About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Thursday, April 27, 2023

ULANG TAHUN KE-89 -TLDM SIAGA KEDAULATAN TERPELIHARA

LUMUT 27 April- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyambut Hari Ulang Tahunnya (HUT) yang ke 89 dalam suasana mood raya.  Namun slogan Sedia Berkorban yang digalas oleh warga Navy People tidak menjadikan ianya sebagai satu alasan untuk tidak melakukan yang terbaik meskipun ramai yang tidak dapat balik berhari raya di kampung atau tidak boleh bercuti panjang.

Upacara perbarisan  penuh istiadat tradisi tentera laut  ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman bin Ayob berlangsung di Padang Kawad KD PELANDOK, Pangkalan TLDM Lumut, Perak yang melibatkan 16 kontinjen termasuk lapan (8) kontinjen panji-panji dari KD PELANDOK, KD MALAYA, KD PANGLIMA HITAM, KD SRI SANDAKAN, KD RAJAWALI, KD SRI SEMPORNA, KD DUYONG dan Skuadron Frigate Ke-23.



Seramai 61 orang Pegawai dan 812 Anggota Lain-lain Pangkat yang diketuai oleh Kdr Lim Kim Tat TLDM serta dibantu oleh Pancaragam Pusat TLDM yang dipimpin oleh Lt Kdr Mohd Shamram bin Ramli TLDM. Perbarisan kali ini turut melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya melibatkan lapan (8) buah Panji-Panji Rejimen TLDM di dalam sebuah acara.


Turut menyaksikan perbarisan adalah Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali, Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Abu Bakar bin Md Ajis, Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Ruzelme bin Hj Ahmad Fahimy dan barisan Jawatankuasa Laksamana (JLAKS) TLDM serta warga The Navy People.


Anugerah Dan Pengiktirafan


 Seperti mana kebiasaan Panglima Tentera Laut turut menyempurnakan upacara penyampaian piala dan anugerah kepada unit dan warga yang cemerlang sepanjang tahun 2022.  Tiga Piala telah diperuntukan kepada kapal-kapal yang memenuhi kriteria keunggulan dalam kategori masing-masing iaitu Piala Agong dimenangi oleh Kapal Diraja (KD) LEKIU, Piala Gonzales dimenangi oleh  Kapal Diraja (KD) KERIS dan Piala Panglima Tentera Laut dimenangi oleh Kapal Diraja (KD) SUNDANG. 

Piala Agong- Piala ini dihadiahkan oleh SPB YDPA untuk dianugerahkan kepada kapal TLDM yang menonjol serta dapat mencapai dan mengekalkan tahap tertinggi operasi sepanjang tahun.

Piala Gonzales- Piala ini dihadiahkan oleh bekas PAT Jen Tan Sri Mohd Ghazali bin Dato' Mohd Seth untuk dianugerahkan kepada kapal yang memperoleh markah tertinggi dalam Audit Kesiapsiagaan (AK) TLDM

Piala PTL - Diberikan kepada kapal yang mencapai tahap operasi yang tertinggi dalam kategori sistem persenjataan yang meliputi sistem kawalan dan senjata tidak termasuk sistem anti kapal selam.

Manakala Markas Terbaik pula dianugerahkan kepada Markas Pemerintahan Kapal Selam.


Anugerah Markas Terbaik-  Merupakan penghargaan tertinggi TLDM kepada Markas yang telah mempamerkan kecemerlangan secara menyeluruh dalam pengurusan organisasi berlandaskan kesiagaan yang menyerlah dan prestasi terbaik sepanjang tahun.

Di samping itu juga dua anugerah kecemerlangan modal insan terbaik bagi tahun 2022 ialah 831727 Bintara Muda PAP (PKL) Abdul Rahman bin Abu Hassan bagi kategori Bintara TLDM Terbaik  dan Laskar TLDM Terbaik dianugerahkan kepada 837167 Laskar Kanan TMS Tc. Shatheesrao a/l Apparao.

Bintara Terbaik

Lasykar Terbaik

Perbarisan kali ini juga menyaksikan seramai 40 orang pegawai dan anggota dianugerahkan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap jasa bakti anggota tentera yang terlibat dalam OP DAULAT berikutan insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah.


Pameran statik aset pertahanan dan sokongan turut diadakan melibatkan dua (2) buah Helikopter Operasi Maritim (HOM) dari Skuadron 503, Kota Kinabalu, Sabah, dua (2) buah Loader dan sebuah lori Bomba TLDM, dua (2) buah motor scrambler dan dua (2) buah Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Pasukan Khas Laut (PASKAL).


Sempena suasana Syawal, Majlis Jamuan Hari Raya Peringkat TLDM turut diadakan di Auditorium M.Sidek Shahbudin, KD PELANDOK   bersama seluruh ahli keluarga The Navy People seusai Upacara Perbarisan Istiadat. 


Ternyata kemeriahan berganda ini dapat dikongsi bersama tanpa melupakan rakan seperjuangan yang sedang bertugas di perbatasan. Walaupun negara masih bergembira merayakan Aidilfitri, TLDM sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab memelihara kedaulatan perairan negara tercinta ini.


Wednesday, April 12, 2023

LTAT BUKA AKAUN TABUNG HAJI UNTUK ANAK-ANAK WARGA ATM



SUNGAI PETANI,11 Apr - Satu Skim Penabungan  Anak-anak Rukun Kelima (SPARK) telah diperkenalkan dalam kalangan anak-anak warga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

SPARK merupakan satu inisiatif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan membuka akaun Tabung Haji kepada anak-anak anggota ATM yang bersekolah di dalam kem di seluruh Malaysia.


Sebanyak RM50 telah disumbangkan oleh Yayasan LTAT untuk setiap akaun yang dibuka di mana telah melibatkan seramai 13,500 orang pelajar dengan nilai RM 675,000.  Pembayaran fasa pertama adalah sebanyak RM 314,050 yang melibatkan 6,281 orang pelajar.


Kenyataan ini telah diumumkan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan dalam satu Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan Bersama Warga Tentera Darat Malaysia (TDM) bertempat di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah hari ini. 


Menyampaikan Sumbangan


Dalam majlis yang sama, YB Menteri Pertahanan telah menyempurnakan penyampaian sumbangan kebajikan kepada anggota TDM yang melibatkan seramai 26 orang penerima kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) dan 24 anggota lagi merupakan penerima kategori asnaf.


Sumbangan tersebut merupakan inisiatif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam membantu meringankan beban kepada mereka yang memerlukan khususnya warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam suasana menyambut Ramadhan. 


YB Menteri Pertahanan meluangkan masa beramah mesra dengan 500 warga TDM yang bersama-sama mengimarahkan Masjid An-Naim yang merupakan lokasi ketiga beliau dalam siri majlis berbuka puasa bersama warga ATM pada tahun ini. Terdahulu adalah di Pulau Langkawi bersama warga TLDM dan di Sendayan bersama warga TUDM.


Komited


Kementerian Pertahanan kekal komited di dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan Warga Pertahanan berada pada tahap terbaik, serta menjadi keutamaan sejajar dengan lima teras Kertas Putih Pertahanan. Usai Majlis Berbuka Puasa, YB Menteri Pertahanan bersama-sama warga TDM menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid An-Naim dan diimamkan oleh Mejar Mohd Na’im bin Haji Ahmad Al Hafiz, Pegawai Staf 2 Agama, Markas Tentera Darat.


Ketibaan YB Menteri Pertahanan disambut oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Hj Muhammad Huzaimi bin Sabri, Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Dato’ Mohd Akib bin Haji Yusof.


Turut hadir ke acara ini adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Darat, Mej Jeneral Azhan bin Hj Md Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan LTAT, Dato’ Dr. Mohd Nizar bin Haji Sudin, pegawai-pegawai kanan TDM serta warga TDM khususnya daripada Formasi 6 Briged dan kem-kem di bawah naungannya. 








Tuesday, April 11, 2023

MENHAN BERBUKA PUASA DI MAWILLA 3




Sumber: Foto/teks, PR MINDEF


LANGKAWI, 10 Apr - Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan telah menghadiri Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan bersama 300 orang warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertempat di Surau Al-Aziz, Markas Wilayah Laut 3, Langkawi, Kedah hari ini.


Ketibaan YB Menteri Pertahanan di Surau Al-Aziz disambut oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman bin Ayob; Panglima Armada Barat, Laksdya Dato’ Abu Bakar bin Md Ajis; Panglima Markas Wilayah Laut 3, Laksma Ee (Yee) Tai Peng serta kepimpinan ATM dan TLDM. 


YB Menteri Pertahanan meluangkan masa beramah mesra dengan warga TLDM di Markas Wilayah Laut 3 yang merupakan lokasi kedua beliau bersama warga ATM dalam majlis berbuka puasa tahun ini. Terlebih dahulu, majlis bermula dengan beliau menyantuni warga TLDM dan menyempurnakan penyampaian sumbangan kebajikan kepada 50 orang warga TLDM. 


Penerima-penerima sumbangan tersebut adalah terdiri daripada tiga (3) kategori penerima iaitu kategori Asnaf, Ibu Tunggal dan Anggota Cedera dari kalangan anggota TLDM serta staf awam Kementerian Pertahanan yang berkhidmat di kawasan utara semenanjung Malaysia. Sumbangan tersebut merupakan inisiatif melalui Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam membantu meringankan beban kepada mereka yang memerlukan khususnya warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam suasana menyambut Ramadhan.Kementerian Pertahanan kekal komited di dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan Warga Pertahanan berada pada tahap terbaik, serta menjadi keutamaan sejajar dengan lima teras Kertas Putih Pertahanan. 


Selepas berbuka puasa, YB Menteri Pertahanan bersama-sama warga TLDM menunaikan solat Maghrib seterusnya menikmati jamuan makan yang disediakan di Dewan Tun Rahah sebelum menunaikan solat Isyak serta solat sunat Tarawih dan Witir berjemaah yang diimamkan oleh Mejar Mohd Sakri bin Yusof, Pegawai Agama, Markas Wilayah Laut 3. Majlis berakhir dengan jamuan Moreh sebagai penutup majlis sempena Ramadan bersama warga TLDM tahun ini.


Turut hadir sama ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan, Dr. Mohd Bakhari bin Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan LTAT, Dato’ Dr. Mohd Nizar bin Haji Sudin; ketua-ketua jabatan kerajaan daerah Langkawi, pegawai-pegawai kanan TLDM serta warga TLDM khususnya dari Markas Wilayah Laut 3 dan Unit Bawah Naungan meliputi Unit Bantuan Utara (UBU) TLDM, KD SRI PINANG serta Pegawai Wakil Tentera Laut (PWTL) Pulau Pinang.



Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini