Sumber Majalah Perajurit Julai 2017
Oleh/Foto: Paklang Hamzah
Insentif khas insurgensi adalah tanda terima kasih kerajaan kepada veteran ATM yang telah tercedera semasa bertugas dalam tempoh darurat |
Polemik tentang ketidakpuasan
hati yang tidak pernah padam malah kian menyemarak dalam kalangan sebilangan
veteran Angkatan Tentera Malaysia(ATM) terhadap kerajaan menggambarkan
seolah-olah kerajaan langsung tidak mempedulikan nasib mereka selepas
menamatkan perkhidmatan samada berpencen atau pun tidak berpencen.
Justeru, muncul pelbagai jenama
persatuan-persatuan yang didasari oleh bekas anggota-anggota ATM umumnya yang
kononya khusus untuk menjaga kebajikan ahli-ahlinya di samping menyambung
silaturahim yang terputus.
Walaubagaimana pun niat yang baik tidak pernah menjanjikan kejayaan dan
keberuntungan boleh dicapai dengan mudah tanpa bantuan dari kerajaan memerintah
kerana keupayaan persatuan-persatuan adalah sangat terhad terutamanya dari segi
kewangan untuk memberi kefahaman dan kepuasan kepada ahli-ahli.
Ramai yang tidak faham atau
sengaja buat tidak faham peranan sebenar persatuan yang mereka anggotai. Mereka mendambakan pulangan atau insentif
yang berupa material semata-mata setelah menganggotai persatuan walaupun
kebanyakan mereka masih boleh meraih pendapatan melalui pencen bulanan dan
berdikari tanpa masalah. Bila kemahuan
mereka tidak dapat dipenuhi oleh pihak persatauan, jalan yang paling mudah
diambil ialah dengan mengutuk dan mengecam persatuan tanpa usul periksa.
JHEV Ditubuhkan
Bagi menangani persoalan ini
dengan lebih berkesan, kerajaan mengambil pendekatan yang agak luar biasa iaitu
dengan mengoperasikan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) yang bernaung di bawah
kementerian pertahanan pada tahun 2001 bagi menangani segala rasa tidak puas
hati veteran-veteran tentera.
Istimewanya veteran tentera di mata kerajaan ialah kerana jasa dan
pengorbanan mereka kepada negara dan dengan kewujudan JHEV itu sendiri merupakan
usaha kerajaan untuk menyantuni khalayak ini sehingga ke liang lahad.
Sebagaimana di dalam
perkhidmatan, anggota mempunyai sistem divisional, begitulah juga di alam
persaraan mereka masih mengamalkan sistem ini di mana pengarah-pengarah JHEV
ditempatkan di setiap zon untuk tujuan ini. Tidak ada penjawat awam dari mana-mana
kementerian lain yang diberi sentuhan sebegini rupa waima Jabatan Polis Diraja
Malaysia (PDRM) sendiri yang juga turut bertumpah darah dalam sejarah
perjuangan membina negara bangsa menentang pencerobohan dalam semua zaman.
Kalau dirujuk kepada kronologi
penubuhan JHEV, penambahbaikan demi penambahbaikan sejak tahun 1970 sehingga
kini sudah banyak inisiatif-inisiatif dalam menjaga kebajikan veteran tentera
dan balu telah dilakukan. Sebagai tambahan kepada artikel penulis yang lalu
berkaitan penambahbaikan peranan dan tanggongjawab kementerian, beberapa
inisiatif baharu telah diperkenal dan dilaksanakan.
-Bermula dari tahun 2016, Kementerian Pertahanan telah
menjadikan kebajikan veteran ATM, isteri dan anak-anak mereka sebagai salah
satu teras dan fokus utama dalam Hala Tuju MINDEF. -Program Jejak Veteran dan
Program Jejak Kawan telah dilaksanakan bertujuan menjejaki di mana para veteran
ATM tinggal, bagaimana keadaan mereka dan apa yang boleh pihak kementerian
lakukan untuk terus membantu mereka.
-Program
1Malaysia Veteran Home Repair (1MVHRP) dengan peruntukan sebanyak RM4.46 juta
bagi tahun 2017 untuk membina rumah baharu dan melaksanakan kerja-kerja
pembaikan kecil rumah veteran ATM. Tahun 2016 sebanyak 84 buah rumah veteran
ATM telah dibaik pulih dan 57 buah rumah baharu telah dibina manakala bagi
tahun 2017, 170 buah rumah akan dibaik pulih dan 30 buah rumah baharu akan
dibina di seluruh negara.
-Perubahan
terhadap Skim Bantuan Kebajikan dan Pendidikan. Antara perubahan dan
penambahbaikan ini termasuklah perluasan bantuan meliputi Bantuan Persekolahan,
Bantuan Bencana Alam, Bantuan Sara Hidup dan Bantuan Kemasukan ke Universiti
Awam (IPTA).
-Progaram
penyediaan Rumah Mampu Milik kepada warga
dan veteran ATM sedang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan
negeri dan syarikat-syarikat tertentu.
-Skim Baharu
Untuk Veteran Tidak Berpencen sedang dalam peringkat mengkaji dan menyemak
semula dan kerajaan berusaha sedaya upaya untuk memberi bantuan mengikut
kemampuan yang ada dengan mengambil kira kekangan bajet kerajaan dan lain-lain
kepada 174,000 orang veteran ATM yang tidak berpencen dan menilai serta membuat
penambahbaikan dari masa kesemasa selepas perlaksanaan jika terdapat kekurangan
dalam skim ini.
-Dalam
Pembentangan Bajet 2017 oleh YAB Perdana Menteri telah memperuntukkan sebanyak RM55 juta kepada JHEV bagi
melaksanakan Bayaran Insentif Khas Insurgensi kepada veteran ATM. Insentif Khas ini bagi mengenang dan jasa
Veteran ATM yang telah tercedera sewaktu berkhidmat di zaman darurat. Bayaran
ini telah mula dibayar mulai 19 Mei 2017 melibatkan seramai 2,939 orang veteran
dan waris mereka. Mereka-mereka yang tersenarai masing-masing akan menerima
minima RM3,465.50 dan maksima RM48,079.87 mengikut kategori kecederaan yang
dialami.
Realitinya, perkara-perkara yang
telah dimuktamatkan di atas adalah merupakan kesinambungan daripada apa yang
telah diperincikan di dalam makmal perbincangan yang dianjurkan oleh JHEV
dengan kerjasama Institut Keselamatan dan Pertahanan Malaysia (MIDAS) yang
turut dihadiri oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta, syarikat milik
kerajaan (GLC) serta wakil Persatuan Veteran ATM pada 2015 yang lalu. Sebanyak 10 perkara telah diperbincangkan dan
insentif-insentif yang telah dinyatakan di atas adalah merupakan blueprint
yang telah diluluskan dan selebihnya akan diumumkan oleh diumumkan oleh YAB
Perdana dijangka pada 31 Julai 2017 nanti.
Dalam majlis Ihya Ramadhan ATM dan Veteran ATM yang
diadakan di Kem Sultan Abdul halim Muadzam Shah, Jitra pada 10 Jun 2017,
kerajaan negeri Kedah turut menyumbang RM100,000.00 kepada Tabung Pahlawan
Persatuan Veteran ATM (PVATM) dan geran tahunan bernilai RM50,000 kepada PVATM
negeri Kedah dan turut menganjurkan majlis ini.