About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Sunday, May 30, 2010

Tentera Darat puas hati kemampuan FN-6

Sumber utusan

KUALA LUMPUR 24 Mei – Tentera Darat (TD) berpuas hati dengan prestasi dan kemampuan peluru berpandu jarak dekat (VSHORAD) jenis lancaran bahu (Manpads) terbaru, FN-6 dalam menangani ancaman pesawat tempur musuh.

Bagaimanapun, Panglimanya, Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd. Zin enggan mengulas sama ada pasukan itu akan menambah jumlah peluru berpandu buatan China itu atau tidak kerana tegas beliau, sebarang pendedahan mengenainya boleh membawa implikasi kepada pertahanan negara.

“Sudah tentu kita sangat berpuas hati dengan prestasi serta kemampuan FN-6 dalam menangani ancaman aras rendah, tetapi kami tidak boleh mendedahkan sama ada bakal berlaku penambahan aset ini atau tidak kerana ia rahsia sulit keselamatan negara,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai prestasi kumpulan pertama FN-6 yang baru sahaja memasuki inventori TD selepas menyampaikan perintah ulung pertamanya selaku Panglima TD yang baru di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

FN-6 yang kini berada di bawah kendalian Gerup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) merupakan peluru berpandu generasi ketiga yang mempunyai kemampuan menyerang pesawat dan helikopter musuh pada jarak enam kilometer serta ketinggian mencecah 3.5 kilometer.

Kemasukan FN-6 itu menjadikan GAPU kini memiliki empat variasi sistem VSHORAD berbeza iaitu Igla (Rusia), Anza MKII (Pakistan) dan Starburst (United Kingdom) selain sistem peluru berpandu tercanggih jenis jarak dekat iaitu JERNAS yang kalis penyerakan (diumpan).

Bagaimanapun, jumlah kumpulan pertama peluru berpandu itu yang diterima TD terlalu kecil menyebabkan ramai pihak khususnya pemerhati dan penganalisis ketenteraan mendesak supaya jumlah berkenaan ditambah kepada bilangan yang bersesuaian.

Dalam pada itu, Zulkifeli memberitahu, segala pemodenan yang dirancang bagi TD khususnya dalam usaha untuk mempertingkatkan kuasa tempur akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Namun tambahnya, walaupun segala pembelian aset baru itu dirancang bagi menggandakan lagi kekuatan tempur TD, ia tetap bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan kerana pemodenan sesebuah angkatan tentera bakal menelan belanja yang bukan sedikit.

“Kita akan meneruskan semua pemodenan yang dirancang sesuai dengan pelan pembangunan strategik TD iaitu ‘Army 2 10 plus 10’ dan langkah ini perlu selari dengan kemampuan modal insan.

“Namun, ingin saya tegaskan bahawa dengan aset yang ada sekarang sebenarnya TD cukup berkemampuan untuk mempertahankan keselamatan negara ini,’’ katanya tanpa memperincikan apakah bentuk perolehan baru itu.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini