Diterbitkan dalam majalah Perajurit edisi Jun/Jul 2021
Oleh: Paklang Hamzah
Foto: PRTDM
Pada 26 Mac 2021 yang lalu telah
berlangsung satu Majlis Pelancaran Buku tentang sejarah perjuangan Tentera Darat Malaysia (TDM) khususnya
Batalion Ke-19 Rejimen
Askar Melayu Diraja
Mekanize (19 RAMD Mek) yang diadakan di Dewan Zainal, Kem Lapangan
Terbang, Sungai Petani. Telah dirasmikan
oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain
bersama Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin
bin Abg. Shokeran. Sebuah karya yang ditulis oleh YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Mohd
Halim Khalid PGB (DMH) berdasarkan kisah benar perjuangan pahlawan negara demi
keamanan sejagat.
DMH yang kini merupakan Panglima
5 Divisyen berasal dari Simpang Pulai Ipoh Perak dilahirkan pada 05 Jan 1963
telah ditauliahkan ke RAMD pada tahun 1982.
Pernah diaturgerak ke 3 RAMD sebelum ke 19 RAMD Mek. Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah
memegang jawatan sebagai Pegawai Staf di
Markas TDM dan Markas ATM. Di peringkat
antarabangsa beliau pernah ditugaskan sebagai Tim Pemantau Antarabangsa
Mindanao dan Penasihat Pertahanan di Abu Dhabi.
DMH telah dikurniakan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada 4 Jun
1994. Pingat PGB merupakan pingat keberanian kedua tertinggi dalam senarai
pingat-pingat keberanian persekutuan.
Ulasan
Buku
Buku setebal 202 muka surat
(termasuk indek)ini mengandungi 10 bab yang sarat dengan penceritaan tentang penglibatan
DMH bersama rakan sepasukannya dalam operasi khas bersama Malaysia Battalion (MALBATT). Dengan gaya bahasa dan susunan plot penceritaan yang mudah difahami diselit
dengan perkataan-perkataan yang agak puitis yang menggambarkan DMH seorang yang
berjiwa seni.
Penceritaan yang diiringi dengan
paparan imej yang relevan dengan peristiwa semasa namun imej hitam putih yang
dipaparkan, pada pendapat peribadi penulis agak kurang terserlah. Mungkin DMH mempunyai alasannya yang
tersendiri kenapa paparan imen dibuat dalam bentuk hitam putih. Namun begitu, karya
ini sangat menarik dan sesuai untuk dibaca oleh semua golongan terutamanya bagi
mereka yang gemar mengumpul kisah-kisah sebenar sejarah perjuangan pasukan
keselamatan negara yang mempertaruhkan keringat, darah dan nyawa mereka sebagai
galang ganti.
Malah naskah perjuangan karya DMH
ini sangat wajar jika dijadikan buku teks bagi pelajar aliran sastera sekolah
menengah dalam usaha memberi kefahaman kepada generasi muda tentang perjuangan dan pencapaian pasukan keselamatan
negara amnya.
DMH memulakan penulisannya dengan
Prakata dan di antara bait-bait yang menjadi hala tuju dan
komitmen beliau untuk menulis. “……Buku
ini juga merupakan manifestasi kekaguman dan penghormatan saya kepada para
sahabat yang sama-sama bergadai nyawa sewaktu misi di Somalia. Sedaya upaya, saya berusaha untuk
memastikan bahawa tiada sekecil zarah rakaman sejarah ini tertinggal semasa
proses pengkaryaannya disempurnakan……”.
DMH bertekad untuk membetulkan
fakta sejarah yang diketahui dan dipegang oleh banyak orang di seluruh
dunia yang telah diputarbelitkan oleh
pihak tertentu untuk kepentingan peribadi mereka. Maka lahirlah Somalia Belang Harimau Besi pada
hari ini.
DMH memulakan coretan dalam Bab 1
dengan rangkapan Sumpah Perwira yang menjadi nadi perjuangan 19 RAMD.
….. “Kami Semua Sedia Berbakti, Untuk Bangsa Ibu Pertiwi,
Setiap Masa Taat Setia dan Itulah Sumpah Perwira”………
Menurutnya, 19 RAMD ditubuhkan
pada 01 Januari 1977 di Kem Imphal, Kuala Lumpur dan dipindahkan ke Kem Lapangan
Terbang Sungai Petani Kedah bagi memenuhi keperluan semasa. Pasukan ini telah banyak menabur bakti
terutamanya di kawasan utara semenanjung Malaysia dalam Operasi Melawan
Insurgensi, Misi-misi Kemanusiaan dan
Projek Jiwa Murni bersama masyarakat setempat. Sesuai dengan penstrukturan semula TDM
terhadap pasukan di bawah naungannya, 19 RAMD diberi peranan baharu sebagai
Batalion Mekanis pada 01 Januari 1987 selepas hampir 2 dekad penubuhannya.
Peralihan ini sangat bermakna
buat DMH dalam menempuhi liku kerjaya sebagai perwira pasukan infantri. Jiwanya yang begitu bersemangat apabila
diberi kesempatan untuk menyumbang khidmat bakti bagi bersama-sama membangunkan
pasukan mekanis pertama dalam sejarah ketenteraan negara. Logo yang dizahirkan melalui harimau belang
yang berlatarbelakangkan warna jingga menjadi mascot rasmi pasukan yang menjadi
simbol semangat keberanian dan kekuatan Batalion Infantri Mekanis.
….. “Hidup sebagai anggota tentera,
nafasnya sentiasa bersatu dengan semangat yang bernyala dalam jiwa. Ikrar perjuangannya bergema di jagat tanah
air….”
Operasi menghapuskan pengganas
komunis merupakan detik perjuangan yang memberi
bekas yang sangat mendalam kepada pasukan infantri TD tidak terkecuali bagi
pasukan 19 RAMD Mek sendiri. Operasi ini
telah banyak mengorbankan nyawa dan telah mencederakan 40 anggota dalam pasukan
akibat pertempuran dan bencana periuk api.
Dalam bab ini juga DMH
mencoretkan kenangan beliau semasa beroperasi di Malaysia Timur bersama pasukan
3RAMD pada tahun 1980. Dalam satu operasi, mereka diarahkan mengepung pengganas
komunis. Dalam pertempuran tersebut seorang
perajurit telah gugur ditembak musuh.
Penceritaan beliau seterusnya
ialah berkisar kepada pemilihan 19 RAMD MEK untuk berbakti di bawah Panji-panji
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan menjadi komponen utama MALBATT 1 yang akan
bertugas di Somalia di bawah ketumbukan United nation Operation in Somalia
II(UNOSOM II). Arahan dikeluarkan pada 06
disember 1992 bagi persediaan melaksanakan misi pada 1993. Permohonan beliau untuk menyertai misi ini
diperkenan oleh pucuk pimpinan TD kerana pada waktu itu beliau sedang bertugas
sebagai jurulatih di Maktab Tentera Diraja.
Dari pemilihan pegawai dan anggota serta pengumpulan maklumat misi diceritakan
dalam bab ini.
Somalia
Bumi Bergolak
Dalam bab 2 dan 3 DMH
menggambarkan secara jelas kepada pembaca tentang Somalia dalam konteks
geografi, politik, kaum dan perebutan kuasa yang menjurus kepada pergolakan perang saudara. Bencana ini mendapat reaksi dunia yang memaksa
campurtangan PBB melalui pemeteraian United Nation Security Council Resolution
(UNSCR) yang mempersetujui agar embargo senjata terhadap Somalia dan gencatan
senjata antara puak bertelagah dimulakan serta merta dan penghantaran bantuan
kemanusiaan segera dilaksanakan.
Berasaskan kegagalan misi bantuan
ini PBB melalui UNSCR 794 pada 3 Disember 1992 telah mengaturgerakkan United
Task Force (UNITAF) dengan 35 ribu anggota tentera pelbagai negara bagi
mewujudkan persekitaran selamat untuk misi kemanusiaan sampai kepada sasaran.
Pada 06 Jun 1993, PBB menubuhkan
UNOSOM II bagi menggantikan UNITAF di mana UNOSOM ll tidak lagi bertindak
sebagai pemerhati keamanan seperti dalam misi PBB terdahulu tetapi sebagai
penguatkuasa keamanan. Resolusi ini
mengizinkan penguatkuasa menggunakan kekerasan dalam perlaksanaan tugas jika
perlu.
Pasukan UNOSOM ll dibentuk dengan
kekuatan 28 ribu anggota polis, tentera dan awam di peringkat antarabangsa dan
tempatan. Kerajaan Malaysia mengemukakan
hasrat kepada PBB untuk menyumbang
kontinjen tentera dalam misi UNOSOM ll. Jemaah Menteri Malaysia telah
bersetuju mengaturgerakkan ATM menyertai UNOSOM ll pada 18 Mac 1993 setelah
dipersetujui oleh PBB bersama negara Australia, Bangladesh, Belgium, Botswana,
Kanada, Mesir, Perancis, Jerman, Ghana, Greece, India, Indonesia,Ireland,
Itali, Kuwait, Maghribi, Nepal, Belanda , New Zealand, Nigeria, Norway,
Pakistan, Filipina, Republik Korea, Romania, Arab Saudi, Sweden, Turnisia,
Turki, Emiriah Arab Bersatu, USA, Zambia dan Zimbabwe.
Sepanjang penugasan, seramai 154
orang penguatkuasa keamanan dari pelbagai negara telah terkorban iaitu 149
orang anggota tentera termasuk seorang anggota ATM yang terkorban dalam
pertempuran Pasar Bakara. Tiga orang kakitangan antarabangsa dan 2 orang
kaktangan tempatan.
MALBATT
1 Diaturgerak
Dalam Bab 4, DMH menceritakan
komposisi MALBATT 1 di mana 19 RAMD Mek sebagai pasukan induk. Kontijen ATM
yang terlibat berkekuatan 850 orang yang terdiri dari elemen pemerintah dan
elemen tempur diaturgerak setelah melakukan persiapan selama 4 bulan dalam
konteks latihan dan pengumpulan kelengkapan logistik.
DMH bertindak sebagai Penolong
Ketua Kompeni bergerak bersama kumpulan pendahuluan yang diketuai oleh Kolonel
Abdul Latif Ahmad selaku Komander MALBATT 1 berserta 18 orang pegawai dan 32
orang anggota LLP berlepas ke Somalia pada 18 Jun 1993 dengan menaiki pesawat
C130 TUDM. Berdasarkan perkhidmatan cemerlang
yang ditunjukkan pasukan MALBATT
terdahulu maka MALBATT 1 diberi penghormatan sebagai pasukan simpanan
Pemerintah Ketumbukan Tentera UNOSOM ll dan Pasukan Tindak Cepat kepada Markas
UNOSOM ll yang ditempatkan di kawasan Lapangan Terbang Mogadishu.
“…..hidup di sini adalah
perjuangan. Somalia bukanlah tanah yang
makmur lagi tenang. Jauh terpinggir dari syurga dunia. Di sini semua kering kontang. Panas
membahang. Usah bermimpi untuk memiliki
pendingin hawa atau kipas, kurang makanan segar
dan kebanyakan menunya makanan dalam tin dan roti untuk sarapan pagi
yang dibekalkan oleh kontraktor tempatan…..”
Dalam Bab 5 DMH menceritakan kejadian
yang dialami oleh warga MALBATT 1 ialah pertempuran berhampiran Pasar Medina
ketika melakukan rondaan. Platun 1 dari
Kompeni A yang diketuai oleh Lt. Kamal Idris Johari diserang hendap oleh
militia Aideed pada 26 Julai 1993.
Serangan ini berpunca dari salah faham pihak militia yang mengganggap
platun MALBATT 1 itu adalah tentera Amerika berdasarkan bendera Malaysia yang
seakan bendera US. Serangan kedua yang
dirakam oleh DMH ialah pada 25 ogos 1993.
Platun ke-6 dari Kompeni B diserang hendap oleh puak militia. pertempuran jam 8.45 pagi itu turut dibantu
oleh helikopter tempur US.
Dalam Bab 6 penceritaan tentang
penglibatan MALBATT 1 dalam siri-siri operasi kepung dan geledah bagi mencari
kelengkapan terlarang seperti bom, peluru dan persenjataan di dalam sesuatu bangunan yang disyaki.
Dalam Bab 7 DMH menggambarkan
bagaimana operasi menyelamatkan 4 orang wartawan CNN dan 3 orang wartawan Itali
di Hotel Safi. Mej Ab Aziz Ab Latif
memimpin Kompeni A bersama-sama Platun Kedua yang diketuai oleh Lt. Kamal Idris
Johari telah berjaya menyelesaikan misi dengan jayanya.
DMH sendiri yang ketika itu
berpangkat Kapten telah mengetuai Platun
Ke-6 dari Kompeni A dalam pertempuran dengan puak militia di mahkamah Agung
Benadir dalam usaha melindungi dan menyelamatkan 3 orang pegawai perundangan
UNOSOM ll. Dalam adegan 27 Sep 1993 yang
penuh dramatik itu tim DMH berjaya menamatkan misi dengan cemerlang. Misi yang menjadi penyebab DMH dianugerah
pingat PGB.
Dalam Bab 8, peristiwa di Pasar Bakara yang diceritakan
oleh DMH. “………. Halim! siapkan kompeni dan bergerak ke pelabuhan seberapa
segera serta tunggu di sana untuk arahan lanjut….” Lt Kol Rozi memberi
arahan setelah menerima arahan daripada Mej Jen. Thomas M. Montgomery, Timb.
Pemerintah Angkatan Pengaman UNOSOM ll meminta bantuan bagi melaksanakan
operasi menyelamat tentera Amerika yang terperangkap di Pasar Bakara.
Dalam bab ini penceritaan
menyeluruh DMH dari kejadian awal operasi tentera Amerika untuk menangkap
Menteri Luar, Penasihat Politik dan Ketua Propaganda Jeneral Farah Aideed yang sedang bermesyuarat
pada petang 3 Oktober 1993 di Hotel Olimpik dalam kawasan Pasar Bakara menemui
kecelakaan.
DMH menyusun babak demi babak
kejadian dengan baik sekali dengan berkongsi perasaan cuak dan cemas serta
komitmen dan semangat juang yang ditunjukkan oleh anggota MALBATT 1 kepada
pembaca dalam misi menyelamat Pasukan Petugas Renjer Amerika.
Babak-babak yang digarap
turut diselitkan dengan perkongsian
pengalaman yang dilalui oleh rakan-rakannya yang lain. Lt Zunaidi Hassan, Ketua
Platun Ke-4 menulis…. “Platunnya telah dibedil bertubi-tubi oleh militia
Somalia dengan senjata automatik, tembakan mesingan, RPG, mortar dan roket dari
bangunan kiri dan kanan jalan….”
“…… tentangan sengit
daripada tembakan militia ini kami sambut dengan memuntahkan peluru mesingan di
KPA masing-masing ke arah sasaran yang dikenal pasti….”
Dari Lkpl Nayan…. “Helo 21
di sini 21 Alpha bertempur, tunggu…. kami terperangkap dalam serang hendap dan
membalas tembakan musuh, habis…..”
“Kenderaan bergegar,
terlonjak kearah kanan, berbau benda terbakar dan saya rasa semuanya gelap dan
tidak boleh berfikir”. Pbt Rizal pemandu KPA berkongsi rasa ketika
kenderaannya dihentam roket militia.
“Peluh sejuk mula mengalir
ke dahi saya apabila melihat satu tembakan RPG dilancarkan tepat mengenai
kenderaan Pbt Rizal. Saya kemudian nampak
seorang Somalia keluar dari rumah lalu melancarkan roket ke arah hadapan
kenderaan kami. Keluar! keluar! keluar!
RPG!...” jerit Pbt Sabri sambil merebahkan kerusi pemandu……
Penutup
Pengkisahan babak pertempuran
yang sangat dramatik plot demi plot penglibatan watak-watak penting
digambarkan. Penulis pun terpaksa menyeka air mata berkali-kali ketika
menghayati babak-babak yang digambarkan oleh DMH dalam bab 8 yang penulis ulas
hanya sedikit sahaja untuk memberi peluang seluasnya kepada pembaca menghayati
sepenuhnya babak-babak yang pada hemat penulis sangat menyayat hati melihat
pengorbanan rakan-rakan penulis yang berhadapan dengan situasi tersebut.
Kisah ini telah digambarkan
menerusi filem Black Hawk Down yang ditayangkan kepada masyarakat dunia pada
2001 yang tidak menyebut dan memberi fokus tentang penglibatan MALBATT 1 apatah
lagi untuk menghargai keheroan pahlawan Melayu dalam misi tersebut melalui komentar
yang dizahirkan oleh akhbar arus perdana.
Namun begitu, dengan kenyataan Mej. Jen. Thomas M. Montgomery, Timb.
Pemerintah Angkatan Pengaman UNOSOM ll pernah berkata…. “Sebagai seorang
perajurit, saya hendak semua tahu bahawa saya sanggup pergi ke mana-mana sahaja
serta dalam apa-apa jua keadaan bersama-sama perajurit Malaysia….” telah menghapuskan tohmahan yang dibuat dari
jauh tanpa mengetahui jalan cerita yang sebenar.
Sama-sama kita tunggu garapan Andrian Teh dalam
filem BAKARA yang dijangka akan menemui penonton pada bulan Ogos 2021. Penerbitan filem BAKARA ini adalah kerjasama
TDM dengan syarikat Art 2 pictures Sdn Bhd dan Adaza 88 Studio Sdn Bhd. Semuga gambaran sebenar peristiwa Pasar
Bakara dan keberanian yang telah
ditunjukkan oleh wira-wira TDM dapat penilaian semula oleh penduduk dunia.