About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, March 1, 2018

HOSPITAL BAHARU UNTUK VETERAN ATM


Telah diterbitkan di dalam Majalah Perajurit edisi Mac 2018

Oleh: Paklang hamzah/Foto: UKS ATM

Sebagai pengiktirafan pihak kerajaan kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah banyak berjasa kepada negara, beberapa insentif yang telah diumumkan tahun lalu, sebahagiannya telah pun dilaksanakan seperti mana yang dirancang. Skim Bantuan Bakti Negara (BBN), Skim Anuiti Veteran (SAVe), Insentif Khas Insurgensi, Agenda Perumahan, Agenda Pendidikan dan lain-lain telah pun dinikmati oleh veteran terbabit dan inisiatif jangka panjang juga sedang dilaksanakan secara berperingkat.  Dalam konteks kesejahteraan di bawah Agenda Kesihatan, penambahbaikan  kemudahan perubatan untuk warga tentera dan veteran kini dalam peringkat perlaksanaan.

Menurut YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein Menteri Pertahanan Malaysia merangkap Menteri Tugas-tugas Khas melalui kenyataan media semasa lawatan beliau ke Tapak Pembinaan Hospital Veteran ATM di Ipoh pada 2 Februari lalu menegaskan pada ketika ini keperluan pengurusan kesihatan Veteran ATM diuruskan secara tidak bersepadu oleh beberapa agensi seperti Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT), Kementerian Pertahanan (KEMENTAH), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

Dalam senario semasa, jumlah Veteran ATM sentiasa bertambah dari masa ke semasa yang mana sebilangan besar daripada mereka telah mencapai usia warga emas yang terdedah kepada penyakit-penyakit kronik yang memerlukan rawatan berterusan.

Justeru, dalam usaha menjaga kebajikan warga ATM dan veteran, KEMENTAH telah meletakkan objektif yang sangat jelas dengan merangka dasar Pelan Transformasi Perkhidmatan Kesihatan  ATM 2017-2050 yang kini sedang dilaksanakan bagi merealisasikan  slogan penjagaan kesihatan ‘from cradle to grave’ dengan mengurangkan kebergantungan warga veteran kepada hospital-hospital ATM yang sedia ada.


Bagi memenuhi keperluan itu satu pusat kesihatan berupa sebuah Kompleks Hospital Khas akan dibina di Kem Gua Permai Jalan Tambun Ipoh Perak di atas tanah milik ATM berkeluasan 95,000 kaki persegi.  Apabila siap kelak, hospital ini akan berfungsi sebagai Perkampongan Kesihatan Veteran (Veteran Health Village) berkongsepkan ‘one stop centre’ dengan mewujudkan sistem penjagaan kesihatan secara holistik, moden, selamat, efisien dan ekonomik dengan menawarkan kemudahan perkhidmatan assisted living dan hospis.

Hospital ini akan menyediakan poliklinik pakar geriatrik iaitu bidang kepakaran pesakit warga emas serta kepakaran lain seperti pakar jantung dan respiratori, urologi dan neuropsikiatri dan juga akan menyediakan perkhidmatan rehabilitasi, dialisis serta pusat jagaan bagi veteran ATM yang kurang upaya.

Selain pembinaan Hospital Veteran, pihak Kementerian Pertahanan melalui Blueprint Kesihatan juga akan membina 5 buah lagi Poliklinik ATM iaitu di kluang Johor, Seberang Takir Trengganu, Kuantan Pahang, Sunagi Petani Kedah dan Kucing Sarawak.  Poliklinik ini bukan sahaja akan menyediakan kemudahan rawatan asas yang berkualiti malah juga turut dilengkapi dengan kemudahan rawatan pergigian, wad obsevasi, rawatan hemodialisis, rawatan pakar, pembedahan kecil serta beberapa lagi perkhidmatan lain.

Pada masa yang sama, KEMENTAH juga akan menaik taraf 5 Hospital ATM (HAT) di seluruh negara yang melibatkan proses penggantian kelengkapan perubatan, menaik taraf bangunan dan menyediakan perkhidmatan pediatrik, urologi, geriatrik serta pembedahan.



Dato’ Seri Hishammuddin berharap segala inisiatif dan pendekatan yang dilaksanakan berupaya membantu menambahbaik aspek kebajikan veteran ATM dan bagi pihak kementerian tidak akan sesekali berhenti berusaha dan menggembleng tenaga dan melakukan apa sahaja yang termampu dari masa ke semasa demi membalas jasa dan bakti veteran ATM selama ini. 

No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini