About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, September 14, 2010

KPN janji beri khidmat terbaik


Sumber utusan
Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, 57, yang memulakan tugas hari ini berjanji akan melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan berpaksikan kepada bidang kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang mengikut Akta Polis Perkara 3(3).

Beliau juga bertekad akan memastikan PDRM terus memberikan perkhidmatan terbaik untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

"Saya akan bekerja berlandaskan kepada bidang kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang dan menentukan PDRM terus memberi perkhidmatan terbaik bagi kesejahteraan seluruh rakyat dan negara Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah dan Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ismail, 57, menyerahkan jawatan dan tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Negara kepada Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hussin Ismail, 57.

Isteri kepada Ismail, Puan Sri Suriati Md. Sobri pula menyerahkan jawatan dan tugas sebagai Naib Pengerusi Perkep kepada isteri Hussin, To' Puan Nur Habibah Hatim.

Majlis penyerahan dua jawatan penting dalam PDRM itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Kementerian Dalam Negeri, Datuk Raja Azhar Raja Abdul Manap.

Dalam pada itu, Ismail berharap Hussin yang baru dilantik sebagai timbalannya dapat membantu beliau menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam pasukan polis dengan baik.

"Saya yakin mampu menjalankan tugas dan tanggungjawab Ketua Polis Negara dengan adanya bantuan daripada pengarah-pengarah, timbalan pengarah, pegawai, Komandan Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Balai termasuk isteri mereka.

"Saya minta semua warga PDRM membantu saya menjalankan tugas dan tanggungjawab untuk mencapai objektif PDRM berlandaskan Akta Polis Perkara 3(3).

"Insya-Allah... saya bersama timbalan saya, akan duduk bersama dengan para pengarah dan Ketua Polis Negeri untuk berbincang mencari ilham dan iltizam bagaimana menghadapi cabaran mendatang untuk mencapai matlamat tersebut," katanya.

Sementara itu, Hussin dalam ucapannya turut mengharapkan semua warga PDRM memberi sokongan dan kerjasama kepada Ismail dan beliau untuk memikul tugas baru tersebut.

Beliau tidak menafikan jawatan dipikul itu merupakan cabaran baru baginya namun berjanji akan menjalankan tanggungjawab secara konsisten.

"Bila memegang jawatan ini, saya hanya terfikir sama ada saya boleh melakukan kerja dengan terbaik atau sudah cukup baik.

"Jadi, saya memerlukan kerjasama dan komitmen padu daripada segenap warga PDRM. Bagi saya tiada kerja atau tugas dalam pasukan tidak penting kerana ia semuanya diberi keutamaan oleh saya," ujarnya.

No comments:

Tinggalkan pesanan anda di sini