About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, April 27, 2009

Hari Terbuka Armada TLDM di Lumut bermula hari ini

Sumber: Utusan online

KUALA LUMPUR 22 April - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menganjurkan Hari Terbuka Armada (HTA) di Lumut selama lima hari bermula esok bagi menyambut ulang tahun ke-75 pasukan itu pada 27 April ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam, sambutan itu amat penting kepada warga TLDM bagi mengimbau kembali perkembangan dan mengenang kejayaan-kejayaan yang dikecapi pasukan tersebut.

Menurut kenyataan itu, bermula 24 April ini, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenan mencemar duli untuk mengisytiharkan bandar Lumut sebagai Bandar Tentera Laut.
''Pada 25 April pula, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Kepten Yang Dipertua TLDM berkenan merasmikan hari terbuka tersebut di Pangkalan TLDM Lumut,'' kata kenyataan itu.

Sepanjang sambutan itu, TLDM menyusun pelbagai aktiviti menarik yang dijangka mendapat sambutan masyarakat tempatan dan juga pelancong asing.

Antara program yang dianjurkan ialah pameran kerjaya dan ekspo maritim dengan melibatkan agensi- agensi awam dan swasta serta institusi pengajian tinggi berkaitan dengan maritim.
TLDM juga akan mengadakan demonstrasi ketenteraan, pertunjukan kawad senyap dan perarakan seramai 1,304 warga TLDM yang mewakili 14 kontinjen daripada pelbagai unit dan kepakaran.

Selain itu, pelbagai pertunjukan maritim turut diadakan seperti demonstrasi rampasan kapal, pertunjukan payung terjun, pertunjukan bot laju, sukan air dan lain-lain.
Para pengunjung juga berpeluang melawat aset-aset TLDM seperti kapal perang dan helikopter yang beroperasi di pangkalan itu.

Selain pameran, pelbagai pertandingan diadakan seperti memancing, pukul bantal gladiator, memanjat tiang licin, sukan kanak-kanak dan renang selat.

Kemuncak kepada sambutan itu ialah Istiadat Penganugerahan Panji-Panji Kapal Diraja (KD) Rajawali, KD Sri Sandakan dan KD Panglima Hitam serta Istiadat Mengarak Panji-Panji KD Malaya, KD Pelandok, KD Rajawali, KD Sri Sandakan dan KD Panglima Hitam di Stadium Pangkalan TLDM Lumut.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini