Sumber:Majalah Perajurit
Oleh: Hamzah hd
Oleh: Hamzah hd
Tahun
2013 pada dasarnya merupakan suatu fitrah transisi masa yang mana perubahan ini
merupakan suatu garisan zaman sempadan pemula dan pengakhir bagi menilai
sesuatu pencapaian samada baik atau sebaliknya terhadap individu maupun
organisasi yang mewakili kelompok-kelompok sesuatu kehidupan di muka bumi secara
umumnya berdasarkan gerak kerja yang telah dilaksanakan sebelumnya.
Tentera
Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 27 April akan meletakkan usia organisasi
pertahanan maritim ini kepada angka 79 tahun yang mana jika disamakan dengan
usia manusia, telah mencapai suatu usia yang
sangat matang. Namun begitu
kematangan sesuatu organisasi seperti
TLDM tidak boleh diukur berdasarkan umur semata-mata tetapi harus dinilai
secara holistik melalui pencapaian tahun demi tahun sejak penubuhannya
berdasarkan pembangunan infrastruktur seperti pembangunan pangkalan-pangkalan
baharu, penambahan aset serta aset-aset strategik malah sesuatu yang sangat
penting juga adalah pembangunan sumber manusia serta keberhasilan dalam operasi
dan pertahanan negara.
Dengan penambahbaikan
dan inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan dalam aspek pengurusan sumber
manusia dalam bentuk penambahbaikan ganjaran serta faedah perkhidmatan seperti
kenaikan gaji minimum, peningkatan tangga gaji maksimum, kenaikan gaji tahunan,
kenaikan elaun perkhidmatan yang lebih tinggi kenaikan pangkat secara time
based, kenaikan band gaji dan
lain-lain telah memberi impak serta lonjakan usaha yang menjana kepada suatu
transformasi yang lebih positif kepada perkhidmatan.
Pendekatan lain dalam
konteks pengurusan sumber manusia yang telah diberi nafas yang juga turut
menjana kepada pencapaian positif ialah penambahbaikan skim perkhidmatan dengan
peningkatan kelayakan akademik bagi kemasukan ke dalam perkhidmatan ATM.
Kelayakan bagi kemasukan ke skim pegawai ditingkatkan kepada Ijazah Pertama
(dengan kepujian), manakala kemasukan bagi skim LLP pula dinaikkan kepada Sijil
Pelajaran Malaysia. Penambahbaikan skim ini membolehkan warga ATM umumnya
menikmati skim gaji yang lebih tinggi serta lebih berwibawa mengadaptasikan
teknologi yang semakin sopistikated.
Jika
diimbas 79 tahun yang lampau, bermulanya sejarah pertahanan maritim dalam Perairan
Malaysia adalah penglibatan beberapa orang warga negara yang menjadikan
kerajaan dan aset kolonial sebagai platform perjuangan. Biar pun ianya tidak boleh dinilai sebagai
sesuatu pencapaian TLDM secara khusus kerana penglibatan warga negara pada masa
itu tidaklah begitu besar jumlahnya namun,
penglibatan sebilangan kecil mereka itu merupakan suatu pengorbanan yang
sangat besar memangkin kepada bermula sejarah tertubuhnya cawangan TLDM itu
sendiri.
Kegigihan
sekumpulan
anak-anak muda Melayu yang tiada kelulusan akademik seperti mana sekarang
sebagai syarat kemasukan, telah memilih samudera raya sebagai medan untuk
menabur bakti menentang pencerobohan Tentera Jepun terhadap Tanah Melayu
bersama-sama tentera Laut penjajah British yang pada ketika itu sedang menjajah
Tanah Melayu. Dengan kebolehan dan komitmen yang ditunjukan oleh anak-anak muda
peribumi maka sebuah sayap sukarela telah ditubuhkan oleh Tentera Laut Diraja
British dan diberi nama The Straits Settelment Naval Volunteer Reserve
yang beroperasi di Singapura. Walau bagaimanapun kerana kekangan ekonomi,
seksyen sukarelawan Melayu ini dibubarkan pada tahun 1947 dan menubuhkan
kembali pada tahun 1949 dengan nama Malayan Naval Force (MNF) untuk menghadapi
ancaman Tentera Jepun yang mendarat di Tanah Melayu. Sesuai dengan kebolehan
yang telah dipamirkan, Ratu Elizebeth II telah berkenan menganugerahkan
Panji-panji Diraja kepada MNF berkuatkuasa dari 1 Jun 1958 yang mana telah
digunakan sehingga kini sebagai panji-panji TLDM yang berdaulat.
Pada suatu ketika, pengiraan tarikh penubuhan TLDM
diambilkira dari penubuhan MNF tetapi melalui kajian pakar-pakar sejarah dalam
era 80an mendapati penglibatan anak Melayu di dalam pertahanan maritim bermula
hampir serentak dengan penglibatan anak Melayu dalam Infantri pada tahun 1933.
Dengan penemuan ini maka penetapan tarikh penubuhan TLDM adalah pada 27 April
1934.
Secara rasminya TLDM memikul tanggungjawab untuk menjaga Perairan
Persekutuan ialah pada tahun 1958 dengan hanya sebuah Pangkalan Pusat di HMS
Malaya dan beberapa buah kapal seperti Landing Craft, Penyapu Ranjau dan
beberapa buah kapal Ronda. Selepas
pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, kekuatan aset mula ditambah secara
beransur-ansur mengikut keperluan semasa.
Sejarah kepimpinan TLDM, jawatan Panglima Tentera Laut (PTL)
telah dimulai oleh
2 orang dari Pegawai Tentera Laut Diraja British (RN) dan 2 orang dari Pegawai
Tentera Laut Diraja Australia (RAN) sehingga 1967. PTL dari anak watan pertama telah telah diisi oleh Laksamana Muda (Laksda)
K Thanabalasingam. Jawatan ini seterusnya digantikan
oleh Laksdya Dato’ Mohd Zain bin Mohd Salleh pada tahun 1977. Laksamana (Admiral) adalah pangkat tertinggi
di dalam hierarki pangkat tentera laut. PTL yang ke 6 iaitu Laksamana Tan Sri
Dato' Seri Abu Bakar Bin Abdul Jamal (1998 - 2002) adalah Panglima pertama TLDM
yang menyandang pangkat tersebut dan legasi kepimpinan Melayu kini bersilih
ganti sehingga sekarang yang merupakan PTL yang ke 11 adalah Laksamana Tan Sri
Abdul Aziz bin Haji Jaafar yang mengambil alih jawatan tertinggi TLDM ini pada
1 April 2008 hingga sekarang.
To Be A World Class Navy
Untuk
menjadikan pencapaian sebagai mercu tanda pada usia ini, banyak proses yang
telah berlaku hasil dari perancangan dan imaginasi generasi terdahulu dan
direalisasikan oleh generasi-generasi terkemudian. Kesinambungan ini menggambarkan pertalian
erat pimpinan TLDM terdahulu dengan pimpinan terkemudian yang saling
melengkapi dan berkesinambungan dalam
usaha menggapai kehendak misi dan visi TLDM yang realistik dan mampu
dicapai. Apa yang penting untuk
mengekalkan piawaian dan profesionalisme the navy people, mind-set mesti
berada pada skala positif pada sebilang masa.
TLDM
sudah pun berganjak dari brown water
kepada blue water navy. TLDM sudah bertaraf dunia. Meski pun tiada
pencapaian yang boleh dinilai dalam konteks peperangan sebenar namun keupayaan
dalam menjaga kedaulatan perairan dan menangani peperangan tidak simetri
domestik dan antarabangsa sepanjang 79 tahun telah terbukti dan tidak boleh
diragui. Justeru, tidak hairanlah jika
kita dengar dan baca laporan dari media cetak, media elektronik malah media
baharu turut memperkatakan ungkapan yang sama bagi menggambarkan keupayaan,
kemampuan dan kesiagaan yang telah diterjemahkan oleh warga navy people dalam siri-siri latihan domestik, bilateral,
multilateral malah kejayaan-kejayaan dalam operasi sebenar di arena
antarabangsa. Sepanjang
tahun 2012, TLDM telah terlibat dengan 20 eksesais dalaman, antara perkhidmatan
dan antarabangsa. Di samping itu, TLDM juga terlibat dengan 7 operasi 24 jam,
termasuk OP FAJAR yang melibatkan dua kapal Auxiliary TLDM.
Kejayaan juga boleh diukur dengan pencapaian
TLDM menggandakan kuasa tempur aset-aset kombatan, aset strategik dan bantuan
walaupun belum dikira mencukupi kepada suatu angka pertahanan ampuh namun
keupayaan mengekalkan keamanan dan keselamatan persekitaran maritim yang kondusif kepada pengguna umum sudah
dikira sangat baik setakat ini. Sudah
tentu TLDM dengan penuh sabar meminta dan mengharap pihak kerajaan mencukupkan
keperluan sebenar TLDM bagi mengurus keselamatan perairan secara konsisten dan
kompeten.
Kejayaan TLDM dalam operasi penembakan tiga misil dari tiga
platform berlainan iaitu sasaran permukaan oleh misil Exocet MM40
(LEKIU) serta misil Sea Skua (helikopter Super Lynx) dan sasaran udara
bagi misil Sea Wolf (LEKIU) berjaya mengenai dan memusnahkan sasaran dan
ini merupakan satu pencapaian yang terbaik, membuktikan semua sistem
berfungsi dan berintraksi dengan baik. Sistem peralatan merupakan subjek sinonim
dalam dunia tentera laut yang mana ianya merupakan asas kepada trilogi man,
machine and method. Kemahiran
menembak sasaran yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar memerlukan bukan
sahaja pengetahuan tentang teknologi dan kemampuan persenjataan balistik tetapi juga mengutamakan keserasian
manusia dan mesin yang tinggi seperti radar dan sistem kombat.
Hakikatnya,
keupayaan setiap warga navy people dalam merealisasikan slogan move,
float and fight secara efektif di dalam persekitaran ketidaktentuan,
ketakutan, kelesuan dan bahaya yang lazim ditempuhi di dalam keadaan perang
sudah teruji dan berkesan tanpa memerlukan orang luar berdiri di samping. Pada
asasnya pengantaramukaan yang efektif dalam konteks ini akan dapat mencetus
sinergi terhadap sub-system yang lain di dalam TLDM. Justeru, di dalam proses untuk memperolehi aset,
persenjataan dan ekuipmen moden dan
canggih, TLDM telah membuktikan bahawa trilogi man, machine and
method sedang diaplikasikan dengan baik selari dengan analogi sistem abad ke 21 telah
dikendalikan oleh anggota bermentaliti abad ke 21.
Dalam
menentukan penambahbaikan berterusan, TLDM turut menseimbangkan pembangunan
prasarana, infrastruktur dan pembangunan modal insan. Mawilla- mawilla baharu dan
pangkalan-pangkalan strategik dibangunkan bagi menyempitkan keluasan kawasan
dengan membahagikan tanggungjawab dalam usaha memberi jangkauan dan tindakan
drastik boleh diambil bagi mengekang
dan menyelesaikan sesuatu potensi yang
boleh mencetus pergolakan jangka panjang. Pembangunan dan penambahbaikan semasa
dan terkini ialah projek pembangunan Pangkalan TLDM Lumut yang meliputi
pembinaan bangunan Markas Bantuan, pembangunan semula Markas Udara berserta Menara
Kawalan Trafik Udara, Projek pembinaan bangunan pentadbiran, bangunan penginapan,
kolam renang dan kemudahan-kemudahan lain di KD SRI TAWAU. Nilai penjimatan
yang terhasil telah dimanfaat bagi melaksanakan projek-projek seperti pembaikan
menyeluruh Wisma Pelayaran, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, pembaikan menyeluruh
Wisma Laskar dan kolam renang di KD SRI SEMPORNA dan lain-lain.
Merujuk kepada Perutusan Tahun Baharu 2013 Panglima Tentera Laut
(PTL), tahun 2012 menyaksikan TLDM telah berjaya mengekalkan tahap
pengoperasian dan pelaksanaan misi, serta berjaya menentukan kebajikan dan
kesejahteraan warganya terus dijaga. Dengan kenaikan peruntukan sebanyak 2.46%
pada tahun 2012, TLDM berjaya melaksanakan aktiviti-aktiviti penambahbaikan ke
arah mencapai visi To be a World Class Navy.
Tambah beliau, dalam konteks kecemerlangan operasi dan eksesais,
TLDM terus mengukuhkan nama di persada antarabangsa dengan kejayaan
perlaksanaan OP FAJAR di Teluk Aden. Kedua-dua kapal Auxiliary TLDM iaitu BUNGA
MAS 5 dan BUNGA MAS 6 telah berjaya mengiringi sebanyak 100 buah kapal MISC
dalam tahun 2012 tanpa berlaku sebarang insiden. Bagi operasi dalam negara
pula, TLDM berjaya melaksanakan OP TENAGA 1 dan 2, iaitu operasi mengiringi Baj
yang membawa peralatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari Langkawi ke Tawau,
Sabah. Empat kapal TLDM iaitu KD KEDAH, KD TODAK, KD SERANG dan KD SRI PERLIS
telah ditugaskan dan telah berjaya melaksanakan misi ini dengan selamat.
Bagi memperkukuhkan keupayaan dan pengoperasian armada, TLDM telah
melaksanakan beberapa inisiatif iaitu
kontrak pemanjangan hayat misil Vertical Launch Sea Wolf (VLSW) telah
dibuat bagi kumpulan kedua pada 13 Mei 2012. Keupayaan dan kejayaan misil yang
telah dipanjangkan hayat ini telah dibuktikan melalui penembakan oleh KD LEKIU
pada 23 Oktober yang lalu. KD LEKIR
telah menjalani proses Ship Life Extension Period (SLEP) dijangka siap
pada tahun 2014. Bagi menentukan jadual
siap pasang pulih kapal dipatuhi, TLDM telah mengekalkan prinsip untuk memilih
limbungan yang terbukti mampu menyiapkan kapal mengikut tempoh pasang pulih
yang dipersetujui. Prinsip ini sangat
penting bagi mengekalkan tahap pengoperasian kapal dan kesiagaan armada TLDM
yang tinggi, dan tidak terjejas oleh kelewatan kerja pasang pulih kapal
sebagaimana yang berlaku sebelum ini.
Manakala
perolehan aset terbaharu ialah dua buah kapal latihan yang dibina oleh Syarikat
NGV Tech Sdn Bhd. Kapal pertama yang
namakan GAGAH SAMUDERA ini telah dilancarkan pada 14 Disember 2012 lalu dan
dijangka siap pada pertengahan tahun
ini. Selain itu, perolehan sebuah Ten
Man Two Compartment Decompression Chamber telah dibuat pada 28 Jun 2012 dan
ditempatkan di Markas Wilayah Laut 2 bagi meningkatkan lagi kemampuan Pasukan
Selam TLDM dalam usaha membantu operasi Markas Angkatan Kapal Selam. Perolehan lima buah motosikal berkuasa tinggi
Honda ST1300 PAC untuk kegunaan PROTELA Lumut bagi tujuan kawalan trafik dan
tugas-tugas mengiring.
Dalam
aspek hidrografi, Pusat Hidrografi Negara (PHN) telah menjadi peneraju kepada
pelbagai inisiatif yang berkaitan dengan hidrografi. Di antara inisiatif tersebut
ialah penganjuran Hari Terbuka PHN yang julung kali diadakan sempena Hari
Hidrografi Sedunia, serta penganjuran Bengkel Seabed Classification bagi
East Asia Hydrographic Commission (EAHC) yang pertama kali diadakan. TLDM juga telah diberi penarafan empat
bintang bagi Accountability Index and Monitoring System (AIMS). Kesemua
20 Pusat Tanggungjawab di bawah Program Pertahanan Maritim telah diberi
penarafan empat bintang, dan empat daripadanya telah berjaya mengekalkan
pencapaian 100 peratus.
Keperluan Aset Baharu
Dekad mutakhir (2010-2020)
adalah satu tempoh yang agak mencabar bagi kerajaan Malaysia khususnya kerana tempoh ini
merupakan pendekatan terakhir negara mempersiapkan segala kemungkinan bagi
merealisasikan visi negara untuk mencapai status negara maju.
Hakikat yang mesti diketahui oleh rakyat
Malaysia bahawa ancaman keselamatan maritim yang paling utama pada waktu ini
ialah pertikaian dan tuntutan kawasan persempadanan iaitu perebutan kawasan di
Kepulauan Spratly di Laut China Selatan serta Kepualauan Ambalat di Laut
Sulawesi oleh negara-negara serantau di samping pemantauan berterusan terhadap
peperangan tidak simetri di laluan utama perairan negara.
Bagi mengekalkan kestabilan
keselamatan sedia ada merupakan cabaran yang harus ditangani dengan bijak
dengan mengeratkan hubungan dan menjalin kerjasama erat berasaskan kepercayaan
dan persahabatan antara angkatan laut serantau.
Namun begitu sebagai persiapan cegah rintang, cabaran itu mesti juga
diperlihatkan secara fizikal tentang kemampuan dan persiapan angkatan laut
sendiri. Bererti suasana ini harus diterjemahkan melalui perolehan aset-aset baharu
TLDM sebagai penambahan dan juga bagi mengimbangi aset-aset yang sudah
usang.
Perolehan yang dimaksudkan sudah
acap kali disebut bakal direalisasikan dalam Rancangan Malaysia ke 10 (RMK10)
seperti Multi Purpose Supply Ship (MPSS), Littoral Combat Ship
(LCS) malah juga sistem pesawat helikopter anti kapal selam (ASW). Namun kekangan ekonomi dikatakan menjadi
penghalang utama perolehan-perolehan seperti yang dinyatakan.
TLDM dipercayai sedang
memuktamadkan pilihan bagi Second Generation Patrol Vessel (SGPV)
yang akan dibina menggunakan konsep LCS. Penganalisis pertahanan
tempatan menjangka kerajaan akan memilih Kapal Kelas Gowind buatan DCNS iaitu
syarikat perkapalan sama yang membina kapal selam pertama negara.
Peperangan Littoral
merupakan peralihan strategi peperangan masakini yang memberi penumpuan
taktikal di kawasan pesisir pantai yang mana operasi di daratan turut dibantu
oleh elemen-elemen kombat yang berada di lautan atau di persisir melalui
pertukaran maklumat dan bantuan tembakan malah juga boleh berlaku
sebaliknya.
Suatu kelebihan dalam dunia
pertahanan maritim hari ini kepada angkatan yang mempunyai kapal yang
bercirikan halimunan iaitu kombinasi rekaan rekabentuk aerodinamik yang tidak
banyak menonjolkan struktur binaan yang bersudut tepat. Sebahagian besar
struktur dindingnya diperbuat daripada bahan komposit dari campuran kayu dan
gentian kaca kerana bahan ini akan bertindak sebagai radar absorbent material
(RAM) supaya tidak menghasilkan pantulan jitu oleh pancaran radar dari
permukaan maupun udara. Dengan ini akan memberi kelebihan taktikal yang menjadi
elemen penting dalam sesuatu peperangan. Ciri-ciri lain yang agak terkini dari
segi rekaannya ialah anjungan yang boleh memandang 360 darjah, menara
bersepadu, serombong dan kedudukan persenjataan meriam skunder.
KD Sri Indera Sakti dan KD Mahawangsa merupakan dua buah kapal pengangkut serbaguna dalam Flotila Bantuan armada TLDM yang sudah
pun berusia 30 tahun di dalam perkhidmatan. Skuadron Kapal Kawalan dan Perintah Pelbagai
Guna (MPCSS) satu-satunya skuadron pengangkut malah juga sering dilibatkan
dalam operasi amfibi dan operasi-operasi penting seperti OPS FAJAR, misi-misi kemanusiaan
di dalam dan luar negara. Suasana yang sangat tidak produktif ialah bila mana
perkhidmatan kedua-dua kapal ini tidak boleh beroperasi serentak dan hampir
keseluruhan masa pengoperasian skuadron ini pada tahap 50 peratus atas
sebab-sebab senggaraan menjadikan produktiviti TLDM tercalar.
Bagi menyokong kekurangan yang begitu ketara
berbanding keperluan penugasan yang sangat mendesak, penambahan beberapa buah
lagi kapal seumpama ini tidak sepatutnya menjadi retorik dan ekonomi negara
sebagai alasan. Bagi merealisasikan keperluan drastik TLDM, membeli kapal
terpakai adalah lebih realistik di samping menunggu pembinaan kapal pengangkut
pelbagai guna yang sedang dirancang.
Biarpun perencanaan perolehan kapal ini pernah disebut-sebut sejak
beberapa tahun lalu namun realitinya
masih tiada keputusan muktamad dari kerajaan tentang perolehan ini.
Perolehan
kapal selam serta pembangunan prasarana bagi menyokong pengoperasian
aset strategik ini mendambakan gandingan yang mantap seperti helikopter anti kapal
selam (ASW). Oleh itu keperluan ASW dalam konteks pemantapan dalam menghadapi
kepelbagaian ancaman permukaan dan bawah permukaan menjadi suatu
kemestian.
Motivasi
Kecemerlangan
Pengemblengan usaha
dan inovasi warga navy people telah berjaya merangsang dan menjana
pencapaian cemerlang sepanjang 2012 dan sebelumnya. TLDM dilihat masih melestarikan tema yang
sama seperti tahun lalu bagi mengekalkan momentum dan kesinambungan pencapaian
dalam menjana transformasi yang digagaskan untuk tahun-tahun berikutnya.
Dengan penambahbaikan
dan inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan telah memberi impak serta
lonjakan usaha yang lebih dinamik oleh setiap anggota telah menghasilkan output
positif kepada perkhidmatan. Kemandirian anggota wanita dianggap setanding dan sama penting dengan
anggota lelaki dan turut memegang jawatan-jawatan tinggi dalam perkhidmatan
malah mempunyai keberanian dengan penglibatan beberapa pegawai wanita di atas
kapal perang.
Untuk tidak menafikan
jasa dan pengorbanan veteran TLDM, Daftar Pesara Pegawai dan LLP
TLDM telah diwujud dan dikemaskinikan yang mana langkah ini adalah
bertujuan untuk penyenaraian dalam usaha untuk menyalurkan apa-apa bantuan kebajikan
bila mana diperlukan. Cadangan terbaru yang bakal diusahakan ialah pemberian
pencen kepada anggota dan pegawai yang menamatkan perkhidmatan15 tahun ke atas.
Natijah kepada
penambahbaikan dalam pengurusan sumber manusia, statistik tahun 2012 telah
mencatatkan hanya 300 orang anggota sahaja di peringkat ATM yang telah menamatkan
perkhidmatan secara tidak berpencen termasuk yang diberhentikan atas tindakan
tatatertib sekaligus menunjukan bahawa penambahbaikan yang telah dilaksanakan
telah menunjukkan satu pencapaian yang sangat luar biasa bagi mengekalkan
ketaatsetiaan anggota kepada perkhidmatan ATM sehingga tamat tempoh
perkhidmatan 22 tahun.
Rakyat sangat berbangga bila
dimaklumkan secara keseluruhannya, bahawa pencapaian the Navy Plan pada
tahun 2012 adalah pada tahap yang sangat baik, di mana 5 daripada 6 Petunjuk
Prestasi Utama (KPI) berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan, manakala 1 KPI
hampir mencapai sasaran 100% yang ditetapkan. Berdasarkan laporan KPI, telah
menggambarkan bahawa TLDM bersunguh-sungguh mengaplikasikan apa sahaja keperluan
dan penambahbaikan bagi membina dan
membangun sebuah organisasi yang berteraskan kenyakinan, harapan dan amanah
rakyat seluruhnya bagi menjaga kedaulatan dan kestabilan perairan negara dari
segala anasir.
Apa yang jelas, navy people adalah pemain
yang sangat komited dan versatil dalam bidang mereka namun apa yang perlu ialah
sokongan dan dorongan berterusan dari segi moral dan kelengkapan perang supaya
mereka akan lebih yakin dan digeruni untuk keluar berperang sebagai anak jantan
dan moto ‘Sedia Berkorban’ akan menjadi slogan keramat menuju keberhasilan di
dalam setiap misi dan visi yang di gagaskan oleh TLDM. PERAJURIT
SELAMAT MENYAMBUT HARI ULANGTAHUN
TLDM KE 79