Sumber Teks/foto: UKS Mindef
Langkawi 22 Mei - LIMA 2025 menyaksikan Majlis Menandatangani dan Serahan Kontrak Perolehan, Surat Niat dan Memorandum Persefahaman oleh Kementerian Pertahanan Malaysia yang disaksikan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin seperti .
Secara keseluruhan sejumlah RM11 billion dirancang untuk dibelanjakan bagi tujuan memenuhi keperluan pertahanan negara.
Pecahan perbelanjaan tersebut dibahagikan kepada 5 perkara utama, iaitu perolehan aset strategik untuk pertahanan darat, maritim, udara, sekuriti siber dan kemudahan serta kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Tiga jenis dokumen telah ditandatangani dan diserahkan, iaitu 85 Surat Setuju Terima (SST)/Kontrak, 2 Surat Niat (LOI) dan 6 Memorandum Persefahaman (MoU).
Berlaku peningkatan pada LIMA 2025 dari segi jumlah yang dimeterai iaitu sekitar RM1 bilion bagi perolehan keperluan pertahanan negara berbanding LIMA 2023 di mana sebanyak 43 dokumen telah ditandatangani Kementerian Pertahanan yang bernilai sekitar RM10.1 billion.
Surat Setuju Terima/Kontrak
Sebanyak 85 SST/Kontrak telah ditandatangani dan diserahkan. Daripada 85 SST/Kontrak tersebut, 40 daripadanya melebihi RM30 juta yang membawa jumlah keseluruhan sebanyak RM7.54 bilion. Manakala 45 daripada 85 SST/Kontrak tersebut tidak melebihi RM30 juta yang mempunyai nilai keseluruhan sebanyak RM783 juta.
Surat Niat (LOI)
Terdapat dua LOI yang membawa jumlah RM2.68 bilion. LOI pertama adalah antara Kementerian Pertahanan dan syarikat tempatan, Mildef International Technologies Sdn Bhd berkenaan, antara lain, permohonan perolehan 136 unit Kenderaan Perisai Jenis A (KJA) & Infrastruktur yang bernilai RM1.88 bilion.
Manakala LOI yang kedua adalah antara Kementerian Pertahanan dan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) berjumlah RM800 juta bagi perolehan “integrated logistic support” dan “trials aid” Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik negara.
Memorandum Persefahaman (MoU)
Selain SST/Kontrak dan LOI, terdapat 1 MoU yang melibatkan Kementerian Pertahanan dan 5 MoU/NDA yang melibatkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Kementerian Pertahanan telah menandatangani MoU bersama syarikat di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Technology Sdn Bhd (Boustech), mengenai kerjasama strategik program komunikasi Angkatan Tentera Malaysia.
Kerjasama dengan Boustech ini membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam perancangan satelit, penyepaduan sistem, penjajaran dengan “ATM Mission Network”, penyelarasan spektrum dan orbit, pemindahan teknologi, pembangunan bakat, serta pembinaan kapasiti.
Manakala bagi MoU/NDA melibatkan UPNM ia memfokuskan terhadap, antara lain, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemindahan teknologi, latihan, pensijilan, pengintegrasian kecerdasan buatan (AI), geran penyelidikan bersama dan sebagainya.
Matlamat
16. Perolehan-perolehan yang dibuat mempunyai beberapa matlamat yang ingin dicapai iaitu meningkatkan kesiagaan aset di tahap yang tertinggi bagi memperkukuh kedaulatan wilayah. Di antaranya ialah:
a. Surat Niat kepada Mildef International Technologies Sdn Bhd bagi permohonan perolehan 136 unit Kenderaan Perisai Jenis A (KJA) & Infrastruktur yang bernilai RM1.88 bilion;
b. Kontrak Penambahan 2 “Long Range Radar” (LRR) di Bukit Peteri, Terengganu dan Bukit Lunchu, Johor bernilai RM277 juta;
c. Kontrak perolehan melibatkan 178 buah “Light Anti-Tank Weapon Reloadable (LATW) - Short Range” bernilai RM49 juta;
d. Kontrak membekal dan menghantar 780 butir “Light Anti-Tank Weapon (LAW) C90” bernilai RM35 juta;
e. Kontrak membekal dan menghantar 18 buah “Mortar 81mm” bernilai RM30 juta;
f. Kontrak pembekalan 2 set pelancar Naval Strike Missile (NSM) bernilai RM44 juta;
g. Kontrak membekal dan menghantar 1,300 butir “Rounds 84mm Recoilless High Explosive (HE)” bernilai RM42 juta;
h. Kontrak membekal dan menghantar 5,000 unit “Mortar Bomb 60mm Illuminating IR kepada Tentera Darat” bernilai RM34 juta;
i. Kontrak membekal dan menghantar 1,900 unit “Mortar Bomb 120mm High Explosive (HE) kepada Tentera Darat” bernilai RM34 juta;
j. Kontrak membekal dan menghantar 12,000,000 butir “Rounds 5.56mm Ball” bernilai RM32 juta;
k. Kontrak membekal dan menghantar 1,000 butir “Rounds 125mm HEAT-SD-T” bernilai RM31 juta.
Pemerkasaan Keupayaan ATM
Selain daripada pembelian aset-aset baharu, pemerkasaan keupayaan ATM juga turut dilakukan dengan memastikan aset sentiasa berada dalam keadaan yang baik melalui peningkatan keupayaan aset sedia ada.
Di bawah aspek ini, antara kontrak yang telah dimeterai termasuklah:
a. Kontrak Penyelenggaraan dan Pembaikan Kapal Selam Kelas Perdana Menteri bernilai RM1.02 bilion;
b. Kontrak perolehan perkhidmatan “obsolescence” (pengurusan keusangan) KD Perdana bernilai RM48 juta;
c. Kontrak Projek “Sustainment Program” (Program Pengekalan) pesawat pejuang F/A-18D bernilai RM187 juta;
d. Kontrak Perolehan Stok Apungan Tambahan bagi Enjin TP400-D6 dan “Low Pressure Turbine” pesawat A400M bernilai RM392 juta;
e. Kontrak Perkhidmatan Senggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Pesawat Helikopter EC725 bernilai RM378 juta.
Meningkatkan dorongan terhadap pembangunan industri pertahanan tempatan dan pembangunan kapasiti
Perkara ini dilakukan dengan memberi peluang kepada pelbagai syarikat tempatan menggunakan keupayaan sedia ada untuk memberikan pelbagai bentuk perkhidmatan kepada ATM. Kesemua ini merupakan satu cerminan keyakinan dan sokongan berterusan Kerajaan kepada pemain industri pertahanan tempatan, yang diharap akan membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada pihak luar.
Dalam hal ini, antara kontrak yang telah dimeterai termasuklah:
a. Penyelenggaraan dan Pembaikan Kapal Selam Kelas Perdana Menteri kepada BHIC Submarine Engineering Services Sdn Bhd (BSES);
b. Kontrak Sewaan 4 buah helikopter tambahan berkeupayaan siang dan malam kepada Weststar Aviation Services Sdn Bhd;
c. Kontrak Perolehan Stok Apungan Tambahan bagi Enjin TP400-D6 dan “Low Pressure Turbine” pesawat A400M kepada Global Turbine Asia Sdn Bhd (GTA);
d. Kontrak Perkhidmatan Senggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Pesawat Helikopter EC725 kepada BHIC Aeroservices Sdn Bhd (BHICAS);
e. Kontrak Projek “Sustainment Program” (Program Pengekalan) pesawat pejuang F/A-18D kepada G7 Global Aerospace;
f. Kontrak Perolehan Selenggaraan, Pembekalan dan Penghantaran Alat Ganti serta Latihan bagi Satelit X-Band kegunaan ATM kepada AR Eastern Sdn Bhd;
g. Kontrak Selenggaran bagi Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 kepada Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd;
h. Perkhidmatan Pasang Pulih (Refit) KD Jerai Kepada Grade One Marine Shipyard Sdn Bhd;
i. Penggantian Sistem Pengurusan Trafik Udara Pangkalan Udara Butterworth Kepada Zetro Services;
j. Surat Niat Kepada Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd Bagi Perolehan “Integrated Logistic Support And Trial Aids” (ILS & TA) Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Menangani Ancaman Bukan Tradisional
Ianya melalui pengukuhan keselamatan siber negara dan teknologi telekomunikasi seperti Satelit XBand dan pajakan “Secure Satellite Communication Channel”. Dengan mengutamakan pembangunan dan penyelidikan termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi-teknologi baharu. Di samping perolehan aset, Kementerian Pertahanan memberi penekanan dalam aspek kesejahteraan. Misalnya pembinaan baharu Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Melaka yang bernilai RM320 juta.
No comments:
Post a Comment