Sumber Majalah Perajurit Isu Jul 2010
Oleh Hamzah Hd.
Sepanjang tahun 2009, negara telah dipolemikkan dengan isu membawa pulang Ong Boon Hua atau lebih dikenali sebagai Chin Peng ke Malaysia setelah beliau sekian lama bermastautin di luar negara selepas perletakan senjata Parti Komunis Malaya yang bertapak di Tanah Melayu sejak 1930 lagi. Polemik yang mendapat liputan meluas di semua media cetak, elektronik malah juga lebih hebat diperkatakan di media baru telah mencetus satu fenomena di mana sebahagian daripada rakyat Malaysia terutamanya generasi muda telah dikenal pasti amat jahil tentang sejarah negara. Maka terlalu mudah dikelirukan dengan fakta-fakta yang salah oleh pihak-pihak yang berkepentingan.
Berasaskan kesedaran ini, sekumpulan anak-anak muda telah mengambil inisiatif merencanakan satu projek yang diberi nama Misi Merentas Waktu (MMW). Anak-anak muda yang lahir pada era pasca merdeka yang bergabung di bawah satu forum maya yang dikenali sebagai Panggilan Pertiwi (http://panggilanpertiwi.forumotion.net).
Komposisi mereka dari pelbagai profesi dan akademik berslogankan Home of The Brave - the last line of defence yang ingin menyatakan sokongan kepada negara dan sedia mengembling tenaga demi mengekalkan kesinambungan keamanan dan kedaulatan negara tercinta dari sebarang pencerobohan.
Perlaksanaan misi ini adalah terbuka kepada semua bangsa Malaysia yang bertindak secara sukarela didorong oleh semangat cintakan negara untuk mengenal pasti, mencari dan menjejak kesan-kesan dan peninggalan artifak-artifak sejarah perjuangan militer generasi terdahulu semasa mempertahankan tanahair dari pencerobohan anasir-anasir yang ingin merampas dan menjajah bumi Malaysia dari bangsa peribumi.
Mengutip maklumat-maklumat perjuangan dari pejuang-pejuang yang masih hidup di samping menyatakan penghargaan di atas sumbangan yang tiada ternilai yang telah mereka curahkan. Menginsafi bahawa kedamaian yang dinikmati hari ini tidak datang sekelip mata tetapi disumbang oleh titik peluh dan titisan darah pejuang-pejuang yang meletakan asas kejayaan dan kestabilan negara pada hari ini.
Bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, betapa pentingnya kesan-kesan sejarah ini dikenal pasti, menghimpun dan memulihara artifak dan mengekalkan lokasi-lokasi ini supaya kewujudannya diketahui oleh generasi milenia tentang kaitannya dengan sejarah kemerdekaan dan pembangunan negara di masa lampau.
Sekali gus menuntut pihak-pihak berkuasa mengambil inisiatif supaya kesan-kesan sejarah pertahanan ini diberi perhatian dengan sentuhan pembangunan dan digazetkan sebagai tapak pelancongan pertahanan yang memangkin kepada semangat cintakan negara ke dalam jiwa anak-anak muda generasi terkini.
Kampar Green Ridge
Projek pertama kumpulan ini telah dilaksanakan pada 14 Mac 2010 yang lepas dengan mensasarkan Kampar Green Ridge (KGR) sebagai objektif pertama untuk dijejaki bagi menyungkil segala maklumat yang tersirat dan tersurat.
Lokasi KGR adalah satu kawasan terbiar yang bersebelahan dengan Thomson, Kennedy dan Cemetery Ridge berhampiran jalan utama dari Ipoh ke arah Selatan yang mempunyai nilai strategik dari segi sejarah pertahanan. Ianya terletak di atas Gunung Brijang Melaka yang diliputi hutan dan kesan-kesan perlombongan yang mengunjur ke arah Timur Bandar Kampar.
KGR telah mensuratkan sejarah silam sebagai satu kawasan pertempuran Battle of Kampar berlaku semasa Perang Dunia ke 2 di antara Bahagian Infantri India ke11 dan Division ke 5 Tentera Jepun. Kampar adalah satu lokasi pertahanan semula jadi yang strategik yang mana orang-orang India mendudukinya pada 27 Disember 1941 bertujuan mempertahankan Kampar untuk mengelakkan penangkapan Royal Air Force Kuala Lumpur dan pada masa yang sama, untuk memberi cukup masa kepada Infantri India ke 9 berundur balik dari pantai timur.
Tentera Jepun bercadang untuk menawan Kampar sebagai satu hadiah Tahun Baru kepada Maharaja Hirohito, tetapi keputusan Leftenan Jeneral Arthur Percival membuat serang hendap di Kampar, berjaya melambatkan kemaraan mereka. Pasukan bersekutu berupaya bertahan di kedudukan mereka selama empat hari sebelum berundur balik pada 2 Januari 1942. Pertempuran ini melibatkan 3000 orang tentera British dan lebih 6000 orang tentera Jepun. Walaupun mempunyai jumlah anggota yang kecil, tentera British dapat mempertahankan kubu tersebut.
Dalam misi ini mereka ditemani oleh Peter Chye ( adik Cikgu Chye Kooi Loong ) yang bertanggungjawab mengesan kedudukan kubu pertahanan British ini sekaligus memuliharanya sebagai kesan sejarah. Peserta misi dibawa oleh Peter Chye melawat ke tempat-tempat yang telah dibersihkan ( hanya sebahagian tempat sahaja yang telah dibersihkan). Di antara tempat-tempat yang mereka lawati ialah bunker utama, jalur perhubungan utama, jalur perhubungan belakang, parit-parit, tapak machine gun , fox hole, dan lubang misteri. Lubang yang bersaiz 3 diameter dan kedalamannya lebih kurang 5 meter namun masih samar-samar kegunaanya.
Bunker ini dibuat dengan menggunakan beg-beg pasir. Jalur perhubungan utama pula digunakan untuk berhubung antara pertahanan hadapan ke bunker utama. Bunker utama juga digunakan sebagai pos perintah dan juga tempat untuk merawat anggota tentera British yang tercedera. Jalur perhubungan belakang juga berfungsi sama dengan jalur perhubungan utama. Namun amat mendukacitakan kerana Jalur perhubungan belakang telah dipotong oleh orang yang tidak peka tentang sejarah ini yang kemungkinan berlaku sebelum pemuliharaan ini dilakukan. Olehkerana usaha-usaha pemuliharaan kawasan tersebut tidak diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berwajib maka peranan ini telah diambil oleh beberapa orang veteran perang yang mengambil inisiatif sendiri untuk menjaganya sekadar mampu.
Veteran Perang
Bagi melengkapkan misi, kumpulan seramai 9 orang ini telah mengunjungi rumah seorang veteran perang era insurgensi iaitu Inspektor Hassan bin Shahabuddin. Memulakan perkhidmatan Polis pada tahun 1948. Merupakan anak jati perak. Kisah perjuangan beliau semasa menentang Pengganas Komunis pernah dicatatkan di dalam buku tulisan Leftenan Kolonel Dr. Syed Othman bin Syed Omar (Bersara). Buku tersebut bertajuk PEMBURU BINTANG TIGA.
Beliau telah dianugerahkan George Medal oleh Queen Elizabeth. Pingat keberanian tersebut merupakan pingat keberanian kedua tertinggi kerajaan British. Beliau pernah menulis surat kepada kerajaan memohon pertimbangan supaya penerima pingat ini turut dipertimbangkan untuk diberi elaun setimpal namun usaha beliau gagal kerana elaun hanya akan di bayar terhadap pingat yang dianugerahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sahaja.
Walaupun akur dengan alasan yang diberikan namun di sudut hatinya terkilan kerana beliau juga berjuang di bumi sendiri untuk pembebasan tanah air dari anasir pengkhianat.
Misi seterusnya ialah berkunjung ke rumah Leftenan Kolonel Dr. Syed Othman bin Syed Omar (Bersara). Beliau merupakan seorang penulis kepada beberapa buah buku ketenteraan yang di antaranya judul buku tersebut adalah 19 RAMD MEKANIS DI SOMALIA, PEMBURU BINTANG TIGA dan beberapa buah buku lagi.
Beliau dilahirkan di Kampung Seberang Karai, Enggor, Perak. Memulakan kerjaya tentera pada 1972 di Rejimen Semboyan Malaysia dan ditauliahkan sebagai Pegawai Muda dan bertugas di Batalion Ke 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada Disember 1977.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Habibah Nordin. Beliau memperolehi Sarjana Muda Sains dalam dua bidang iaitu Komunikasi Massa serta Politik dan Hal Ehwal Awam dari Universiti Miami, Amerika Syarikat. Detik detik hitam dalam hidupnya bermula pada 4 ogos 1979 apabila beliau bersama 2 orang anggotanya telah terkena jerangkap samar semasa operasi memerangi Pengganas Komunis di kawasan Ban Tong Yan di selatan Thailand. Akibat dari kejadian tersebut, beliau telah kehilangan deria penglihatan buat selama lamanya. Manakala kaki anak buahnya Prebet Tahir terpaksa dipotong dari paras lutut. Seoarng lagi anak buahnya Prebet Mansor yang cedera keseluruhan badan berjaya diselamatkan. Walaubagaimanapun ketiga tiga mereka kini terpaksa menjalani kehidupan dalam keadaan kurang upaya. Lebih menyayat hati, kejadian ini berlaku selepas 27 hari beliau melangsungkan perkahwinan. Walaupun beliau kehilangan penglihatan buat selama lamanya, tetapi beliau mengangap semua itu adalah ketentuan Allah SWT. Beliau menerima kejadian itu dengan redha.
Selain itu, beliau juga turut berkongsi cerita mengenai proses pelancaran buku 19 RAMD MEKANIS DI SOMALIA yang terpaksa menghadapi kerenah birokrasi dari pihak-pihak tertentu yang tidak begitu senang dengan penerbitan dari kisah benar yang hendak dipaparkan. Namun dengan usaha gigih beliau, buku tersebut berjaya menemui pembaca di pasaran.
Harapan
Dalam usaha bersama untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada generasi muda tentang sejarah kemerdekaan, susur galur bangsa dan peradaban seharusnya ada kurikulum yang menjurus ke arah itu secara khusus dan konsisten dari peringkat persekolahan. Meskipun subjek sejarah di bangku sekolah sudah diajar dalam bentuk teori namun kemungkinan perlu ada susulan untuk memperkenalkan kepada pelajar-pelajar secara lebih agresif di peringkat menengah dan lanjutan berkongsepkan kajian dan analisa di luar bilik darjah.
Di peringkat pihak berkuasa tempatan juga perlu mengambil inisiatif mengesan, memulihara, mendokumentasi dan mewartakan setiap lokasi dan peristiwa yang pernah berlaku yang mempunyai nilai sejarah yang tersendiri bagi mendorong individu maupun kumpulan mendapatkan maklumat dengan mudah. Jika usaha sebegini tidak diberi perhatian adalah tidak mustahil artifak ini akan turut terkubur. Malah lebih mendukacitakan lagi kesan-kesan sejarah ini akan dipugar untuk pembangunan komersil yang bermatlamatkan kebendaan semata-mata.
Segala usaha individu-individu yang gigih mengkaji dan mendokumentasikan peristiwa-peristiwa tentang penglibatan dan keperitan pasukan keselamatan memerangi Pengganas Komunis harus diberi pujian, pengiktirafan dan penghargaan kerana teks pembacaan ini secara tidak langsung akan menyebar luas sejarah pertahanan lampau memangkin kepada kebangkitan semangat juang dan jati diri generasi milenia. Tanpa usaha-usaha sebegini, harapan untuk menyatupadukan masyarakat majmuk menjadi satu bangsa Malaysia yang harmoni mungkin menjadi sukar dan lambat laung hak-hak keistimewaan yang dipertahankan akan terhakis jua. PERAJURIT
Bersiap sedialah bagi menghadapi mereka (yakni musuh-musuh) dengan segala kekuatan yang termampu kamu sediakan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain selain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahui-Al Anfal Ayat 60
About Me
- Minda Pertahanan
- Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.
Pages
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Labels
- Agensi Penguatkuasaan (5)
- APMM (17)
- ATM (71)
- Aviation (3)
- Ebooks (3)
- Eksesais (9)
- Exhibitions (4)
- LIMA (6)
- LIMA / DSA updated (9)
- LIMA updated (31)
- LIMA'09 updated (7)
- Luar negara (31)
- Menhan (3)
- National Task Force (7)
- NTF (6)
- Ops Benteng (5)
- PDRM (12)
- PKPP (1)
- SAR (1)
- Sejarah (5)
- Seminar (1)
- TDM (90)
- TLDM (135)
- TUDM (54)
- Umum (54)
- Veteran (31)
- Wataniah (7)
- Wataniah/Simpanan (2)
8 comments:
tq atas usaha pakcik for the PP team..=)
Tahniah PP dan terima kasih tuan!
wah ni dah kira 'extended edition' sbb ada gambar2 tambahan..tima kasih tuan~! tahniah kepada semua.
salam,
suatu usaha yg baik dilakukan kumpulan anak2 muda ini, diharap usaha ini berterusan dan mendapat sokongan dari pihak2 yg berkaitan
totis wrote :
Thanks again TUAN & bravo PP
semangat anda menjadikan saya perihatin. hidup PP.
yang terbaek..syabas!!
Saya rasa bangga dengan Datuk Saudara saya Syed Othman Bin Syed Omar. Semoga Allah S.W.T sahaja dapat membalas jasanya.
Post a Comment