Sumber utusan
Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
pengarang@utusan.com.my
BIARPUN 2010 disambut dengan kontroversi kehilangan enjin jet pejuang F5-E yang mengejutkan negara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terus melangkah gagah mengharungi tahun baru dan sentiasa bersiap sedia menjaga keamanan angkasa raya bumi bertuah ini.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Rodzali Daud dalam perintah ulung beliau sempena tahun baru berkata, pelbagai dugaan dan cabaran menguji kecekalan dan ketahanan pasukan tersebut sepanjang tahun 2009.
Namun beliau percaya ia sedikit pun tidak melemahkan semangat yang dimiliki anggota TUDM dalam menunaikan tanggungjawab mereka terhadap negara yang tercinta.
Katanya, TUDM terus berusaha meningkatkan aspek pembangunan keupayaan pasukan dengan gigih, baik daripada segi perolehan mahupun penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Dengan perancangan yang sistematik, alhamdulillah TUDM kini telah menerima semua perolehan baru seperti yang dihasratkan.
"Kita telah menerima pesawat baru seperti Sukhoi SU-30MKM dan Alenia Aermacchi MB-339CM," katanya.
Dengan ketekunan dan ketelitian yang telah dipamerkan oleh setiap perwira dan perajurit udara, beliau percaya pesawat tersebut dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya bersesuaian kemampuannya bagi mencapai visi dan misi yang disasarkan.
Beliau turut mengulas kejayaan penglibatan TUDM dalam Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 yang amat membanggakan warga pasukan dan negara baru-baru ini.
LIMA 2009 bukan sahaja memperlihatkan keupayaan negara menganjurkan festival ketenteraan bertaraf antarabangsa malah turut menyerlahkan profesionalisme anggota TUDM semasa melaksanakan tugas.
Rata-rata pasukan tentera dari luar negara turut memandang tinggi keupayaan ketenteraan negara ini.
Era teknologi dan maklumat
Rodzali turut menyeru para anggota berusaha dengan lebih gigih bagi memastikan TUDM tidak ketinggalan dalam proses mendapatkan pelbagai maklumat penting.
Katanya, Malaysia telah memasuki era teknologi maklumat tiada sempadan yang banyak mempengaruhi kekuatan sesebuah organisasi mahupun individu.
Namun ujar beliau, segala maklumat yang diperolehi tidak akan memberi sebarang makna jika tidak diuruskan dengan sempurna.
"Saya berasa bangga dengan usaha TUDM memperkenalkan 'Automation Strategic Readiness System' kerana ia jelas menunjukkan kesungguhan perajurit udara dalam membawa profesionalisme TUDM yang bertaraf dunia," katanya.
Tambah beliau, anggota TUDM perlu bersiap sedia dan terus berdiri megah seterusnya melangkah gagah dengan penuh yakin mengharungi tahun baru 2010 yang penuh cabaran.
Anggota TUDM secara umumnya turut digesa mempertingkatkan kemahiran dan kepakaran dalam bidang kerja dan ilmu pengetahuan umum termasuk isu-isu semasa serantau dan global.
Selain latihan khusus yang disediakan di peringkat negara, peluang berinteraksi melalui jalinan hubungan kerjasama ketenteraan atau latihan gabungan bersama tentera luar juga dilihat amat perlu bagi meningkatkan tahap profesionalisme dan keyakinan diri dalam setiap anggota.
Melalui interaksi tersebut, ia juga boleh dijadikan sebagai platform untuk para anggota TUDM bertukar-tukar pengalaman dan pandangan.
Secara umumnya, hampir semua teori pengurusan organisasi memberikan penekanan khusus terhadap pembangunan sumber manusia sebagai aset yang bernilai justeru TUDM juga tidak terkecuali.
Slogan 'Satu perkhidmatan, satu visi dan satu misi' kini dijadikan landasan, pegangan dan panduan bagi setiap anggota TUDM dalam melaksanakan tugasan, seterusnya mencapai kejayaan dan kecemerlangan pasukan.
Ia bukan sahaja memacu TUDM ke tahap yang lebih tinggi malah menjadi asas yang akan menjadikan TUDM sebagai satu kuasa udara yang berwibawa lagi unggul dan disegani negara serantau.
Cogan kata tersebut turut membawa erti dan juga sebagai penjamin jika berlakunya peralihan kuasa pucuk pimpinan TUDM, namun tujuan dan matlamat asal pasukan tersebut tetap tidak akan berubah.
Visi dan misi 2010 TUDM
Visi TUDM adalah untuk menjadi satu kuasa udara yang dominan, mampu melaksanakan misi mempertahankan kedaulatan dan keutuhan serta kepentingan negara melalui penggunaan kuasa udara yang tepat dan efektif.
Berasaskan lima nilai teras yang perlu difahami, dihayati dan diamalkan dalam setiap pelaksanaan tugas dan tanggungjawab anggota TUDM, ia juga perlu menjadi budaya agar sebati dalam diri mereka.
Lima nilai tersebut ialah menjadikan integriti sebagai teras dalam semua pembelajaran di setiap pusat latihan seterusnya dijadikan satu budaya dalam perkhidmatan TUDM.
Kedua, pelaksanaan tahap penyeliaan ke atas setiap anggota TUDM yang lebih muda perlu dipertingkatkan dengan penuh komitmen dan tanggungjawab.
Menurut Rodzali, konsep 'mentoring' atau penasihat mesti diamalkan di setiap pangkalan dan unit oleh segenap lapisan anggota TUDM.
Manakala ketiga, penguatkuasaan setiap perintah dan undang-undang serta pelaksanaan hukuman yang adil dan saksama di mana prinsip hukuman yang diguna pakai adalah sebagai pengajaran kepada pesalah dan sesiapa yang berniat melakukan perkara yang ditegah.
Seterusnya keempat, setiap anggota perlu menanamkan persaingan dalam diri masing-masing bagi mencapai kecemerlangan kerana ia mampu mencerminkan keperibadian setiap anggota TUDM.
Kelima, menjadikan setiap kursus sebagai medan persaingan dan anggota perlu melibatkan diri secara aktif bukan hanya sebagai 'pendengar' atau peserta yang pasif.
Oleh itu, bahagian sumber manusia perlu mengumpulkan data bagi setiap anggota yang
cemerlang dalam kursus agar imbuhan yang setimpal boleh diberi.
Cabaran masa kini
Beliau percaya jika setiap anggota TUDM berpegang teguh pada prinsip tersebut maka tahap keyakinan setiap daripada mereka akan menjadi lebih tinggi dan berupaya bersuara di kalangan komuniti tentera udara serantau dan antarabangsa.
"Cabaran masa kini dan yang mendatang begitu pantas lagi ketara.
"Ada antara peralatan dan persenjataan dalam inventori telah hampir usang, sedangkan peruntukan kewangan untuk pembaikan dan selenggara amat terhad.
"Menyedari hakikat tersebut, saya ingin mengajak seluruh panglima serta warga TUDM untuk terus berusaha dengan lebih gigih bagi memastikan penggunaan setiap peralatan dan persenjataan dioptimumkan," katanya.
Bagi menyahut seruan tersebut, kemahiran anggota jurutera dan juruteknik di skuadron atau unit perlu dipertingkatkan dan semua sekolah sistem atau pusat latihan perlu disusun semula untuk mendapatkan nafas baru.
Jelas beliau, begitu juga dengan sistem pengurusan aset di mana penggunaan sistem pengurusan komputer bersepadu perlu dipertingkatkan supaya boleh dimanfaatkan sepenuhnya.
Katanya, dominannya sesuatu kuasa udara itu bukan hanya terletak pada kecanggihan peralatan ketenteraannya sahaja, sebaliknya ia bergantung pada modal insan yang inovatif dan kreatif serta proses pembelajarannya sentiasa dipertingkatkan.
Jelas beliau, ia membolehkan TUDM melahirkan anggota yang mampu berdaya saing dan menyesuaikan diri dengan teknologi terkini.
"Sememangnya pengendalian aset dan teknologi canggih dewasa ini memerlukan anggota berkemahiran tinggi berasaskan ilmu pengetahuan yang luas dan sikap yang betul," katanya.
Imej TUDM
Dalam mempertingkatkan imej TUDM di mata masyarakat, pasukan itu juga beriltizam untuk memperkukuhkan bahagian perhubungan awam pasukan tersebut di semua peringkat agar segala maklumat dapat disebarkan dengan lebih tersusun dan efektif.
Persepsi masyarakat terhadap pasukan tersebut amat penting bagi memastikan TUDM terus disegani lawan dan kawan.
Usaha tersebut selaras dengan matlamat TUDM untuk mencapai matlamat menjadi pasukan tentera udara yang bertaraf dunia.
Menurut Rodzali, dalam menjayakan visi dan misi TUDM, semua perancangan tersebut perlu dijadikan pelan tindakan dengan menggunakan kaedah 'Strategic Readiness System' (SRS TUDM).
Justeru, katanya, setiap anggota TUDM perlu memainkan peranan dalam hal tersebut dan segala objektif dan perancangan yang dibuat pasti dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Bersiap sedialah bagi menghadapi mereka (yakni musuh-musuh) dengan segala kekuatan yang termampu kamu sediakan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain selain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahui-Al Anfal Ayat 60
About Me
- Minda Pertahanan
- Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.
Pages
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Labels
- Agensi Penguatkuasaan (5)
- APMM (17)
- ATM (71)
- Aviation (3)
- Ebooks (3)
- Eksesais (9)
- Exhibitions (4)
- LIMA (6)
- LIMA / DSA updated (9)
- LIMA updated (31)
- LIMA'09 updated (7)
- Luar negara (31)
- Menhan (3)
- National Task Force (7)
- NTF (6)
- Ops Benteng (5)
- PDRM (12)
- PKPP (1)
- SAR (1)
- Sejarah (5)
- Seminar (1)
- TDM (90)
- TLDM (135)
- TUDM (54)
- Umum (54)
- Veteran (31)
- Wataniah (7)
- Wataniah/Simpanan (2)
3 comments:
Tahniah TUDM.
Dalam kemegahan dan keselesaan sedia ada,harap TUDM tidak alpa dengan situasi serantau dan musuh2 tersembunyi bersama agenda2 sulit mereka.
Bukanlah untuk meluahkan prasangka tetapi biarlah kita sentiasa waspada.Sedang negara lain memperlengkapkan diri dengan senjata berteknoloji terkini,kita nampaknya seakan cukup berpuashati dengan aset terhad yang ada.
Ada negara terus memesan jet2 terkini tapi kita malah mahu menamatkan khidmad Mig29 yang mampu memintas F16.Kita punya hubungan baik dengan India,kenapa tidak buat servis dari negara tersebut kalau pun tidak langsung dari Rusia.
Negara kita harus memiliki sekurang2nya 300 pesawat SU30 atau SU35 atau Mig35.Kalau boleh kita mahir hanya dengan satu model pesawat untuk menghindari masalah logistik atau teknikal.
salam j2k
saya amat gembira diatas kemajuan yang dicapai tetapi saya amat kesal kerana mig 29 hendak ditamatkan operasinya, bagi saya tindakan tsbt amat tidak wajar,mig 29 telah brjaya dalam misi, kita membeli mig 29 bukan semata mata membeli pesawat tapi kita beli bersama teknology pesawat tsbt, segala teknologi tsbt telah pun dikuasai olih anak bangsa(melayu)
mereka telah berjaya memperolehi teknology bolih merungkai dan memasang/memperbaiki sepenuhnya
rawatan dari 200jam hingga kini 1000- 1200 jam telah jaya dilaksanakan. tapi kenapa ianya ditamatkan?????
terima kasih airman di atas respon anda. Saya kira saudara berada on the ground dalam perkara ini tentunya lebih arif tentang 'kebolehan MIG29'.
Saya pun sependapat dengan saudara dalam konteks kenapa harus menamatkan aset yang masih boleh berguna yang berada dalam gengaman di dalam keadaan ekonomi negara yang begitu sukar untuk perolehan baru. allahuallam.
Post a Comment