About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, April 1, 2009

ANCAMAN ALAF BARU

Sumber: Majalah Perajurit Edisi Mac 2009.
Oleh: Hamzah Hd.

Sudah hampir sedekad dunia berada di alaf baru. Malaysia adalah di antara negara membangun yang kelihatan bersungguh-sungguh meletakkan visi yang harus dicapai selewat-lewatnya menjelang tahun 2020 terangkum secara menyeluruh dalam aspek ekonomi, politik, kerohanian, sosial, psikologi, perpaduan dan sebagainya.

Memetik salah satu dari sembilan matlamat utama wawasan 2020 yang digarap oleh Mantan Perdana Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad ialah ‘Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain’.(Rujukan: Wikipedia)

Harapannya kelihatan sudah cukup jelas tetapi cabaran untuk merealisasikannya adalah tidak mudah dan memerlukan komitmen kerajaan dan sokongan rakyat jelata semasa melaksanakan setiap program pengisian. Cabaran yang paling utama ialah kestabilan ekonomi dan politik yang mana banyak mempengaruhi momentum perancangan yang dirancang samada suara-suara pembangkang mengiringi wawasan ini sebagai pengimbang keberkesanan atau ianya akan terus membantutkannya.

Kekuatan kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 12) atau yang mutakhir peralihan kuasa PM kepada Dato’ Seri Najib Mac nanti akan menentukan hala tuju yang jelas ke arah wawasan yang sama atau idea baru yang lebih realistik dan dinamik.

Apa yang penulis cuba untuk fokuskan ialah dalam usaha untuk mewujudkan sebuah ‘masyarakat yang berjiwa bebas dan tenteram’ bermakna negara haruslah terlebih dahulu bebas dari ancaman-ancaman luar dalam konteks pertahanan nasional, ancaman-ancaman dalaman yang dicetus oleh suasana politik semasa, perpaduan/toleransi antara kaum, ancaman dadah dan ancaman yang diundang dengan kemasukan Pendatang Asing Dengan Izin (PADI) dan juga Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Suatu natijah kepada keamanan yang dikecapi yang membawa kepada pembangunan pesat tetapi keengganan rakyat sendiri untuk bermandi peluh dengan kerja-kerja kasar dalam pembangunan infrastruktur, pertanian dan industri memaksa pengimpotan pekerja asing dalam sekala besar untuk memenuhi keperluan buruh di negara ini. Apa yang menjadi masalahnya ialah kebanjiran yang tidak terkawal ini telah mencetus ancaman baru kerana mereka bukan sahaja datang membawa kudrat untuk bekerja malah turut sama membawa budaya kurang sihat yang menuntut penguatkuasaan yang berkali-kali ganda bagi memantau keadaan.

Pembangunan ATM Bagi Menangkis Ancaman Global

Dalam konteks pertahanan nasional, umum sudah maklum bahawa negara kita tidak lagi mempunyai musuh tradisional setelah perletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1989. Namun ancaman yang bersifat baharu yang terbit dari isu tuntutan bertindih ke atas pulau-pulau yang berhampiran sempadan menuntut kepada pembangunan ketenteraan (ATM) yang mapan yang bukan bertujuan untuk perlumbaan kekuatan ketenteraan atau persenjataan tetapi lebih tertumpu kepada kesiapsiagaan defensif dan cegah rintang yang mana seperti kata perpatah “ Sediakan Payung Sebelum Hujan”. Biarpun isu sebegini masih di dalam kawalan diplomatik namun seperti Api dalam Sekam yang akan membakar sekelip mata jika ditiup angin.

Usaha memodenkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seharusnya bergerak pantas sehingga negara/ATM betul-betul mempunyai aset-aset dan kelengkapan strategik yang mencukupi bagi menentukan aset ATM berada pada tahap asas yang berwibawa sepertimana yang dimohon oleh ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam usaha melengkap dan mengkompetenkan ketumbukan masing-masing.

Walaupun belum ada tanda-tanda perang konvensional akan berlaku kepada negara namun evolusi keganasan gelobal semakin rakus mengisi ruang kosong. Pertubuhan-pertubuhan kecil dalam negara-negara yang berkonflik yang berorientasikan perjuangan menentang penjajahan kuasa besar atau pemberontakan menentang kerajaan yang tidak sehaluan sering melakukan serangan keganasan di kawasan tumpuan ramai dan melibatkan pengunjung yang tidak berdosa.

Seumpama negara kita baru-baru ini juga dikejutkan dengan penculikan dua buah kapal milik Malaysia International Shipping Corporation (MISC), Bunga Melati 2 dan Bunga Melati 5 diTeluk Aden berhampiran perairan Somalia dan Yemen oleh sekumpulan lanun yang bergerak secara taktikal dan memiliki persenjataan yang sopistikated dan tidak mustahil mereka mempunyai jaringan antarabangsa dan satu hari nanti akan menculik kapal-kapal yang melalui Selat Melaka pula.

Tren ancaman sebegini telah mencetus satu dimensi penggunaan Pasukan Khusus yang terlatih secara proaktif untuk menangani isu-isu keganasan yang melibatkan kepentingan atau nyawa rakyat sendiri samada di luar atau di dalam negara. Seiring dengan suasana ini ATM/PDRM giat memperkasakan pasukan khusus masing-masing untuk menghadapi sebarang bentuk ancaman keganasan. Memperkasakan sesuatu pasukan ke tahap kompeten memerlukan kemahiran individu dan peralatan dan kenderaan sokongan yang bermobiliti tinggi.

Sebagai rakyat yang mengharapkan kesuksesan setiap operasi seharusnya menyokong perolehan ke arah itu. Seumpama perolehan kontroversi helikopter EC-725 COUGAR untuk TUDM sepatutya tidak harus ditangguh atas alasan masalah ekonomi kerana penangguhan juga menuntut pembayaran harga yang meningkat suatu hari nanti. Apa yang lebih penting untuk dinilai ialah juga bukan sekadar untuk menggantikan perkhidmatan NURI sebagai transpotasi tetapi keupayaan EC-725 COUGAR untuk tugas-tugas mencabar bagi menyokong operasi Pasukan Khusus yang memerlukan kepantasan menggempur atau misi menyelamat kombat. Demikian juga keperluan platform sokongan pelbagai guna (MRSS) yang sangat penting bagi mobiliti berskala besar Pasukan Angkatan Bersama (PAB) dan juga Pasukan Khusus untuk sesuatu operasi jarak jauh seumpama peristiwa di Telok Eden.

Meskipun kes-kes terpencil seumpama ini tidak begitu mendesak tetapi iktibar ini perlu negara menterjemahkan kepada suatu tindakan positif sebagai keutamaan kerana persiapan dan perolehan memerlukan masa panjang dan membuat keputusan pembelian ad-hoc akan memakan kos yang lebih tinggi.

Dalam membuat pemilihan terakhir kepada sesuatu perolehan ATM, seharusnya tidak dipengaruhi oleh komentar mana-mana kelumpok yang berkepentingan perniagaan kerana perolehan aset atau kelengkapan yang tidak memenuhi piawaian sebenar ATM akan menjejaskan prestasi dan kredibiliti sebenar ATM. ‘Biar alah membeli tetapi menang memakai’ adalah merupakan konsep pengurusan kualiti yang akan memberi kepuasan kepada pengguna terakhir dan dapat mengurangkan risiko kemalangan dan kerugian malah peningkatan moral.

Untuk menidakkan tohmahan atau persepsi umum semasa proses pembelian supaya kelihatan lebih telus di masa akan datang, cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) supaya kerajaan membentuk panel penilai bebas bagi memantau segala pembelian yang besar dan menggunakan wang yang banyak sangat perlu dipraktikkan di semua kementerian pada masa akan datang.

Keperluan sebenar ATM tidak harus dilihat dari sudut politik atau dijadikan bahan retorik ahli-ahli politik kerana peranan ATM masa perang dan aman adalah semata-mata untuk meletakkan masyarakat kepada kedudukan kondusif, berjiwa bebas dan tenteram sebilang masa. Demikian juga latihan-latihan terkordinasi bersama ATM dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi penguatkuasaan tidak harus dipandang serong sehingga membibitkan rasa prejudis ahli-ahli politik terhadap kredibiliti ATM.

Pembangunan modal insan sebenarnyan bermula seawal sesi pemilihan Pegawai Kadet mau pun Perajurit Muda. Dewasa ini sambutan muda-mudi yang patriotik untuk menyertai ATM adalah sangat memberangsangkan. Memilih yang terbaik dari kalangan yang terbaik calun-calun baru yang bakal menjadi operator sepatutnya menjadi agenda utama tim pemilihan dengan mengenepikan ‘panggilan-panggilan telefon’ yang mempengaruhi proses pemilihan. Namun apa yang selalu didengar, kriteria di atas hanya tinggal di atas kertas tetapi hakikat sebenar pemilihan masih dihantui surat-surat sokongan yang dibawa oleh calun-calun malah ada individu-individu berkepentingan turut sama ‘berkampong’ di tempat-tempat pemilihan yang mana secara tidak langsung mengganggu konsentrasi pemilihan. ATM perlu mengambil berat tentang perkara ini. Cakap-cakap sinis tentang integriti kaedah pemilihan sudah berlegar di mana-mana samada di forum-forum kedai kopi sehinggalah forum-forum maya. Jika perkara ini benar-benar berlaku, maka tidak hairanlah institusi yang terkenal dengan kekentalan disiplin mempunyai angka yang kian bertambah terjebak dengan gejala yang tidak baik yang akhirnya memalukan ATM sendiri.

Dadah Ancaman Nombor Satu Negara

Sebut sahaja perkataan dadah, semua orang tahu daripada umur kanak-kanak hinggalah kepada orang dewasa. Apa yang tergambar di kepala masing-masing ialah dadah adalah suatu bahan yang sangat merbahaya jika disalahgunakan. Di dalam saluran media mana sekali pun akan ada kempen anti kepada dadah ini.

Golongan penagih dadah bertambah dari masa ke semasa sehingga mencetuskan kegiatan jenayah seperti samun, ragut dan rompak. Kegiatan jenayah yang dilakukan oleh penagih-penagih dadah kini menjadi ancaman yang sangat membimbangkan ketenteraman rakyat Malaysia.

Inilah fenomena ancaman yang terhasil dari najis dadah yang majoritinya dimonopoli oleh muda-mudi Melayu yang berugama Islam yang pada masa yang sama negara mengharapkan mereka-mereka ini untuk menjadi benteng pertahanan jika keamanan negara di cabar dan digugat. Tapi malangnya patriotisme untuk komuniti ini tidak wujud kerana pada asasnya warga yang cintakan negara tidak akan merosakkan negara dengan gejala seumpama ini.

Persoalannya bagaimana bekalan dadah ini boleh dibawa masuk ke dalam negara kita yang saban masa kian bertambah seiring dengan peningkatan penguatkuasaan pencegahan di sempadan dilaksanakan? Sekadar pertanyaan, di mana lagi kekurangan yang perlu ditampong dari aspek penguatkuasaan untuk mengekang penyeludupan dadah ke dalam negara atau kemungkinan strategi taktikal perlu dipertajamkan atau kemungkinan ada musang yang berbulu ayam yang suka menangguk di air keruh yang menyebabkan ketirisan intergriti penguatkuasaan?

Walaubagaimanapun strategi yang sedang dilaksanakan oleh agensi-agensi yang terlibat dalam usaha untuk pemantauan, pencegahan dan penguatkuasaan ke atas penyeludupan dadah di mana-mana bahagian di dalam negara terus dipertingkatkan. Sekadar saranan kepada Agensi Dadah Kebangsaan supaya jika perlu boleh membuat kajian dalam sekala kecil terhadap penagih-penagih dadah dengan melayani mereka sebagai pesalah bukan lagi pesakit di pusat-pusat pemulihan atau tahanan agar boleh dijadikan testimonial untuk tindakan yang lebih proaktif di masa depan.

PATI/PADI Ancaman Nombor Dua Dalam Negara

Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bermaksud warganegara luar yang masuk ke Malaysia tanpa mempunyai apa-apa dokumen yang sah. PATI/PADI yang membanjiri bumi Malaysia adalah terdiri dari rakyat Indonesia, Thailand, Filipina, Myanmar, India, Pakistan, Banglades, Nepal, China, Afrika dan lain-lain semata-mata untuk menumpang meraih rezeki hasil limpahan kekayaan dan kemakmuran bumi Malaysia.

Kemasukan PATI ke negara ini melalui dua cara iaitu membolosi diri mereka melalui sempadan darat atau laut yang mana dibantu oleh tekong-tekong darat yang terdiri dari rakyat tempatan dan satu cara lagi ialah mereka memasuki negara ini melalui pintu masuk sempadan dan membawa dokumen yang sah tetapi tidak keluar setelah tempoh keizinan telah tamat. Usaha mengesan mereka ini agak sukar kerana mereka tidak lagi bekerja dengan majikan yang mula-mula mereka di daftarkan alamatnya. Langkah terbaru penggunaan Sistem Penguatkuasaan Bergerak Imigresen (MIES) yang mampu mengesan ketulinan dokumen terutama status seseorang pekerja asing yang menggunakan pasport, melalui nombor pasport atau kad pengenalan pintar pekerja asing secara automatik oleh agensi penguatkuasa mungkin serba sedikit akan membantu mengatasi masalah ini.

Mengikut statistik Jabatan Imigresen Malaysia, jumlah PADI yang bekerja di dalam negara ialah berjumlah lebih kurang 2.5 juta orang tidak termasuk PATI. Angka ini dianggarkan sudah melebihi dari jumlah kekuatan anggota PDRM dan agensi-agensi yang telibat secara khusus dalam menanganinya seperti Jabatan Imigresen, Kastam, RELA dan lain-lain. Hasil dari pemantauan dan penguatkuasaan di sempadan, saban tahun ribuan mereka-mereka ini telah ditahan dan dihantar kembali ke negara asal mereka namun angka yang sama juga kembali membolosi sempadan darat dan laut dan kini melata di setiap pelusuk negara dengan melakukan pelbagai kerja yang tidak diisi oleh rakyat Malaysia sendiri. Apa yang menghairankan ialah terdengar cakap-cakap bahawa di kawasan-kawasan bandar, warga PADI ini sudah mewarisi tapak-tapak perniagaan yang sebenarnya diperuntukan kepada rakyat Malaysia oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tetapi oleh kerana malas untuk mengusahakan maka tapak tesebut di sewakan kepada orang asing.

Kebanjiran mereka-mereka ini bukan sahaja di kawasan-kawasan bandar yang mempunyai proses urbanisasi pesat, malah kelibat mereka sudah menular ke pekan-pekan kecil dan kampong-kampong terutamanya kawasan-kawasan tanah-tanah rancangan dan sebagainya. Demikian juga aktiviti-aktiviti jenayah yang melibatkan warga asing ini turut sama dirasai oleh penduduk-penduduk kampong dengan rasa resah dan bimbang kerana kebanyakan rumah yang mereka diami boleh dikatakan tidak lengkap dan tidak selamat untuk didiami.

Kekusutan masalah PATI ialah berpunca dari rakyat Malaysia sendiri yang bersekongkol menyembunyikan PATI dengan hasrat dapat mempergunakan mereka untuk melakukan kerja-kerja dengan upah yang murah. Anggota masyarakat yang melihat tidak merasa teruja untuk melaporkan jika pun mengetahui status PATI ini kerana mereka merasakan tugas mengesan dan menahan PATI adalah tugas penguatkuasa. Bagi PATI yang tidak berjaya mendapatkan pekerjaan, mereka melakukan jenayah yang ternyata indek perlakuan jenayah dalam negara kian meningkat seperti rompakan, samun, pecah rumah, rogol menculik kanak-kanak untuk dijual malah mereka menjadikan diri mereka sebagai pembunuh upahan sebagai kerjaya di Malaysia.

Fenomena kebanjiran yang tidak terbendung PATI ke dalam negara terus berlarutan yang mana semakin hari semakin meresahkan masyarakat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian dan yang agak mendukacitakan ialah jalan penyelesaiannya seolah-olah tidak begitu lancar dan tiada kesudahan walaupun banyak operasi-operasi berkaitan telah dipertingkatkan. Sebenarnya penyeludup PATI ini juga menggunakan khidmat tonto untuk mengelakkan kemasukan mereka dikesan oleh penguatkuasa.

Kemelut ini membuatkan ibu bapa merasakan anak-anak mereka tidak selamat lagi untuk ke sekolah bersendirian, bermain-main di taman berhampiran dengan kawan-kawan. Berada di dalam rumah sendiri pun sudah tidak begitu aman walaupun bersama seisi keluarga kerana modus operandi penjenayah-penjenayah ini sangat kreatif dan sukar diduga bentuk dan bila ancaman akan berlaku walaupun rumah dilengkapi dengan sistem kunci yang lengkap. Maka bagi penghuni-penghuni dari kalangan berada, mereka akan memasang jeriji dan penggera sebagai langkah tambahan keselamatan.

Suasana ini menggambarkan bahawa ancaman keselamatan sudah menjadi masalah yang semakin parah berpunca dari gejala dadah dan limpahan warga asing yang menuntut komitmen kerajaan untuk merangka strategi baru yang lebih berkesan untuk menyokong penguatkuasaan.

Rusuhan Kaum Juga Mengancam Keselamatan Negara

Isu perpaduan kaum akhir-akhir ini menampakkan riak yang kurang sihat dan jika tidak ditangani dengan bijak akan mencetus ancaman baru yang bakal menghuruharakan ketenteraman awam. Pengamal-pengamal politik dalam negara sekarang ini sentiasa memanipulasikan isu ini semata-mata untuk saham politik. Mereka sengaja memainkan sentimen hak dan keistimewaan kaum bagi meraih sokongan demi kelangsungan hidup parti masing-masing.

Jika sentimen ini tidak dibendung, cepat atau lambat rusuhan kaum pasti akan berlaku yang mana kesan kemusnahan akan lebih besar daripada sejarah rusuhan 13 Mei. Jika rusuhan kaum di Malaysia berlaku, siapa lagi yang boleh dijadikan penguatkuasa untuk mententeramkan keadaan kerana komposisi penguatkuasa dalam negara juga terdiri dari pelbagai kaum yang sedikit sebanyak akan terikut dengan sentimen ini.

Masa Untuk Bedah Siasat Dan Bertindak

Senario ancaman semasa keselamatan dalam negara semakin mencabar kewibawaan agensi penguatkuasa. Ancaman yang ternyata wujud dari dua elemen iaitu aktiviti dadah dan kebanjiran pendatang asing mesti diterjemahkan dengan tindakan drastik, konsisten dan berintergriti oleh pasukan-pasukan yang diberi amanah. Penyeludupan dadah, senjata api dan PATI ke dalam negara harus dibangkitkan sebagai isu nasional yang mana agensi penguatkuasa yang ada mesti bertindak secara bersepadu dan konsisten untuk menanganinya. Menggubal undang-undang baru dengan hukuman yang lebih berat jika perlu bagi memberi kesedaran maksima kepada pesalah yang bersekongkol dalam kemelut ini.

Kempen kesedaran betapa pentingnya PATI ini perlu dinyahkan daripada bumi Malaysia kepada rakyat seluruhnya melalui media dan disusuli dengan operasi pemutihan secara besar-besaran harus digerakkan dengan penglibatan rakyat biasa, penguatkuasa dan juga ATM. Selepas PATI dikeluarkan usaha mencegah kemasukan PATI terus diberi penekanan supaya kes yang sama tidak berulang.

Dasar kerajaan terhadap pengambilan pekerja asing perlu dikaji yang mana kuatitinya mesti dikurangkan dan syarat penggunaan pekerja asing mesti tertumpu kepada sektor-sektor terpilih sahaja. Kembalikan jawatan-jawatan di sektor pembuatan kepada rakyat Malaysia yang angka pengangguran sudah mencecah puluhan ribu. Majikan-majikan memang sengaja mengabaikan prosedur kerajaan dengan tidak memberi peluang rakyat tempatan bekerja di firma mereka kerana membayar gaji kepada pekerja asing tenyata lebih murah jika dibandingkan dengan pekerja tempatan. Ini juga perlu penguatkuasaan.

Kesimpulannya, negara masih ada masa lebih kurang sedekad lagi bagi mempersiap, mengatur strategi dan bedah siasat untuk menjadikan tahun 2020 permulaan kepada kegemilangan dan keharmonian hakiki masyarakat Malaysia yang berjiwa bebas, tenteram dan maju bebas dari segala ancaman dalaman dan luaran. Memperkasakan peranan Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada satu tahap kompeten dan boleh dipercayai sangat-sangat dialukan sebagai penimbangtara keintergritian yang menjadi duri dalam daging dalam perkhidmatan awam. Apa yang penting ialah komitmen semua pihak di dalam menyemai semangat cintakan negara supaya terus merdeka dan berdaulat. Perajurit

1 comment:

Anonymous said...

ancaman terhasil dari PATI harus di tangani dengan lebih tegas. ahli2 politik lebih baik gunakan masa berdemontrasi kepada berhimpun membenteras PATI secara bersepadu dengan anggota keselamatan dan penguatkuasa.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini