About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, December 17, 2008

PAC: Beli Eurocopter

Sumber: Utusan online
Oleh NOR ZAINAH NORDIN

KUALA LUMPUR 16 Dis. – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan kerajaan menimbang semula penangguhan pembelian Eurocopter EC725 bagi menggantikan helikopter Nuri memandangkan aset tersebut mempunyai beberapa kekangan.

Mengambil kira bahawa helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu selamat digunakan sehingga 2015, PAC dalam laporan yang diedarkan kepada anggota Dewan Rakyat mencadangkan supaya pembelian pesawat dibuat selewat-lewatnya pada 2011.
“Ini kerana proses penyiapan helikopter itu memakan masa tiga tahun dan latihan penerbangan pula selama setahun,” menurut laporan PAC mengenai pembelian helikopter Eurocopter EC725 itu.

Dalam laporan itu juga, PAC memutuskan proses perolehan Eurocopter EC725 dibuat selaras dengan prosedur sedia ada dan garis panduan yang diterima pakai oleh Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) berkaitan perolehan kerajaan.

PAC menyatakan, keputusan itu dibuat berdasarkan penjelasan daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertahanan mengenai pembelian helikopter tersebut.
Bagaimanapun, bagi memastikan bahawa pembelian itu berbaloi dengan nilainya, PAC mengesyorkan supaya Panel Penilaian Bebas diwujudkan untuk memberi nasihat terhadap perolehan tersebut.

“Panel penilai bebas ini hendaklah terdiri daripada pakar dalam bidang berkaitan dan pelantikannya boleh diuruskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri,” menurut laporan itu lagi.

Laporan yang menyatakan pandangan dan syor PAC berhubung isu tersebut telah diedarkan kepada Ahli Parlimen pada 4 Disember lalu dan diberikan kepada pihak media hari ini.
Dalam laporan itu juga, PAC menyatakan ia tidak dapat menentukan sama ada kos pembelian Eurocopter EC725 itu mahal atau sebaliknya jika dibandingkan dengan pembelian oleh negara-negara lain.

PAC dimaklumkan bahawa keperluan ketenteraan adalah berbeza antara sesebuah negara dengan negara lain dan PAC mengesyorkan supaya Kementerian Pertahanan dan agensi pusat merundingkan semula harga dengan pembekal yang dipilih kerana perolehan itu belum dimuktamadkan.

“Bagi tujuan ini, kajian pasaran perlu dijalankan oleh Kementerian Pertahanan untuk dijadikan asas dalam rundingan harga tersebut,” katanya.
Dalam laporan itu, PAC memperakukan bahawa pemilikan helikopter yang mampu memenuhi keperluan TUDM dan negara adalah satu keperluan pertahanan negara, khususnya bagi menggantikan pesawat Nuri yang telah menjangkau usia perkhidmatan melebihi 40 tahun.

PAC turut menyatakan perasaan kurang senang dengan ketiadaan penerbangan ujian dan penilaian fizikal yang dilakukan secara khusus semasa proses penilaian walaupun telah dimaklumkan bahawa terdapat juruterbang penguji TUDM telah menguji pelbagai jenis helikopter sejak 1994.

Oleh itu, PAC mengesyorkan supaya Kementerian Pertahanan atau TUDM memberi perhatian terhadap keperluan penerbangan ujian dan penilaian fizikal bagi perolehan pesawat pada masa hadapan.

PAC turut mencadangkan supaya TUDM membuat pemantauan dan pemeriksaan rapi sepanjang proses penyiapan helikopter Eurocopter EC725 berkenaan.
“Kementerian atau TUDM hendaklah juga memastikan setiap bayaran dibuat selaras dengan kemajuan kerja yang dilaksanakan serta memastikan pemeriksaan pra penghantaran dan ujian serta pentauliahan dilakukan sebelum pembayaran akhir dibuat,” kata laporan itu.

Selain itu, PAC menyarankan supaya Kementerian Pertahanan mendapatkan pandangan Peguam Negara sebelum kontrak perolehan helikopter itu ditandatangani bagi memastikan ia mengandungi syarat-syarat selain menyatakan spesifikasi pesawat dengan jelas bagi menjamin kepentingan kerajaan.

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini