About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, February 7, 2011

RM6b bina 6 kapal peronda TLDM

sumber utusan
Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my


LUMUT 5 Feb. - Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM6 bilion bagi membina enam buah kapal peronda generasi kedua (SGPV) yang akan digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keseluruhan projek tersebut diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) di atas kejayaan mereka menjayakan projek kapal ronda generasi baru (NGPV) yang disiapkan Disember lalu.

Menurutnya, sebanyak RM2 bilion daripada jumlah keseluruhan projek itu akan diperuntukkan kepada vendor atau subkontraktor yang telah berdaftar dan terlibat secara aktif dalam projek itu.

"Setakat ini, sebanyak 2,389 syarikat berdaftar dengan BNS dan daripada jumlah itu sebanyak 632 vendor atau subkontraktor terlibat secara aktif dalam projek ini.

"Oleh itu, bagi memastikan tidak timbul sebarang masalah berhubung kelewatan pembayaran kepada vendor dan subkontraktor, maka saya sendiri yang akan memantau projek berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis taklimat industri bagi projek kapal peronda generasi kedua (SGPV-LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan BNS, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Ismail Ahmad; Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali dan Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Ahmad Zahid berkata, melalui perkongsian pintar di antara BNS dan vendor atau subkontraktor itu diharap dapat mempercepatkan penghantaran kapal tersebut untuk kegunaan TLDM.

Katanya, dengan adanya integrasi sistem daripada negara luar, kesemua vendor atau subkontraktor diminta mengemukakan pelan kepada BNS mengikut keperluan dan spesifikasi yang telah ditentukan mengikut keperluan TLDM.

"Projek ini telah diamanahkan kepada BNS dan saya berharap ia dapat dikendalikan secara berstruktur bagi mewujud dan memperkuatkan industri pertahanan negara khususnya dalam sektor pembinaan kapal perang.

"Pengalaman lalu apabila BNS mengambil alih peranan ini daripada syarikat terdahulu, terdapat sedikit masalah membabitkan pembelian peralatan yang telah dipasang awal dan dipasang dalam tempoh yang lama. Maka, ia memerlukan pembaikan semula dan ia telah pun diselesaikan oleh BNS.

"Oleh itu, apabila kerajaan menyerahkan keseluruhan projek ini kepada BNS, saya tidak nampak sebarang masalah dalam soal penghantaran tambahan lagi dengan adanya kira-kira 632 vendor atau subkontraktor yang terlibat secara aktif dalam projek ini," katanya.

Menurut beliau, dengan adanya vendor atau subkontraktor yang berdaftar dalam projek itu, ia diharap dapat menghasilkan usahawan yang berjaya dalam industri perkapalan dan kapal dagang seperti yang dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

2 comments:

apaajanews said...

namun masih ada yang menganggap ianya
pembaziran

Anonymous said...

Pembaziran sebab hanya 6buah...ia tidak akan dianggap pembaziran jika ianya 12buah...

Tinggalkan pesanan anda di sini