Artikel ini telah diterbitkan di dalam Majalah Perajurit edisi Okt 2018
Oleh: Paklang Hamzah /Foto: Mindef
Seluruh rakyat jelata mendoakan kesejahteraan berpanjangan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong (SPBYDPA) ke 15,
Sultan Muhammad Ke V sempena Hari Keputeraan
Rasmi Kebawah DYMM SPB Tuanku pada 9 September
2018 yang lalu.
Sebagai ketua negara, keupayaan baginda samada secara
keperibadiannya maupun dalam konteks melaksanakan bidang kuasa yang
diperuntukan untuk menjaga kedaulatan negara dan kesucian agama Islam sangat
dikagumi oleh pelbagai lapisan rakyat jelata kerana kekuatan dan kekompetenan
kepimpinan baginda.
Pentadbiran sesebuah negara memerlukan kepimpinan yang
berktrampilan dan versatil dalam usaha menjana keberhasilan dalam konteks
kelicinan pengurusan, perpaduan serta keharmonian kehidupan rakyat seluruhnya.
Menurut Islam, kedudukan seseorang pemimpin lebih mulia dan tinggi
kerana mereka ini disyariatkan bagi menggantikan tugas kenabian di dalam memelihara
agama dan mentadbir urusan umat Islam.
Imam al-Mawaradi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyah
menjelaskan bahawa tugas pemimpin adalah
menjaga hal ehwal agama dan mentadbir urusan dunia.
Sedia maklum bahawa di dalam Perlembagaan Persekutuan
Bahagian Empat Bab Satu menyatakan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong
adalah Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang dilantik melalui persetujuan
Majlis Raja-raja. Lafaz sumpah
jawatan SPBYDPA mencakupi ikrar taat
setia pada menjalankan pemerintahan dengan adil sebagaimana undang-undang dan perlembagaan serta
memelihara kesucian agama Islam.
Justeru , menjadi kewajipan sebagai rakyat jelata meletakkan
kesetiaan terhadap Raja dan negara yang
mana menepati salah satu perinsip dalam iktikad Ahlus Sunnah Wal Jama’ah iaitu
mentaati dan menghormati pemimpin. Ini adalah selari dengan Firman Allah dalam
Surah an-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan
taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri yakni orang yang berkuasa
dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu
berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Al-quran) dan
Sunnah jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat kerana yang
demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya”.
Tular
Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen yang mana
pemerintahan beraja merupakan salah satu ciri-ciri unik yang dikekalkan sejak
negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
Konsep Raja Berpelembagaan di
dalam sistem pemerintahan Malaysia bermaksud kuasa Raja-raja dibatasi oleh
Perlembagaan di mana Jemaah Menteri bertindak sebagai penasihat di Peringkat Persekutuan
dan Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) di Peringkat Negeri.
Era mutakhir ini, institusi Raja yang sepatutnya dihormati oleh
semua peringkat rakyat jelata tanpa mengira kaum sering menjadi bualan hangat bila
mana sesekali dikocak ketenangannya dengan kenyataan-kenyataan yang tidak
menyenangkan oleh segelintir pihak yang berkepentingan dan kebiadaban individu-individu yang ‘tidak sihat’ otaknya yang berani
mengeluarkan kata-kata yang menghina lalu
ditular menerusi media sosial oleh netizen yang prihatin supaya mereka yang
terbabit disiasat dan dibawa ke muka pengadilan jika ianya mempunyai asas.
Kebebasan media bukan bermakna semua orang mempunyai
kebebasan mutlak untuk melakukan sesuka hati termasuk memburukkan imej
institusi raja. Penularan budaya ini dalam kalangan segelintir rakyat Malaysia
yang tidak bertanggungjawab, perlu diberi perhatian agar rakyat tidak terus
dihasut membenci raja-raja yang boleh mengakibatkan taat setia rakyat terhadap
institusi raja terhakis. Sungguh pun begitu banyak juga isu-isu yang ditular tidak dapat dipastikan kesahihan apatah lagi
isu yang diperkatakan itu tidak mempunyai apa-apa bukti mau pun sandaran.
Hal ini bukan sahaja menyebabkan kemudaratan dan mengganggu
kemaslahatan rakyat, malah pada masa yang sama telah memberi kegembiraan kepada
pihak-pihak yang menolak sistem kerajaan raja berpelembagaan dan Islam sebagai
agama persekutuan.
Justeru, netizen disarankan supaya tidak terperangkap dan
terpengaruh dengan isu-isu yang menjurus kepada kemelut yang menjejaskan
keharmonian kaum dengan berpegang teguh kepada perinsip syariat Islam iaitu
memerintahkan umatnya supaya menjaga lisan dan menahan diri agar tidak menulis
dan menyatakan perkara-perkara yang tidak ada bukti kebenarannya.
Peringatan ini jelas dirakamkan oleh Allah melalui firmanNya
dalam Surah al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud: “Dan jangan lah kamu mengikuti
apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap
akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.
Meskipun saban masa Institusi Raja berdepan dengan cabaran
namun, kita masih amat bersyukur kerana
Allah sentiasa memelihara SPBYDPA dan negara ini dari sebarang ancaman. Di antara faktor yang menyumbang keberhasilan
ini adalah sifat hikmah, tegas, bijaksana, adil dan saksama serta keupayaan
Baginda YDPA telah dapat mengharungi
gelombang dan cabaran dalam pemerintahan dengan berkesan. Di samping sokongan padu pembesar dan
penasihat negara termasuk para ulama dan cendikiawan Islam yang mengurus tadbir
dengan cemerlang.
Hasil pemikiran dan hubungan erat antara ulama dan umara’
dalam pemerintahan telah memberi manfaat kepada ummah dengan terbentuknya
sistem pengurusan haji yang terbaik di dunia, pengurusan pendidikan, kewangan,
perbankan, peneraju hub halal dunia dan lain-lain yang semuanya berlandaskan syariat Islam telah menjadi
sumber kekuatan dan kesejahteraan ummah keseluruhannya telah menjurus kepada
limpahan rahmat dan kebaikan kepada rakyat jelata umumnya.
Rakyat menjunjung kasih dan merafak sembah di atas
keperihatinan Baginda Tuanku dalam memartabatkan ugama Islam serta memajukan
negara di samping membantu kehidupan rakyat seluruhnya menjalani kehidupan
dengan aman dan harmoni di dalam suasana kepelbagaian kaum, adat dan budaya. Daulat Tuanku!