kelangsungan negara, dan melindungi kepentingan negara.

Kedaulatan negara adalah konsep perundangan yang memberikan kuasa kepada kerajaan untuk menggubal undang-undang, peraturan, dan prosidur bertujuan menjaga keselamatan, kelangsungan, dan kepentingan negara dan rakyat jelata.

Pendek kata, kedaulatan adalah konsep yang menghalalkan sesebuah negara dan kerajaannya bertindak mengikut falsafah, matlamat dan persekitaran keselamatannya yang tersendiri. Falsafah, matlamat dan persekitaran keselamatan ini pula berasaskan komposisi rakyatnya, ciri-ciri budayanya, keunggulannya agamanya, dan tahap serta taraf ekonominya.

Hakikat ini membuktikan bahawa asas utama sesebuah negara dalam konteks konsep negara, adalah kedaulatan, bukannya demokrasi. Maksudnya, antara kedaulatan dan demokrasi, kedaulatan adalah lebih penting.

Ini kerana kedaulatan memberikan kuasa kepada negara supaya bertanggungjawab sepenuhnya kepada keselamatan, survival dan kepentingan utamanya. Ini bermakna, ideologi yang didukung oleh sesebuah negara mesti disesuaikan kepada falsafah dan matlamat untuk mencapai objektif utama negara itu sendiri, iaitu menentukan kedaulatan, keselamatan, survival dan kepentingannya demi rakyat dan demi kekuasaannya.

DatuK IBRAHIM ALI ialah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)

4 comments:

Anonymous said...

salam saudara,,,
saya sokong cadangan ini 100%,,,ramai pekeja asing ini yg lesap tanpa dpt dikesan terutama dari india,,,saya pecaya mereka ini sudah pasti berusaha mendptkan kewarganegaraan,,

sedikit masa dahulu jab pendaftaran negara telah memudahkan pendaftar yg menhadapi masalah dokumentasi utj mendapatkan mykad,,saya percaya sebahagian kecil pendatang asing yg lesap itu tidak melepaskan peluang seperti ini utk mendapatkan mykad

hentikan kemasukan pekerja asing,,,

Anonymous said...

Bagi pendapat saya, saya salahkan majikan yang berbangsa india warganegara Malaysia..sebb ditempat saya kerja, mereka melayan diorang seperti rakyat kita dan majikan dia, datang dan kutip duit..salah siapa?? cuba lihat sistem yang diguna pakai oleh kerajaan singapore..bila warga asing yang pernah ditahan dan ada masalah diorang boleh check melalui sistem data di imigresen.. so cara ini boleh mengekang kemasukan diorang..

Anonymous said...

saya sgt bersetuju dgn arttikel diatas tersebut,,kerajaan sepatutnya menempuhkan terlebih dahulu kepada kebanjiran pendatang yg ada dii negara,,

bekukan dahulu kemasukan tenaga kerja asing kerana masalah tenaga asing yg ada skrg pn belum dpt diselesaikan.dgn membawa masuk pekerja asing yg baru akn merumitkan lagi masalah tersebut hingga begitu sukar dibendung..

Kebanjiran tenaga asing ini menimbulkan ketidak selesaan kepada penduduk tempatan dan meningkatkan lagi kadar jenayah yg dilakukan pekerja asing

selesaikan dahulu kebanjiran pendatang asing sebelum membawa masuk pekerja baru.

Anonymous said...

salam..
memang sudah sampai masanya bagi saya pihak kerajaan memberhentikan pengambilan pekerja2 asing kerana apa yang dilihat sekarang sudah terlalu ramai pekerja2 asing yang berada dinegara ini.

apa yang pelik bagi saya setiap satu2 projek yang akan dilaksanakan, satu perancangan akan dibuat untuk mengambil ribuan pekerja2 asing yang baru dan setelah selesai satu2 projek, pekerja2 asing ini tidak tahu kemana pula menghilangnya dan pengambilan pekerja2 asing yang baru akan diumumkan untuk projek2 yang lain pula.

gunakanlah pekrja2 asing yang sudah berada dinegara ini, bagi saya sudah mencukup kerana terdapat ratusan ribu bahkan jutaan, dprd terus membuat pengambilan yang baru dan akhirnya pekerja2 asing ini akan terus menghilang menyebabkan kebanjiran mereka yang tidak terkawal ini tidak termasuk yang masuk secara haram...
bagi saya rekod dan pemantauan setiap pekerja asing yang dilaksanakan perlu diperbaiki dan dipantau dengan telus oleh pihak2 yang berwajib agar pekerja2 asing ini tidak terus ghaib setelah selesai sesuatu projek..

kerajaan perlu bertindak sebelum masaalah ini akan menjadi bertambah rumit dari segi ekonomi, sosial, penyakit dan yang penting boleh menjejaskan peluang pekerjaan pada rakyat pada masa akan datang.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini