About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, August 11, 2010

Kesilapan manusia jadi punca

sumber utusan

Oleh HAMDEN RAMLI
pengarang@utusan.com.my


KOTA BELUD 7 Ogos – Siasatan awal mendapati kejadian dua anggota 10 Briged Para lemas ketika menjalani latihan ketenteraan di sebuah kolam di Kem Terendak, Melaka, semalam berpunca daripada kesilapan manusia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu pasukan penyiasat telah ditubuhkan bagi menentukan tindakan serta memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

“Kita bersimpati dengan keluarga mangsa dan akan memastikan kebajikan mereka diutamakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompeni Askar Wataniah Kawasan Kota Kinabalu, Kota Belud, Penampang, Tenom, Pensiangan dan Ranau di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Sabah, Datuk Lajim Ukin dan Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Awi Suboh.

Beliau diminta mengulas kejadian yang menimpa dua anggota 10 Briged Para, Mohd Hafizullah Sohok, 19, dari Pasir Puteh, Kelantan dan Shahrul Nizam Salim, 24, dari Felda Palong 7, Negeri Sembilan yang lemas ketika mengadakan latihan ketenteraan di sebuah kolam di Kem Terendak, Sungai Udang.

Ahmad Zahid berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa memastikan segala peraturan termasuk semasa latihan dipatuhi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

‘‘Ini bukan kita rancang tetapi kita mahu kesiagaan diletakkan pada tahap tertinggi supaya tidak ada lagi kemalangan berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berharap kejadian itu tidak akan menjejaskan semangat anggota ATM secara keseluruhannya.

Sementara itu mengulas mengenai kenyataan ATM yang mengesahkan pasukan itu tidak menggunakan bahan letupan C4 dalam perkhidmatan mereka, Ahmad Zahid berharap penjelasan itu akan menamatkan sebarang spekulasi mengenai isu tersebut.

‘‘Memang ATM tidak menggunakan C4 tetapi kita menggunakan PE4. Jadi, jika bahan letupan C4 itu diperolehi maknanya ia bukan daripada stok ATM.

‘‘Saya harap spekulasi ini bukan sahaja dihentikan tetapi jangan buat cerita mengarut yang menyebabkan kredibiliti ATM terjejas sehingga menjejaskan kebolehpercayaan rakyat kepada kita semua,” katanya.

Dalam perkembangan lain ketika berucap merasmikan Kompeni Askar Wataniah Kawasan Kota Kinabalu, Kota Belud, Penampang, Tenom, Pensiangan dan Ranau, Ahmad Zahid berkata, pasukan tersebut berupaya menjadi kuasa cegah rintang baru negara dalam menghadapi cabaran isu-isu keselamatan.

Oleh itu beliau mahu semua anggota rejimen berkenaan sentiasa komited dan menjalani latihan secara konsisten bagi menyiapkan kesiagaan diri dan pasukan.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini