Oleh: Hamzah hd.
Koresponden Wilayah Utara
Majalah Perajurit
Persidangan Perwakilan Tahunan Negara Persatuan Bekas Tentera
Malaysia (PBTM ) kali ke-88 telah berlangsung dengan jayanya di Hotel Mahkota
Melaka pada 9 hingga 11 November 2013.
Pada dasarnya PBTM telah ditubuhkan sejak tahun 1922 dan telah
mengadakan Mesyuarat Agongnya yang pertama selepas 3 tahun persatuan ini
ditubuhkan berdasarkan bilangan angka 88 pada tahun 2013. Angka ini
menggambarkan bahawa PBTM boleh dikatakan sebuah Organisasi Bukan Kerajaan(NGO) yang tertua di
negara ini malah mempunyai keahlian terbesar sehingga kini berjumlah seramai
156,000 orang.
Dengan keahlian seramai ini PBTM yang mewakili keseluruhan
bekas anggota dan pegawai ATM kelihatan lebih dominan berbanding
persatuan-persatuan veteran yang lain yang sehingga kini sudah 60 buah sudah
berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan mereka telah
memperakui serta mengiktiraf PBTM sebagai peneraju dan penggerak perjuangan
semua veteran ATM di Malaysia.
Bergerak dalam satu moto ‘Sentiasa Berjuang’ yang merupakan
simbolisme kepada suatu sejarah perjuangan masa lalu semasa di dalam
perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menentang anasir yang menggugat
ketenteraman dan kedaulatan negara dan kesinambungan perjuangan itu tidak
pernah selesai namun dalam konteks yang
berbeza. PBTM sejak ditubuhkan mempunyai visi, misi yang jelas meletakkan
peranan dan wadah perjuangan sebagai badan pendesak dan pelobi dalam usaha
membela dan menjaga kebajikan dan segala kepentingan keseluruhan veteran ATM
dan keluarga mereka.
Namun begitu sejak tertubuhnya Bahagian Hal Ehwal Bekas
Tentera (HEBAT) di Kementerian Pertahanan pada tahun 1970 yang bertanggungjawab
kepada usaha pemulihan semula kebajikan dan pembangunan bekas-bekas tentera
kemudian di naik taraf kepada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera
(PERHEBAT) pada 1994 dan Jabatan Hal Ehwal Veteran(JHEV) pada tahun 2001 telah
mengurangkan peranan sebenar PBTM yang kini lebih berperanan sebagai badan
penghubung antara veteran dengan pihak kerajaan.
PBTM sedang dalam proses penjenamaan semula (re-branding) di
mana fokus utama ialah untuk meningkatkan imej dan kewibawaan persatuan dan
menentukan kewujudan PBTM terus relevan dan dihormati oleh semua pihak. Sebelum
ini sering menjadi polemik dan spekulasi yang kurang sihat berkisar dalam
kalangan veteran terhadap ‘kegagalan’ peranan yang dimainkan PBTM samada
kelemahan kepimpinan peringkat tertinggi maupun kelemahan
pemimpin-pemimpin di peringkat cawangan
di dalam melaksanakan tugas memberi ‘kepuasan’ kepada pelanggan yakni ahli-ahli
PBTM itu sendiri. Ruang kosong yang ditinggalkan ini telah menjadi barah
sekaligus menjadi bahan manipulasi veteran-veteran yang tidak berpuas hati sekali
gus telah mencalar nama baik persatuan.
Sebagai sebuah NGO, PBTM tidak boleh lari dari berhadapan
dengan kelemahan dan kekangan namun perlu diakui, ianya mempunyai rekod
pengalaman yang luas dan jasanya sudah banyak sebelum ini dalam mencurah bakti
kepada ahli-ahlinya yang bermasalah samada secara hands on maupun
memperjuangkan dasar-dasar baharu secara umum kepada kerajaan yang mana telah
memberi manfaat kepada veteran seluruhnya samada disedari atau tidak disedari
oleh akar umbi. Namun begitu, banyak isu-isu dan permintaan masih tidak
‘tertunai’ oleh kerajaan dan situasi ini telah ‘menampakkan’ seolah-olah PBTM
gagal atau tidak buat kerja.
Strategi
Bagi menentukan PBTM terus kekal
sebagai sebuah organisasi yang relevan dan kredibel, dihormati oleh kerajaan
dan rakyat jelata, Laksamana(Bersara) Tan Sri Dato’ Mohd Anwar Hj Mohd Nor selaku Presiden
PBTM yang baharu dalam ucapan dasar, beberapa strategi dan pelan tindakan serta
gerak kerja telah dirumuskan oleh pucuk pimpinan untuk membawa persatuan ke
persada kegemilangan.
-Strategi Jangka Pendek iaitu Confidence
Building Measure bagi mengembalikan kepercayaan akar umbi, kerajaan dan
orang ramai terhadap persatuan dan juga untuk menjadikan kewujudan PBTM masih
relevan dan dihormati.
Di dalam beberapa maklum balas yang penulis dapati dari
responden yang terdiri dari veteran ATM melalui
perbincangan di laman sosial, majoriti responden mengatakan PBTM telah ‘gagal’
melaksanakan peranannya sebelum ini. Suatu perkara yang menjadi dilema
sekurang-kurangnya untuk meletakkan ahli-ahli dengan persatuan ke dalam situasi
menang menang ialah sikap kedua-dua belah pihak perlu berubah dan berlapang
dada dalam berpesatuan. Di pihak ahli, mereka mengatakan persatuan tidak
berfungsi sebaiknya untuk memperbaiki sistem ekonomi dan kebajikan mereka yang
menjadi antara sebab mereka tidak begitu aktif berpesatuan. Di pihak persatuan
pula mengatakan antara sikap ahli yang tidak memperdulikan persatuan maka agak
sukar untuk mengetahui atau membuat pendekatan kebajikan dan sebagainya bila
tiba kepada suatu keadaan yang memerlukan.
Di sinilah betapa pentingnya sesuatu usaha untuk memperkasakan fungsi
dan peranan, PBTM dengan mengambil kira kemahuan kedua-dua belah pihak
sekaligus akan mengembalikan kepercayaan dan imej persatuan. Gerakan ini harus dimulakan oleh pemimpin di peringkat
cawangan yang mana setiap pemimpin harus menyedari potensi diri dan berusaha
untuk mencapai wawasan persatuan dan jika ianya berlaku sebaliknya, seeloknya
peranan itu diberikan kepada bakal pemimpin yang lebih berwibawa.
Namun begitu penulis secara peribadi menganggap
ketidakpercayaan ahli dan bukan ahli kepada PBTM adalah berdasarkan emosi,
kekecewaan peribadi dan kawan-kawan dalam sesuatu kes dan kejahilan di dalam
memahami dan menilai sesuatu keuntungan atau kebaikan secara jujur.
Usaha kepimpinan terbaharu dalam mengembalikan
kepercayaan akar umbi, kerajaan dan orang ramai melalui strategi ini dilihat
sebagai suatu usaha ‘kembali’ ke pangkal jalan setelah ‘sesat’ di hujung jalan
dan satu strategi pemulihan yang boleh dipuji.
-Strategi Jangka Panjang iaitu Anjakan Pardigma(Paradigm
Shift) untuk terus memperkasa dan mentransformasi organisasi, proses dan
minda (mindset) dalaman persatuan. Justeru beberapa Pelan Tindakan dan Gerak
Kerja telah dirumus bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan. Teras Pertama
dengan meneruskan perjuangan memperkasa PBTM bagi menentukan kewujudan
persatuan masih relevan dan dihormati semua pihak di Malaysia.
Memperkasa PBTM pada hemat penulis ialah dengan mengekalkan
keahlian yang sedia ada dengan permasalahan yang minima setelah kebajikan utama
ahli-ahli yang memerlukan telah diatasi sebaik mungkin. Dalam masa yang sama kemasukan ahli-ahli baru
perlu ditambah dan terus dipertingkatkan seramai mungkin. Tidak guna mempunyai ahli yang ramai tetapi
kebajikan dan permasalahan mereka di kesampingkan atau gagal menanganinya
mengikut yang sepatutnya sehingga membibitkan kekecewaan dalam sanubari mereka.
Dalam konteks memperkasa, bukan sahaja
berkisar kepada penambahan ahli dan mempertingkatkan sokongan ahli kepada
persatuan sahaja malah yang lebih utama ialah mengwujud dan memperbanyakkan
aktiviti-aktiviti riadah antara persatuan dan ahli yang boleh di lakukan dalam
pelbagai bentuk. Semestinya yang paling utama ialah mengwujudkan
aktiviti-aktiviti yang boleh menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi
melalui penglibatan veteran itu sendiri bukan hanya semata-mata hanya satu
pihak persatuan sahaja yang mencari dana untuk ‘dihadiahkan’ kepada veteran
seumpama kelaziman.
Teras Kedua dengan mentransformasi organisasi, budaya dan
daya pemikiran (mindset) dalaman persatuan supaya lebih berdikari dan berdaya
maju dalam pelbagai aspek dan juga dalam usaha menghadapi apa sahaja halangan
dan dugaan yang timbul.
Transformasi dari segi terjemahan ialah merupakan perubahan
kepada bentuk, rupa, sifat dan lain-lain yang tentunya memerlukan komitmen yang
tinggi pengendaliannya. Perubahan bentuk
dalam perjawatan atau struktur kepada organisasi sudah pun berlaku dengan
menampilkan Presiden baharu yang berktrampilan berdasarkan jawatan terdahulu di
dalam perkhidmatan dan jawatan semasa dalam dunia korperat serta barisan
Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKKT) baharu yang berpengalaman.
Dengan struktur organisasi baharu tentunya
gaya kepimpinan PBTM akan bertukar wajah kepada sesuatu yang lebih dinamik dan
berbekalkan azam dan iltizam kepimpinan secara kolektif untuk merubah atau
transform kepada budaya dan daya pemikiran yang lebih proaktif menjurus kepada
keberhasilan di dalam menangani kelangsungan kebajikan dengan tuntutan-tuntutan
lampau yang belum terhasil serta terus memperjuangkan apa sahaja keperluan
semasa PBTM bagi keselesaan ahli secara khususnya dan veteran ATM
keseluruhannya. PBTM tidak seharusnya
mengharapkan sumbangan orang ramai serta
pihak kerajaan semata-mata untuk mengumpul dana tetapi PBTM mesti juga pandai berdikari untuk menjana
ekonomi persatuan dan ahli.
Teras Ketiga dengan menyatu dan mengukuh kesatuan semua
veteran di Malaysia di mana wawasan PBTM adalah untuk menggabungkan semua
Persatuan dan Kelab Veteran sejumlah 61 buah ke arah penyatuan perjuangan satu
suara dan satu nada.
Ramai berpendapat, kemunculan persatuan-persatuan veteran
dengan label kor-kor dalam perkhidmatan masing-masing adalah bertolak dari
kegagalan PBTM itu sendiri. Sejauh mana
kebenarannya tidak dapat dipastikan dengan jelas. Namun bagi penulis, perkara ini terjadi
secara kebetulan di mana semangat kekitaan dalam kalangan warga kor-kor
perkhidmatan masih menebal dan perlu ada penyatuan semula setelah lama terpisah
di samping sama-sama memikirkan cara atau jalan terbaik membantu rakan-rakan
yang kurang bernasib baik melalui kelab atau persatuan sebagai wadah penyambung
silaturrahim.
Walaubagaimana pun selagi kewujudan persatuan-persatuan
veteran boleh memberi sesuatu yang bermanfaat dan positif kepada ahli-ahli
mereka sekurang-kurannya, ianya masih boleh dianggap positif dan sangat tidak
manis bila menubuhkan persatuan atau kelab baharu dengan meletakkan ‘kesalahan’ kepada PBTM. Apa yang sepatutnya bercambah
dalam benak pemimpin-pemimpin kelab-kelab baharu ialah kewujudan kelab mereka
adalah untuk saling mengisi di mana ada jurang dan melengkapi jika ada
kekurangan.
PBTM selaku persatuan yang mewakili semua peringkat bekas
tentera yang mempunyai keahlian yang teramai serta berpengalaman luas
sememangnya sangat relevan jika boleh bertindak sebagai ‘ketua’ bagi merapatkan
kembali saf-saf persatuan-persatuan veteran yang ada bagi menyatukan suara dan
nada dalam apa jua tuntutan dan perjuangan yang boleh memberi manfaat kepada
veteran keseluruhannya.
Akta Veteran 2012 yang masih dalam peringkat menunggu
pewartaan oleh pihak kerajaan turut sama memberi kekuatan dengan menggariskan
aktiviti-aktiviti yang bakal di laksanakan walau pun selari dengan apa yang
PBTM telah laksanakan selama ini namun dengan penubuhan Majlis Veteran
Kebangsaan dengan gagasan fungsi-fungsinya ‘kelihatan’ menjadikan semangat
veteran ATM bakal dipulihkan.
Teras Ke empat ialah mendampingi dan berkerjasama dengan
kumpulan media massa untuk membantu melonjakkan imej persatuan. Tidak dapat disangkal lagi bahawa informasi
merupakan suatu kuasa yang mampu membantu manganjak paradigma sesebuah
organisasi dan media massa juga adalah ejen penyebar yang sangat dinamik bagi
menyalurkan maklumat kepada umum.
Penyebaran maklumat secara dalaman maupun luaran yang bercorak cetak
atau elektronik secara langsung akan memberi gambaran kepada umum tentang
kegiatan atau aktiviti persatuan secara meluas dan konsisten.
Setakat ini edaran percuma buletin tahunan BERJUANG hanya
tertumpu kepada sebilangan ahli dan kadang-kadang liputan dalam media cetak dan
elektronik cuma tersiar bila kelibat ahli-ahli politik mengambil bahagian. Ledakan teknologi maklumat telah membuka
ruang seluas-luasnya untuk PBTM mengambil inisiatif menyalur, berbincang dan
bertukar-tukar pendapat dalam kalangan veteran maupun khalayak umum melalui
laman sesawang malah yang paling popular dewasa ini ialah melalui laman-laman sosial
seperti Forum, Twitter, Facebook dan sebagainya. Semua ini boleh digerakkan secara mudah dan
cepat di peringkat cawangan atau peringkat negeri malah lebih praktikal jika
diurus dan dipantau secara berpusat di peringkat negara.
Pada hemat penulis, empat teras yang digagaskan adalah
merupakan fasa baharu dalam bentuk pemikiran dan tindakbalas kepimpinan terkini
yang boleh dilihat mula bangkit mungkin berdasarkan laporan semasa atau
tindakbalas dari rungutan dan cemuhan ahli dan bukan ahli yang melontarkan
ketidakpuasan hati kepada PBTM dari pelbagai sudut. Namun begitu bukan semua
lontaran kritikan mempunyai asas yang kuat bagi menggambarkan apa yang dituduh
kepada PBTM itu benar kerana kebanyakannya tuduhan liar dan kritikan adalah
berdasarkan emosi sahaja yang berasaskan maklumat yang salah terhadap PBTM.
Menangani Dan Penyelesaian Masalah
Dalam masa yang sama PBTM akan terus memperjuang
habis-habisan dalam menangani dan menyelesaikan beberapa masalah sejagat yang
dialami oleh segolongan besar veteran.
Jurang perbezaan pencen antara veteran terdahulu dengan
veteran sekarang yang amat besar dan ketara kerana tentera terdahulu berpencen
semasa gaji rendah sementara tentera sekarang berpencen semasa gaji
tinggi. Jurang perbezaan ini perlu
dikecilkan beransur-ansur. Pemberian kenaikan pencen tahunan 2 peratus dan
penyelasan gred gaji tentera dan polis dengan penjawat awam baru-baru ini
membuatkan jurang perbezaan semakin besar dan luas.
Elaun Sara Hidup dan Pencen yang diberi kepada Veteran kurang
bernasib baik dan veteran dalam kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah terlalu
rendah dan dalam erti kata sebenar tidak dapat meringankan bebanan mereka untuk
meneruskan kehidupan.
Veteran yang diberhentikan atas sebab disiplin iaitu di bawah
Para 48(A): berhenti kerana tidak siuman, Para 48(B): berhenti kerana keputusan
mahkamah dan Para 49(L): penangguhan perkhidmatan tidak diperlukan lagi demi
kepentingan perkhidmatan langsung langsung tidak mendapatkan perhatian dan
pembelaan di mana di dapati kebanyakan mereka hidup dalam keadaan daif. PBTM berharap semuga kerajaan dapat mempertimbangkan
bantuan kepada keluarga mereka iaitu isteri dan anak-anak supaya mereka tidak
dipinggirkan dari arus pembangunan negara.
Isteri dan anak-anak mereka perlu
diberi kemudahan rawatan percuma di hospital ATM melalui JHEV dan anak-anak
yang masih bersekolah perlu diberi bantuan persekolahan seperti anak-anak
veteran yang lain. Pendek kata mereka
tidak seharusnya dihukum sepanjang hayat.
Masalah lain yang dihadapi oleh veteran ATM yang menjadi
tanggungjawab PBTM ialah masalah perumahan serta kesukaran mendapat peluang
perniagaan dan masalah mendapat pekerjaan yang sesuai.
Penutup
PBTM
juga telah membuat resolusi dan memajukan usul supaya perkataan VETERAN
dikhaskan hanya untuk Bekas tentera dengan mengambil kira
penerimaan istilah ini di peringkat global seperti negara Amerika Syarikat, Eropah
dan Asia yang telah mengkhaskan penggunaan perkataan ini kepada bekas-bekas
tentera sahaja sebagai contoh di rantau ini negara Laos mengiktiraf persatuan
veteran mereka sebagai Lao National Veterans Association, di Thailand
pula diberi nama War Veterans Organisation of Thailand, di Filipina
dengan nama Veteran Federation Of The Philippines dan di Vietnam dengan
nama Veteran Association Of Vietnam.
Perkataan Veteran pada dasarnya sudah banyak digunakan di dalam
organisasi-organisasi lain bagi menggambarkan satu komuniti mantan atau
orang-orang lama yang telah banyak pengalaman dalam bidang masing-masing
seperti bekas tentera, bekas polis, ahli-ahli politik, ahli-ahli sukan dan
lain-lain.
Perkataan itu juga sangat sinonim dan telah diguna pakai
sekian lama di peringkat domestik
seperti Veteran UMNO dan lain-lain samada secara lisan atau dokumentasi.
Persoalannya, apakah organisasi-organisasi sedia ada akan berkompromi supaya akur
dengan ‘permintaan’ untuk tidak mempraktikkan perkataan tersebut pada nama dan
lain-lain dokumentasi berkaitan?.
Sejarah perjuangan
pahlawan-pahlawan negara yang berjuang samada di era sebelum merdeka maupun
pasca merdeka dikenang sampai hari ini. Tugu peringatan sebagai lambang
penghormatan negara kepada perwira dan perajurit yang sanggup mengorbankan
nyawa mereka demi kestabilan dan keamanan tanahair. 31 Julai saban tahun, negara merakam sejarah
keramat ini sebagai Hari Pahlawan selaras tamatnya darurat menentang Pengganas
Komunis Malaya pada bulan Julai 1960. Semasa pemerintahan British, hari
tersebut dikenali sebagai Poppy Day sempena nama bunga poppy tetapi
dalam konteks Malaysia, lambang bunga raya menjadi lambang kepada Hari
Pahlawan.
Di mana-mana negara sekali pun masing-masing menjadikan satu
hari dengan sambutan memperingati perjuangan bekas angkatan tentera mereka.
Amerika dengan Veteran’s Day, Kanada dengan Remembrance day dan
lain-lain negara dengan nama masing-masing yang juga ada negara yang
mengistiharkan cuti umum pada hari-hari peringatan tersebut.
Dalam acara-acara sambutan hari
Pahlawan ini, PBTM adalah di antara pemain utama setiap tahun di dalam
merencana dan melaksanakan aktiviti perhimpunan, aktiviti-aktiviti susulan di
setiap negeri dan kemuncaknya adalah melancar dan promosi kempen Rayuan Tabung
Pahlawan bagi mengutip dana untuk disalurkan kepada pembangunan Veteran ATM
yang memerlukan pembelaan.
Meski pun kewujudan JHEV sebagai
one stop centre kepada bekas tentera namun kekuatan dua orang pegawai
bertugas bagi setiap zon, sememangnya JHEV tidak mampu untuk melihat semua
permasalahan. Justeru, PBTM dan
persatuan-persatuan veteran yang lain masih relevan sebagai pelengkap kepada
JHEV untuk melayan ‘kerenah’ bekas-bekas tentera yang bermacam peel dan ragam. Adalah sangat tidak adil jika ada orang kata
yang PBTM sudah tidak relevan lagi untuk membela nasib atau kebajikan bekas
tentera. PERAJURIT