About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, May 18, 2010

Malbatt 2 teruskan misi di Lebanon

Oleh WAN HASNAN WAN HASAN
(Yang mengikuti penghantaran pasukan Malbatt 2 ke Lebanon baru-baru ini)



RIAK-RIAK ceria jelas terpancar pada wajah pegawai serta anggota dalam pasukan Batalion Malaysia 2 (Malbatt 2) dan pasukan Kontinjen Malaysia 5 (Malcon East 5) apabila menerima kunjungan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad di kem mereka di At Tiri dan Kaoukaba, Lebanon pada 1 dan 2 Mei lalu.

Bagi mereka yang ketika ini bertugas di bawah panji-panji Pasukan Interim Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil), lawatan itu amat bermakna kerana ia bukan sahaja memberi peluang kepada mereka untuk bertukar-tukar fikiran dengan pemimpin itu malah turut membakar semangat untuk menggalas misi negara di pentas dunia.

Misi yang terpikul di bahu pasukan Malbatt 2 amat besar kerana kehadiran mereka seramai 440 orang bagi menggantikan pasukan Malbatt 1 di negara bergolak itu pada 22 dan 29 April lalu akan melibatkan imej negara di kalangan masyarakat antarabangsa.

Kehadiran mereka di bumi Lebanon begitu dinanti kerana kehadiran pasukan-pasukan terdahulu dari Malaysia telah berjaya memainkan besar bukan sahaja sebagai tentera pengaman bersama pasukan daripada 31 buah negara lain yang bernaung di baweah Unifil malah banyak membantu penduduk tempatan dalam banyak perkara.

Tugas setiap pegawai dan anggota dalam pasukan Malbatt 2 sebenarnya bermula seawal mereka menjejakkan kaki di bumi Lebanon apabila mereka terus bergerak ke kem-kem yang terletak selatan negara itu yang jaraknya hanya kira-kira 18 kilometer dengan sempadan Israel.

Menurut Komander Malbatt 2, Kolonel Mohd. Nizam Jaafar, tugas-tugas awal sebaik kumpulan pendahuluan tiba pada 22 April lalu ialah dengan menjalankan kerja-kerja pengambilalihan kawasan yang dipertanggungjawabkan kepada pasukan tersebut.

''Sebaik tiba, kami terus melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepada kami iaitu antaranya proses pengambilalihan kawasan tanggungjawab iaitu di ketiga-tiga kem iaitu di At Tiri, Harris dan Barasit yang terletak di kawasan barat sempadan antara Lebanon dan Israel.

''Dengan kekuatan seramai 135 anggota (kumpulan pendahuluan) penugasan peringkat awal ini menumpukan kepada serah menyerah peralatan, penugasan dan ambil alih kem,'' katanya.

Selain itu, anggota dalam pasukan itu juga akan membuat tugas rondaan bersama dengan pasukan Malbatt 1 (sebelum mereka pulang pada 30 April lalu) untuk membiasakan diri dengan kawasan-kawasan yang diberi tanggungjawab kepada pasukan tentera pengaman negara.

''Kami juga akan berjumpa dengan pemimpin setempat dan orang hubungan di ibu pejabat Unifil di Naquora yang terletak kira-kira 40 kilometer ke barat At Tiri untuk memaklumkan mengenai pertukaran serta semua perkara yang berkaitan dengan proses tersebut.

''Proses itu penting supaya apabila kumpulan induk tiba (29 April lalu), setiap anggota akan dapat melaksanakan misi dengan lebih sempurna termasuk melakukan lebih daripada satu tugas hakiki mereka,'' cerita beliau.

Ketika ini tumpuan utama misi pasukan Malbatt 2 ialah mendominasi di kawasan jagaan mereka iaitu di kawasan seluas 93 kilometer persegi melibatkan sekitar At Tiri, Harris dan Barasit.

Dominasi itu penting bagi menunjukkan kehadiran pasukan Malbatt 2 yang diberi tanggungjawab sebagai pasukan tentera pengaman di kawasan berkenaan.

Langkah itu dapat dicapai melalui pelaksanaan tugasan rondaan secara berjalan kaki atau foot patrol untuk mengawasi tempat-tempat yang sukar dilalui.

Selain itu, rondaan pula akan dilakukan untuk berinteraksi dengan penduduk setempat semasa melaksanakan tugas rondaan.

''Ini penting untuk memastikan dan mengawasi tiada sebarang pelancar roket dilakukan oleh mana-mana pihak,'' ujar Mohd. Nizam.

Bagi kawasan-kawasan besar pula, rondaan akan dilakukan dengan menggunakan kenderaan-kenderaan khusus untuk memantau sebarang aktiviti di kawasan di bawah jagaan Malbatt 2.

Ketika ini keluasan kawasan yang terletak di bawah kawalan pasukan Malbatt 2 di kawasan barat berhampiran sempadan Israel ialah seluas 93 kilometer persegi berbeza dari dahulu yang hanya 41 kilometer persegi.

''Bandar yang paling utara dalam kawasan tanggungjawab kami ialah al-Majadil dan yang paling selatan ialah Rchaf manakala bandar paling timur ialah al-Sutaniyah dan yang paling barat ialah Rishknaniyah,'' tambahnya yang kaya dengan senyuman tetapi tegas ketika bertugas.

Dalam pada itu, Mohd. Nizam memberitahu, pasukan di bawah pimpinannya bakal berhadapan cabaran baru apabila mereka bakal berpindah ke kem yang baru tidak lama lagi iaitu ke Kem 6-43 yang terletak kira-kira 8 kilometer di utara kem At Tiri ketika ini.

Proses perpindahan itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula pada 25 Mei ini dan dijangka selesai sepenuhnya pada 3 Jun.

''Kita jangka akan memulakan tugas sepenuhnya dari tempat baru itu pada 5 Jun,'' jelas beliau.

Menariknya, Kem 6-43 yang dulunya dijadikan sebagai ibu pejabat Unifil bagi sektor barat lebih besar berbanding kem At Tiri yang diduduki pasukan Malbatt 2 ketika ini.

''Masalah yang kami hadapi kini ialah keperluan logistik seperti kelengkapan dan pembaikan bangunan kerana apabila ia dikosongkan, pihak yang sebelumnya telah membawa keluar bersama mereka kebanyakan bangunan mudah alih yang mereka duduki sebelum ini.

''Kami perlu membuat pembaikan dan penambahan untuk membolehkan anggota kami tinggal dengan selesa dan kami yakin dapat melaksanakan tugas yang diberi itu,'' tambah Mohd. Nizam.

Masalah yang paling ketara ialah, anggota Malbatt 2 yang sebelum ini mempunyai kemudahan sebuah stadium tertutup ketika beroperasi di At Tiri untuk bermain futsal, bola tampar, bola keranjang, takraw, badminton dan gimnasium bakal terasa kerana kemudahan itu tidak disediakan di kem yang baru.

Bagaimanapun, Abdul Latiff telah menyatakan kesediaan kerajaan Malaysia dengan kerjasama kerajaan Brunei untuk menyediakan kemudahan sukan di kem yang baru.

Perpindahan kem itu dibuat ekoran kem pasukan itu di At Tiri dan Barasit akan diserahkan kepada pasukan batalion dari Perancis.

1 comment:

ADI CDO said...

"Tinggal Kenangan"....setelah mengambil Pos UN 2-45 (At Tiri), Pos UN 6-16 (Brashit)dan Pos Un 6-40 (Hariss)pada Okt 2008.... Semoga MALBATT 2 akan teruskan usaha-usaha MALCON WEST 1..

MANTAN KOMANDER MALCON WEST 1
(OKT 2008 - JUL 2009)

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini