About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, December 30, 2009

Rasional ganti MiG-29N

Sumber: Utusan Online
Oleh AZMI HASSAN
PENULIS ialah GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Felo Pelawat ISIS Malaysia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang Dewan Rakyat baru-baru ini telah mengumumkan bahawa pihak Kementerian Pertahanan sedang meneliti perolehan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) dari empat negara pengeluar iaitu Amerika Syarikat, Perancis, Itali dan Sweden sebagai ganti kepada pesawat pejuang sedia ada iaitu MiG-29N.

Pengumuman tersebut yang dibuat pada 28 Oktober lalu telah mengesahkan bahawa perkhidmatan pesawat tempur MiG-29N dari Rusia yang sedang digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia akan ditamatkan pada penghujung tahun 2010. Pada ketika ini TUDM mempunyai 16 pesawat MiG-29N yang berpangkalan di Kuantan.

Keputusan menggantikan MiG-29N tersebut menarik perhatian ramai bukan sahaja kerana kos yang tinggi tetapi juga ia bakal merubah senario penguasaan udara rantau Asia Pasifik. Sememangnya tidak dapat dinafikan setiap pembelian aset pesawat tempur sudah pasti akan menelan perbelanjaan yang tinggi dan keputusan yang dibuat itu sudah pun dikaji dengan mendalam.

Perolehan 18 pesawat pejuang Sukhoi SU-30 MKM sudah pasti menarik perhatian kerana ia melibatkan perbelanjaan yang agak besar iaitu sebanyak RM3.42 bilion. Tetapi kos yang tinggi tersebut dengan mudah dapat mengimbangi kepentingan strategik pemilikan SU-30 dalam konteks pertahanan dan kedaulatan negara.

Jika ada pihak yang masih mempertikaikan perolehan SU-30, suara tersebut hanyalah merangkumi golongan minoriti.

Jika ada pihak yang mempertikaikan penggantian MiG-29N, ia banyak berkisar kepada logik bahawa pesawat tersebut masih boleh digunakan kerana usia penggunaannya oleh TUDM baru menjangkau 20 tahun.

Menggunakan dalil tersebut pihak berkenaan juga telah menghujahkan bahawa keputusan penggantian MiG-29N itu bakal menguntungkan pihak tertentu yang sering berurusan dengan Kementerian Pertahanan.

Sememangnya boleh diterima bahawa MiG-29N masih mempunyai peranan dalam TUDM tetapi sepanjang dua dekad operasinya, pesawat tersebut banyak mendatangkan masalah terutama sekali berkaitan dengan kos baik pulih.

Secara puratanya kerajaan terpaksa membelanjakan sehingga RM260 juta setahun hanya untuk senggara 16 MiG-29N iaitu satu nisbah kos senggara per pesawat antara paling tinggi di dunia.

Pada pembentangan Bajet 2010 yang lepas, Angkatan Tentera Malaysia menerima peruntukan yang agak terhad untuk urusan operasi dan pembangunan pertahanan negara.

Peruntukan pembangunan pertahanan tahun 2010 sebanyak RM1.9 bilion umpamanya adalah jauh berkurangan jika hendak dibandingkan dengan tahun sebelumnya sebanyak RM2.3 bilion.

Tambahan pula dengan perolehan dua kapal selam Scorpene, sudah pasti kos operasi aset Angkatan Tentera Malaysia akan naik dengan begitu mendadak.

Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan doktrin pertahanan Singapura umpamanya kerana Angkatan Tentera Singapura (SAF) mampu menyusun strategi pertahanan mereka dengan begitu rapi kerana mempunyai peruntukan tahunan yang agak lumayan sehingga mencapai 6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) republik tersebut.

Perolehan aset pertahanan SAF tidak kira sama ada melibatkan pesawat pejuang, kapal selam atau helikopter tempur, lazimnya tidak mengambil endah kos yang bakal ditanggung kerana peruntukan pertahanan Singapura membenarkannya.

Setiap keputusan perolehan aset hanya mengambil kira satu faktor, iaitu kepentingan strategik yang mampu menjamin kedaulatan negara tersebut.

Sebab itu keputusan menggantikan MiG-29N dianggap sebagai dasar yang strategik bukan sahaja untuk kepentingan menjamin kedaulatan negara tetapi juga untuk memastikan bahawa perbelanjaan sama ada untuk operasi atau pembangunan pertahanan digunakan sebaik-baiknya.

Membelanjakan sebanyak RM16 juta setahun untuk operasi satu pesawat MiG-29N adalah tidak berbaloi kerana keupayaan pesawat tersebut jauh ketinggalan berbanding dengan SU-30.

Jika diteliti dari sudut strategik pula, gandingan pesawat pejuang SU-30 dengan MRCA yang bakal dibuat adalah begitu menakjubkan tidak kira MRCA tersebut dari AS, Perancis, Itali atau Sweden.

Kemampuan SU-30 sahaja dapat menandingi malah melebihi kemampuan yang dimiliki oleh jet pejuang canggih buatan AS seperti F-22 Raptor. Malah tidak keterlaluan jika dinyatakan jet pejuang AS yang lain seperti F5, F15 dan F16 seperti yang dimiliki oleh Tentera Udara Singapura (RSAF) adalah jauh ketinggalan dengan kemampuan SU-30.

Jika perolehan 18 jet pejuang SU-30 sudah menakrifkan TUDM sebagai kuasa udara yang dominan di rantau ini, maka amat pasti sekali gandingan SU-30 dan MRCA yang bakal diperolehi sudah tentu akan menjadikan TUDM sebagai kuasa udara yang perlu dihormati.

Persepsi sedemikian rupa bukan sahaja penting untuk pertahanan negara malah lebih penting untuk menjamin kedaulatan Malaysia.

7 comments:

Anne Ai Ling said...

Salam abah ORS, anne follow blog abah ni :)

Minda Pertahanan said...

tq anne... stay tuned

Unknown said...

salam j2k
orang dalam indusrti brkata tiada rational langsung utk ganti mig 29
dengan alasan belanja mahal 260 juta mana ada murah utk senggara pesawat trbang, bukan jaga motor kapcai, semua pesawat baik f5e, skyhawk, c130, halikopter sukhoi semuanya kos tinggi, itu satu prkara satu lagi yg banyak ornag tak tau ialah, kita beli mig29 bukan kita beli pesawat tu saja, kita beli sekali dgn teknologi nya
selama lebih kurang 15 tahun semua teknologi pesawat tsbt telah diserahkan olih pihak rusia kpd kita (syarikat kepentingan kerajaan), juru teknik anak melayu telah pun menguasi kepakaran mereka pejam mata saja boleh buka dan pasang pesawat tsbt, dalam pesawat tsbt trdapat brpuluh puluh komponen mampu dibaiki oleh mereka saya melihat kerajaan akan rugi besar sekira mig 29 ini ditamatkan selepas segala teknologi kepakaran telah dikuasai olih orang
malaysia- juru teknik logistik dr
syarikat pesawat mig29 malaysia

Unknown said...

salam j2k
sebab apa mereka nak tutup mig29, anda ingin tau... ya ok ini semua adalah kerana kerakusan orang2 business dan kuncu2 mereka.yg melobi utk mendapat keuntungan peribadi dari peruntukan pertahanan(diantara peruntukan yg besar buget negara, untuk pengetahuan saudara tiada apa2 masaalahnya dgn pesawat tsbt malah teknologi senggaraan telah pun berjaya dipindahkan oleh pihak rusia kpd orang kita dan sekarang ni juruteknik kita dah boleh merungkai dan memasang semula pesawt tsbt dgn sepenuh kemahiran, utk pengetahuan saudara pembelian pesawat tsbt dilakukan bukan sekadar membeli pesawat tetapi complete dgn teknologi russia semua nya telah brjalan dgn lancar, tetapi oleh kerana kerakusan manusia maka trjadi perkara ini. saya kira cukuplah setakat ini..saudara mungkin trtanya tanya mana saya tahu prkara ini untuk penjelasanya saya adalah salah seorang juruteknik logistik dari sykt yg telah menjayakan rawatan/senggaraan dan pemindahan teknologi tsbt. harap maklum

Minda Pertahanan said...

Terima kasih airman1.... sebenarnya suasana ini memerlukan lebih ramai lagi orang-orang spt saudara dan juga personel TUDM yang 'arif'tampil memberi penjelasan tentang keupayaan dan nilai ekonomi dari sudut lain untuk menidakkan perancangan kerajaan menjual MIG supaya sesuatu perancangan akan berlangsung secara sihat terutamanya dalam institusi pertahanan negara.

Anonymous said...

syabas.. kerana ke ikhlasan mu..saya harap Mig 29N digantikan dengan pesawat dari Rusia kerana perpindahan Teknologi ke negara kita sudah ada..nah.. apa lagi dihadapan...Cy 35, Su37, T50 sudah siap..harap hujung bulan depan ini ada perkataan ' PAK ' di situ..

Panglima13 said...

pemimpin malaysia bijak2..tetapi jika menyediakan pesawat tempur baru kurang dari 100 unit itu kurang bijak namanya!

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini