About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, December 18, 2010

Dasar Pertahanan

sumber utusan
Oleh TERMIZI CHE ANUAR



SESUAI dengan hasrat Kementerian Pertahanan untuk melibatkan semua pihak dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara melalui pendekatan Pertahanan Menyeluruh (Hanruh), satu dasar telah digubal bagi memberi penjelasan kepada masyarakat berhubung tanggungjawab dan peranan mereka.

Objektif utama dasar tersebut yang dilancarkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 9 November lalu adalah untuk mempertahan dan melindungi kepentingan yang menjadi teras kepada kedaulatan, keutuhan wilayah dan kesejahteraan negara.

Dasar Pertahanan Negara (DPN) diwujudkan bagi menekankan siap siaga semua pihak termasuk rakyat dalam menghadapi sebarang ancaman kepada negara.

Sungguhpun tugas mempertahankan negara merupakan tanggungjawab pasukan keselamatan, kewajipan untuk memastikan bahawa pasukan berkenaan mampu menghadapi cabaran adalah tanggungjawab nasional.

Menyedari betapa pentingnya kerjasama serantau dan bantuan luar, Kementerian Pertahanan yakin bahawa dasar keupayaan berdikari seharusnya menjadi tonggak pertahanan negara.

Sehubungan itu, kerajaan akan terus berusaha ke arah meningkat dan membangunkan keupayaan ATM di samping menggalakkan semangat patriotik di kalangan rakyat

Dasar yang memberi penekanan pada tanggungjawab bersama bagi melindungi dan mempertahankan kepentingan negara daripada sebarang ancaman sama ada dari luar atau dalam negara meliputi kawasan utama iaitu daratan Malaysia, kawasan ekonomi luar pesisir iaitu Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan pelantar benua negara serta laluan strategik perairan dan ruang udara negara.

Sementara itu, bagi memantap dan memperkasakan ATM, pembangunan keupayaan dan strategi pertahanan negara harus bersepadu dan seimbang dengan menggabungkan aset dan sumber lain demi untuk mempertahankan negara.

Berikutan itu, keupayaannya dirancang dan dimensi ketiga-tiga cabang perkhidmatan perlu diperkasakan dengan mengambil kira spektrum elektromagnetik kerana peperangan pada masa kini sudah berubah.

Bagi menyokong keupayaan pertahanan negara, dua elemen penting perlu diberi keutamaan iaitu industri pertahanan tempatan dan sains teknologi pertahanan supaya atur gerak pasukan seiring dengan kemajuan sains dan teknologi terkini yang boleh berdaya saing dengan negara maju lain.

Merapatkan hubungan pelbagai hala dengan negara serantau termasuk Amerika Syarikat (AS) yang dianggap kuasa besar dunia, adalah sokongan kepada usaha bagi memupuk pembinaan dan keyakinan, selain memastikan kepentingan negara sama ada dalam aspek keselamatan dan ekonomi terus terjamin.

keamanan serantau

Selain itu, penyertaan ATM di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1960 memberi ruang dan peluang kepada pasukan itu untuk bersama membabitkan diri dalam menjaga keamanan serantau, malah menjadi sebuah pasukan yang disegani di rantau ini.

Hubungan Malaysia dengan pertahanan luar berasaskan kepentingan ekonomi yang sedang pesat membangun bagi kestabilan dan kemakmuran rantau ASEAN dan juga Asia Pasifik yang memberi faedah kepada negara.

Sehubungan itu, penubuhan Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) pada 2006 menunjukkan keazaman Malaysia meningkatkan hubungan kerjasama pertahanan dengan negara ASEAN.

Komitmen tegas Malaysia terhadap Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu memerlukan negara berpegang pada pendirian pertahanan yang bercorak defensif.

Oleh itu juga, dasar pertahanan telah menggubal strategi berdasarkan prinsip cegah rintang dan pertahanan menyeluruh.

Dasar tersebut telah menggariskan tentang perlunya mengelak daripada terjadinya konflik dalam wilayah sendiri, sama ada dengan mencegahnya dari berlaku atau melalui cara berdepan dengan musuh sejauh mungkin di luar wilayah Malaysia.

Konsep cegah rintang bertujuan untuk menghindarkan bakal musuh dari mengamalkan dasar-dasar yang bertentangan dengan langkah penyelesaian konflik secara aman.

Ia memerlukan pelaksanaan strategi pencegahan di samping turut menjalankan usaha-usaha berterusan untuk membangunkan sebuah angkatan tentera yang memiliki keupayaan yang mantap bagi menghadapi peperangan.

Dalam pada itu, ia juga dapat memastikan negara mempunyai keupayaan bagi menghalang sebarang tindakan kekerasan atau keganasan oleh pihak lawan tanpa mengira masa dan keadaan.

1 comment:

SEPULUH said...

Salam SB, :)

"Berikutan itu, keupayaannya dirancang dan dimensi ketiga-tiga cabang perkhidmatan perlu diperkasakan dengan mengambil kira SPEKTRUM elektromagnetik kerana peperangan pada masa kini sudah berubah."

Terdapat beberapa SPEKTRUM PEPERANGAN. Dah terlupa, tu yg dok cari... Terjumpe pulak page ni.

Terima Kasih ... :) . .

:)





:)

SB = Majalah SENI BELADiRi . . :)

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini