About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, August 25, 2009

JHEV dan PBTM – Relevansi dan Sinonim

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Ogos 2009
Oleh: Hamzah Hd.

Kamus Dewan menterjemahkan ‘pahlawan’ adalah orang yang gagah dan berani, pejuang yang gagah, perwira yang ditakuti. Manakala Hari Pahlawan didefinasikan sebagai hari memperingati pahlawan yang terkorban.

Jika mengambil kira ungkapan ‘orang yang gagah dan berani dan telah terkorban’ kerana mempertahankan kedaulatan negara dari dijajah oleh anasir luar atau cubaan dari anasir dalaman yang berhaluan kiri dan kumpulan-kumpulan yang ingin mengkucarkacirkan kestabilan negara. Walaupun ianya bergerak tidak dalam kumpulan anggota berunifom atau seumpamanya, maka selayaknya mereka juga digelar pahlawan.

Sejarah perjuangan dan penentangan rakyat Malaysia(Tanah Melayu) adalah bermula seawal tahun 1500an yang mana kita tahu dari sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang sudah pun mempunyai pahlawan-pahlawan terbilang seperti Hang Tuah dan rakan-rakannya di samping penentangan pahlawan-pahlawan Melayu menentang Portugis.

Era tahun1870an juga mencatat sejarah pahlawan-pahlawan Melayu yang menentang penjajah. Di antaranya ialah Imam Rasu bin Shahrum atau Tok Gajah, Mat Kilau, Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh atau Dato' Bahaman (Pahang), Haji Hassan bin Panglima Mat Munas atau Tok Janggut (Kelantan), Laksamana Mohamad Amin, Datuk Maharajalela, Ngah Ibrahim (Perak) Dato’ Dol Said (Melaka), Haji Abdul Rahman Limbong (Terengganu), dan ramai lagi.

Mereka adalah pahlawan-pahlawan Melayu yang dikenang oleh sejarah Malaysia yang telah terlebih dahulu mencipta ketamadunan negara Malaysia dan sekali gus adalah bangsa tuan kepada bumi ini yang berhak mendapat hak-hak keistimewaan. Kemasukan bangsa-bangsa asing, bermastautin dan diterima sebagai warganegara Malaysia selepas itu dan secara tidak langsung ikut sama terlibat di dalam perjuangan pembebasan dan kematian mereka juga telah diiktiraf dan tidak dinafikan jasa mereka kepada negara.

Ini bermakna, negarawan, ahli-ahli politik malah juga orang-orang persaorangan atau pun kumpulan yang bermandi darah dan keringat, berjuang dengan cara masing-masing dengan hasrat yang sama iaitu untuk membebaskan bumi Malaysia dari cengkaman penjajah dan pertualang-pertualang yang mengkhianati bangsa dan negara sendiri demi kelangsungan ideologi dan perjuangan mereka untuk menjadikan negara ini bukan sebuah negara demokratik adalah merupakan dari kelompok pahlawan.

Oleh kerana mereka berjuang bukan atas nama mana-mana organisasi berunifom, adalah menjadi sukar untuk mengesan jejak-jejak mereka untuk sama-sama didokumentasikan sebagai pejuang sebaris dengan pahlawan-pahlawan yang tersenarai dalam rekod sejarah negara.

Walau apa pun tafsiran, jasa dan pengorbanan mereka yang tiada tolok banding nilainya di sisi sejarah telah menjadi titik tolak kepada kecemerlangan pembangunan negara hari ini. Mereka datang bukan hanya dari satu bangsa majoriti malah mewakili bangsa-bangsa minoriti yang lain.

Sejarah perjuangan pahlawan-pahlawan negara yang berjuang samada di era sebelum merdeka maupun pasca merdeka dikenang sampai hari ini. Tugu peringatan sebagai lambang penghormatan negara kepada perwira dan perajurit yang sanggup mengorbankan nyawa mereka demi kestabilan dan keamanan tanahair.

31 Julai saban tahun, negara merakam sejarah keramat ini sebagai Hari Pahlawan selaras tamatnya darurat menentang Pengganas Komunis Malaya pada bulan Julai 1960. Semasa pemerintahan British, hari tersebut dikenali sebagai Poppy Day sempena nama bunga poppy. Konvensyen Geneva 1945 yang secara ringkasnya menggariskan larangan membunuh atau menyerang tentera yang hors de combat yakni orang yang cedera, tidak sedarkan diri dan telah meletakkan senjata dan tidak berupaya untuk berperang.

Mengambil semangat dari pengiktirafan konvensyen ini dengan tamatnya peperangan dunia kedua yang dikenang di seluruh dunia maka tarikh ini telah ditetapkan oleh kerajaan pimpinan Yang Teramat Mulia Al-Marhum Tunku Abdul Rahman iaitu Perdana Menteri Malaysia yang pertama untuk memperingati jasa perajurit dan polis yang terlibat secara langsung di dalam kemelut perebutan dengan beberapa pihak yang berkepentingan yang berlarutan sehingga bertahun-tahun selepas Malaysia merdeka.

Kempen Hari Pahlawan hari ini telah menjadi tradisi dan sinonim sebagai acara penting samada di peringkat nasional maupun negeri-negeri, sebagai mengenang jasa pahlawan. Mengambil iktibar dari suasana semasa di dalam negara yang berkaitan dengan sejarah pertahanan dan kemerdekaan, adalah sangat bererti jika mulai tahun ini dan tahun-tahun mendatang, sambutan Hari Pahlawan diisi dengan menampilkan pahlawan-pahlawan yang masih hidup ini ke tengah masyarakat dengan program-program patriotik yang lebih menyeluruh.

Veteran Dan Persatuan

Definasi veteran ialah semua bekas anggota ATM samada yang berpencen atau tidak berpencen, Pasukan Simpanan ATM yang dikerah sepenuh masa, Pasukan Force 136, Tentera British yang berkhidmat di Malaya/Singapura (British Army) dan Sarawak Rangers dari kalangan rakyat Malaysia.

Penubuhan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 11 Oktober 2000. yang memulakan operasi pada 1 Januari 2001. Jabatan ini diwujudkan adalah bertujuan untuk memberi perkhidmatan one-stop centre kepada veteran ATM dalam usaha membantu veteran ATM meningkatkan sosio-ekonomi mereka menerusi pengurusan yang lebih sistematik. Usaha ini bertujuan untuk memastikan bekas anggota tentera dapat menjalani kehidupan lebih selesa selaras pengiktirafan kepada pengorbanan mereka semasa ketika dalam perkhidmatan.

Sebelum kewujudan JHEV, bekas-bekas tentera sebahagiannya menjadi ahli kepada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) dan sebahagiannya lagi mengambil sikap tidak peduli dan tidak berusaha untuk mendaftar sebagai ahli kerana tiada dasar yang menguatkuasakan penglibatan bekas-bekas tentera ke dalam PBTM.

Kesan daripada fleksibiliti ini, kebanyakan daripada bekas-bekas ATM atau balu yang kecundang di dalam mentadbir sosio-ekonomi rumahtangga menghadapi masalah kewangan yang meruncing terutamanya apabila mereka jatuh sakit dan memerlukan kos perubatan yang tinggi. Secara tidak langsung, masalah ini memberi kesan kemerosotan kualiti kepada sesebuah keluarga bekas ATM terutamanya kepada anak-anak yang masih memerlukan pembelaan.

Suatu perkara yang menjadi dilema sekurang-kurangnya untuk meletakkan ahli-ahli dengan persatuan ke dalam situasi menang menang ialah sikap kedua-dua belah pihak. Di pihak ahli, mereka mengatakan persatuan tidak berfungsi sebaiknya untuk memperbaiki sistem ekonomi dan kebajikan mereka yang menjadi antara sebab mereka tidak begitu aktif berpesatuan.

Di pihak persatuan pula mengatakan antara sikap ahli yang tidak memperdulikan persatuan maka agak sukar untuk mengetahui atau mengambil cakna bebentuk kebajikan dan sebagainya bila tiba kepada suatu keadaan yang memerlukan.

Di sinilah betapa pentingnya sesuatu usaha untuk memperkasakan fungsi dan peranan, PBTM dengan mengambil kira kemahuan kedua-dua belah pihak sekaligus akan mengembalikan kepercayaan dan imej persatuan. Gerakan ini harus dimulakan oleh pemimpin. Setiap pemimpin harus menyedari potensi diri dan berusaha untuk mencapai wawasan dan jika ianya berlaku sebaliknya, seeloknya peranan itu diberikan kepada bakal pemimpin yang lebih berwibawa. Jika keahlian PBTM terjadi secara automatik, sebenarnya persatuan ini tidak akan ketandusan pemimpin yang berjiwa korperat yang mampu memandu persatuan di bidang ekonomi yang lebih agresif.

Mungkin dari kegagalan ini, kita sering terbaca pendedahan demi pendedahan di media-media arus perdana yang mereka-mereka ini memerlukan perhatian dan pembelaan seolah-olah jasa dan pengorbanan mereka diabaikan di saat-saat mereka memerlukan suntikan kebajikan demi kelangsungan kehidupan keluarga. Fenomena sebegini sering berlaku kerana pihak PBTM tidak mempunyai mandat yang jelas untuk menangani hal-hal kebajikan bagi mereka-mereka yang tidak berdaftar dengan persatuan.

Kesinambungan dan iktibar daripada permasalahan seumpama ini terus berlarutan, maka kewujudan JHEV sangat tepat pada masanya. JHEVmemikul tanggungjawab menangani secara khusus seawal penamatan perkhidmatan anggota/pegawai dengan menyediakan perkhidmatan pembayaran pencen, ganjaran dan semua bayaran lain yang berkaitan persaraan, pembangunan dan pengukuhan usahawan, penempatan veteran dan pemberian bantuan kebajikan tanpa memerlukan seseorang itu menjadi ahli PBTM.

Namun begitu antara keburukan-keburukan yang sangat ketara ialah kekangan dan kelewatan untuk cawangan veteran negeri atau wilayah untuk menangani segala bentuk masalah veteran menjadi persoalan utama. Sebagai contoh, ada ahli yang terlantar sakit masih belum mendapat apa-apa reaksi walaupun telah memohon bantuan kebajikan lebih daripada 6 bulan. Kemungkinan perkara ini berlaku adalah kerana cawangan JHEV tidak ‘menang tangan’ untuk menanganinya lantaran terlalui ramai pemohon yang sedang menunggu simpati.

Maka di sini, sebenarnya fungsi PBTM cawangan tidak boleh di ketepikan untuk menjadi pemerhati yang paling dekat dan sudah tentu jika kena salurannya tindakan boleh diambil. Ahli Jawatankuasa yang dilantik harus memikul amanah dengan aktif menjalani aktiviti-aktiviti bersama ahli-ahli, berbincang apa sahaja dalam konteks persatuan untuk kebaikan bersama. Dengan cara tersebut barulah ahli-ahli dapat merasakan kerelevanan berpesatuan dengan PBTM.

Sesuatu yang paling unik di dalam organisasi ATM ini ialah mengambil berat kepada warganya adalah bermula seawal pentauliahan sebagai perajurit muda atau kadet sehinggalah ke liang lahad. Atas dasar ini, sepatutnya semua warga ATM samada yang masih berkhidmat atau yang sudah meninggalkan perkhidmatan harus merasa bangga dengan organisasi yang serba lengkap dan berkebajikan dengan segala kemudahan seumpama bernaung di dalam sebuah negara.
Kenyataan terbaru oleh Menteri Pertahanan, supaya menjadi ahli PBTM secara automatik sebaik sahaja seseorang anggota/pegawai menamatkan perkhidmatan. Langkah ini sangat wajar dan penting untuk menentukan kesinambungan semangat setiakawan antara semua peringkat terus terjalin.

Adalah difahamkan perkara ini pada suatu ketika, sudah pun dilaksanakan yang mana semasa anggota/pegawai berurusan dengan Jabatanarah Rekod dan Pencen (JRP) semasa membuat dokumentasi akhir, borang pendaftaran menjadi ahli PBTM dikepilkan bersama tetapi apa yang terjadi, jika adapun yang mendaftar sebagai ahli, tindakan susulan tidak dibuat di peringkat cawangan di mana seseorang itu bermastautin. Rekod keahlian di cawangan tidak dapat dikemaskinikan dan penyaluran aktiviti kebajikan tidak akan berlaku jika tiada nama seseorang itu di peringkat cawangan.

Walaubagaimanapun kerajaan sering mengkaji dan membuat penambahbaikan. Mutakhir telah tersiar beberapa insentif oleh kerajaan untuk membantu golongan ini dengan penilaian skim pencen kepada satu tahap yang sesuai dengan ekonomi semasa dan terkini pihak ATM telah memberi gambaran untuk membayar ganjaran dan elaun kepada yang hilang upaya disebabkan kemalangan semasa menjalankan tugas yang mana ada di antaranya yang masih belum menikmatinya.

Veteran Dengan Isu-isu Semasa

Reaksi spontan oleh seorang Timbalan Menteri kerajaan mempunyai hubungkait dengan gagasan ‘1Malaysia’. Beliau telah membuat tuntutan supaya kerajaan membenarkan bekas Setiausaha Agong Parti Komunis Malaya (PKM) di bawa balik untuk menghabiskan sisa-sisa kehidupan di Malaysia. Chin Peng menjadi Persona Non Grata di dalam negara sendiri ekoran perjuangannya yang telah banyak mengorbankan nyawa pasukan keselamatan.

Perjuangan yang benar pada awalnya tetapi tidak berada pada landasan yang betul. Benar kerana memperjuangkan untuk pembebasan tanahair dari belenggu penjajahan British dan Jepun. Namun cara perjuangan itu tidak betul kerana menyalahi undang-undang negara walaupun setelah penjajah sudah berjaya diusir.

Jika perjuangan PKM tidak berpaksikan ideologi komunisme dan pemimpinnya yang mempunyai kepentingan peribadi, maka seharusnya sebaik sahaja negara beroleh kemerdekaan, mereka terus meletak senjata dan kembali ke pangkuan masyarakat. Jika itu tindakan yang dibuat sudah tentu kerajaan tidak teragak-agak untuk memberi pengampunan.

Tuntutan ini hanya sebahagian daripada banyak lagi tuntutan yang dilihat untuk meraih populariti sebagai pembela kaum padahal polisi yang jelas sudah dikeluarkan oleh kerajaan sebelum ini. Rentetan daripada polisi yang tegas inilah wujud sebuah perkampongan yang menempatkan bekas kader dan perajurit Rejimen Ke-10 Tentera Rakyat Malaya di Kampung Chulabhorn Patana 12 yang juga dikenali sebagai Kampung Perdamaian Sukhirin yang dibangunkan selepas termeterai perdamaian antara 3 pihak di Haadyai pada 2 Disember 1989. Jika seorang Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia, maka tidak mustahil seluruh warga Perkampongan Sukhirin ini juga akan menuntut hak yang sama.

Polemik ini juga secara tidak langsung telah menunjukkan wajah sebenar individu politik yang suka berpolitik dengan menangguk di air keruh tanpa mengira kesan kepada keselamatan negara dan sentimen. Jika diteliti daripada respon masyarakat di dalam media maya tentang isu perjuangan PKM yang diulas di blog kepunyaan bekas anggota PKM yang bermastautin di Perkampongan Perdamaian Sukhirin, sebenarnya masih ramai yang bersimpati kepada pertubuhan ini. Mereka mengatakan sejarah perjuangan PKM yang tertera di lipatan sejarah negara adalah rekaan pemerintah Malaysia. Apa yang cuba diperkatakan oleh penulis blog ini, pada mereka adalah cerita yang sebenar. Jika suasana ini tidak dipantau dikhuatiri satu masa nanti ideologi ini akan membiak dan membesar di dalam masyarakat negara kita.

Perkara ini tidak mustahil akan berlaku kerana pada penilaian peribadi penulis, golongan yang memberi respon positif kepada blog tersebut adalah golongan yang mempunyai kepentingan di dalam parti-parti politik. Respon mereka bukan berdasarkan mereka celik sejarah tetapi berdasarkan kebencian mereka kepada kerajaan sekarang. Selagi mana ada orang yang boleh menidakkan kerajaan, di situlah mereka akan jadi penyokong walaupun orang yang mereka sokong itu pernah membunuh saudara mara yang pernah berjuang.

Oleh kerana mereka terlalu benci dengan kerajaan yang ada, satu cara yang mungkin boleh membantu mereka ialah bersekongkol dengan kumpulan-kumpulan radikal yang mana kemungkinan akan mencetus sesuatu hasil yang positif untuk menumbang kerajaan yang ada. Untuk sementara, mereka akan mengenepikan fakta sejarah yang sebenar untuk tujuan itu.

Sesuatu yang lebih memburukkan keadaan ialah jika aktiviti ini tidak dikekang dari awal ialah akan mencetuskan kecelaruan minda generasi baru yang tidak akan dapat membezakan mana satu fakta yang benar untuk mereka mempercayai.

Sudah lama kita tidak mendengar veteran ATM bersuara lantaran tiada isu yang membangkitkan semangat mereka, namun suasana ini telah mencetus kemarahan mereka. Selama ini ramai generasi muda dalam kalangan jiran-jiran mereka tidak kenal malah jauh sekali untuk menyanjung sebagai pahlawan. Namun sejarah tidak pernah berdusta di mana hari ini mereka tampil menzahirkan kepada generasi terkini bahawa mereka tidak bertangan, tidak berkaki, cacat penglihatan dan parut ditembusi peluru di merata badan.

Di sebalik penampilan eksklusif pahlawan-pahlawan yang pernah terlibat secara khusus di dalam perjuangan ini di dada-dada media, ada juga suara-suara di belakang pentas yang membisikkan bahawa ‘adegan-adegan’ ini adalah pemanasan untuk pemilihan pucuk pimpinan PBTM yang akan berlangsung dalam masa yang terdekat.

Sementara kumpulan yang boleh digelar sebagai pahlawan ini masih hidup, seharusnya pihak kerajaan mengambil inisiatif untuk mendokumentasikan kehidupan mereka untuk tatapan generasi muda yang akan mereka melisankan kepada generasi anak cucu mereka nanti.

Cadangan

Natijah kepada keperluan perlaksanaan rayuan untuk tabung pahlawan samada masih relevan atau tidak untuk diteruskan adalah bergantung sejauh mana ‘pahlawan-pahlawan’ kita sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri. Selagi persatuan masih mengharapkan geran bantuan oleh kerajaan sebagai sumber utama selagi itulah prestasi persatuan akan berada di takuk lama, maka tabung rayuan hari pahlawan saban tahun akan diedar untuk menagih simpati masyarakat. Jutaan ringgit telah diraih setiap tahun jika ditolak 10 peratus untuk belanja pentadbiran, angkanya masih lagi banyak untuk di manfaatkan kepada aktiviti-aktiviti kebajikan kepada kumpulan sasaran.

Veteran tidak semuanya mampu berdikari. Justeru kerjasama berpasukan masih tetap relevan. Berapa banyak pun bilangan kolokium diadakan setahun, namun hanya segelintir sahaja yang boleh mencipta dan menyambar peluang yang terbentang meskipun kemahiran dan pengetahuan keusahawanan semasa kursus peralihan sudah diperolehi.

Untuk bersaing di pasaran terbuka memerlukan keyakinan dan pengurusan yang ternyata aspek ini ramai dari kalangan veteran tidak yakin dan berkebolehan. Ini adalah fitrah biasa sebagai manusia dari golongan kumpulan sokongan dan jikalau mahu melihat ilmu survival veteran terpakai, mereka mesti bergerak secara berkumpulan dan mengasingkan mereka kepada kemahiran masing-masing di bawah bumbung persatuan.

Sebagaimana penambahbaikan dan peningkatan di dalam perkhidmatan yakni ATM selaku organisasi induk, JHEV selaku jabatan di dalam strukturnya tidak boleh lari untuk terus sama membuat anjakan. PBTM dan seumpamanya sebagai entiti pelaksana di peringkat sasaran harus mencari penyelesaian strategik dengan membangunkan koperasi atau seumpamanya di setiap cawangan dengan merangka potensi yang akan menjana pendapatan tetap ahli-ahli yang bermasalah. Pemimpin di peringkat pusat harus mencari jalan penyelesaian dan memastikan segala aset-aset persatuan yang telah beroperasi dan menjana pulangan yang sewajarnya.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mempunyai prestasi cemerlang yang konsisten memberi bonus tahunan kepada pencarumnya yang terdiri daripada warga aktif ATM. Sesuatu yang boleh dibuat kajian ialah menggubal satu kaedah supaya bekas tentera juga dibenarkan membuat caruman tetap yang berkonsepkan pelaburan saham yang mampu menjana pendapatan sampingan. Jika idea ini dapat direalisasikan, ini dikira suatu tindakan positif sebagai penghargaan terhadap kesetiaan mereka mencarum selama berada di dalam perkhidmatan tetap selama ini.

Kursus peralihan kepada bakal-bakal pesara harus diperketatkan komitmen dan pihak pengawas mesti menentukan kursus yang dilaksanakan ditamatkan dengan konvokasi pengetahuan atau kemahiran khusus mengikut pilihan individu yang mempunyai pasaran kepada keperluan masyarakat umum.

Selaras dengan Pekeliling Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) ada menyatakan bahawa bekas-bekas tentera ‘layak’ untuk memohon sejumlah hektar tanah pertanian dan sejumlah lagi untuk tapak tempat tinggal dengan mengemukakan kawasan-kawasan yang hendak dimohon maka calun yang paling layak yang perlu untuk diberi pertimbangan ialah pahlawan-pahlawan yang masih hidup. Sebagaimana model perkampongan bekas tentera di Felda Sungai Koyan Pahang, perlu penempatan baru seumpama diwujudkan di setiap negeri untuk bekas tentera dan polis bermastautin sebagai menghargai jasa mereka menjaga keamanan negara dari segala bentuk ancaman.

Jika perancangan Menteri Pertahanan mewajibkan semua bekas tentera menjadi ahli automatik PBTM, bermakna struktur dalam perkhidmatan akan transisi kepada pasca perkhidmatan. Carta organisasi di setiap cawangan PBTM mengandungi ahli yang berpangkat Jeneral hinggalah ke prebet. Bila idea dan kekuatan Jeneral hingga ke prebet bersatu di dalam satu ikatan, tidak mustahil kemiskinan tegar dari kalangan mereka ini dapat disifarkan.

Di waktu itu kelibat tabung rayuan hari pahlawan tidak diperlukan lagi dan jika ada pun ianya bukan kepada bekas tentera sebagai sasaran utamanya. PERAJURIT.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini