Thursday, January 29, 2009

Ekspo Kerjaya terbesar ATM di Dataran Merdeka

sumber: utusan online
KUALA LUMPUR 28 Jan. – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengadakan Ekspo Kerjaya ATM 2009 di Dataran Merdeka di sini bermula Jumaat ini sehingga 1 Februari.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, ekspo itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Pertahanan.

Katanya, ekspo kerjaya itu adalah yang terbesar pernah dianjurkan dan ia sempena ulang tahun ke-75 ATM tahun lalu.

“Ekspo ini bertujuan menarik minat masyarakat umum terutama bukan bumiputera untuk mendekati, memahami dan seterusnya menceburi pelbagai bidang kerjaya dalam ATM.

“Di samping itu ekspo ini juga menyampaikan maklumat penting mengenai aset-aset canggih dan terkini yang dimiliki ATM,” katanya pada sidang akhbar mengenai ekspo itu di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, ekspo selama tiga hari itu akan bermula pada pukul 10 pagi sehingga 10 malam dan pelbagai acara diatur kepada orang ramai yang hadir.

Beliau berkata, antaranya ialah pameran mengenai kepelbagaian kerjaya serta penglibatan ATM sehingga ke peringkat antarabangsa serta aset-aset ATM.
“Selain itu, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada orang ramai juga akan disediakan pada ekspo itu nanti.

“Demonstrasi ketenteraan seperti pertunjukkan kawad senyap dan pancaragam juga akan diadakan selain persembahan hiburan,” katanya.

Ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di samping Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan mempamerkan kepelbagaian profesion pada ekspo itu.

Selain itu, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Maktab Tentera Diraja (MTD) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan mempamerkan peluang kerjaya yang ditawarkan melalui ekspo tersebut.

No comments:

Tinggalkan pesanan anda di sini