About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Saturday, October 16, 2010

ATM komited laksana eksesais bersama

Sumber utusan

BUTTERWORTH 15 Okt. - Meskipun pernah berdepan krisis ekonomi global, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetap komited melaksanakan latihan secara besar-besaran dengan angkatan tentera negara luar bagi memastikan rantau ini selamat daripada sebarang ancaman.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berkata, semua latihan bersama yang pernah diadakan di negara ini berjalan lancar mengikut perancangan walaupun terdapat kekangan dari segi bajet.

Katanya, apa yang penting, latihan tersebut dapat diteruskan mengikut kemampuan ATM.

"Selama ini latihan bersama dengan tentera negara-negara asing berjalan mengikut jadual. ATM menghantar aset-aset termasuk anggota mengikut kemampuan kerana yang penting program dan perancangan dapat dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Eksesais Bersama Padu 2010 di bawah Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) di Pangkalan Udara Butterworth di sini hari ini.

Latihan itu disertai ATM bersama angkatan tentera Australia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom berlangsung dari 11 hingga 29 Oktober ini.

Ia melibatkan 14 kapal laut, 66 pesawat dan 897 anggota dari kelima-lima angkatan tentera tersebut di beberapa lokasi di Semenanjung, Singapura dan Laut China Selatan.

Azizan memberitahu, kelebihan latihan bersama di bawah FPDA adalah setiap aktiviti yang dijalankan boleh diselaraskan mengikut kesesuaian tertentu.

"Apa yang baik dalam FPDA adalah aktiviti latihan menjurus kepada fleksibiliti, seperti jika aset pertahanan sesuatu negara tidak berkemampuan maka tentera negara lain akan membantu.

"Format latihan sudah sedia ada dan kita melihat kepada pelbagai pendekatan untuk memastikan matlamat eksesais terlaksana," ujarnya.

ATM benteng pertahanan negara

Sumber utusan
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my


KOMITMEN Kami, Keyakinan Anda" merupakan tema Hari Ulang Tahun ke-77 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masih dikekalkan seperti tahun sebelumnya.

Pada tahun ini, sambutan hari ulang tahun ATM yang sepatutnya pada 16 September setiap tahun diadakan pada 6 Oktober lalu bertempat di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Ia bertujuan memberi laluan kepada sambutan Hari Malaysia yang disambut pada tarikh yang sama.

Bagi warga ATM dan bekas-bekas anggota tentera termasuk yang pernah berkhidmat semasa pentadbiran British, ia pasti mempunyai pelbagai pengertian berhubung ulang tahun tersebut.

Banyak pengalaman yang ditempuhi warga tentera sebelum negara ini mencapai kemerdekaan hinggalah kini.

Bagaimanapun mungkin agak berbeza bagi kalangan orang awam yang tidak begitu menghayati ulang tahun itu kerana mereka berada di luar organisasi berkenaan.

Apabila tiba tarikh 16 September, warga ATM adalah golongan paling berbangga kerana selama ini pun merekalah yang menjadi modal insan di belakang kestabilan dan keamanan negara.

Tanpa modal insan yang bersemangat waja, belum tentu organisasi besar seperti ATM dapat mengekalkan keselamatan dan kedaulatan negara hingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Sebagai pasukan beruniform sudah pasti rakyat melihat ATM sebagai sebuah organisasi yang mempunyai warga berkualiti, berdisiplin, berketerampilan, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi.

Sehubungan itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berkata, tema "Komitmen Kami, Keyakinan Anda" masih dikekalkan pada ulang tahun kali ini bertujuan meneruskan kecemerlangan ATM dalam menjaga kedaulatan tanah air tercinta.

"Kesinambungan usaha dan petunjuk yang konsisten telah meneguhkan keyakinan pentadbir negara, rakyat jelata serta rakan global bahawa Malaysia mempunyai tahap kebolehpercayaan yang tinggi daripada segi keutuhan kekuatan dan integriti pertahanan.

"Untuk mengekalkan kecemerlangan itu, ATM hendaklah terus mampu memberi keyakinan kepada semua pihak bahawa keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terjamin," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Ulang Tahun ke-77 ATM baru-baru ini.

Selaras dengan gagasan 1Malaysia

Matlamat untuk meneruskan kecemerlangan ATM adalah bertepatan dengan idealisme gagasan 1Malaysia yang merupakan resipi utama ke arah memupuk perpaduan, kestabilan dan kemakmuran negara.

Justeru, Azizan berkata, bagi mengekalkan tahap komitmen yang tinggi demi memelihara keyakinan kerajaan dan rakyat, agenda transformasi yang telah direncana menerusi Pelan ATM Dimensi ke-4 atau 4D MAF hendaklah digerakkan.

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini