About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, October 7, 2009

Gaji pegawai ATM dipotong 10%

Sumber utusan
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARI

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Semua pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula daripada pangkat Leftenan Muda dan ke atas serta berkeluarga dikenakan potongan gaji 10 peratus berkuat kuasa 1 Oktober lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, gaji yang dipotong menerusi Peruntukan Paksa ATM itu yang dikreditkan ke dalam akaun isteri bertujuan untuk membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga pegawai berkenaan.

Beliau berkata, cadangan melaksanakan pemotongan gaji terhadap pegawai ATM itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera sebelum ini.

“Ini adalah satu bentuk jaminan dan keprihatinan kita kepada keluarga anggota dan pegawai kerana kita terima banyak laporan ada anggota dan pegawai yang buat pinjaman sehingga tidak mampu menanggung ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Pertahanan sempena Hari Raya Aidilfitri di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Katanya, potongan gaji tersebut dibuat daripada gaji pokok semasa setiap pegawai.
Ahmad Zahid berkata, potongan gaji tersebut yang dikenali sebagai Peruntukan Paksa telah diperkenalkan oleh ATM pada 1975 ke atas anggota lain-lain pangkat (LLP) sebagai ganti kepada elaun perkahwinan.

Dalam pada itu, beliau turut menjawab tuduhan akhbar tabloid sebuah parti politik dan blog mengenai adanya kecacatan dalam persaraan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal baru-baru ini.

Menurut beliau, ia bukan isu besar memandangkan persaraan Abdul Aziz mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada mesyuarat MAT ke-484 Ogos lalu.

Beliau berkata, majlis perpisahan bekas Panglima Angkatan Tentera itu juga telah diatur tanpa masalah malah Abdul Aziz sendiri menyatakan hanya mahukan majlis perpisahan sederhana.

“Memandangkan tarikh persaraan beliau jatuh pada bulan Ramadan, beliau mahu majlis perpisahan diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Oleh itu tuduhan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu itu semata-mata untuk menjadikannya isu besar adalah tidak benar sekali,” katanya.

Ditanya adakah beliau kecewa terdapat segelintir pihak terutama dari parti pembangkang yang memanipulasi isu-isu dalam ATM, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak merasa kecewa.

No comments:

Tinggalkan pesanan anda di sini