About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Friday, September 6, 2024

KD LEKIU MEMPERKASA KERJASAMA GLOBAL

Teks/foto: MPAB


Lumut 5 Sept - Kapal Diraja (KD) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD LEKIU, selamat tiba di Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) hari ini selepas menyertai Eksesais Rim of The Pacific (RIMPAC) 2024 di Hawaii dari 26 Jun hingga 1 Ogos lalu. 


Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Ts. Shamsuddin bin Hj Ludin, telah menyempurnakan majlism menyambut kepulangan kapal bersama ahli keluarga KD LEKIU dan warga TLDM di TPL hari ini.


Pegawai Memerintah KD LEKIU, Kepten Mahamad Nazir bin Darus TLDM, bersama 170 warganya, telah belayar sejauh 6,365 batu nautika dari TPL pada 29 Mei untuk penugasan selama 100 hari. 


RIMPAC, eksesais dwitahunan anjuran Tentera Laut Amerika Syarikat dengan tema Partners: Integrated and Prepared, merupakan platform penting untuk memperkukuh kerjasama antara angkatan laut dari pelbagai negara. 


Dengan penyertaan sebanyak 29 negara, termasuk 40 buah kapal perang, tiga kapal selam, 150 pesawat dan 25,000 peserta, RIMPAC 2024 menyediakan peluang kepada Malaysia dan TLDM untuk meningkatkan keupayaan taktikal dan strategik, mempelajari teknologi dan teknik terkini serta mempererat hubungan diplomatik dengan negara-negara peserta.


Selain Malaysia, RIMPAC 2024 turut melibatkan penyertaan negara Asean yang lain iaitu Singapura, Indonesia dan Brunei yang secara langsung menegaskan komitmen kolektif terhadap keselamatan maritim dan kerjasama antarabangsa. 


Melalui TLDM, Malaysia membuktikan tetap berpegang kepada prinsip diplomasi pertahanan yang inklusif, sambil memastikan kepentingan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara. 


Bersempena dengan bulan kemerdekaan ini, kehadiran KD LEKIU sebagai duta kecil Malaysia di RIMPAC 2024 memainkan peranan penting dalam mendokong Kertas Putih Pertahanan Negara yang menekankan kepentingan memperkukuh diplomasi pertahanan dan kerjasama global dalam

mempertahankan kedaulatan negara.











Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini