Oleh
: Razza Bin Willi
Umum mengetahui bahawa Konfrontasi Indonesia dan
Malaysia bermula apabila Presiden Sukarno melancarkan Gerakan Ganyang Malaysia
yang sememangnya menjejaskan keselamatan Negara Malaysia pada ketika itu. Pada
20 Januari 1963 pula, sebuah perhimpunan telah diadakan oleh pihak Indonesia
dan Menteri Luar Indonesia pada masa itu,
Dr. Subandrio telah mengisytiharkan konfrontasi terhadap Malaysia.
Sebagai akibatnya pula, Kepala Staf Strategik Angkatan Darat Indonesia, Jeneral
Achmad Yani telah menasihati Presiden Sukarno agar tidak terus melancarkan
konfrontasi dengan Malaysia kerana ini akan menyebabkan pihak tentera British
dan Australia terlibat konflik dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Walaubagaimanapun, Presiden Sukarno menyifatkan nasihat itu sebagai
membelakangi arahannya.
Dalam usaha Presiden Sukarno menggulingkan penubuhan Malaysia, beliau juga
telah memulaukan Laporan Suruhanjaya Cobbold yang ditugaskan pada tahun 1962
yang bertujuan untuk meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap
penubuhan Malaysia. Konfrontasi Presiden Sukarno telah berubah dari perang
mulut sehingga membawa kepada konfontasi ketenteraan.
Konflik
Indonesia – Malaysia Bermula dengan Tembakan Pertama
Tembakan pertama yang memulakan perang gerila di
sempadan Sarawak – Kalimantan yang berakhir dari 1963 sehingga 1966
dilepaskan pada 12 April 1963 di dalam
pos polis yang terletak di Tebedu yang terletak 40 kilometer dari Kuching.
Tembakan pertama dalam konflik ini telah membunuh seorang anggota polis yang
berpangkat Korperal iaitu, Korperal John Remek yang pada ketika itu sedang
menjalankan tugas di dalam “Charge Room”
setelah menggantikan seorang lagi anggota polis yang bertugas. Beliau merupakan
perajurit pertama yang gugur di dalam serangan pertama di Sarawak oleh pihak
Indonesia.
Korporal John Remek telah diserang hendap oleh
pasukan penyerang Tentera Nasionalis Indonesia yang meluru masuk ke dalam balai
polis tersebut. Korporal John Remek telah
ditembak bertubi-tubi sehingga meninggal dunia pada jam 0200 pagi dan pada
tarikh itu, 12 April 1963 turut merupakan hari Good Friday. Menurut siasatan yang dijalankan, para penyerang ini
telah lama memerhatikan Balai polis Tebedu ini dalam sesuatu tempoh dan ada di
antara mereka telah berpura-pura menjadi peniaga yang mencari rezeki di pasar
yang berdekatan kerana Tebedu merupakan salah satu tempat perniagaan di antara
peniaga Indonesia dan peniaga tempatan utk mencari rezeki. Dengan berpura-pura
menjadi peniaga sehingga bertahun-tahun lamanya, kegiatan pasukan penyerang ini
tidak akan disedari oleh pihak keselamatan (Security
Forces).
Di dalam serangan ke atas Balai Polis Tebedu
tersebut, bilik senjata polis juga telah dicerobohi oleh penyerang tersebut.
Senjata api dan amunisi-amunisi turut dilarikan oleh mereka. Selain itu, mereka
juga melepaskan tembakan ke arah berek polis dan mencederakan seorang konstabel
polis (PC) di lengan kanannya dan turut mencederakan seorang anggota polis yang
berpangkat Korporal di telinga dan peha kanannya. Para penyerang Berjaya
melarikan 13 laras senapang, 2 laras Sterling 9mm Sub Machine Gun (SMG),
sepucuk revolver, selaras Bren Gun, selaras Greener Gun, 3 laras senapang
patah, sepucuk Verey Light pistol dan 85 butir peluru pelbagai jenis.
Sebelum meninggalkan balai polis tersebut,
penyerang-penyerang tersebut turut meninggalakn beberapa keeping gambar tentera
dari Tentera Nasionalis Kalimantan Utara (TNKU) dan satu ‘shoulder patch’ logam yang tertulis “TNKU” dan “BAT-X” sebagai
bukti kehadiran mereka.
Serangan kedua oleh para militant TNKU berlaku pada
27 April 1963. Sebuah lagi Balai Polis di Tebedu telah dijadikan sebagai
sasaran dan kali ini, para penyerang hanya terdiri daripada Sembilan orang
penyerang sahaja. Para penyerang bertindak dengan melepaskan tembakan yang
bertubi-tubi dengan senjata automatic yang dipercayai dilakukan pada jarak
kurang daripada 100 ela ke 200 ela. Namun begitu, para penyerang kali ini
berhadapan dengan pasukan komando British dari 40 Komando Marin Diraja (40th Royal Marine Commandos)
dan Pasukan Polis Hutan (kini dikenali dengan Pasukan Gerakan Am Polis Diraja
Malaysia) yang mengawal seluruh perimeter balai polis tersebut dengan
serta-merta membalas tembakan pihak musuh. Insiden tembak-menembak berlangsung
selama lima belas minit tanpa korban pada kedua-dua belah pihak. Disebabkan
oleh keadaan yang gelap-gelita pada ketika itu, pihak Pasukan Keselamatan tidak
mengejar musuh tetapi sebaliknya, menunggu sehingga awal pagi pada keesokan
harinya utk menjejaki para penyerang itu. Unit anjing pengesan atau Tracker Dogs turut dibawa masuk dari
Kuching oleh pihak tentera British.
Salah satu insiden yang menyedihkan adalah serangan yang dilakukan di Gumbang,
Bau, Sarawak. Kisah ini diceritakan oleh seorang ayah yang berasal dari Sidin,
iaitu sebuah perkampungan kecil Indonesia yang terletak berhampiran dengan
Gumbang, Bau. Beliau yang berasal dari Sarawak, telah Berjaya menyusup keluar
ke sempadan Sarawak bagi mencari perlindungan untuk diri sendiri dan ahli
keluarganya walaupun mereka telah menetap di Sidin selama 20 tahun pada ketika
itu. Menurutnya, sebelum serangan di Gumbang, Bau dilancarkan oleh pengganas
TNKU, mereka telah menghampiri anaknya dengan tujuan untuk memujuk dia bekerja
sebagai ‘porter’ untuk membawa
amunisi dan bekalan makanan kepada mereka. Namun begitu, anaknya telah enggan
bekerjasama dengan para pengganas TNKU ini dan akhirnya, menyebabkan dirinya
dibunuh oleh mereka dengan melepaskan tembakan dari peluru .303 lebih kurang 20 butir.
Pembunuhan ini dilakukan di hadapan ahli keluarga mangsa. Bayangkan keadaan Si
Ibu melihat anaknya dibunuh dengan matanya sendiri! Hanya Allah S.W.T yang tahu
kepedihan ini.
Insiden
Di Long Jawi, Sarawak…Insiden Paling Berdarah Semasa Kempen Konfrontasi
Indo-Malaysia
Insiden Long Jawi, itulah pertempuran paling
berdarah di dalam salah satu kawasan pedalaman dan yang paling sukar untuk
dijejaki kerana darjah ketersampaian yang rendah pada ketika itu. Insiden ini
turut merupakan insiden yang paling teruk di mana ramai perajurit kita yang
terdiri daripada tentera mahupun polis telah gugur dan ramai juga orang awam
yang terbunuh. Di mata pihak Indonesia, korban pada pihak mereka adalah lebih
tinggi berbanding kita sehingga mereka tidak lagi melancarkan apa-apa serangan
hendap pada skala besar di dalam kawasan ‘hostile’.
Namun atas kehilangan yang besar, pertempuran ini
turut menyaksikan ramai daripada perajurit-perajurit kita dari Pasukan
Keselamatan pada ketika itu dikurniakan pingat di atas keberanian mereka
berbanding kempen-kempen yang lain semasa era Konfrontasi Indonesia-Malaysia
sekitar tahun 1963 sehingga 1966.
Inilah kisah pertempuran yang membuktikan musuh kita
sanggup melakukan apa-apa sahaja tanpa belas kasihan demi menjatuhkan
kedaulatan negara kita. Inilah juga serangan yang dilakukan oleh kumpulan
militan Indonesia berkekuatan seramai 100 orang yang lengkap bersenjata di Long
Jawi. Kesemua militan ini mempunyai misi yang sama iaitu menawan ‘garrison’ yang dikawal oleh Pasukan
Keselamatan di mana ianya telah dianggap sebagai halangan demi menyusup masuk
ke Belaga dan berkemungkinan besar untuk menyusup jauh lagi ke dalam kawasan
pedalaman.
Para militant ini telah ditemui sebelum pukul 6 pagi
pada tarikh 28 September 1963 oleh sekumpulan kanak-kanak yang bermain di
pinggir hutan. Kanak-kanak tersebut lantas mengetahui adanya ancaman berbahaya
apabila terserempak dengan kumpulan militant tersebut yang lengkap bersenjata
tetapi pula tidak ditemui pula oleh kumpulan tentera ini. Dengan itu, kumpulan
kanak-kanak ini telah berlari balik ke perkampungan mereka secara senyap untuk
memberitahu yang lain mengenai kehadiran para militant Indonesia di kawasan
itu. Ketua rumah panjang dengan serta-merta menghubungi komander ‘garrison’, Korporal Tasbahadur Gurung
dari ½ Batalion Gurkha yang lantas
mengerahkan sekumpulan pasukan kecil untuk bersiap sedia di sana.
Bak kata pepatah Melayu, “malang tidak berbau”, pada
sekitar jam 0630 pagi, serangan di Long Jawi pun dimulakan dengan pihak musuh
yang melancarkan serangan menggunakan 60mm
Mortar dan tembakan machine gun
yang dihalakan terus kepada Pasukan Keselamatan. Tembakan mortar yang pertama
telah mengenai tepat pada salah satu kubu pertahanan pihak tentera Gurkha dan
membunuh seorang rifleman Gurkha dan
seorang anggota Border Scouts dan
mencederakan tiga lagi anggota Border
Scouts yang lain.
Serangan mortar yang kedua pula membunuh dua ‘wireless operators’, seorang daripadanya merupakan anggota Border Scouts manakala seorang lagi dari
½ Batalion Gurkhas. Akibat daripada
ini, panggilan untuk mendapatkan bantuan (reinforcements)
terbantut dengan kedua-dua anggota ‘wireless operator’ telah gugur dan juga
peralatan ‘wireless’ yang telah
musnah. Pasukan pengganas dengan itu cuba untuk menyerang posisi Pasukan
Keselamatan dengan menggunakan pondok-pondok dan rumah panjang sebagai kubu
pertahanan tetapi gagal disebabkan oleh tembakan yang bertubi-tubi daripada
Pasukan Keselamatan. Di dalam pertempuran ini, seorang anggota Field Force (kini dikenali sebagai
Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia (PDRM)) dan seorang anggota askar
Gurkha telahpun tercedera.
Walaupun diserang secara bertubi-tubi oleh tentera
Indonesia, pasukan keselamatan dapat mempertahankan posisi mereka sehingga pada
tengah hari itu apabila Korporal Tashabadur mengerahkan anggota-anggota yang
lain untuk berundur ke kawasan bukit berhutan yang terletak jauh sedikit
daripada kawasan kampung tersebut. Pengunduran ini adalah disebabkan bekalan
peluru yang semakin berkurangan yang dialami oleh pihak Pasukan Keselamatan.
Penduduk kampung di situ pula tidak dapat memberikan apa-apa bantuan melainkan
membunyikan diri masing-masing di dalam hutan dan hanya mendengar
tembakan-tembakan yang dilepaskan oleh pihak tentera Indonesia dan pihak
Pasukan Keselamatan kita.
Empat anggota askar Gurkha, dua orang anggota Field Force dan seorang anggota Border Scouts serta dua orang askar yang
tercedera berjaya melarikan diri daripada pihak musuh tetapi tidak kepada
sembilan orang anggota Border Scouts,
guru besar sebuah sekolah rendah di Long Jawi dan seorang penolong perubatan
kerajaan yang telah ditangkap oleh pihak tentera Indonesia. Pertempuran antara
pihak tentera Indonesia dan pihak Pasukan Keselamatan kita tamat pada jam 1500
pada hari itu. Pertempuran selama sembilan jam berturut-turut ini berjaya tamat
dengan sepenuhnya dan telah mengorbankan enam orang perajurit dari Pasukan
Keselamatan kita.
Pihak tentera Indonesia yang pada masa itu pula
tidak mencuba untuk menjejaki kumpulan pasukan keselamatan yang telah
meloloskan diri tetapi sebaliknya, mereka membawa prisoners-of-war (banduan perang) ke hulu sungai Batang Balui dengan
menggunakan lima buah bot berkuasa tinggi dan beberapa buah perahu. Tentera
Indonesia ini tidak melepaskan apa-apa tembakan ke arah penduduk kampung di
situ sehingga mereka berjaya tiba di kawasan hulu sungai tersebut. Berbalik
kepada anggota Pasukan Keselamatan yang berjaya meloloskan diri pula, mereka
berjaya tiba di Long Linau yang terletak di hilir sungai Batang Balui pada
September 30. Mereka kemudiannya menyampaikan berita mengenai serangan di Long
Jawi dan kejatuhan ‘garrison’ di Long Jawi kepada pihak tentera British dan
Pasukan Keselamatan yang lain. Dengan itu, satu platun dari Batalion ½ Gurkhas telah diaturgerakkan
ke dalam kawasan Long Jawi dengan menaiki pesawat helicopter jenis Wessex dari Tentera Laut Diraja British.
Ini diikuti pula dengan bantuan-bantuan dari unit tempur yang lain. Sumber
turut mengatakan bahawa satu kumpulan pasukan khas (special force) yang terdiri daripada Rejimen 22 Special Air Service (SAS) dan pasukan Rejimen ke-40 Komando
Marin Diraja British (40th
Royal Marine Commandos) turut dikerahkan ke Long Jawi.
.
Kekuatan sebenar pihak tentera Indonesia yang
menyerang Long Jawi sebenarnya tidak dapat dipastikan. Ia kemudiannya telah
dibuktikan untuk mempunyai seramai 50 sehingga 100 orang tentera kerana
terdapat bukti di mana kem pengkalan tentera Indonesia yang telah dihuni oleh
seramai 100 orang tentera di mana sesetengah daripada mereka adalah ‘porter’ yang bekerja dengan pihak
Tentera Nasionalis Kalimantan Utara (TNKU). Senjata api pelbagai model turut
ditemui termasuklah 60mm Mortar,
selaras GPMG, senapang tempur, sub-machine guns dan bom tangan ketika
kem pengkalan mereka diserbu.
Guru besar sebuah
sekolah rendah di Long Jawi, Lanchang Anak Dato, seorang warga Iban dari
Saratok dan Penolong Perubatan yang berbangsa Kayan, Laeng Lirong dan Usat Anyi
dari Border Scouts berjaya meloloskan
diri daripada pihak tentera Indonesia yang telah menawan mereka. Walaupun
dilanda kelaparan, mereka semua berjaya tiba di kawasan darat iaitu di kawasan
pondok yang terletak di dalam ladang masyarakat orang Long Jawi di Long Leguai.
Nasib malang pula
telah menyebelahi lapan orang anggota Border
Scouts yang lain di mana mereka telah ditembak pada bahagian kaki
masing-masing oleh pihak Tentera Nasionalis Kalimantan Utara (TNKU) supaya
mereka tidak dapat melarikan diri. Kelapan-lapan anggota Border Scouts yang telah cedera ini diikat dengan tali dan telah
dipaksa untuk melutut di atas tanah. Akhirnya, satu persatu daripada mereka
telah ditembak mati oleh anggota tentera Indonesia tanpa mengenal erti belas
kasihan. Mayat kelapan-lapan perajurit dari Border
Scouts yang telah gugur ini kemudian dibawa ke Long Jelangai dan dibiarkan
di situ sehingga membusuk dan ditemui oleh Pasukan Keselamatan. Pembunuhan
kejam ini telah dicatatkan dalam sejarah ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) sebagai Pembunuhan Long Jawi.
Pembunuhan
kelapan-lapan anggota Border Scouts
ini kemudiannya dibalas oleh Pasukan Keselamatan kita semasa pembersihan
tentera Indonesia dari hutan Sarawak. Pada 1 Ogos 1963, dua buah perahu panjang
dengan enjin sangkut yang membawa 26 orang anggota tentera Indonesia dan
beberapa bekalan telah bertembung dengan serangan hendap yang dilakukan oleh
askar Gurkha. Pihak tentera Gurkha yang terkenal dengan ilmu selok-belok perang
mereka pada masa itu, melepaskan tembakan bertubi-tubi dari jarak dekat yang
dipercayai dari senjata jenis 7.62mm FN
MAG General Purpose Machine Gun (GPMG) dan Bren Gun. Tembakan ini dengan serta-merta telah membunuh kesemua
anggota tentera Indonesia dari kedua-dua perahu panjang tersebut. Malah ada yg
beranggapan bahawa arus sungai Batang Balui yang deras pada ketika itu turut
melemaskan tentera Indonesia yang mungkin tercedera semasa tembakan dari
tentera Gurkha itu. Salah sebuah bot tersebut telah berpecah dan dibawa arus
deras air manakala sebuah lagi telah tersadai di tebing sungai tersebut.
Pertempuran hendap oleh tentera Gurkha ini merupakan satu-satunya serangan yang
membunuh tentera Indonesia yang ramai dalam satu serangan hendap sahaja!
Dua hari selepas
serangan hendap oleh pihak tentera Gurkha ke atas tentera Indonesia iaitu pada
3 Oktober 1963, pihak Pasukan Keselamatan pula berjaya membunuh 16 orang lagi
anggota tentera Indonesia dalam pertempuran di dalam hutan. Keesokan harinya, 4
Oktober 1963, pihak Pasukan Keselamatan berjaya 10 lagi orang anggota pihak
tentera Indonesia. Dengan jumlah ‘confirmed
kills’ sebanyak 52 kematian pihak tentera Indonesia yang berjaya dibunuh
dan sebilangannya lagi mengalami kecederaan yang serius dan mungkin meninggal
dunia semasa hendak melarikan diri balik ke sempadan Kalimantan-Sarawak. Sumber
turut mempercayai bahawa tiada anggota tentera TNKU yang akan berjaya sampai ke
tanah Kalimantan kerana disebabkan oleh kelaparan dan kehausan serta kecederaan
yang dialami oleh mereka ditambah pula dengan keadaan hutan Borneo yang lasak.
Untuk memudahkan operasi
pembersihan tentera Indonesia, berita serangan di Long Jawi telah diberhentikan
sementara dan hanya diumumkan pada 4 Oktober 1963. Berita ini mengemparkan
seluruh masyarakat Malaysia kerana pertempuran yang berlaku di Long Jawi adalah
yang terburuk sekali pada masa itu.
I
Pencabulan Ruangan Udara Malaysia
oleh Tentera Indonesia
Dari penyusupan
tentera Indonesia melalui darat dan laut, pihak Indonesia turut menggunakan
ruang udara sebagai salah satu cara untuk memasuki mahupun menyerang ibu
pertiwi kita, Malaysia. Tentera Udara Indonesia memasuki ruangan udara Sarawak
dengan berani tetapi tindakan ini tidak membawa kepada sebarang pertumpahan
darah ataupun pertempuran dalam kalangan pihak Indonesia dan pihak Pasukan
Keselamatan kita. Hal ini adalah kerana pada masa itu, pihak Tentera Udara
British (Royal Air Force) mempunyai
undang-undang ketenteraan yang ketat di mana mereka tidak dibenarkan memasuki
ruangan udara Kalimantan, Indonesia.
Pada jam 1225, 28
Januari 1963 iaitu pada hari Sabtu. Sebuah B-25
Mitchell bomber milik Tentera Udara Indonesia telah memasuki ruangan udara
Bario yang terletak di Tanah Tinggi Kelabit yang pada masa itu terletak di
Bahagian Keempat Sarawak. Kapal terbang pengebom ini terbang pada altitud yang
rendah tanpa menjatuhkan sebarang bom atau menembak kawasan tempat tinggal
penduduk dengan heavy machine gun
yang dipasangkan pada pesawat tersebut. Pesawat ini berkemungkinan untuk
menjatuhkan sebarang bom ke sasaran atau tidak takut untuk dikepung oleh jet
pejuang Tentera Udara British mahupun ditembak dari permukaan darat oleh
senjata Anti-Aircraft yang dimiliki
oleh Pasukan Keselamatan. Pesawat ini kemudiaanya berlegar-legar di ruangan
udara Bario beberapa kali dan menghala ke selatan sebelum balik semula ke
lapangan terbang tentera Indonesia di Pontianak pada jam 1300. Kejadian ini
merupakan detik permulaan yang dikenali sebagai Pencabulan Ruangan Udara
Sarawak, Malaysia oleh pihak Indonesia semasa era konfrontasi.
Mengetahui bahawa
pihak Pasukan Keselamatan kita yang tidak bertindak terhadap pesawat tentera
Indonesia ini, mereka telah semakin berani untuk memasuki ruangan udara negara
kita. Pada hari Ahad, iaitu pada 29 Disember 1963, lebih kurang jam 0900 pagi,
dua buah pesawat M-25 pengebom Mitchell terbang di udara Bario pada altitud
6000 kaki. Sebuah lagi pesawat pengebom Mitchell pula terbang pada ketinggian
300 kaki di kawasan Ba’ Kelalan sejurus pesawat pertama tersebut melakukan
penerbangannya. Masyarakat Kelabit yang banyak menetap di Ba’ Kelalan ini
menjadi takut akibat daripada kedua-dua pesawat tentera Indonesia ini yang
terbang rendah serta bunyi enjin yang bising.
Namun begitu,
bandar Kuching dan Sibu bakal menerima nasib yang sama dengan pencabulan
ruangan udara oleh pihak Tentera Udara Indonesia. 30 Januari 1964 jam 0330 pagi
menyaksikan sebuah pesawat yang tidak diketahui modelnya telah berlegar-legar
di ruang udara Kuching. Bunyi enjin yang tidak dikenali itu sememangnya
menyebabkan ramai penduduk di Kuching bangun pada awal pagi bagi melihat
pesawat tersebut yang terbang pada altitud yang rendah. Pada keesokkan harinya,
pihak Pasukan Keselamatan kita telah menyatakan bahawa pesawat yang terbang di
udara Kuching tersebut adalah dari pesawat Badger atau dikenali sebagai Tupolev TU-16 yang dibuat dari Russia.
Pertempuran Semakin Sengit
Setelah pencabulan
ruangan udara Malaysia oleh pihak Indonesia, pihak tentera Indonesia pula
semakin berani menggaturgerakkan pasukan tentera untuk melakukan serangan
secara besar-besaran mahupun serangan hendap terhadap Pasukan Keselamatan kita.
Ini terbukti pada 19 Februari 1964 di mana sekumpulan anggota rondaan Pasukan
Keselamatan yang terdiri daripada lima orang anggota sedang melakukan pemeriksaan
setelah insiden tembak-menembak di Long Rapun, iaitu di kawasan rumah panjang
yang terletak 10 kilometer utara –timur Bario dan 8 kilometer dari sempadan
Sarawak. Pasukan rondaan ini telah diserang hendap dan menyebabkan dua
perajurit cedera semasa pertempuran (wounded
in action). Kumpulan penyerang yang berkekuatan 10 orang anggota ini
berjaya melarikan diri setelah melakukan serang hendap tersebut. Hampir sebulan
yang lalu, pada 14 Januari 1964, sekumpulan tentera Indonesia seramai 40 orang
anggota telah menyerang sekumpulan Pasukan Keselamatan di sempadan yang bermuka
bumi lasak dan berbukit-bukau yang terletak dekat dengan Bario, Sarawak.
Pertempuran ini berlangsung selama sejam dengan kekuatan pihak musuh yang
berjaya dipatahkan oleh pihak Pasukan Keselamatan. Dengan kelumpuhan yang ada,
pihak tentera Indonesia terpaksa berundur kembali memasuki sempadan Indonesia kerana
kemaraan pihak Pasukan Keselamatan dalam kawasan tersebut.
Seorang mayat musuh
telah ditemui dalam kawasan pertempuran manakala beberapa orang anggota tentera
Indonesia telah dipercayai terkena tembakan dari Pasukan Keselamatan di mana titisan-titisan
darah musuh telah menandakan laluan untuk mereka melarikan diri ke sempadan
Indonesia. Tiada korban jiwa dilaporkan pada pihak Pasukan Keselamatan kita.
Manakala di
Bahagian Kelima Sarawak bersempadan dengan Bahagian Keempat yang berdekatan
dengan Bario, seorang lagi tentera Indonesia berjaya dibunuh oleh Pasukan
Keselamatan. Tentera Indonesia yang dibunuh ini merupakan salah seorang
daripada tiga orang tentera Indonesia yang berdepan dengan serangan hendap dari
pihak Pasukan Keselamatan . Pada 23 Januari iaitu di kawasan pertempuran yang
sama, satu lagi pertempuran telah berlaku antara pihak Pasukan Keselamatan
dengan pihak Tentera Indonesia yang menyusup masuk melalui sempadan. Di sinilah
pihak Pasukan Keselamatan telah berhadapan dengan pihak musuh yang berkekuatan
seramai 60 orang anggota tentera, sejam setelah waktu subuh dalam keadaan
berkabus tebal. Pertempuran ini berlaku di sebuah kawasan hutan tebal primer
dan setelah berbalas tembakan antara kedua-dua pihak, pihak tentera Indonesia
dipaksa untuk berundur setelah beberapa anggotanya terbunuh dan beberapa lagi
tercedera. Pihak Pasukan Keselamatan pula kehilangan seorang perajurit dan dua
orang anggota tercedera.
Pada 20 Februari
pula di bandar Lundu yang berdekatan dengan persisiran laut, sekumpulan Pasukan
Keselamatan dari Rejimen ke-42 Komando Diraja British telah diserang hendap.
Salah seorang daripada anggotanya sedang melakukan pemeriksaan kad pengenalan
terhadap penduduk yang menghuni di sebuah pondok kebun ketika mereka diserang
dan ditembak oleh sekumpulan tentera Indonesia yang lengkap beruniform.
Serangan hendap ini telah mengorbankan Korporal Reginald Chappell dan
menyebabkan empat lagi anggota Komando British tercedera. Walaubagaimanapun, dengan semangat pantang berundur sebelum ajal
yang ada dalam diri setiap anggota komando, keempat-empat komando British yang
tercedera ini bangkit semula dari kecederaan yang dialami dan bertempur semula
dengan pihak tentera Indonesia.
Pada 21 Februari
pula iaitu pada hari Jumaat, pihak tentera Indonesia telah menyerang satu lagi
posisi pihak Pasukan Keselamatan yang terletak di sempadan Tringgus di Daerah
Bau, Kuching. Di dalam pertempuran ini, dua orang anggota dari Field Force Polis Diraja Malaysia (kini
Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia) telah gugur syahid mempertahankan ibu
pertiwi manakala enam lagi anggota Field
Force yang lain telah tercedera. Pertempuran ini berlaku dengan kedua-dua
pihak berbalas tembakan secara sengit tetapi akhirnya, pihak tentera Indonesia
memilih untuk berundur. Kedua-dua jenazah perajurit yang gugur ini diterbangkan
kembali ke Kuala Lumpur dengan menggunakan pesawat Hercules C-130 pada keesokan hari bagi upacara persemadian. Dua
orang perajurit yang gugur syahid ini adalah Police Constabel (Konstabel Polis) Jamaluddin Bin Sa’ad dan Korperal
Abdul Majid Bin Abdul Rahim.
“Game-Changer” : Pesawat dari
Tentera Udara Diraja British Mempertahankan Ruangan Udara Malaysia
Setelah ruangan
udara Malaysia puas dicabuli oleh pesawat dari tentera Indonesia, kini pelan
strategi telah berubah. Di Kuching, seorang jurucakap bagi pihak Pasukan
Keselamatan telah mengeluarkan kenyataan bahawa, jet-jet pejuang dari Tentera
Udara Diraja British kini beroperasi di kawasan-kawasan Borneo (Sabah dan
Sarawak) dalam menyokong cadangan yang telah diambil kira oleh Kerajaan
Malaysia pada masa itu.
Jet-jet pejung
British ini merangkumi jet pejuang subsonik yang berenjin satu dari jenis
Hawker-Hunter dan jet pejuang pemintas “all-weather”
iaitu Gloster Javelin atau lebih dikenali sebagai Javelin. Kedua-dua jet
pejuang ini telah dilengkapi dengan meriam 30mm ADEN (Armament Development Established, Enfield). Biasanya, orang ramai akan menonton jet-jet
pejuang ini berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Kuching pada hujung
minggu. Saat yang digemari oleh orang awam ini adalah ketika jet pejuang
Hawker-Hunter ini mendarat di landasan pendaratan.
Lapangan Terbang
Kuching merupakan lapangan terbang yang paling sibuk selepas insiden serangan
pertama di Tebedu. Pesawat pengangkut pelbagai jenis dari Tentera Udara Diraja
British seperti Beverley dan Argosy, Hastings serta Valleta
akan dilihat berlepas dan mendarat dengan membawa sejumlah anggota tentera,
senjata dan bekalan. Begitu juga dengan pesawat dari model Little Spotter Auster, Single Pioneer dan Twin Pioneer dari Kor Pasukan Udara Tentera Darat British (Royal Army Air Corps) yang berlepas dan
mendarat sejurus melakukan guguran bekalan dari udara (air-dropped supply) untuk pasukan tentera darat di sepanjang
sempadan. Selain itu, helikopter juga turut digunakan dalam operasi semasa
menentang tentera Indonesia. Antara helikopter yang digunakan adalah dari jenis
Wessex, Whirlwind, Aloutte, Hiller, Sioux dan helikopter terbesar
Tentera Udara Diraja British iaitu, Bristol
Type 192 Belvedere yang berenjin kembar.
Jet pejuang
pemintas Javelin merupakan jet pejuang yang sering digunakan bagi rondaan
intensif dalam ruangan udara Sarawak. Jet pejuang ini dilengkapi dengan meriam
30mm ADEN dan turut dilengkapi dengan sistem misil udara-ke-udara (air-to-air missile) Firestreak. Sebarang
pesawat yang gagal mematuhi undang-undang Air
Defence Identification Zone di Sarawak, Sabah dan Brunei akan dipintas oleh
jet-jet ini.
Sejurus setelah
undang-undang yang ketat dikeluarkan oleh pihak British terhadap ruangan udara
Borneo, arahan turut dikeluarkan kepada pihak autoriti Kawalan Udara di Asia
Tenggara mengenai prosidur yang perlu dititikberatkan oleh semua pesawat yang
memasuki ruangan udara Sarawak, Sabah mahupun Brunei. Peranan yang akan
dimainkan oleh jet-jet pejuang Tentera Udara Diraja British pula kini adalah
untuk menjaga ruang udara Sarawak daripada sebarang pencerobohan yang boleh
mengugat kedaulatan negara di samping membantu untuk menjaga perairan negara
Malaysia seperti yang telah diamanatkan oleh Kerajaan Malaysia. Sebarang
tindakan memintas atau menyerang pesawat yang mencerobohi ruangan udara
Sarawak, Sabah mahupun Brunei adalah di bawah Kerajaan Malaysia dan arahan ini
merupakan hasil antara kerjasama Malaysia dan British semasa era Konfrontasi
setelah Indonesia telah mengancam akan melakukan air-drop kepada pihak tenteranya yang berada di dalam sempadan
Malaysia.
Bagi membantu
masyarakat yang menetap di kawasan pedalaman Sarawak untuk mengenali
pesawat-pesawat milik Tentera Udara Diraja British, risalah berupa gambar dan
model pesawat-pesawat telah dicetak dan diagihkan kepada seluruh penduduk.
Namun, ruangan
udara Malaysia sekali lagi dicabul oleh pihak Indonesia. Kali ini, pada 25 Ogos
1965 iaitu pada hari Rabu tengah hari, dua buah pesawat dipercayai dari jenis
pesawat pengebom M-25 Mitchell telah menembak
perkampungan masyarakat Kelabit dengan menggunakan machine gun berkaliber 12.7mm dari udara sambil terbang
mengelilingi sasaran sebelum beredar. Lagak penembakan oleh pihak musuh ini
umpama pesawat AC-130 Spooky Gunship milik
Amerika Syarikat pada masa kini, sedang melakukan penembakan secara
bertubi-tubi dari udara. Perkampungan yang diserang ini adalah terletak di
sebuah perkampungan terpencil iaitu Pa Umor, empat kilometer dari Bahagian
Keempat Sarawak. Sebaik sahaja berita buruk ini diterima oleh pos kawalan
Pasukan Keselamatan yang berdekatan, Pasukan Keselamatan dan
paramedik-paramedik diaturgerakkan ke lokasi tersebut. Dan berkat doa orang
awam yang tidak bersalah, Pasukan Keselamatan dan paramedik yang digerakkan
terkejut apabila mereka mengetahui bahawa tiada sebarang korban pada pihak
orang awam semasa serangan dilakukan dan hanya sedikit kerosakan pada
perkampungan tersebut. Insiden ini sememangnya merupakan mimpi ngeri bagi
penduduk Pa Umor setelah mengetahui pihak musuh sedang menembak ke arah mereka
dari udara. Jet-jet pejuang turut segera digerakkan bagi operasi mencari dan
memusnah (search and destroy)
kedua-dua pesawat Tentera Indonesia ini.
Seorang jurucakap
bagi pihak Kerajaan memberi komen bahawa serangan yang dilakukan oleh tentera
Indonesia di Pa Umor ini adalah 100% gagal manakala Ketua Menteri Sarawak pada
ketika itu, Dato Stephen Kalong Ningkan, menyebut insiden serangan ini sebagai
satu serangan tanpa belas kasihan kerana ianya mengancam keselamatan penduduk
awam yang tidak bersalah. Beliau turut menyatakan bahawa serangan di Pa Umor
menunjukkan taring sebenar Indonesia yang sedang berusaha untuk meningkatkan
moral tentera daratnya yang semakin berkurangan disebabkan oleh kemaraan
Pasukan Keselamatan dan operasi-operasi pembersihan tentera Indonesia dari
Sarawak pada masa itu.
Selain daripada
serangan udara di Pa Umor, Ogos 1965 merupakan bulan yang membawa malang kepada
pihak tentera Indonesia. Dalam suatu pertempuran pada hari Ahad Ogos 29 di
daerah Bau, tentera-tentera Indonesia yang lengkap bersenjata telah mengalami
18 orang korban di mana semua daripadanya dipercayai telah dibunuh oleh anggota
Pasukan Keselamatan. Dua orang perajurit dari Pasukan Keselamatan juga
tercedera semasa pertempuran tersebut. Selain itu, di daerah Serian, empat
orang warganegara Indonesia yang dipercayai tentera Indonesia turut terbunuh
pada Hari Malaysia iaitu pada tanggal 31 Ogos 1965 setelah sekumpulan tentera
Indonesia sedang diserang hendap oleh anggota Pasukan Keselamatan. Berdasarkan
maklumat yang diperolehi oleh orang awam di mana penduduk di daerah Serian
telah terserempak dengan sekumpulan tentera Indonesia, pihak Pasukan
Keselamatan pun melaksanakan serang hendap terhadap mereka.Setelah pihak musuh
berada dalam jarak dekat, anggota Pasukan Keselamatan pun melepaskan peluru
maut secara bertubi-tubi dan membunuh keempat-empat tentera itu dengan
serta-merta. Seorang perajurit mengalami kecederaan semasa insiden
tembak-menembak ini.
Aset Udara Tentera Indonesia Musuh
di Tanah Sarawak bumi Kenyalang
Pada tanggal 17
September 1965 iaitu pada hari Jumaat, pihak Tentera Udara Indonesia mengalami
satu kehilangan yang besar apabila pesawat pengangkut Hercules C-130 mereka telah dilihat terbakar di udara sebelum jatuh
terhempas di atas tanah. Pesawat ini dipercayai telah hilang kawalan setelah
ianya hendak mengelakkan diri daripada dipintas oleh jet pejuang Javelin milik
Tentera Udara Diraja British.
Insiden ini berlaku
di kawasan Long Bawang (kini dikenali dengan nama Lun Bawang), iaitu berdekatan
dengan sempadan Bahagian Kelima Sarawak. Insiden ini turut disaksikan oleh
anggota pihak Keselamatan yang sedang mendirikan pos pemerhatian di sempadan
tersebut. Seorang saksi mengatakan bahawa pesawat C-130 ini telah dilihat terbang di ruangan udara Sarawak pada
kira-kira jam 1720 setelah melakukan pengguran bekalan dari udara sebanyak 20
payung terjun di sekitar lembah Lun Bawang. Bekalan ini merangkumi amunisi,
barang makanan dan segala peralatan penting bagi menyokong operasi-operasi
pihak tentera Indonesia yang sedang berada di dalam sempadan Sarawak. Kesemua
payung terjun ini terbuka dengan sempurna dan mendarat di Dropping Zone (Zon Pengguguran). Setelah selesai operasi
pengguguran bekalan, pesawat C-130 ini melakukan satu pusingan di udara dan
kali ini kembali lagi dengan penerbangan pada altitud yang lebih rendah
berbanding yang sebelumnya.
Pada saat inilah,
salah sebuah enjin pesawat C-130
tersebut dilihat telah meletup dan terbakar dan diikuti dengan pintu belakang
pesawat tersebut yang terbuka secara tiba-tiba. Muatan-muatan sebanyak 40
muatan turut dilihat terjatuh keluar dari pintu belakang pesawat tetapi kali
ini tiada payung terjun yang dilihat bersama-sam objek ini. Dan, disebabkan
pesawat C-130 ini yang terbang pada
altitud yang sangat rendah, saksi yang menyaksikan insiden ini tidak dapat
menyatakan bahawa “objek” yang terjatuh keluar dari pesawat tanpa payung itu
adalah tentera atau barang bekalan. Sejurus itu, pesawat ini terlihat hilang
kawalan dan akhirnya, menjunam ke arah tanah.
Impak sebenar
pesawat C-130 itu sebenarnya tidak
dapat dilihat dari pos pemerhatian Pasukan Keselamatan tetapi hanya bunyi
letupan sahaja yang dapat didengar dan beberapa saat kemudian, kepulan asap
dapat dilihat dari jauh dari atas lembah Lun Bawang oleh anggota Pasukan
Keselamatan. Berita benar mengenai insiden itu diterima kemudian setelah
anggota Pasukan Keselamatan yang sedang meronda di kawasan tanah tinggi
menyatakan bahawa mereka telah melihat pesawat C-130 itu terhempas. Pesawat Hercules
C-130 ini seperti yang telah dijelaskan, sedang melakukan pengguguran bahan
bekalan kepada tentera-tentera Indonesia yang berdekatan dengan sempadan dan
Agensi Berita Antara yang beroperasi di Jakarta, Indonesia mengakui bahawa sebuah pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Indonesia telah mengalami
kebakaran setelah menjalankan misi pengguguran bahan bekalan di sepanjang
sempadan Borneo.
Pada tanggal 19
September (hari Ahad) di Kuala Lumpur, Timbalan Perdana Menteri pada ketika
itu, iaitu ayahanda kepada Perdana Menteri kita pada masa kini, Tun Abdul Razak
Hussein, telah menyatakan bahawa insiden pesawat terhempas pada hari Jumaat
yang lalu di Lun Bawang yang berdekatan dengan sempadan Bahagian Keempat/Kelima
Sarawak sebagai salah satu cubaan oleh pihak Indonesia untuk mencerobohi
ruangan udara Malaysia. Beliau turut menyatakan bahawa insiden ini merupakan
pencabulan ruangan udara yang kedua oleh pihak Indonesia dalam tempoh beberapa
minggu yang lepas. Dua minggu yang lepas (sebelum insiden pesawat C-130
terhempas berlaku), dua buah pesawat pengebom M-25 Mitchell telah menembak dari
udara ke arah sebuah rumah panjang yang terletak dalam sempadan Sarawak, beberapa
kilometer dari lokasi pesawat terhempas pada hari Jumaat tersebut. Beliau turut
mengesahkan bahawa pihak United Nations turut akan diberitahu mengenai hal ini.
Selain itu, Tun Abdul Razak juga mengesahkan bahawa pihak Indonesia sedang
memantapkan posisi mereka di sepanjang sempadan Bahagian Keempat dan Kelima
Sarawak dengan terup-terup yang baru.
Namun bagaimanapun,
kehadiran jet-jet pengempur dan pemintas dari Tentera Udara Diraja British
telah mematahkan cubaan pesawat pihak musuh untuk menyusup jauh ke dalam
ruangan udara Sarawak. Rondaan intensif dan menyeluruh yang dijalankan setiap
hari tanpa mengenal erti penat lelah oleh juruterbang-juruterbang British ini
telah berjaya memberi satu titik noktah pada pencabulan ruangan udara Malaysia
oleh Indonesia.
Pertengahan tahun 1965 menyaksikan Indonesia mula menggunakan pasukan rasminya setelah
kesemua pasukan komando (kini dikenali dengan nama Komando Pasukan Khusus,
KOPASSUS) dan sukarelawan yang melakukan penyusupan di Malaysia gagal. Pada 28
Jun, mereka menyeberangi sempadan ke timur Pulau Sebatik berhampiran Tawau,
Sabah dan cuba melakukan serangan dan sabotaj ke atas kem Rejimen Askar Melayu
Diraja di Tawau, namun cubaan itu gagal kerana kem itu berhampiran dengan balai
polis dan disedari oleh anggota-anggota polis di situ dan berjaya mematahkan
cubaan itu.
Penutup
Menjelang akhir
tahun 1965, Presiden Sukarno berjaya digulingkan oleh Jeneral Soeharto setelah
berlakunya rampasan kuasa dan disebabkan hal ini, fokus pihak Indonesia untuk
menyerang Malaysia telah berkurangan dan akhirnya, peperangan antara dua buah
negara jiran ini telah menemui titik noktahnya secara rasmi pada tahun 1967
setelah rundingan perdamaian dibuat antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan
Indonesia di Bangkok, Thailand pada tanggal 28 Mei 1966.
Pelbagai
peristiwa-peristiwa yang tragis turut berlaku sepanjang tempoh Konfrontasi dari
tahun 1963 sehingga 1966. Peperangan inilah yang juga telah melahirkan
hulubalang-hulubalang dan perwira negara yang berani mati demi mempertahankan
negara tercinta. Pihak Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia akan
tetap menjaga kedaulatan negara kita daripada diancam oleh anasir-anasir luar
yang bermatlamat songsang kepada negara ini. Kita sebagai rakyat Malaysia
haruslah berganding bahu demi keamanan yang dicapai pada hari ini agar tiada
lagi istilah “konfrontasi terhadap negara kita” berlaku pada masa yang akan
datang.