About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Monday, August 4, 2008

DAOYAI MUSNAH…….

Oleh: Hamzah h.d

Penulis melewati kelansungan bekas-bekas pejuang yang jejaknya tidak ke hujung perkhidmatan. Kita mendengar luahan sebahagian dari mereka yang sudi berkongsi rasa, siapa dan apa kata mereka……

Bekas 503419 RJR Adnan bin Haji Ismail terpksa akur dengan takdir yang telah disuratkan. Beliau yang kini telah menetap di kampong kelahiran beliau di kampong Baharu, Besut Trengganu bersama isteri dan enam orang cahayamata menyimpan kisah suka duka kehidupan semasa dalam dan selepas menamatkan perkhidmatan. Usia perkhidmatan Adnan hanya bertahan selama 10 tahun menggambarkan betapa peritnya untuk mengharungi kehidupan sebagai seorang Renjer Tentera Darat. Walaupun beliau terpaksa menarik diri di pertengahan jalan, namun beliau tidak

pernah memberi komentar negatif terhadap ATM. Pada saat tarikh tamat perkhidmatan tiba, tanpa berfikir panjang beliau terus mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan dengan Tentera Darat hanya dengan satu alasan pada masa itu terlalu kerap operasi. Tak sempat kering ponco dah panggil operasi balik katanya.

Mengimbau kenangan

Mengimbau kenangan dalam perkhidmatan, beliau banyak menyimpan kenangan yang cukup berharga dan tidak lokek untuk berkongsi dengan masyarakat umum dengan hasrat masyarakat Malaysia tahu bahawa kemerdekaan dan keamanan yang kita kecapi hari ini adalah datang dari bau hanyir darah merah pejuang seperti beliau dan rakan-rakan. Terutama untuk menjadi pedoman kepada anak-anak muda yang masih terkial-kial membina jati diri.

Bermula dengan latihan rekrut pengambilan ke 77 di Port Dickson pada tahun 1974. Pegawai Memerintah Pusat Latihan Rekrut pada masa itu ialah Mejar Maaruf. Selepas tamat latihan selama 6 bulan, Adnan diserap ke dalam pasukan Renjer Diraja yang berpangkalan di Kem Majidi Johor Baharu selama 3 tahun. Bertugas di Sibu Sarawak pada tahun 1978 dan berperanan sebagai Serang Rintis iaitu pengesan dan pembersih jerangkap samar. Walaupun semasa di Sibu beliau dinaikkan ke pangkat Lance Koperal namun rezkinya menyandang pangkat tidak bertahan lama kerana dilucutkan tak lama selepas itu kerana melanggar disiplin.

Pada tahun 1980 beliau balik ke Unit 6 Renjer di Kem Suvlaline Tambun Ipoh. Mengawasi pembinaan Lebuh Raya Timur Barat (LRTB) dari ancaman komunis yang menjadikan sasaran pekerja-pekerja atau syarikat pembinaan untuk meminta bantuan makanan dan sebagainya. Jika tidak dilayan atau memberi kerjasama, kerja-kerja pembinaan diganggu dengan membuat sabotaj segala kepentingan syarikat pembinaan di sana dan mengancam nyawa pekerja-pekerja itu sendiri. Adnan juga pernah ditugaskan sebagai Jurulatih Rekrut pengambilan 1031…. dan juga pernah menjadi Jurulatih Kadar Pegawai Tanpa Tauliah (PTT). Semasa dalam unit ini, Adnan pernah disaran supaya mengambil atau membaiki sijil SPM nya sekali lagi kerana beliau ada potensi untuk dicalunkan menjadi seorang pegawai. Namun saranan itu diabaikan.

Operasi Daoyai Musnah

Operasi DAOYAI MUSNAH 1 dan DAOYAI MUSNAH 2 meninggalkan kenangan yang tak dapat dilupakan sampai bila-bila yang mana telah mengakibatkan seorang rakan seperjuangan beliau terputus kaki kerana telah terlanggar jerangkap samar. Operasi DAOYAI MUSNAH 1 adalah bertujuan untuk membuat pembersihan ke atas kem Komunis yang terbesar di selatan Thai. Mengimbau detik-detik pembabitan beliau dalam platun ‘B” Kompeni di bawah Mejar Goh Ah Bah (sekarang kalau tak silap dah berpangkat Brigedier Jeneral). Apa yang menarik kata beliau, semasa rondaan tersebut mereka terjumpa sebuah kem komunis yang terbesar terletak di daerah Sadao Thailand. Kalau dilihat dari udara, ianya dilihat seperti sebuah perkampongan yang mana langsung tidak menjangkakan itu adalah penempatan komunis yang pada masa itu masih diduduki. Semasa menemui penempatan tersebut, jam menunjukkan pukul 5.00 petang yang mana serangan atau sebuan menjadi sukar kerana suasana akan bertukar menjadi gelap. Pemerintah membuat keputusan untuk membuat sebuan atau serangan pada esok hari dengan bantuan tembakan dari Grup Artileri.

Keesokan hari, setelah bantuan tembakan Grup Artileri selesai, serbuan di buat. Adnan yang bersenjatakan Light Machine Gun (LMG) bersama 22 orang anggota dan pegawai termasuk seorang tentera Thai yang menjadi penunjuk arah membuat serbuan di kem tersebut. Malang tidak berbau, salah seorang anggota Renjer telah terlanggar akar kayu penghubung kepada jerangkap samar yang dipasang pengganas. Anggota tersebut cedera parah dan putus kaki. ‘Recovery’ serta merta dengan menggunakan helikopter untuk menghantar anggota yang terlebih dulu di beri suntikan morfin sebagai penahan sakit sementara mendapat rawatan rapi di hospital.

Penggeledahan diteruskan dengan berhati-hati dan telah menemui barang –barang keperluan harian seperti makanan dan pakaian yang mana menunjukan kem tersebut masih aktif dan diduduki bukan sahaja anggota-anggota komunis malah ada yang berkeluarga termasuk kanak-kanak berdasarkan kesan-kesan yang dijumpai. Banyak ‘bobby trap’ dijumpai dan dimusnahkan. Satu perkara yang dipelajari oleh Adnan dan pasukannya ialah binaan dalam kawasan kem yang lengkap dengan dewan dan tempat latihan anggota-anggota. Jalan Perhubungan untuk bergerak dari pondok ke pondok adalah melalui terowong yang dibina. Rumah masak yang direka khas yang mana asapnya tidak keluar ke udara yang boleh memberi penglihatan kepada orang lain atau pasukan keselamatan.

Jodoh tak panjang

Jodoh Adnan dengan ATM tak lama. Walaupun minat masih ada tetapi tak tahan dengan tugasan terlalu banyak dan disulam keinginan untuk membuka perniagaan sendiri banyak mendorong untuk beliau menamatkan perkhidmatan awal iaitu pada tahun 1984. Selepas membuat kursus pendek pengurusan perniagaan di PERHEBAT, beliau tidak terus membuka perniagaan tetapi telah berkhidmat sebagai pengawal peribadi kepada Tan Seri Chan Lip Keong dari Lipkland Group selama tiga tahun setengah di Kuala Lumpur. Satu pengalaman baru diperolehi semasa bekerja dalam bidang ini kerana berpeluang dan bergaul dengan individu-individu penting termasuk menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin masyarakat. Hatinya cukup puas dan merasakan hasratnya tercapai selepas menamatkan perkhidmatan dengan Pasukan Renjer. Kalau tidak kerana ATM beliau tidak akan dapat peluang sebegini. Kemahiran menggunakan senjata kecil adalah di antara ciri-ciri yang sangat diperlukan untuk menjadi pengawal peribadi. Apatah lagi dengan susuk tubuh dan keberanian serta ketegasan Adnan menjadikan beliau diambil berkerja selepas berjaya menjalani sesi temuduga.

Pembedahan

Dalam tempoh ini semasa berada di Kuala Lumpur, beliau mengidap sakit dalam perut (Uluran/angin pasang) yang serius. Dalam tempoh itu sahaja beliau telah menjalani pembedahan sebanyak dua kali di Hospital Universiti Kuala Lumpur. Atas sebab itu juga Adnan mengambil keputusan untuk balik ke kampong pada tahun 1987 dan berniaga kecil-kecilan. Pada tahun 1992 beliau dan isteri berhijrah ke Karambunai Sabah dan membuka kilang keropok. Perniagaannya berjalan dengan baik tetapi masih terbelenggu dengan penyakit lama yang masih belum pulih. Beliau mengambil keputusan untuk menutup perniagaan dan balik ke kampong sekali lagi untuk membuat rawatan susulan di hospital Kota Bharu dan telah membuat pembedahan sebanyak 5 kali lagi. Semuanya dibiayai secara percuma oleh kerajaan dengan dengan daya usaha Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Daerah Besut yang diketuai oleh Yang Berhormat Abdullah Che Muda yang juga pernah berkhidmat dengan ATM suatu masa dahulu dan kini menjadi ADUN Kuala Besut. Beliau menyatakan rasa terhutang budi kepada PBTM dan ATM juga kerana takdir yang diterimanya masih lagi mendapat pembelaan.



Pegawai Operasi

Dengan pertumbuhan pesat pengkoperatan Sektor Kawalan Keselamatan Malaysia, ramai pesara maupun bekas tentera yang penulis temui terlibat secara langsung dalam kerjaya ini. Mereka berada dalam semua peringkat jawatan yang mana pengisian tawaran bergantung kepada pengalaman seseorang dalam sektor tersebut atau berkebetulan dengan keperluan semasa sesebuah syarikat. Adnan juga tidak terkecuali dan beliau bernasib baik di samping ketokohan dan pengalaman lalu yang menjadi pemangkin kepada beliau menjawat sebagai Pegawai Operasi Trengganu dalam Syarikat T.S Sidi GuardForce Sdn. Bhd. Dalam masa yang sama, beliau juga menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk menampung ketidakcukupan pendapatan sebagai seorang Pegawai Syarikat Kawalan Keselamatan. Beliau berpendapat, sektor ini amat sesuai dengan bekas-bekas tentera seperti beliau dan masih ramai lagi bekas tentera di luar sana yang merasa tidak selesa untuk menyarung unifom pengawal.

Dari tinjauan penulis, walaupun Sektor Kawalan Keselamatan berkembang pesat mengiringi pembangunan negara mencapai wawasan, namun dalam konteks pemberian gaji kepada pengawal-pengawal adalah tidak setimpal dengan masa yang dihabiskan untuk bertugas. Apatah lagi untuk dikatakan sebagai mengenang jasa perajurit negara yang sebahagian masa pasca perkhidmatan mereka mengabdi dalam sektor ini. Walaupun umum tahu ada persatuan yang mewakili mereka namun belum nampak sebarang usaha untuk memartabatkan sektor ini secara serius dan drastik yang secara langsung akan menarik minat kepada bekas-bekas tentera yang lain yang masih belum mempunyai kerjaya yang menjamin masa depan mereka. Sektor ini saya yakin dapat memberi alternatif yang terbaik kepada bekas-bekas tentera yang memilih untuk makan gaji yang mana tidak mempunyai kemahiran vokasional untuk berdikari. Dengan pendekatan gaji, penugasan dan pengurusan syarikat yang komprehensif, akan dapt menarik lagi minat masyarakat untuk menyertainya.

Nasihat

Nasihat Adnan kepada anak-anak muda yang tidak mempunyai pekerjaan, jangan merasa ragu-ragu untuk menyertai mana-mana pasukan ATM kerana intitusi ketenteraan memberi jaminan pendapatan yang baik dan menjanjikan perubahan positif dalam pembentukan disiplin dan gaya hidup. Beliau mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan salam kemaafan kepada ATM umumnya dan kawan-kawan seperjuangan yang sama-sama merasai susah senang semasa dalam perkhidmatan dulu dan salam silaturrahim kepada semua yang mengenali diri beliau walau di mana mereka berada. Sila hubungi beliau di alamat : No. 821, Kampong Baharu, 22300 Kuala Besut Trengganu. (Tel: 019-9071255).

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini