About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, June 24, 2009

Kor Infantri tulang belakang kekuatan ATM

Sumber: Utusan Online
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA

KEKUATAN sesebuah pasukan atau organisasi bergantung kepada kecekapan dalam pengurusannya.
Ini bagi memastikan organisasi tersebut menjadi sebuah organisasi yang cemerlang dan berdaya saing.

Pelaksanaan pengurusan yang direncanakan perlulah mantap agar ia benar-benar dapat mewujudkan sebuah pasukan atau organisasi berkredibiliti.

Jika tidak ia hanyalah sekadar usaha yang membuang masa semata-mata.
Sekiranya ia berjaya, bukan sahaja organisasi tersebut akan menjadi berdaya saing malahan dapat melahirkan anggota serta pemimpin cemerlang serta mampu bekerja dalam apa jua keadaan.

Sebagai saksi penting terhadap kecemerlangan organisasi ketenteraan dalam negara ini, hutan belantara juga tidak akan mampu berbohong tentang kehebatan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) sewaktu bertempur dengan pengganas komunis.

Apatah lagi segala pahit manis, suka-duka dan peristiwa besar dalam pasukan keselamatan banyak terpalit sejarahnya di hutan rimba terutama melibatkan 'pasukan infantri'.

Hakikatnya, tiada siapa dapat menafikan tentang kebenaran ini dan belantara juga menjadi tempat utama berakhirnya riwayat musuh durjana yang cuba memusnahkan negara.
Kini, belantara di seluruh tanah air semakin sepi daripada anggota pasukan keselamatan sejak berakhirnya ancaman Parti Komunis Malaya (PKM).

Namun sejarah kejayaan yang tercatat di situ tidak mungkin terpadam buat selama-lamanya lebih-lebih lagi sebahagian besar perwira negara 'hidup dan mati' di hutan rimba.
Dan dari belantara jugalah, pasukan infantri yang terdiri daripada Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Renjer Diraja (RRD) menjadi semakin matang dan disegani oleh banyak pihak.

Oleh itu, matlamat untuk terus memantapkan operasi dan khidmat yang diberikan oleh pasukan infantri sentiasa ditanam dalam jiwa dan sanubari Ketua Pengarah Kor infantri Markas TDM, Kolonel Mohd. Nizam Jaafar.

Ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia di Kementerian Pertahanan baru baru ini, beliau berkata, sebagai sebuah kor yang menjadi tulang belakang TDM, beliau akan terus berusaha memastikan kor tersebut dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang sekaligus menaikkan nama TDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Seperti yang kita sedia maklum, TDM adalah komponen utama ATM di mana terdapat sebanyak 16 Kor (cabang) di bawah TDM dan antara terpenting ialah Kor Infantri.
"Kor Infantri merupakan tulang belakang TDM dan RAMD dan RRD adalah tonggak kor tersebut," kata Nizam.

Antara peranan dilakukan oleh kor tersebut ialah mencari dan mendekati musuh serta menawan dan merampas kawasan penempatan musuh.
Selain itu, ia juga berperanan menangkis serangan musuh tidak kira siang dan malam tanpa mengira cuaca dan bentuk keadaan muka bumi.

Beliau berkata, pasukan-pasukan yang terdapat dalam infantri yang di panggil batalion terbahagi kepada empat pecahan seperti berikut:

1. Batalion Infantri Standard
Batalion ini berlatih untuk berperang semasa aman dan melaksanakan peranan infantri semasa peperangan.

2. Batalion Infantri Para
Batalion ini melakukan operasi tempur infantri melalui pergerakan terjun udara sama ada di waktu siang atau malam.

3. Batalion Infantri Mekanize
Batalion ini beroperasi bersama kenderaan tempur (berperisai). Mereka sebagai gabungan tempur, mencari, mendekati dan memusnahkan musuh menggunakan kenderaan berperisai.

4. Batalion Infantri Istiadat
Batalion ini mempunyai peranan yang sama seperti batalion infantri standard. Tugas utamanya ialah mengadakan kawalan kehormatan yang merupakan satu kemegahan negara serta menyediakan anggota untuk kawalan di Istana Negara.
Selaras dengan komitmen dan peranan yang perlu dilaksanakan oleh kor tersebut, beliau mahu seluruh warga infantri bekerja kuat untuk mewujudkan warga infantri yang profesional, unggul dan berilmu.

Beliau menyeru agar sentiasa siap siaga dalam segala aspek bagi menangani sebarang ancaman di era ledakan maklumat dan globalisasi yang penuh dengan ketidaktentuan dan persaingan.
Warga kor infantri

Jelasnya, hanya warga kor infantri yang mempunyai semangat juang, kesetiaan tidak berbelah bahagi, kepimpinan versatil, berpengetahuan serta kemahiran luas dan bersedia menangani perubahan sahaja akan berjaya mengharungi cabaran ini untuk terus bersaing demi mengejar kecemerlangan dan keunggulan.

"Justeru, saya berharap setiap warga kor infantri mengambil inisiatif bagi menentukan kor sentiasa bersiap sedia bagi melaksanakan tugas sebagai ketumbukan yang menjadi tonggak kepada kedaulatan bangsa, agama dan negara," jelasnya.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini