About Me

My photo
Insan marhaen yang memanfaatkan penulisan sebagai wasilah komunikasi dan wahana pengembangan maklumat dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

Wednesday, May 21, 2025

MOU STRATEGIK ADS DENGAN KNDS FRANCE DAN PT LENTERA SUMBER MAKMUR MEMPERKUKUHKAN KEDAULATAN PERTAHANAN SERANTAU MELALUI LOKALISASI PENGELUARAN MERIAM 105MM PACK HOWITZER

 


Sumber Teks/foto:ADS

Langkawi, Malaysia – 21 Mei 2025 – Advanced Defence Systems (ADS), sebuah peneraju dalam industri pertahanan Malaysia bagi sistem artileri, mengumumkan kerjasama strategik bersama PT Lentera Sumber Makmur (PT LENTERA), sebuah syarikat pertahanan utama dari Indonesia, serta KNDS France, bagi membekalkan, mengintegrasi dan melayakkan penggunaan meriam ringan LG1 105mm yang terkenal di peringkat antarabangsa kepada Angkatan Tentera Indonesia (Marinir).

Kerjasama ini akan menyaksikan ADS menerajui penyeliaan proses pemasangan, integrasi dan pelayakan sistem artileri 105mm LG1 MK III di Malaysia. Sistem yang dipasang dan diintegrasikan secara tempatan ini akan memenuhi piawaian antarabangsa yang ketat, serta menawarkan keupayaan dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi dalam menyokong objektif keselamatan negara dan serantau.

ADS sebelum ini telah membekalkan satu rejimen sistem artileri 105mm LG1 MK III kepada Tentera Darat Malaysia (TDM), yang telah dipasang dan diintegrasikan sepenuhnya di loji pemasangan senjata ADS yang terletak di Segamat, Johor. 

Kerjasama teknologi dan pemindahan kepakaran antara ADS dan KNDS akan membuka ruang kepada pembangunan kepakaran tempatan. Inisiatif ini juga selaras dengan hasrat ADS untuk membangunkan syarikat sebagai Pusat Kecemerlangan bagi pelayakan sub-sistem 105mm LG1, khususnya dalam integrasi teknologi baharu Sistem Navigasi Inersia (INS).

Pengukuhan Hubungan Industri Pertahanan Serantau

PT LENTERA telah memainkan peranan yang amat penting dalam memperkukuh keupayaan kendiri Indonesia dalam bidang pertahanan. Kerjasama strategik bersama ADS dan KNDS ini menandakan satu pencapaian yang signifikan dalam usaha tersebut. 

Sistem artileri 105mm LG1 MK III yang akan dihasilkan menerusi kerjasama ini bakal dibekalkan kepada PT LENTERA, salah satu entiti utama dalam industri pertahanan Indonesia, dan dijangka menyumbang kepada usaha pemodenan angkatan tentera negara itu. Ini akan meningkatkan keupayaan Indonesia dalam menangani cabaran keselamatan, baik di peringkat domestik mahupun serantau. 

Sebagai syarikat yang telah memperkenalkan sistem artileri 155 SPH CAESAR kepada Tentera Darat Indonesia, kedudukan PT LENTERA sebagai pemain industri tempatan terus diperkukuh dengan penubuhan kemudahan baharu bagi penyelenggaraan sistem artileri di Bandung. 

Di samping itu, kerjasama ini dijangka menjadi pemangkin kepada pengukuhan hubungan industri pertahanan antara Malaysia dan Indonesia. Usaha ini juga bakal memberikan impak ekonomi yang ketara, dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan dalam rantaian bekalan tempatan, sekaligus menyokong pertumbuhan sektor pembuatan pertahanan di kedua-dua negara.

Sistem Artileri Ringan

Meriam 105mm LG1 MK III merupakan sistem artileri ringan yang serba guna dan direka untuk beroperasi secara efektif di pelbagai jenis bentuk muka bumi, menjadikannya aset strategik bagi angkatan tentera moden. Ia diiktiraf sebagai meriam ringan 105mm yang paling ringan dan paling tepat dalam kelasnya, dengan kadar tembakan minimum 12 das seminit. Selain digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia, sistem ini turut berada dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Indonesia (Marinir), Thailand, Belgium, Kanada, Colombia, Arab Saudi, dan Senegal.

Memorandum Persefahaman (MoU) antara ADS, PT LENTERA, dan KNDS telah ditandatangani di Pavillion Malaysia, LIMA 2025. Lt Kol Shane Chin (Bersara), Pengarah Pembangunan Perniagaan, telah menandatangani bagi pihak ADS, manakala Mayor Jeneral TNI (Purn) Gen Sonhadji mewakili PT LENTERA, dan Amaury de Poncins bagi pihak KNDS. 

Majlis menandatangani perjanjian ini telah disaksikan oleh YB Adly Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia. Turut hadir menyaksikan ialah Brig Jen Dato’ Abdul Hadi bin Abdul Razak (Bersara), Pengerusi ADS; Elson, Pengarah Syarikat PT LENTERA, serta Mayor Jeneral TNI (Purn) Dwi Jati Utomo, Pengerusi PT LENTERA.

Majlis ini melambangkan komitmen bersama antara ADS, PT LENTERA, dan KNDS dalam usaha memperkukuh keselamatan serta keupayaan kendiri angkatan pertahanan di Asia Tenggara. Dengan pencapaian ini, ADS juga berharap ia dapat menjadi platform untuk memenuhi keperluan Meriam Ringan 105mm bagi Tentera Darat Malaysia pada masa hadapan.








No comments:

Labels

Tinggalkan pesanan anda di sini