About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Tuesday, March 24, 2009

RM280j pulihara pesawat pejuang

Sumber: utusan online
Laporan HERMAN HAMID, NIZAM YATIM dan YANG CHIN MEE

KUALA LUMPUR 23 Mac - Kementerian Pertahanan memperuntukkan RM280 juta untuk kos operasi dan memulihara semua pesawat pejuang miliknya pada tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, jumlah berkenaan adalah lebih banyak berbanding RM225 juta yang diperuntukkan pada 2007.

"Langkah ini adalah bagi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara serta memastikan pesawat pejuang berkenaan sentiasa berada pada tahap siap siaga," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Lip Eng ingin tahu butiran kos bagi memulihara pesawat terbabit bagi tahun 2007 dan 2008 serta jumlah pesawat berbanding bilangan juruterbang yang layak mengendalikannya.

Dalam pada itu, Abdullah yang juga Menteri Pertahanan berkata, terdapat 74 juruterbang yang telah dilatih bagi mengendali 19 pesawat Hawk manakala 40 juruterbang untuk memandu 16 pesawat MiG-29.

"Sebanyak 32 juruterbang juga disediakan bagi mengendali lapan pesawat F/A 18D dan tujuh juruterbang untuk 12 pesawat Sukhoi SU-30 MKM," jelasnya.
Beliau berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setakat ini tidak mempunyai masalah dengan bilangan juruterbang yang berkelayakan bagi memandu pesawat terbabit kecuali bagi pesawat Sukhoi.

"Ini kerana sebilangan juruterbang pesawat Sukhoi berkenaan masih dalam proses latihan.
"Kita memerlukan masa untuk melatih juruterbang dengan kemahiran yang diperlukan bagi memastikan mereka sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang ancaman dan keadaan," katanya.

Sementara itu, dalam jawapan bertulis kepada soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera), Abdullah berkata, adalah tidak wajar untuk membuat perbandingan antara nisbah Bajet Mengurus dan Bajet Pembangunan Kementerian Pertahanan mengikut tahun.

"Ini kerana Bajet Mengurus disediakan untuk menampung keperluan perbelanjaan operasi harian tahunan manakala Bajet Pembangunan adalah peruntukan bagi perbelanjaan sepanjang Rancangan Malaysia untuk tempoh lima tahun," katanya.

Katanya, peruntukan Bajet Mengurus untuk kementerian itu pada 2009 ialah sebanyak RM10.65 bilion dan Bajet Pembangunan pada tahun berkenaan ialah RM2.35 bilion.
"Walaupun jumlah Bajet Pembangunan adalah rendah pada tahun 2009 tetapi sekiranya dikira untuk tempoh lima tahun sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) ia berjumlah RM13.95 bilion," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, katanya, kerajaan tidak bercadang menjemput ahli-ahli Parlimen untuk melihat sebarang latihan ketenteraan yang dikendalikan oleh ATM.
"Kementerian juga tidak bercadang untuk menganjurkan sebarang seminar bagi meningkatkan kefahaman ahli Parlimen mengenai hala tuju pertahanan negara," katanya.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini